Selain mendidik anak-anak melakukan kerja-kerja rumah, ada baiknya mak ayah juga biasakan bawa mereka ke pasar beli barang basah. Ini kerana di situ macam-macam pengetahuan asas yang boleh dipelajari antaranya boleh kenal pelbagai jenis sayur-sayuran, ikan dan sebagainya.
Mungkin sesetengah mak ayah anggap ia perkara remeh dan rasa anak masih kecil nanti pandailah mereka ‘kenal’ sendiri. Hakikatnya bila dah terbiasa, anak tak lagi kekok dan ia menjadi ilmu yang sangat berguna sebagai bekalan bila mereka dewasa dan menempuhi kehidupan berkeluarga nanti.
Tengah aku beli surat khabar tadi tiba-tiba bini telefon ‘Darling tolong belikan cabai hidup..’
Cabai hidup? Ah, mencabar jugak ni. Cabai tu aku tau la cili/lada. Cabai hidup ni spesis mana pulak?
Aku pun pergilah ke pasar basah lepas tu aku cari kedai yang tak berapa ramai orang. Malu bhai pergi kedai ramai orang, sat gi aku tanya ‘Bang, yang mana ya cabai hidup?’ mesti tiba-tiba masa akan jadi jeda dan masyarakat sekeliling akan memandang ke arah ko sambil berbisik-bisik sesama mereka ‘dia ni cabai hidup pun tak kenai’
Aku aim satu kedai ni sorang pak cik yang jaga dan tak tak berapa ramai sangat orang time tu. Ada sorang budak, mungkin anak dia kot kat depan kedai dia ni.
Aku pun tanya acik yang jaga kedai tu ‘Acik, cabai hidup yang mana ya?’. Seperti yang dijangka, aku tengok pak cik tu senyum je. Dia kata kat budak tadi ‘Mat, hang tunjuk abang ni cabai hidup yang mana..’
‘Bang yang depan abang merah tulah cabai hidup, yang sebelah dia cabai melaka, yang tu cabai kering. Yang dalam botol tu lada hitam..’ Fuh detail budak tu bagi kat aku. Pak cik tadi senyum je aku tengok.
Ads
Aku rasa benda basic ni walaupun nampak macam biasa tapi pada aku ia adalah ilmu parenting yang sangat bagus untuk diterapkan kepada anak-anak kita sekarang. Tak kiralah anak lelaki ke, anak perempuan ke.
Gambar Hiasan
Biasakan Anak Ke Pasar
Yang ada anak jom kita biasakan anak-anak kita bila ke pasar, kenalkan dengan sayur, buah, ulam-ulam, jenis-jenis ikan dan kalau kita balik kampung, mungkin kita boleh buat task pada dorang untuk mengenal pokok-pokok yang ada di sekeliling rumah kita.
Yelah takkan nanti bila dorang dah besar, bila isteri suruh beli halia nak buat nasi lemak. Takkan kita nak google halia tu macamana kan? Malu beb, malu.
Sebab tu mak-mak kita dulu-dulu, setiap hari suruh kita bangun awal, suruh kemas bilik, basuh basikal sendiri, beli barang kat kedai, sapu sampah, sidai baju, lipat baju. Anak lelaki ke perempuan ke dulu mak kita paksa je buat.
Aku dulu fikir kenapalah mak-mak ni paksa buat kerja, dah la tak bagi upah. Baru landing nak tengok Dragon Ball, tiba-tiba mak panggil suruh beli kunyit kat kedai, ah, rasa nak telepon je teledera time tu. Hehe.
Ads
Ilmu Parenting Kehidupan Berkeluarga
Tapi itulah 10-20 tahun ke depan bila dah dewasa, dah matang, baru aku perasan yang apa yang mak aku suruh buat tu adalah ilmu parenting yang sangat berguna buat anaknya menghadapi kehidupan berkeluarga. Betul tak?
Dalam diam tak diam, mak-mak kita sebenarnya dah macam ahli nujum yang mampu untuk dedahkan kepada kita apa yang akan bakal kita lalui untuk jadi yang terbaik sebagai suami dan sebagai isteri.
Ilmu parenting ni yang kurang kita buat kat anak kita, sekarang ni kan? Parent sekarang tak berapa nak harap anak buat kerja sendiri. Berdikari. Semua kita tolong mereka buat sampaikan kerja sekolah pun kadang-kadang ada parent tolong buatkan.
Dalam masa yang sama, ajarlah juga anak-anak tentang slanga atau dialek daerah suami atau isteri sebagai meraikan silang budaya antara keluarga. Walaupun pada awalnya mungkin anak-anak keliru tapi akhirnya benda tu akan jadi normal pada mereka.
