nawal (1)

Berkongsi minat yang serupa dengan bapanya, allahyarham Tuan Haji Yem Ismail merupakan bekas pensyarah pendidikan awal kanak-kanak, Nurunnawal mengikuti jejak langkahnya meneruskan karier sama seperti bapanya. Apa yang membanggakan, bapanya juga merupakan guru lelaki pendidikan kanak-kanak pertama di Malaysia satu masa dahulu.

Menyentuh mengenai profesionnya sebagai cikgu tadika…Nawal sudah terbiasa mendengar omongan orang yang memperlekehkan pekerjaannya. Ramai pula yang mengganggap kerjanya itu mudah dan hanya berurusan dengan kanak-kanak, tidak mencabar dan biasa-biasa sahaja. Jika punya upaya Nawal sebolehnya mahu menyahkan semua tanggapan skeptikal itu terutamanya apabila melibatkan profesionnya.

“Masih ramai yang mengganggap jadi cikgu tadika ni satu pekerjaan mudah dan senang. Tidak mencabar langsung. Persepsi masyarakat tentang guru pendidikan awal kanak-kanak, menyebabkan mereka tidak memandang serius atau menghormati profesion guru tadika, walaupun yang bertanya itu juga merupakan seorang guru juga. Di pandangan mereka guru tadika tugasnya, mudah dan senang.

“Sesungguhnya skop profesion perguruan itu luas. Seiring dengan perkembangan ilmu, dunia pendidikan awal tidak rigid, berbagai jenis pedagogi boleh diguna pakai di dalam kelas untuk membantu kanak-kanak mengembangkan kebolehan masing masing. Tidak ada kanak kanak yang sama. Semua mempunyai kebolehan, minat dan kecenderungan berbeza. Pendek kata selaku guru terawal dalam perkembangan anak-anak, kami memainkan peranan penting ataupun titik pertama untuk anak mengenali lebih mendalam asas pendidikan,”kongsinya yang memulakan profesionnya dalam bidang perguruan sejak tahun 2011.

Cikgu Tadika, Bukan Kerjanya Sekadar Ajar ABC & 123 sahaja

IKLAN

Play is good

Mengajar di sebuah tadika antarabangsa menjadikan Nawal dapat melihat lebih dekat penerimaan pelajar daripada latar budaya dan negara berbeza.
Terdahulu Nawal pernah bertugas di Julia Gabriel Kuala Lumpur, The Alice Smith School Kuala Lumpur, Seven Skies Islamic International School, Petaling Jaya dan terkini di HELP International School, Shah Alam. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini menyambung pengajiannya di semester akhir Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di SEGi College Subang Jaya, Selangor.

Mempunyai pengalaman menguruskan perkembangan awal pendidikan anak kecil sekitar usia empat ke enam tahun membuatkan Nawal selesa menggunakan pendekatan play is good. Menurutnya di usia sebegitu anak kecil lebih pantas belajar tanpa tekanan dan bermain sambil belajar.

IKLAN

“Sebagai guru tadikan pendekatan yang saya mahu ubah adalah salah faham mengenai bermain. Konsep play is good itu bagus. Di usia itu anak-anak memang cenderung untuk bermain dan ia bukan aktiviti membuang masa. Perkenalkan anak-anak dengan konsep bermain berbeza. Jika anak berkata mereka cuma main di skolah, itu tak bermakna mereka tak belajar perkara baru. School should be focused on learning, not teaching. Pendekatan yang terbaik adalah melalui bermain.

“Kaedah pendidikan barat juga menekankan konsep bermain sambil belajar. Sejujurnya sebagai guru erti kepuasan bagi saya adalah apabila melihat anak ini mampu menguasai kemahiran membaca, respons dengan perkara baru yang diajar.

“Selain itu melihat perkembangan mereka dari tidak pandai bergaul, kepada menguasai kemahiran bersosial, berkomunikasi dan mula berdikari. Sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab seorang guru membantu kanak kanak berkembangan kepada potensi maksimum melalui kaedah pembelajaran yang menarik dan menekankan elemen belajar sambil bermain,” jelasnya.

IKLAN

Murah atau mahal yuran bukan jaminan

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini lagi, isu yuran tadika mahal atau murah… tadika beraliran swasta, kerajaan mahupun antarabangsa masing-masing punya kelebihan dan kekurangannya. Isunya disini kualiti ilmu yang diperolehi anak-anak dan kebolehupayaan anak-anak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sebelum meninggalkan alam tadika.

“Sejujurnya, tadika mahal itu tak semestinya bagus. Tadika beryuran murah pula tidak semestinya tahapnya biasa-biasa sahaja. Sekalipun anak anda bersekolah di tadika yang murah yurannya, jika guru-guru disitu berdedikasi, komited dan bersungguh-sungguh mendidik pelajarnya…itu bonus buat anak dan ibu bapa. Apa yang ditekankan disini adalah pendekatan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan kepada pelajar.

“Jadi guru tadika kesabaran adalah keutamaan terpaling atas. Disusuli dengan komited dan komitmen. Sabar…sabar dan sabar. Sabar bukan hanya ketika berdepan dengan ragam anak kecil sebaliknya apabila perlu menghadapan dengan ragam ibu bapa juga. Untuk menjadi guru tadika seseorang itu perlu memahami keperluan pelajar itu secara individu dan bukan menyeluruh.

“Seperkara lagi, tidak semua anak-anak mempunyai tahap kecerdasan otak yang sama. Yang penting, menjawat jawatan guru tadika perlu datang dengan pakej minat. Di mana sekalipun kedudukan mahupun jawatan kerja anda, lakukannya dengan seikhlas hati dan diiringi minat yang mendalam. Apabila kita minat…pastinya kita akan melakukan perkara yang kita suka sebaik mungkin,” luahnya mengenai profesionnya yang sering mendapat komentar pekerjaan remeh dan tidak susah di mata khalayak.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI