Kena belajar terima kekurangan pasangan sebab kita pun tak sempurna! Ini hakikat yang semua kena terima ye. Suami isteri kena saling melengkapi barulah rumah tangga bahagia.
Masa bercinta kentut bau wangi…Marah pun nampak comel. Walaupun ada yang menjuihkan bibir tapi inilah hakikatnya. Ramai yang dibuai perasaan indah ketika hangat bercinta. Yang buruk semua tidak nampak. Pasangan dilihat sempurna.
Tapi lepas kahwin, lain pula ceritanya. Bau busuk sampah dikatakan bau badan suami! Semua serba tidak kena, ada sahaja kekurangan suami atau isteri yang dikesan. Ini baru alam realiti, masa bercinta banyaknya fantasi dan berangan!
Soalan yang kita mesti jawab dengan jujur…Sepanjang mendirikan rumah tangga, sejauh mana kita kenal pasangan? True colour suami atau isteri. Ada pasangan yang sudah sedekad berkongsi bantal tapi makanan kegemaran isteri atau warna kegemaran suami pun tidak tahu. Itu baru perkara remeh. Belum lagi berbicara mengenai isu sensitif yang pasangan tidak suka.
Bagi saya, kaunselor perkahwinan atau pakar motivasi boleh membantu kita dengan perkongsian ilmu. Tetapi untuk memastikan rumah tangga kekal bahagia adalah usaha kita sendiri. Adakah kita benar-benar redha dan berlapang dada menerima kekurangan pasangan?
Ads
Jika kita rasa pasangan banyak kelemahan, kita juga patut sedar kita bukan manusia sempurna. Adakah pasangan boleh terima kekurangan kita? Jangan hanya persoalkan apa yang kita tidak suka tetapi tanya juga pada diri apa kekurangan diri kita yang pasangan tidak suka. Baru adil dan saksama.
Mengenal hati budi pasangan adalah satu proses yang indah dan mencabar. Anggap proses ini sebagai perjalanan yang mematangkan emosi, minda dan rohani kita. Niatkan di dalam hati, aku ingin mengenali pasangan agar mudah untuk melayari rumah tangga. Apabila kita tahu apa yang pasangan tidak suka dan suka, input ini membantu kita untuk hidup bahagia dan dapat mengelakkan sengketa.
Sengaja Cari Nahas
Tapi ada juga di kalangan kita yang saja mencari nahas, sudah tahu isteri tidak suka rumah bersepah. Suami sesuka hati campak barang merata, isteri yang keletihan pulang dari kerja bertambah letih dan stres melihat keadaan rumah yang bersepah tidak ubah seperti sarang tikus.
Sedangkan isteri bangun awal pagi mengemas bagi memastikan rumah dalam keadaan bersih, kemas dan harum….Isteri tidak minta suami tolong kemas tapi pinta isteri kekalkan keadaan yang selesa ini. Susahkah? Isteri mahu suami dan anak-anak seronok dan selesa apabila rumah bersih dan kemas. Jadi mengapa suami tidak menghargai usaha isteri? Daripada contoh ini pun banyak pengajaran yang kita dapat.
Ads
Bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga, dua insan yang berbeza pandangan, fizikal dan jiwa mesti mencari titik persefahaman. Syaratnya, perlu bertolak ansur, berkorban, berusaha dan sudah pasti berdoa kepada Allah. Jika kita sudah melakukan yang terbaik, insya-Allah, Allah akan hadiahkan nikmat kemanisan buat kita.
Pilihan Di Tangan Kita
Berhenti memberi alasan dan menyalahkan antara satu sama lain. Belajar mengenal pasangan, jika boleh berkongsi hobi dengan suami atau isteri. Jika mampu turut serta, cukup sekadar memberi sokongan moral. Tapi kena juga pastikan hobi pasangan berfaedah…Jangan pula bagi sokongan jika hobi suami ubah suai kereta sampai berhutang kad kredit! Cari hobi yang berfaedah untuk diri dan keluarga.
Jika isteri suka berkebun, belikan benih sayur, baja dan pasu. Bukanlah lebih elok isteri berjasa dengan tanah daripada membuang masa mengumpat dengan jiran tetangga. Hasil tanaman sayur-sayuran isteri boleh dijadikan sajian sekeluarga. Bahagian yang paling best, ia jimatkan belanja. Suami tidak gembira ke?
Ini hanya sebahagian contoh saaja untuk kita renungkan secara santai. Semoga kita terus diberkati dan tidak jemu perbaiki kelemahan diri untuk menikmati kebahagiaan hakiki. Pilihan untuk bahagia di tangan kita, jadi usaha dan berdoa! Insya-Allah kita akan berjaya.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila suami main drama dan cari orang baru dengan alasan jiwa kosong ini bermakna si suami sudah mula buat perangai. Bukan sebab kononnya isteri sibuk tetapi sebab sudah pandai mencari alasan untuk berselingkuh.
