Bila seorang suami buat yang sepatutnya termasuklah tunaikan tanggungjawab dan menghormati isteri, isteri pasti berganda buat kebaikan untuknya. Percayalah, isteri akan lebih menghargai suami bila suami menjaganya dan anak-anak dengan sempurna.
Segala-galanya bermula daripada suami, jika suami seorang yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab mengikut kemampuannya, pasti anak dan keluarga bertambah bahagia.
Kita buat baik dengan dia, dua kali ganda dia buat baik dengan kita…
Kita hormat dia, pasti dua kali ganda isteri hormat kita…
Jika Kita memuliakan dia, dua kali ganda dia memuliakan kita…
Kita tak berkira dengan dia, dia lagi tak berkira dengan kita…
Senang saja nak ambil hati isteri ini sebenarnya… Kita hanya perlu buat apa yang sepatutnya seorang suami buat, selebihnya dia akan cover atau tutup rapat apa yang kita tak sempat, tak mampu atau terlupa nak buat…
Bila dia tahu suami dia balik lambat sebab cari rezeki untuk keluarga, dia tak akan bagi rumah nampak bersepah bila suami dia sampai ke rumah…
Bila dia tahu suami dia penat bekerja, dia tak akan bagi anak-anak bising atau kacau suami dia tengah berehat…
Kerja rumah, yang mana sempat dan larat untuk dia buat, dia akan buat bagi habis sebab dia tak nak suami dia nampak, lepas itu suami dia pula yang buat…
Asbab dapat suami yang baik, rajin, ringan tulang, suka membantu, bertimbang rasa, hormat dia dan memuliakan dia sebagai wanita yang bergelar isteri…
Suami pula tak pernah abai hak dia, tanggungjawab dia setakat kemampuan yang dia ada…
Kalau kita suami yang macam ini, kita akan beruntung sebab isteri akan memudahkan hidup kita… Kalau kita belum jadi suami yang macam ini, maka belum terlambat untuk jadi…
Semoga bermanfaat…
MW: Renung-renungkan ya, segalanya bermula dengan kerjasama dan pemahaman suami, isteri. Jika masing-masing tahu tanggungjawab, sudah pasti rumah tangga bertambah bahagia. Hubungan suami, isteri juga akan bertambah erat. Insyallah.
Pembentukan kendiri anak bermula daripada kecil lagi. Cita-cita dan impian ibu ayah kepada anak-anak ini harus ditanam sejak daripada itu. Hal ini kerana, pemikirannya, tasawur kehidupan dan persepsi tentang diri, semuanya adalah bermula awal dan tidak menanti dewasa.
Sering kita tanyakan kepada anak-anak tentang cita-citanya apabila dewasa. Persoalan dan pertanyaan ini hakikatnya telah memberikan cetusan idea kepada anak-anak tentang kehidupan dan masa hadapannya. Penumpuan terhadap cita-cita terfokus pekerjaan adalah salah satu daripada cabang yang perlu difikirkan. Malah yang lebih penting lagi tentang makna yang ingin diberikan tentang dirinya dan kehidupan.
Bagi meneliti makna itu, sebagai ibu bapa kita haruslah terlebih dahulu faham akan makna dan hakikat sebenar kehidupan ini. Jika kita sekarang dalam satu konteks kehidupan yang kita maknakan sebagai bahagia maka konteks yang sama malah lebih baik lagi hasrat kita untuk kehidupan anak-anak kita.
Namun, pandangan itu harus dilihat dalam konteks hakikat sebenar kehidupan yang diberikan oleh Allah. Mengapakah ia begitu penting? Ini kerana, tujuan asal kehidupan kita ini adalah kerana-Nya dan untuk-Nya sebagai khalifah dan hamba-Nya. Jadi tujuan kehidupan dan hakikatnya harus dapat diberikan makna yang sedemikian.
Daripada pemahaman itu, barulah kita sampaikan hasrat dan impian yang harus wujud dalam pemikiran anak tentang dirinya dan kehidupannya. Bantulah anak-anak kita untuk melihat kehidupan dan dirinya dalam penglihatan yang sebenar agar kehidupannya benar-benar menuju keredaan Allah.
Ia boleh dilakukan menerusi persekitaran kehidupan yang kita tonjolkan dalam kehidupannya. Jadikan diri kita contoh yang terbaik untuk diikuti dan persekitaran yang kita bina di sekitarnya adalah persekitaran yang terbaik untuk pembentukan jati diri dan keperibadiannya.
Rakan penjaga yang dihormati, anak-anak kita dianugerahkan Allah dalam keadaan fitrah yang amat bersih. Tulus hatinya dan kecenderungannya. Berusahalah untuk mengekalkan ketulusan itu menerusi persekitaran yang membantu pembentukan dirinya ke arah yang baik. Mereka tidak menolak kebaikan kerana itu adalah fitrah dirinya. Mereka tidak menolak kecantikan kerana itu adalah kecenderungannya.
Maka tunjukkan akhlak yang baik untuk dicontohi, persekitaran yang baik untuk didiami. Potensi kendirinya amat besar untuk dibangunkan ke arah kebaikan. Usah patahkan semangat fitrahnya dengan perkara-perkara yang memudarkannya. Benamkanlah perilaku negatif kita demi pembentukan generasi yang lebih baik. Ini adalah pengorbanan berbaloi yang harus dan mesti kita lakukan.
Rakan penjaga yang dihormati, jika direnungkan Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik”; menunjukkan bahawa matlamat asas kehidupan seorang insan adalah menjadi orang yang berakhlak dan mempunyai adab kerana perkara ini amat dianjurkan oleh Islam.