Aku belajar sesuatu hari ini tentang ilmu parenting. Walaupun ianya datang dari pasar basah. Ini yang orang kata ilmu terbaik kadang datangnya daripada jalanan.
Ads
Ilmu Parenting Terbaik Daripada Mak
Dalam kita sedar tak sedar ilmu parenting terbaik adalah daripada mak-mak kita sebenarnya, walaupun dorang takde pun belajar tinggi tapi ilmu pengurusan keluarga mereka, kalau nak diiktiraf dengan sijil, aku rasa PHD pun takkan sama dengan air tangan ibu kita dalam membesarkan kita.
Sambil-sambil kita ajar anak buat kerja rumah kita ingatkanlah anak-anak kita apa yang kita suruh dorang buat ataupun tegur, semuanya ada sebabnya. Walaupun dorang mungkin akan mengeluh, nanti bila dorang dah besar dan bekerluarga, macam aku, dorang mesti akan tiba-tiba teringat momen tu sambil terfikir ‘betul jugak apa mak aku cakap dulu..’.
Percayalah.
Dapat tak sikit ilmu parenting hari ni mak-mak dan ayah-ayah?
p/s: Sharelah kalau ada manfaat buat kita sekeluarga(terutamanya suami).
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya, mak ayah kena ajar, biasakan anak-anak tak kiralah anak lelaki atau perempuan buat kerja rumah, pergi pasar dan sebagainya sejak dari kecil. Ia sebagai didikan awal, panduan berguna serta persediaan buat mereka apabila dewasa dan mengalami kehidupan keluarga nanti.
Guna duit raya anak. Rata-rata mak ayah merasakan hari raya adalah masa untuk ‘kutip’ duit dengan ahli keluarga dan sanak saudara. Untungynya kalau ramai saudara mahunya banyak anak-anak dapat duit raya.
Banyak atau sedikit duit raya yang anak dapat, mak ayah jangan sesekali guna atau pakai duit itu demi kepentingan sendiri. Kononnya duit raya anak ini sebagai ganti apa yang mak ayah beli pada anak.
Jangan makan hak anak. Hukumnya haram bila mak ayah buat begitu. Dengar betul-betul apa yang kongsikan oleh Ahmad Naufal dan video dari Ustaz Azhar Idrus ini.
Hukumnya adalah HARAM, jika kita suka-suka menggunakan duit raya anak-anak tanpa sebab yang munasabah. Jika keadaan terlalu mendesak, kita boleh meminjam namun adalah wajib dibayar balik.
Sebaik saja mereka mendapat duit raya, kita sebagai ibu bapa perlulah amanah untuk menguruskan wang tersebut.
Tak baik kita sebagai ibu bapa ‘makan’ duit yang orang telah berikan kepada anak-anak kita. Jangan makan hak anak.
Kalau terlalu terdesak, kita gantikan semula. Jangan buat-buat lupa ya, bimbang di akhirat kelak kita akan ditanya kenapa tidak amanah dan adil dgn anak2.
Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga pernah menjawab isu yang sama dalam ceramahnya.
“Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri.
Namun boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar.
Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.
Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Walau bagaimanapun ia perlu dibayar segera.” katanya.
JADILAH IBU BAPA YANG AMANAH..
Bagi anak-anak yang masih kecil, mereka masih belum pandai menguruskan duit raya yang mereka dapat. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menguruskan duit raya anak-anak mereka dengan baik.
Perlu diingatkan bahawa duit raya anak adalah kepunyaan anak kita dan ibu bapa hanyalah sebagai pemegang amanah untuk menjaga duit raya sehinggalah mereka pandai untuk menguruskan duit mereka sendiri.
CARA MENGURUSKAN DUIT RAYA ANAK YANG BETUL
• MULA-MULA ASINGKAN DULU.
Pastikan duit raya untuk setiap anak anda diasingkan setiap seorang, untuk mengelakkan kekeliruan.
• SEDIAKAN TABUNG KHAS.
Didik anak dari kecil untuk menyimpan dan sayangkan duit. Elakkan pembaziran dan jangan ajar anak pegang duit sendiri sebelum umurnya matang.
• SIMPAN DUIT RAYA DALAM BANK
Buat akaun tabungan untuk anak-anak. Buka banyak akaun dari mana-mana bank pun tak apa. Selain dari duit raya, ibu bapa juga perlu disiplinkan diri untuk menyimpan sedikit duit utk anak utk simpanan untuk mereka meneruskan pembelajaran.
Moga bermanfaat!
Mingguan Wanita : Ada mak ayah anggap ini perkara remeh dan tidak boleh guna pakai. Faham betul-betul, itulah hak anak.
