
Bila perasaan marah kuasai diri, macam-macam boleh jadi. Tetapi yang silapnya ada sesetengah orang suka marah tak bersemuka dan melepaskan amarahnya di tempat yang salah! Sengaja tulis di mesej di phone atau lagi teruk memuat naikkan kenyataan marah di laman sosial. Silap cara, ini bukan selesaikan masalah ya, tetapi boleh jadi keruhkan keadaan semakin buruk.
Bukan itu saja, ada 6 perkara buruk yang mungkin anda akan hadap disebabkan sikap suka menulis daripada terus memberitahu depan-depan. Jom semak!
1. Tak boleh teka reaksi sebenar
Kalau bergaduh menerusi mesej, anda tidak tahu reaksi mereka. Walaupun mesej anda tu bunyi macam tengah marah gila, entah-entah mereka anggap mesej tu macam biasa je.
2. Boleh jadi anda silap baca nada suara
Bila tengah marah memang tinggi suara je. Tapi kalau gaduh menerusi mesej, macam mana nak tahu orang tu tengah marah ke tak? Buat penat tangan je anda menaip dalam keadaan tengah marah.
3. Hati-hati, tak pelik kalau mesej tersebar di media sosial
Hati orang siapa yang tahu. Mana lah tahu jika anda bergaduh dengan pasangan anda dan mengeluarkan kata-kata kurang enak, lepas tu tersebar di media sosial. Tak ke malu!
4. Salah faham cara maksud sebenar mesej
Bila tengah marah, kadang-kadang kita tak faham maksud sebenar mesej tersebut. Lagi parah jika anda menyalah erti maksud mesej tersebut dan boleh mengeruhkan lagi keadaan.
5. Tak tahu situasi sebenar
Ketika anda meluahkan rasa marah menerusi mesej, anda tidak tahu apa yang si dia sedang lakukan. Kadang-kadang mesej anda tidak akan dilayan mungkin kerana si dia sedang sibuk. Jadi, sia-sia je la anda hantar berpuluh-puluh mesej.
6. Pergaduhan anda tak akan selesai
Bagi pasangan yang selalu bergaduh menerusi mesej, mesti setuju dengan kenyataan ini. Bila bergaduh menerusi mesej, rasa marah tu tak boleh di kawal. Mesti akan keep on hantar mesej untuk serang balas. Memang tak akan habis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Siapa Tahu Anak Paling Aktif Dan Nakal Bakal Islamkan Dunia…”

Agak mencabar nak mendidik anak paling aktif dan nakal supaya berdisiplin, silap gaya mak ayah boleh lepas marah pada anak-anak secara tak sengaja. Marah pula pada si kakak atau abang, anak sulung yang dulunya ditatang bagai minyak yang penuh. Patut ke berlaku situasi macam ini?
Cuba renungkan cerita daripada Ebit Lew ini untuk betulkan keadaan…
Termarah Anak Yang Aktif Dan Nakal
Sepasang suami isteri jumpa saya menceritakan masalah mereka. Kata mereka kami ada 3 orang anak. Tapi yang sulung benar-benar menguji kesabaran kami.
Dia sentiasa buat kami rasa nak marah. Dia suka usik adik-adiknya. Dia buat macam-macam. Dan dia makin menjadi-jadi suka buat kami hilang sabar..atuk nenek yang tolong jaga mereka pun rasa begitu. Sekarang ni dia pandai berbohong pula ustaz..ya Allah..
Kami dah puas tegur, nasihat, marah dan kadang-kadang cubit dan geram juga. Kenapa macam tu yer ustaz. Kadang terpukul lepas tu sedih lak.. Sakit rasa..
Sebenarnya bukan abang sahaja hadapi begitu. Tapi ramai orang kadang-kadang diuji dengan anak pertama. Kadang yang kedua. Kadang yang ketiga.
Tuan puan orang baik. Allah sayang.. ingat lagi tak nikmat masa mula-mula dapat anak. Saya masih ingat satu-satu. Dari mula-mula tahu isteri hamil. Saya sujud syukur. Saya menangis. Tak sangka dah nak jadi ayah.