Suami Mula Main Drama, Cari Orang Baru
Nak-nak kalau si suami biasa meluah pada orang yang salah, berlainan jantina. Inilah yang boleh mengundang kes curang dalam hubungan suami isteri. Bagi mengelakkan situasi seperti ini jadi lebih keruh, jemput baca perkongsian saudara Amir Syahir ini.
“ISTERI SAYA KERJA SAMPAI KE MALAM. SELALU TAKDE MASA UNTUK SAYA. SIBUK BETUL. HUJUNG MINGGU PUN MASIH KERJA.”
“ISTERI SAYA SELALU JE OUTSTATION. ASYIK TINGGALKAN SAYA DAN ANAK-ANAK DI RUMAH. TAK PERNAH ADA MASA UNTUK KAMI.”
Alasan Sebab Jiwa Kosong
Kalau suami itu kerja jenis banyak masa di rumah misalnya buat bisnes ke atau cikgu mesti dia rasa ada ruang kosong kalau isteri dia asyik kerja saja. Contohnya jika isterinya seorang doktor, selalu sibuk dengan jadual yang tidak tentu.
Mulalah si suami nak mengisi ruang kosong ini dengan perempuan lain. Berchat di FB, main TikTok dan sebagainya. Mula-mula nak kenal, selepas itu bertukar nombor telefon dan akhir sekali jatuh cinta.
Rumah tangga mula tidak lagi bahagia macam dulu. Si suami salahkan isteri tidak ada masa untuk dia. Si isteri pula tertekan sebab suami tidak memahami. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak.
Siapa Yang Salah
Kenapa perkara macam ini boleh berlaku? Siapa yang harus dipersalahkan? Tak perlu saling menuding jari. Lebih baik duduk bersama dan berbincang bagaimana untuk mengembalikan kebahagiaan dalam rumah tangga seperti dahulu.
Sebelum berkahwin, mesti sudah saling mengenali. Sudah tahu bakal isteri atau suami kerja apa. Jadi, tak perlu timbul soal macam ini. Si suami sudah tahu isteri dia doktor. Kerja yang tidak tentu masa. Jadi, dia perlu faham dan bertolak ansur. Kalau tak dapat terima, kenapa kahwin dengan dia?
Alasan mencari perempuan lain untuk mengisi ruang kosong itu tidak akan wujud jika perkahwinan yang dibina atas dasar kerana Allah. Pokok pangkalnya adalah hati sendiri.
Kalau ruang kosong itu diisi dengan buat perkara yang diminati seperti memancing, memasak, bersukan, main game atau tanam pokok, ada faedahnya. Banyak lagi cara nak isi ruang kosong itu. Bukan dengan cara cari perempuan lain. Itu cari pasal namanya.
Para isteri jangan halang suami jika mereka banyak menghabiskan masa dengan sesuatu yang mereka suka. Mungkin itu cara mereka mengatasi ruang kosong itu.
Jangan Lupa Tanggungjawab Hakiki
Si isteri pun kena main peranan juga. Jangan nak berharap supaya suami saja faham diri kau. Sesibuk mana pun dengan kerja, jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri. Luangkan masa dengan suami dan anak-anak. Kerja sampai bila-bila pun tak akan habis.
Sekali-sekala ambil cuti. Pergi bercuti bersama-sama suami dan anak-anak. Lupakan sekejap kerja. Pasti suami dan anak-anak akan rasa dihargai dan disayangi. Mereka pun akan faham dan terima cara anda bekerja yang tak tentu masa itu.
Lepaskan, Jangan Pendam
Jadi, kalau ada masalah bincang. Jangan nak salahkan isteri atau suami. Jangan pendam ketidakpuasan hati. Lama-lama memakan diri. Kalau tak puas hati dengan isteri yang tiada masa, beri tahu isteri. Bukan mengadu dengn perempuan lain yang kononnya memahami. Fikirkan juga nasib anak-anak. Tidak ada masalah yang tiada jalan penyelesaian.
Buat para suami, jangan mencipta alasan untuk mencari perempuan lain kerana isteri anda sibuk bekerja. Fikirlah, dia bekerja pun sebab nak membantu anda. Buat para isteri, sesibuk mana pun bekerja, jangan abaikan tanggungjawab dengan suami dan anak-anak. Semoga kita semua dapat membina keluarga yang bahagia hingga ke syurga.
