Lagi beberapa hari keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan. Sebelum ini, anak-anak yang menduduki peperiksaan SPRA pun sudah diketahui permarkahan mereka.
Ada anak-anak yang cemerlang keputusan peperiksaannya, ada anak sebaliknya yang dapat. Masing-masing bergantung pada rezeki mereka.
Dalam pada menerima keputusan anak-anak, mak ayahlah yang sebenarnya kena kawal emosi. Jangan keterlaluan sampai, buat anak yang tak mencapai jangkaan mak ayah rasa bersalah.
Ini pengalaman peribadi, Cikgu Ezatul Marini yang pernah berasa sedih dengan keputusan peperiksaan anaknya. Dan pengalaman itu akhirnya mematangkan diri.
Saya Minta Anak Sulung Cerdas Dalam Pelajaran, Tapi..
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik.” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Ads
Kecewa Sampai Tak Mampu Pandang Wajah Anak
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya? ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya? iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Ads
Teralpa Dengan Qada Dan Qadar Tuhan
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
Ads
5 Tip Ini Bantu Mak Ayah Lebih Bertenang Terima Keputusan Peperiksaan Anak
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah.
ii. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
v. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doakan mereka.
Selamat melalui debaran yang sama pernah kami lalui tapi lalui detik itu dengan lebih tenang dan bersedia.
Bila dah ada anak, segalanya untuk dia dan mak-mak sanggup lakukan apa saja. Selalunya masa ada anak kecil, mesti mak-mak struggle dalam menjaga anak.
Kalau jenis anak kecil yang ‘melekat’ dengan mak, mahunya stres sebab nak buat keje pun tak boleh. Asyik nak berdukung, berkepit 24 jam. Kadang-kadang, terlelap sekejap pun, mak-mak dah bersyukur sangat. Ini belum lagi dengan kerja-kerja rumah.
Rata-rata mak mesti akan lalu zaman huru hara sebegini. Tipulah kalau ada mak-mak yang mampu bersenang lenang masa anak kecil. Kecualilah ada pembantu yang menguruskan anak-anak.
Apa pun, setiap mak-mak akan lalui fasa huru hara ini semasa anak kecil. Jangan ingat, kita saja lalui struggle dalam diidk anak. Semua mak-mak pasti sama dan ini adalah normal yang perlu dilalui oleh mak-mak. Percayalah.
“Aku huru-hara weh nak buat dengan anak-anak. Sudahnya bukan mereka terlelap, makin terang biji mata. Geram aku!”
Itu luahan dari kawan saya. Dan saya hanya mampu tersenyum.
Kita Sama!
Sebab saya pun melalui fasa huru-hara tu juga.
Time kita nak doakan tulah diorang berebut sampai jatuh katil. Terus menangis menjerit bagai nak gila. Belum lagi bergaduh mulut sampai akhirnya jadi bertumbuk. Memang hangin satu badan.
Benda ni makan masa tau. Bukan sebulan dua tentunya. It takes time. So, kita slow-slow kayuh je. Tak perlu nak rigid sangat.
Time mood kita okey, mood anak-anak okey, kita doakan betul-betul, sungguh-sungguh.
Time mood kita atau mood anak-anak tak okey, buat seminit pun jadilah.
.
Kalau dah nama ada anak kecik, kau nak dapat hidup senang-lenang, tidur nyenyak, hari-hari aman je, memang tak dapatlah!
Hakikatnya, semua orang melalui fasa huru-hara tu siap pakej burn out lagi. Itu normal!
Bukan tandanya kita ni mak yang teruk. Sikit-sikit nak marah, sikit-sikit nak jerit, sikit-sikit burn out.
Kita Mak-mak Yang Normal
Bukan!
Kita mak yang normal yang ada semua perasaan yang kadang-kadang kita sendiri tak mampu nak kawal.
Sebab tu, bila letih, kita kena rehat sekejap. Bila rasa tak sempat, buat ajelah mana yang boleh. Jangan paksa diri sampai anak-anak pun rasa terpaksa nak ikut cakap kita.
.
Orang lain yang kita nampak hidup dia smooth je tu, diorang pun struggle setiap hari. Struggle untuk kawal emosi sendiri. Struggle untuk buat itu ini dan Struggle untuk jadi lebih baik dari semalam.
Kita semua ada struggle masing-masing. Sebab kita ni bukan membesarkan anak-anak tapi kita sedang mendidik diorang.
Membesarkan ni senang. Bagi cukup makan, besarlah diorang nanti.