Bila anak makin membesar dan mula nak masuk alam persekolahan, perkara paling dirisaukan adalah minat belajar. Takutnya, awal-awal bersemangat tapi lepas itu mulalah ada alasan untuk tak nak belajar.
Bukan hanya tekankan pembelajaran dalam bidang akademik semata-mata. Ilmu-ilmu agama pun perlu diterapkan dan inilah yang paling penting. Senang cerita, kena seimbangkan ilmu dunia dan ilmu akhirat.
Minat belajar dengan malas belajar, dua perkara yang berbeza. Jangan ingan anak malas belajar sebab itu dia tak pandai sampaikan dia rasa bosan timbul dalam diri.
Berlainan dengan lambat pandai tapi anak ada minat belajar. Biarlah ia merangkak-rangkak sekalipun, asalkan ada keinginan. Tak perlu mak ayah bimbang, sebaliknya bantulah dia.
Inilah yang dikatakan oleh Mohd Yazid Ismail dalam perkongsiannya. Tak perlu nak marah atau beri hukumn kalau anak lambat pandai asalkan dia ada minat belajar.
Jangan terlalu risau kalau ada anak yang lambat pandai. Slow. Blur. Kurang pickup. Bantu dia untuk ada minat belajar je dulu. Slow tak apa. Jangan stres.
Saya dulu masa darjah 4 masih belum pandai baca Al-Quran. Huruf ظ ط ض masih tertukar. Banyak sangat main tak fokus mengaji. Padahal anak tok imam.
Turning point saya berubah jadi minat nak belajar bila dalam kelas di sekolah ada seorang ustaz suruh saya baca perkataan-perkataan arab di papan tulis tapi saya tak boleh baca. Malu sangat. Masa tu pertengahan tahun darjah 4.
Nasib baik ada kawan sekelas tolong bacakan, saya ikut bacaan dia.
Selepas balik dari dari sekolah hari tu terus bertekad akan belajar betul-betul. Adik saya Siti Sarah Ismail yang darjah 3 tolong ajar saya baca Al-Quran. Ayah mengajar juga tapi ayah lumpuh separuh badan sebab strok jadi tak mampu mengajar dengan sempurna. Tak malu walaupun belajar dengan adik. Sepatutnya abang ajar adik. Kena marah dengan adik no hal lah. Dah bertekad nak pandai mengaji.
Bila fokus dan istiqamah, Allah bagi terang hati alhamdulillah. Ketika darjah 5 saya terpilih untuk jadi wakil sekolah dalam pertandingan hafazan Al-Quran. Alhamdulillah UPSR dapat straight A.
Moral of the story, lambat tak apa yang penting pastikan anak-anak ada minat belajar. Biasanya slow dan tak pickup tu sebab tak minat belajar. Kalau dah minat semua jadi senang insyaa Allah. Setiap orang ada timeline masing-masing.
Sekarang saya mengajar anak-anak istiqamah tak perlu nak laju sangat. Stres kalau terkejar-kejar boleh menyebabkan burnout terus hilang minat belajar.
Mingguan Wanita : Betul sangat, jangan dipaksa. Lagi dipaksa, lagilah dia ‘liat’ nak buat. Biarlah perlahan-lahan, asalkan dia belajar.
Ramai mak ayah yang terlepas pandang dengan penggunaan gajet dan televisyen pada anak-anak. Tidak kurang juga ramai yang menjadikan dua benda ini sebagai ‘babysitter’ buat anak, ‘umpan’ agar dapat melekakan mereka dan ‘tidak menggangu’ kerja-kerja yang mak ayah sedang lakukan.Tindakan ini amat tidak wajar sama sekali. Pendedahan pada gajet dan televisyen tanpa kawalan, mampu beri kesan buruk pada perkembangan anak-anak terutamanya yang masih dibawah umur 2 tahun.
Pendedahan ini dikongsikan oleh Fac The Kids House sebagai rujukan mak ayah.
#GAJET PENAWAR ATAU RACUN BAGI ANAK?
Kalau anak anda mengamuk, tantrum dan berlari-lari tak dengar cakap, apa yang anda buat? Umpan dengan gajet betul?
Berapa ramai ibu bapa di sini yang didik anak mereka dengan upin ipin, didi and friends, boboboy dan lain-lain seawal usia 5 bulan keatas? Angkat tangan.
Antara Kesan Negatif
Kajian menunjukkan anak-anak di bawah umur 2 tahun yang di biarkan menonton rancangan di TV akan mengalami efek negatif yang lama pada perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek. Kesan menonton TV pada 2 tahun pertama juga akan mengganggu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa.