Satu hari sedang isteri saya jalan di Pasaraya dia kena masuk hospital kerana nak bersalin. Malam tu isteri saya menangis berdoa. Bila sakit makin kuat. Betapa sakitnya isteri saya. Kami pegang tangan dan sama-sama baca doa. Macam-macam zikir. Saya tak lepaskan tangan isteri saya. Saya telefon mak ayah dan mak ayah mertua dan adik beradik minta doa.
Bila dah nak keluar. Punyalah saya tak tahan tengok sakitnya. Dr kata kena cepat push nanti lemas. Ada nurse lama datang tolong tekan kat atas. Bila anak keluar. Baby senyap..rasa melihat wajah baby masa tu terasa satu perasaan macam nampak cahaya putih. Terasa gembira amat sangat dan datang rasa sayang yang amat mendalam..hanya Allah yang beri rasa dan nikmat itu..
Baby keluar senyap jer..isteri saya menangis. Doktor kata cepat panggil dr seorang lagi pakar kanak-kanak. Isteri saya menangis. Abang kenapa anak tak menangis..saya usap kepalanya dan kata Allah ada..
Saya pandang isteri saya menangis. Sehinggalah dengar tangisan baby. Bila isteri dapat peluk baby. Menjadi penawar segala sakit dan urat yang terputus.
Hari-hari melihat anak tadi membesar. Kita suami isteri amat mencintainya. Sehinggalah satu hari bila dia dapat adik. Dan tambah lagi adik.
Dia buat macam-macam kerana cuma ingin perhatian. Kita mak ayah kadang-kadang marah yang sulung depan adik-adik. Setiap kali tengah kita sibuk dengar anak menangis. Kita jerit “kakak…ya Allah..kakak jangan buat adik..abang mengalah jangan buat adik
Dengar barang jatuh semua kita salahkan abang atau yang besar…
Sebenarnya kita tak boleh marah abang atau kakak depan adik-adik. Tak boleh marah suami atau isteri depan anak-anak. Kita kena bercakap dengan mereka berdua. Kecuali kita ingin tegur semua. Nanti jika kita asyik marah yang kakak. Kakak jadi benci adik. Sebab adik saya kena marah. Adik pula terbiasa jadi mengada depan makayah. Setiap kali salah dia salahkan kakak atau abang dia..
Semua orang saudara mara pun selalu marah dia. Sehingga dia rasa macam anak tiri. Asyik kena marah. Kita pun terfikir, sebab kita marah dia jadi begini. Atau sebab mereka kita semakin marah. Tapi bila fikir semula mereka cuma anak-anak kain putih kitalah yang mencoraknya.
Kadang-kadang sedih tengok bila kita dapat anak yang lain tanpa niat dan sedar kita telah buat anak kita sedih dan menjauh hati. Saya pernah jumpa seorang anak 12 tahun minta saya doakan dia dapat belajar asrama penuh supaya mak ayah boleh jaga dan sayang adik-adik. Dia tak nak susahkan mak.
Hargailah setiap anak-anak kita. Sayangi mereka. Bantu mereka menjadi anak soleh dan solehah.
Siapa tahu anak paling aktif dan kuat kacau adik-adik esok bakal Islamkan dunia. Siapa tahu anak yang asyik buat kita nak marah esok bakal Daie besar. Tugas kita berusaha dan berdoa. Pasti benih iman dalam hati anak kita diberi oleh Allah. Bukan kita pilih siapa anak kita. Tapi Allah pilih mereka untuk kenal Allah. Kerana mereka bakal mengubah dunia dan meninggalkan sejarah dan dikenali di langit.
Beri masa untuk mereka. Anak kecil sehingga 7 tahun didik dan bimbing mereka sambil bergurau. Sayangi mereka..cium peluk mereka. Rumah ialah syurga kita di dunia ini. Syurga isteri kita. Syurga anak-anak kita..