Jadi di sini, kita dapat memahami pekerti yang baik adalah keutamaan melebihi pekerjaan dan pangkat yang tinggi. Hal ini kerana, jika mempunyai kedudukan yang tinggi sekalipun namun pekerti kurang baik maka tiada maknanya yang tepat di sisi Allah SWT.
Maka inilah antara perkara utama yang harus dipasakkan dalam pemikiran anak agar cara pandangnya tentang kehidupan dan dirinya berada pada landasan yang sebenar iaitu dengan meletakkan keutamaan yang betul dalam kehidupannya.
Pekerti budiman harus bermula dengan ilmu yang tepat mengenai diri dan tanggungjawab kehidupan. Memahami dengan penghayatan yang sebenar akan memberikan persepsi yang tepat tentang diri dan kehidupan seterusnya mempengaruhi pembentukan nilai dan ciri budiman dalam diri anak.
Inilah kehidupan yang kita harapkan terbentuk menjadi peribadi dan dijelmakan menjadi akhlak dirinya. Ilmu ini boleh dititipkan melalui pemahaman terhadap ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis malah turut juga dapat difahami menerusi perenungan alam dan kehidupan.
Oleh yang demikian, selaku ibu ayah yang amat mengambil berat tentang diri anak, keperluan memenuhi dan mendukung fitrah diri anak ini harus diberikan. Caranya dengan melengkapkan anak dengan ilmu terutama ilmu agama dan kehidupan. Ia harus didatangkan secara beriringan dengan meletakkan keutamaan terhadap ilmu fardu ain berbantukan ilmu fardu kifayah. Insya-Allah generasi budiman dapat kita lahirkan. Wallahualam..
Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ipar adalah adik-beradik kepada pasangan kita. Berbanding lelaki, biasanya wanita yang sering kali menghadapi masalah dengan ipar-duai. Tak semua, TAPI ADA! Banyak penyebabnya hingga hubungan antara ipar-duai itu dingin.
Perkahwinan bukan saja penyatuan dua jiwa antara kita dengan pasangan saja, malah ia membawa kepada maksud lebih meluas terutama berkaitan keluarga kedua-dua pihak.
Membina hubungan yang baik dengan keluarga mentua itu tidak hanya tertumpu kepada mak dan bapa mentua saja malah ia perlu dilakukan bersama ipar-duai, biras, sepupu dan ahli keluarga yang lain.
Menjalinkan hubungan baik dengan ipar-duai tidak boleh dianggap perkara remeh kerana tanpa sedar pelbagai masalah boleh terjadi sekiranya hubungan dengan ipar-duai tidak dilakukan seikhlas hati.
Tak dinafikan, mungkin akan sering kali terjadi kita bercanggah pendapat dengan ipar-duai kita namun ia perlu ditangani dengan baik. Jangan hingga berbalah sehingga saling tak bertegur sapa. Itu hanya akan memburukkan perhubungan.
Sebagai orang yang baru masuk ke dalam sesebuah keluarga, sebenarnya kita sendiri kena main peranan untuk ambil hati keluarga pasangan. Bukan saja mak ayah tapi juga ipar-duai.
Berbanding ipar-duai lelaki, biasanya jarang mengalami masalah ini, berbanding wanita. Entah kenapa, mungkin wanita ni kaya dengan emosi kot. Apa pun, buang rasa malu atau ego dan cuba wujudkan kemesraan dengan ikhlas.
Walau pun sudah lama berkahwin, jangan berhenti untuk memberikan imej baik kepada ipar-duai. Sebenarnya banyak faedah bila baik dengan ipar-duai yang merupakan adik-beradik suami.
Tak nafikan, ada wanita yang kurang rapat dengan mentua atas macam-macam sebab. Namun, kehadiran ipar-duai (anaknya) boleh membantu mengharmonikan hubungan itu.
Jika kita baik dengan mereka, sudah pastinya mereka akan sentiasa menyebut hal-hal yang baik saja tentang diri kita di hadapan mak dan ayahnya. Bahkan, ada masanya akan ‘backing’ kita juga kalau ada masalah dengan abang/adiknya yang merupakan suami kita. Mereka ini boleh dijadikan ‘team’ kita bila ada masalah dengan pasangan. Betul kan?
Banyak cara nak ambil hati ipar-duai, bukan sekadar belikan hadiah mahal-mahal saja ye. Tanya khabar pun dah cukup menunjukkan kita menganggap mereka itu antara orang penting dalam hidup kita.
Kalau mampu, hadiah boleh dijadikan sebagai ‘pemanis’ hubungan. Sesekali, mungkin ketika hari jadinya, boleh belikan hadiah untuknya.
Atau boleh masak hidangan yang disukainya bila dia datang ke rumah kita. Itu bermakna kita prihatin pada dirinya. Ada masanya kalau lapang, boleh juga keluar bersama. Ia boleh bantu eratkan hubungan.
Kalau mereka ada masalah, jangan lokek hulurkan bantuan. Tak boleh bagi duit, pendapat dan sokongan pun dah memadai…
Ini paling penting. Sebagai ipar, jangan sesekali mencampuri urusan rumah tangga ipar-duai. Jangan juga mencuba untuk memberi nasihat jika tidak diminta kerana ia mungkin boleh memburukkan keadaan. Langkah terbaik ialah hindarkan diri daripada masalah.
Berhati-hati bukanlah bermaksud langsung tidak boleh percaya tetapi dalam apa juga perkara perlu ada batasnya terutama sekiranya ia membabitkan soal peribadi kita suami isteri. Jaga rahsia keluarga anda sebaiknya khususnya yang membabitkan soal maruah diri. Kadangkala kita kena ‘simpan’ sikit kisah rumah tangga kita kerana kita kena sedar hati manusia boleh berubah. Tengah baik okay, tapi kalau satu hari nanti hubungan tak berapa baik, macam mana?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.