Tapi mendidik ni, kerja sepanjang hayat.
Perjalanan kita jauh lagi. Kalau penat, jalan perlahan-lahan, rehat sekejap, nanti sambung lagi.
Memang itulah prosesnya sampai kita mati. Itulah yang semua orang pun lalui.
Mingguan Wanita : Setiap mak-mak akan lalui semua ini. Pengalaman yang cukup bermakna demi membesar dan mendidik anak-anak.
Fitrah bayi ibarat sehelai kain putih. Bersih suci dari noda. Lahirnya ke dunia, dia dicorakkan ibu bapanya. Jiwa lembut, kental mahupun terjal dibentuk dari didikan dan persekitaran hidupnya.
Mak ayah juga perlu ada ilmu keibu bapaan, agar dapat mencorak kain putih ini dengan landasan yang tepat. Apabila kebiasaan yang silap pun mak ayah tak dapat hendak membezakan bimbang akan terlahirnya satu generasi pemarah yang sukar mengawal diri ketika dilanda tekanan.
Catatan Puan Fariza Nurbaya Muhammad, 52 tahun, Guru Cemerlang SMK Tengku Ibrahim Setiu, Terengganu ini ada benarnya. Moga menjadi ikhtibar dan panduan buat ibu bapa yang lain. Agar kita berusaha melahirkan generasi yang penyabar dan saling kasih mengasihi.
1. Kenapa Seorang Anak Boleh Memukul Ibunya?
Sebab semasa anaknya masih kecil, ibu hanya ketawa dan gelak-gelak sahaja apabila anak memukul-mukulnya dan tidak memberitahu anaknya bahawa perbuatan tersebut adalah salah.
2. Kenapa Anak Remaja Sekarang Begitu Gemar Mencarut?
Dan menggunakan kata-kata kasar seperti babi, bodoh, bangang dan lain-lain.
Sebab sewaktu kecil ibu dan bapanya hanya gelak-gelak dan ketawa sahaja semasa anak yang masih kecil itu menyebut perkataan-perkataan tersebut, malah tidak menegur kesalahan anaknya.
Kata ibu bapanya, lucu dan pandai anakku!
3. Kenapa Anak-anak Remaja Berani Keluar Pada Waktu Malam?
Sebab dari kecil lagi ibu bapa tidak menghalang anak-anak mereka keluar dan tidak menetapkan peraturan bahawa anak-anak wajib berada di rumah pada waktu malam.
Apabila segalanya sudah menjadi kebiasaan kepada anak-anak, maka sudah tentu sukar bagi ibu bapa untuk membetulkan kesilapan tersebut.
Kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
8 Pesanan Guru Tua Ini
Untuk anak-anak muridku yang telah bergelar ibu atau bapa, ingat pesan guru tua ini.
1. Bercakaplah dengan bahasa yang baik dan sopan dengan anak-anak. Tegur dan berikan hukuman semerta jika anak-anak mengeluarkan kata-kata kesat.
2. Jangan benarkan anak-anak kecil bermain hp. Berikan buku atau permainan yang sesuai dengan umur anak-anak.
3. Jangan dibiarkan televisyen terpasang 24 jam di rumah anda. Hadkan masa menonton, contohnya pada waktu petang sahaja. Malam ialah masa untuk anak-anak mengulang kaji dan bermesra dengan ahli keluarga. Jika anak-anak tidak dibenarkan menonton televisyen, ibu bapa juga hendaklah mengorbankan keinginan sendiri untuk tidak menonton tv juga.
4. Jangan benarkan anak-anak menunggang motosikal apatah lagi memberikan motosikal kepada anak-anak. Biarlah kita yang menghantar dan mengambil mereka jika mereka mahu ke mana-mana. Susah sikit tak apa. Alah bisa tegal biasa.
5. Tiada hp adalah lebih baik. Benarkan anak-anak memiliki hp apabila anak-anak sudah bijak, matang dan dapat memanfaatkan penggunaan hp dengan baik.
6. Solat berjamaah dengan anak-anak terutama pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak sama ada di rumah atau masjid.
7. Waktu antara Maghrib dan Isyak sangat sesuai untuk membimbing anak-anak mengaji al-Quran.
8. Ambil tahu perkembangan pendidikan anak-anak. Semak buku-buku latihan dan kerja rumah anak-anak.
Catatan ini, Ashikin Hashim yang merupakan Pengetua di Genius Aulad Saujana Utama kongsikan selepas terkesan dengan pemergian pasangan suami isteri, Muhammad Hamadi Zakaria, 31 dan Nur Syahadah Zaini, 31 dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Persekutuan.