Ini Kunci Mendidik Anak
Suami isteri kena sama-sama saling membantu. Jika isteri sibuk jaga baby. Kita suami tolong jaga kakak atau abang. Bila nampak mereka sedih atau jauh hati. Anak kena marah dengan ibu. Ayah terangkan pada anak. Mak sayang kau..ceritakan dari hari pertama kita mendapat mereka. Cerita saat manis mereka. Dan cakap sebab sayang mak tegur begini atau begini..
Kuncinya beri masa dengan sabar, sayang, dan doa. Hidupkan dalam rumah Majlis Talim. Al Quran dan Hadis Nabi saw. Anak kecil pun bawa sama. InsyaAllah rumah diliputi rahmat. Malaikat memenuhi rumah kita. Sakinah ketenangan, dan bahagia dalam hati kita suami isteri dan anak-anak.
Tiada anak dilahirkan jahat. Mereka kain putih, kita ibubapa yang mencorakkan mereka.
Anak yang aktif bakal jadi daie besar. Anak yang banyak menangis bakal manusia yang ada hati dan perasaan. Kita bila last gaduh dengan adik beradik. Inikan pula anak-anak kita. Sayangilah anak-anak.
Moga perkongsian ini bermanfaat buat pembaca dan anda mampu mendidik anak-anak dengan adil untuk jadi anak soleh dan solehah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami Anak Manja Mak, Isteri Pula Makan Hati

Masa PKP, inilah masa terbaik untuk anak-anak manja ibu dok berkepit dengan mak kesayangan. Kalau tak hanya hujung minggu dapat berjumpa. Itu pun kalau rumah dekat, kalau kerja di bandar, telefon sahaja penghubungnya.
Isteri? Diabaikan dan rimas dengan sifat mengada-ada suami bila ada mak kesayangan di sebelah. Ini ulasan oleh Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat apabila bercakap tentang suami anak manja mak.
Tanggungjawab Anak
Dilema berkahwin dengan suami yang begitu manja dengan ibu. Semasa bercinta, isteri sudah nampak sikapnya yang begitu mengambil berat tentang ibunya. Tetapi, tidaklah terlalu ketara. Anggapan sudah tentu itu tanggungjawab anak pada ibunya.
Namun, selepas berkahwin barulah tahu suaminya itu terlalu manja, hinggakan tiap kali balik ke rumah, mesti suaminya berada di bawah ketiak ibunya. Kadang-kadang, isteri seperti diabaikan dan tidak sedar tentang kehadirannya. Bagaimanakah cara untuk isteri menghadapi situasi ini?
Keadaan suami masih tidak boleh melepaskan dirinya dari bergantung dengan ibu sendiri boleh dikategorikan sebagai mempunyai sindrom Seperation Anxiety Disorder iaitu sindrom anak kecil yang tidak boleh dipisahkan atau takut dipisahkan disebabkan apa yang dia ada dan selesa memilikinya. Keadaan begini akan dilihat juga sebagai Oedipus complex dari segi Theory Sigmund Freud di mana anak itu ingin mengambil tempat bapanya terhadap ibunya sendiri. Kesilapan anak manja ini juga ada kalanya bukanlah salah dirinya sendiri tetapi salah ibu nya juga yang kelihatan tidak mahu melepaskan anaknya untuk diuruskan oleh orang lain, iaitu isterinya.
Kenali Suami Anak Manja Melalui Sikap:
- Setiap perbualan dan keputusan memerlukan tindakan atau penglibatan ibu dan semua keputusan adalah keputusan ibu.
- Setiap masa yang terluang dia akan pulang ke pangkuan ibunya.
- Suami akan mengadu hal apa yang berlaku kepada ibu walaupun ianya hanya perkara kecil.
- Suami akan sering buat perbandingan isteri dengan ibunya dan ibunya adalah yang terbaik baginya dalam apa saja perkara.
- Setiap kali memuji kehebatan ibunya daripada layanan sehinggalah ke masakan dan penjagaan.