Bukan boleh paksa pasangan kita bagi rapat dengan mentua, ipar dan biras kalau dia dah tak suka. Mesti ada sebab tertentu kalau dia tak boleh ngam.
Biasalah, bila dah ramai-ramai mesti ada bawa perangai masing-masing. Ada yang tak reti nak bercakap, ada yang terlalu pendiam, dan mungkin ada yang sibuk sibuk hal orang. Tetapi kalau positif, macam mana teruk pun tetap boleh duduk berbual bersama. Melainkan tetiba dia ada dengar cerita tak best dari belakang! Mulut ke mulut dan akhirnya jadi gosip panas.
Maka, mentua, ipar atau mahu pun biras mula lah tak sebulu. Sebab itulah kena pandai jaga perangai sendiri. Nah, untuk renungan bersama, baca perkongsian saudara Firdaus Shakirin dulu.
Paksa Pasangan Rapat Dengan Mentua, Ipar
Kita tak boleh paksa pasangan untuk rapat dengan mertua, dengan ipar dan dengan biras.
Kenapa?
Perasaan kita, apa yang kita nak rasa, adalah sesuatu yang kita tak boleh nak paksa. Ianya datang secara semula jadi, untuk rasa suka pada seseorang, untuk rasa benci pada seseorang, untuk rasa senang pada seseorang, untuk rasa kurang senang pada seseorang, semua itu adalah berdasarkan sikap dia dan cara dia bergaul kita.
Kadang-kadang kita boleh perasan yang pasangan kita kurang bergaul dengan ipar, kurang rapat dengan mertua dan kurang bersembang dengan biras. Bukan sebab dia tak suka dengan iparnya, birasnya atau mertuanya, tapi tiada titik persamaan antara mereka yang boleh membuatkan mereka rapat dan dapat bergaul seperti biasa.
Cara dan sikap kita juga berbeza.
Ada orang suka bercakap, ada orang yang hanya bercakap bila perlu, ada orang pula suka diam, ada orang suka bergurau, ada orang suka serius, ada orang yang langsung tak boleh bergurau, ada orang suka marah, ada orang susah nak marah. Untuk satukan dan bagi bergaul antara dua sikap dan cara manusia yang berbeza itu akan makan masa, mereka akan jadi rapat dan mudah bergaul dengan sendirinya bila mereka jumpa titik persamaan antara mereka.
Sebagai pasangan, jangan paksa mereka untuk rapat, jangan desak dia untuk bergaul, sebaliknya bagi ruang dan masa untuk dia buat semua tu secara semula jadi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nak bentuk isteri solehah, suami dulu yang kena berlatih jadi suami soleh. Sebab isteri ini hatinya cukup lembut, kalau hari-hari tengok cara suami yang disiplin bab menjaga solat, rajin alunkan ayat-ayat suci al-Quran, in shaa Allah perlahan-lahan seorang isteri akan berubah menjadi perempuan yang diidamkan suami soleh.
Bak kata saudara Firdaus Shakirin, isteri tak akan rasa terbeban bila suaminya bukan ekadar mengarah tetapi dia sendiri juga bertindak. Maka nak berubah ke arah yang lebih baik itu akan datang dari lubuk hati dengan seikhlas hatinya. Tanpa paksaaan!
Bentuk Isteri Solehah Tak Susah!
“Solehah atau tak seorang isteri itu bergantung kepada…”
Ada wanita yang mudah menjadi isteri yang solehah apabila mendapat suami yang memahami dan bertolak ansur dalam kehidupan dan urusan rumahtangga.
Isteri tidak terkorban kerana suaminya juga turut sama-sama berkorban. Suami melengkapi kekurangan isteri dan isteri melengkapi kekurangan suami dengan kelebihan yang ada pada diri masing-masing.
Ada pula yang sukar menjadi isteri yang solehah apabila suami tidak mahu memahami dan tidak mahu mengalah apabila mengalami masalah dalam kehidupan dan urusan harian rumahtangga mereka.
Suami Sendiri Tak Nak Mengalah, Cuma Tahu Kritik
Isteri sudah banyak berkorban tetapi dimata suami, tetap nampak kekurangan isteri, kelemahan isteri. Suami tidak mahu bertolak ansur, sering dan selalu menyerahkan segala urusan kepada isteri, tidak membantu dalam urusan harian rumahtangga dan tidak menghargai pengorbanan isteri.
Itu menjadikan isteri rasa terbeban, rasa tidak ikhlas dan sukar untuk menjadi isteri yang solehah.
Maka,
“Terdidiknya seorang isteri itu apabila baiknya seorang suami, maka apabila baiknya seorang suami itu, baik jugalah isterinya.”
Semoga bermanfaat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...