Inilah ujian hati yang perlu dihadapi oleh setiap insan dengan penuh ketabahan. Dan bayangkan jika hari ini menjadi hari terakhir untuk isteri gosok baju suaminya..
Kematian Itu Pasti : Baju Suamiku Yang Terakhir Aku Gosok
Mak-mak…
Allah berfirman di dalam surah Al Baqarah ayat 156
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Inilah ucapan istirja yang paling banyak saya dengar dan baca hari ini kerana perginya menghadap Allah, 2 orang insan yang dipanggil ibu dan ayah oleh anaknya yang bernama Hana Safiyyah iaitu pelajar Genius Aulad Seksyen 23 Shah Alam.
Peristiwa ini berlaku seolah-oleh ulangan kejadian yang menimpa sahabat kepada anakanda saya iaitu Daris yang juga kehilangan ibu dan ayah (termasuk adik bongsunya) di dalam satu kemalangan jalan raya sama seperti ibu ayah Hana Safiyyah.
Ucapan ini diucapkan apabila kita mendengar khabar dukacita (bukan hanya tentang kematian).
Hebatnya ayat Allah ini. Ayat yang mengingatkan kita, bukan hanya sekadar lafaz bila dengar khabar kematian. Kita yang hidup ini yang sebenarnya diperingatkan oleh Allah SWT.
Kita Kepunyaan Allah..
Mak-mak…
Ucapan ini adalah ucapan untuk kita juga sebenarnya.
Kita kepunyaan Allah.
Suami kepunyaan Allah.
Anak-anak kepunyaan Allah.
Ibu ayah kepunyaan Allah.
Tiada pun milik kita. Allahu akbar
Tiada yang milik kita. Allahu akbar
Semua yang kita ada hatta suami yang paling kita cinta dan damba setiap waktu pun kita tak mampu nak pegang hati dia.
Walau kita tembok dia sekukuh tembok besar China sekalipun takkan dapat kita menahan dan memegang hatinya.
Semua yang kita ada hatta anak-anak yang kita sayang dan jaga bagai menatang minyak yang penuh. Tak bagi walau seekor nyamuk gigit anak kita pun tak mampu kita ikat dan paksa dia dengar cakap kita.
Hati Mereka Allah Yang Pegang
Kita hanya mampu merayu, sembah sujud dan mohon kepada Allah untuk minta kepada Allah.
Maka apa yang kita bangga sekarang: suami romantik, anak bijak, rumah besar, kereta mewah, pekerjaan hebat.. Itu semua ihsan Allah. Itu semua hibah dari Allah.
Satu hari nanti kita bakal menghuni barzakh. Lebih lama dari kita huni dunia mungkin.
Allahu akbar
Bila-bila masa Allah boleh ambil nyawa kita.
Tapi kita selalu alpa.
Kita leka dengan dunia.
Bangun tidur ingat dunia.
Solat kita susahnya nak khusyuk
Doa tak sungguh-sungguh.
Kita tak jadikan akhirat dan jumpa Allah itu matlamat kita
Ini semua saya.. Saya cakap pada diri saya sendiri.
Mak-mak…
Ramai yang risau kalau aku mati siapa nak jaga anak-anak aku.
Kalau aku dengan suami aku mati serentak macamana rumah, kereta, duit, anak-anak.
Kalau aku yang pergi dulu, suami aku kahwin lagi ke.
Allahu akbar… Itulah fikiran kita. Betul tak mak-mak.
Saya pujuk diri.
Janganlah risau… Allah ada.
Allah sebaik-baik PERENCANA.
Allah sebaik-baik PERANCANG.
Dari kita mati sampai ke siapa yang menjaga apa yang kita tinggalkan semua Allah dah susun atur cantik.
Semoga Allah bagi senafas lagi buat kita untuk terus berbakti kepada keluarga.
Mungkin hari ini hari terakhir kita gosok baju suami kita.
MW : Sungguh.. beratnya sebuah kehilangan. Semoga ingatan ini memberi sedikit kekuatan untuk kita bertahan dan bangkit dari kesedihan.
Ibu kepada Allahyarham Mohd Fuad Fahmie berkongsi kesedihan apabila arwah yang maut ditembak di Sungai Golok tidak sempat menimang cahaya mata sulung yang dijangka lahir pada hari kelahirannya.