- Sering kali mencari ibu nya di dalam semua perkara.
- Menghabiskan masa yang agak lama dengan ibunya.
- Setiap kali gaji dan perbelanjaan rumah akan ditadbirkan oleh ibunya sendiri
Nasihat Terbaik Untuk Suami Dan Isteri
BUAT SUAMI:
- Setiap keputusan, hendaklah berbincang dengan isteri dan bukan dengan ibu. Berenggang dengan ibu bukan bererti berpisah. Ianya bererti menjalankan hidup berkeluarga sendiri. Cara begini si suami dapat menjaga perasaan isteri dan mentadbir keluarganya.
- Si suami perlu juga menjaga perasaan ibu mereka dengan mengatakan bahawa sesuatu keputusan itu adalah keputusan keluarga dan bukan keputusan dirinya sendiri.
- Elakkan daripada melibatkan ibunya dalam kebanyakkan perancangan dan percaturan hidup. Ianya adalah sekadar memberitahu ibunya sahaja.
BUAT ISTERI:
- Perlu banyak bersabar dan hendaklah sering berkomunikasi. Walaupun ianya menyakitkan hati, isteri hendaklah mendorong dan mengingatkan suami bahawa dia telah berkeluarga dan dah tiba masanya untuk suami membuat keputusan sendiri bersama keluarga.
- Jika boleh, si isteri hendaklah menjadi rakan baik ibu mentuanya dan berkongsi perasaannya terhadap suami. Nasihat yang akan diberi kepada isteri adalah nasihat yang sama yang akan di beri pada suami oleh ibunya.
- Isteri tidak boleh memisahkan perasaan anak terhadap ibunya tetapi boleh menggunakan ibu mentuanya sebagai perantaraan.
Cara begini adalah lebih senang dari memusuhi ibu mentua. Isteri pula setiap masa tidak boleh memburuk buruk kan ibu mertuanya di depan suami kerana suami akan bertindak membenci isteri sekiranya ia berlaku. Isteri perlu menggunakan teknik conditioning and dissociate
Kesimpulan:
- Seorang suami, perlu mendahulukan isteri dan berbincang untuk keputusan dan persetujuan isteri.
- Suami tidak boleh membandingkan ibu dengan isterinya sendiri dalam apa jua keadaan termasuk masakan dan layanan.
- Suami harus tahu membezakan antara isteri dan ibu dan kurangkan mengadu hal isteri kepada ibunya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami Meninggal Dunia, Isteri Nak Tuntut KWSP Sebagai Harta Pencarian, Ini Fakta Peguam Syariah

Apabila suami meninggal dunia, isteri bercadang hendak menuntut wang KWSP sebagai harta sepencarian. Seperti yang kita ketahui selepas kematian suami, semua harta yang dimiliki atas nama suami tersebut adalah dikira sebagai harta pusaka.
Bahagian faraid bagi seorang isteri adalah 1/8 sahaja sekiranya suami mempunyai anak. Bahagian tersebut sangat kecil bagi seorang ibu yang akan membesarkan anak-anak kecil yang ditinggalkan simati atau arwah suami. Jika arwah suami tinggalkan banyak jutaan Ringgit Malaysia, mungkin tak lah terasa sangat dengan nilai 1/8 tersebut.
Suami Meninggal Dunia, Isteri Nak Tuntut KWSP Sebagai Harta Pencarian

Kalau duit simpanan pun tak banyak, yang ada hanyalah KWSP arwah suami sahaja, maka itu sahajalah duit ‘survival’ selepas kematian yang isteri tersebut akan terima dengan bahagian kecil 1/8.
Berikut perkongsian daripada Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor, Fahmi Ramli
Pernah ada seorang wanita bertanya, “Tuan Fahmi, kalau lah suami saya mati, bahagian Faraid saya kecil, boleh ke kalau saya tuntut KWSP tu sebagai harta sepencarian untuk dapat lebih?”
Boleh ke?