Kajian di Malaysia yang ada dilaporkan dalam sebuah mesyuarat ECCE Council baru-baru ini menyatakan bahawa 10 tahun dahulu, kadar masa fokus bagi pelajar di dalam kelas adalah 13 minit. Hari ini, kadar masa fokus telahpun jatuh pada hanya 4 saat.
Ramai guru yang mengadu tentang permasalahan mengawal anak murid dalam kelas, dan inilah antara puncanya; terlalu banyak didedahkan dengan pelbagai jenis gajet, tanpa pengawalan yang serius.
Rajah di bawah (lihat pada gambar)menunjukkan perbezaan antara otak yang normal dan otak yang mengalami rangsangan gajet yang berlebihan tetapi rangsangan stimulasi sensori yang berkurangan.
Kurang Stimulasi Sensori
Buat pengetahuan semua, 3 tahun pertama pertumbuhan otak adalah sangat penting kerana saiz otak adalah dua pertiga saiz otak dewasa. Jika anak-anak mengalami masalah kurangnya stimulasi sensori seperti yang dilihat dalam rajah (ruang-ruang kosong), maka sangatlah rugi besar bila mana sel-sel otak tersebut mati begitu sahaja.
Sebelum anda salah faham, permasalahan ini bukanlah pada apa yang anak-anak lakukan sewaktu menonton televisyen atau sewaktu bermain gajet, tetapi apa yang mereka TIDAK LAKUKAN sewaktu dalam proses tersebut, yang mungkin berjam-jam lamanya (jika tidak dikawal dengan baik).
Anak Perlu Interaksi
Perkembangan anak-anak adalah berlandaskan pada bagaimana aktifnya mereka berinteraksi dengan ibubapa atau penjaga dan juga sebanyak mana mereka melihat interaksi ini berlaku. Menonton televisyen atau bermain gajet hanya melibatkan efek 2D yang bukan realiti.
Kajian ada melaporkan, kebiasaannya, ibubapa akan bercakap dalam 940 patah perkataan per jam apabila anak-anak ada bersama mereka. Itupun jika ibubapa tersebut prihatin dan rajin bersembang. Apabila TV di pasang, bilangan patah perkataan ini jatuh hingga ke 770 per jam.
Semakin kurang perkataan yang di sebut, semakin kuranglah pembelajaran perkataan baru. Semakin kurang jugalah kosakata yang boleh disimpan dalam lexical database otak kita. Antara sebab ramai anak yang lambat bercakap juga adalah di sebabkan oleh kurangnya perbualan antara ibubapa dan anak-anak.
Alami Masalah Fokus
Doktor Christakis yang merupakan Direktor pada Center for Child Health, Behavior & Development in Seattle, juga melaporkan bahawa anak-anak yang di bawah umur 3 tahun akan berkemungkinan besar mengalami masalah fokus di sekolah kelak jika diletakkan di hadapan televisyen berjam-jam lamanya.
Malah, dalam kajian beliau mendapati, setiap 1 jam tontonan sehari akan menyebabkan 10% masalah fokus, 2 jam pula akan menyebabkan 20% masalah fokus, jika dibandingkan dengan anak-anak yang tidak didedahkan langsung dengan televisyen. Apa bezanya televisyen dan pendedahan pada gajet yang berjam-jam lamanya dalam satu hari?
Jika betullah kata-kata “you are what you eat” maka, apa yang berlaku adalah “otak anak-anak adalah sebagaimana apa yang dipaparkan pada mereka“. Artikel ini bukanlah bertujuan untuk menyalahkan teknik keibubapaan anda, tetapi untuk kita sama-sama fikirkan cara yang boleh kita perbaiki untuk membantu rangsangan positif pada anak-anak.
Bukan tidak boleh menggunakan gajet atau menonton televisyen, tetapi adalah lebih baik jika anda sentiasa bersama anak-anak dan berkomunikasi dengan mereka untuk menstimulasikan otak mereka.
Gajet atau televisyen bukanlah babysitter buat anak-anak anda. Adalah tidak adil jika anda menyalahgunakan teknologi dengan cara ini. Rata-rata kajian menyarankan kurang dari 2 jam pendedahan pada gajet atau televisyen setiap hari bagi menyeimbangkan pertumbuhan otak anak-anak anda. Adalah lebih baik jika anak anda yang berumur bawah 2 tahun, langsung tidak didedahkan dengan gajet.
Sila share jika bermanfaat.
Disediakan oleh : Assist. Prof. Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli
Deputy Dean, Faculty of Early Childhood Studies, UNITAR
Norazian pilu suami terkorban nahas FRU, kehilangan orang tersayang bukanlah satu fasa yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi suami tercinta.Pagi tadi negara dikejutkan dengan...