Ini Fakta Peguam Syariah
✅ Adakah KWSP dikategorikan sebagai harta sepencarian?
Ada yang ingat KWSP itu harta sepencarian dengan menganggap hasil pendapatan suami terdapat sumbangan tidak langsung isteri yang menjaga hal ehwal anak dan rumahtangga.
Namun, ini salah. Ia kerana KWSP telah diputuskan oleh keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000:
👉🏻 Wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut Hukum Faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP, maka wang itu adalah milik si mati.

✅ Kalau tak tuntut Harta Sepencarian, boleh ke isteri sebagai Penama menerima semua?
Penama bukanlah penerima Hibah atau pemilik penuh selepas kematian seseorang. Penama yang dinamakan di dalam KWSP pencarum itu hanyalah sebagai Pentadbir Harta atau pemegang amanah simati sahaja.
Ini bertujuan untuk memudahkan urusan waris menerima wang KWSP simati dengan mudah dan cepat sahaja. Sebabnya, untuk mendapatkan perintah Pusaka itu bukanlah satu urusan yang boleh selesai dalam tempoh satu hari, satu minggu atau satu bulan.
✅ Apa tugas Penama KWSP?
Menurut keputusan Muzakarah tersebut, Penama KWSP hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut Faraid.
Ini bermakna, bagi sesiapa yang telah dinamakan sebagai Penama KWSP, ia perlu memegang amanah untuk bahagikan duit peninggalan simati tersebut mengikut bahagian faraid. Bukan miliknya seorang sahaja.
✅ Bolehkah dibuat Hibah duit KWSP?
Pada pandangan saya, KWSP ini tidak boleh dibuat Hibah kerana ia belum dikira milikan penuh sehingga mencapai tempoh matang untuk seseorang pekerja itu menerima.
Namun, sekiranya ia berada dalam milikan penuh, contohnya dikeluarkan duit sewaktu PKP, maka ketika itu jika nak dihibahkan kepada sesiapa pun itu hak anda. Namun, untuk membuat Hibah Bersyarat sekiranya kematian pencarum akan diterima oleh penerima hibah adalah tidak boleh.
Ini sama sekali akan bertentangan dengan keputusan Muzakarah tersebut. Bahkan, ada kes diputuskan Re Ismail Bin Rentah (simati) [1939] FMSLR, Hakim memutuskan:
“Penama di dalam kes tersebut tidak boleh dianggap sebagai penerima Hibah oleh sebab tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya ia dianggap Hibah semasa Mard al-mawt (sakit yang hampir kematian) yang tertakluk kepada Undang-undang Wasiat. Oleh sebab itu, ikut Undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.”

Kesimpulannya:
Sekiranya seorang isteri hendak bahagian lebih daripada tinggalan KWSP suami, ia tak boleh dituntut melalui Harta Sepencarian. Tak sama macam bahagian harta lain seperti rumah misalnya.
Sekiranya isteri menerima sebagai Penama selepas kematian suami, WAJIB bagi isteri tersebut membahagikan bahagian sebagaimana bahagian faraid. Memang sikitlah bahagian isteri jika ada ramai anak dari simati dan juga ramai isteri. Inilah cabaran yang akan diterima oleh isteri untuk ‘survive’ selepas kematian mengejut suami.
Kalau suami meninggalkan banyak duit KWSP beratus-ratus ribu, ada la juga bahagian ribu-ribunya. Kalau ada hanya sekitar RM10,000 sahaja sewaktu kematian tersebut, bank simpanan pun sedang ‘stuck’ sebelum ada perintah pusaka, berapa agaknya tempoh untuk isteri tersebut bertahan jika dia pun bergantung penuh pada suaminya semasa hidup?
Oleh itu para suami digalakkan untuk membuat hibah kepada isteri untuk ‘survive’ membesarkan anak-anak. Jangan ada rasa ‘biarlah mereka urus sendiri’ sedang kita menagih doa mereka sewaktu di alam sana.
Sumber: Fahmi Ramli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

