Seorang lelaki tidak akan mampu hidup tanpa seorang wanita. Begitu juga dengan seorang suami, tanpa isteri di sisi, dirinya akan terasa kosong. Isterilah tempat mengadu domba, kongsi masalah dan segala hal-hal rumah tangga dilakukan oleh seorang isteri.
Namun, ada juga suami yang tidak menghargai apa yang dilakukan oleh isteri. Sedih tak terkata. Bersyukurlah para suami dianugerahkan seorang isteri yang mampu menjaga rumah tangga dengan baik.
Inilah antara bait-bait yang dikongsikan Isma Addi Jumbri. Para suami kena hadam yer.
Ads
SYUKUR ADA ISTERI
Ads
1. Bersyukurlah kita ada isteri, makan pakai dijaga tidak terperi.
2. Bersyukurlah kita ada isteri, takdelah tidur malam seorang sendiri.
3. Bersyukurlah kita ada isteri, ada teman bicara taklah bercakap seorang diri.
4. Bersyukurlah kita ada isteri, dapat zuriat penyejuk mata dan hidup berseri.
5. Bersyukurlah kita ada isteri, ingatkan diri mereka juga ada perasaan dan naluri.
6. Bersyukurlah kita ada isteri, nafkah isteri perlu diberi walaupun isteri bergaji menteri.
7. Bersyukurlah kita ada isteri, tak cukup duit dia sanggup bantu dan beri.
8. Bersyukurlah kita ada isteri, hargailah pengorbanan yang mereka beri.
9. Bersyukurlah kita ada isteri, hadiahkan gelang emas pasti wajahnya berseri-seri.
10. Bersyukurlah kita ada isteri, bantulah mereka bukan sekadar tuding jari.
Ads
MW: Jadi, bersyukurlah dengan apa yang Allah dah jodohkan kepada kita. Para isteri, jangan bangga diri, tanggungjawab kena lakukan juga yer!
Romantis…Percaya atau tidak, antara kriteria suami pilihan para gadis malah wanita ialah lelaki yang romantik. Namun sering kali juga dikatakan lelaki bangsa asing memang romantis, daripada lelaki Melayu. Ye ke? Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie. http://bersamasuzana.blogspot.com
Bagi kebanyakan lelaki pula, romantik biasanya hanya tika usaha memikat tetapi bila si dia sudah menjadi miliknya, romantik terus hilang seakan satu fail di’delete’ terus dari ‘recycle bin.’Bila isteri bersuara, kerap lelaki ini memberi alasan: “Romantik apanya, tak perlu nak jadi orang barat la.” atau “Nak suruh saya jadi hero hindustan ke?”
Ini antara tanggapan kebanyakan lelaki Malaysia khususnya lelaki Melayu. Hakikatnya, romantik bukan sikap orang barat, bukan juga budaya hero Hindi. Sebaliknya romantik, bersikap baik dan melayan isteri dengan lembut adalah sunah Rasulullah s.a.w.
Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apa kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?
Sebenarnya,maksud pendapat tersebut ialah dengan ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerima ucapan tersebut rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.
Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.
Aishah r.anha berkata yang bermaksud: “Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk.” – Hadis riwayat Abu Daud.
Walaupun hadis ini menjadi hujah atau perbincangan dalam hukum wuduk, namun tujuan saya mengemukakan hadis ini ialah untuk mengenengahkan kepada umum tentang sikap romantik Rasulullah s.a.w. Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang; bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?
Aisyah r.anha berkata: “Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air.” – hadis riwayat al-Bukhari. Pernahkah? Berapa kerap? Baginda juga sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.anha dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan, bertujuan memuji kecantikannya. Rasulullah s.a.w juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah.
Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Lafazkanlah kata-kata cinta. Panggillah isteri anda dengan panggilan disukainya. Berkongsilah makanan dan minuman anda. Sentiasalah luangkan masa bersamanya malah banyak perkara lain yang boleh anda lakukan bagi membuktikan anda benar mencintai dan menghargai isteri anda. Bila isteri rasa dihargai, dia bukan saja sanggup berikan layanan istimewa malah sanggup menggadaikan hidupnya demi suaminya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Kata-kata Rasulullah s.a.w ini disokong dengan pengakuan Aisyah r.anha sendiri. Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini.
Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri.
Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu malah batu juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Komunikasi diantara suami isteri sangatlah penting dalam hubungan perkahwinan. Tak kiralah apa juga topik, penting atau remeh rajin-rajinlah ringankan mulut berborak dengan pasangan. Isteri akan lebih gembira bila suami saling berkongsi cerita dengannya. Ia membuatkan isteri rasa lebih dihargai, dipercayai dan disayangi berbanding orang lain.
Malam ni saya berborak dengan isteri. Berkongsi cerita & mengenang kisah lama.
Ada suami yang tidak suka berborak dengan isteri. Lebih suka berkongsi dengan kawan. Dengan isteri, semuanya RAHSIA.
Pada saya itu adalah kesilapan yang besar. Jika kita ada masalah, berkongsilah dengan isteri. Wanita ni lain fikiran dia. Dia pasti ada sisi pandang yang berbeza. Ada masanya isteri kita nampak penyelesaian yang kita tak nampak.
Buat para isteri pula, jadilah pendengar yang baik. Elakkan daripada menyampuk atau membebel pula. Hargai suami anda yang berkongsi kisah atau masalah beliau.
Paling tidak pun, berkongsi dengan isteri ni therapeutics. Lega bila dah luah perasaan. Percaya cakap saya. Isteri gembira bila anda berkongsi dengannya. Beliau rasa dihargai, dipercayai & disayangi.
Saya ingat pesanan Prof. Muhaya, suami ni dia berkehendakkan 80 peratus hormat daripada isteri & baki 20 peratus lagi ialah kasih sayang. Isteri pula sebaliknya. Isteri perlu 80 peratus belaian kasih sayang. Jadi suami perlu zahirkan dengan ucapan & belaian.
Hubungan suami isteri yang berkasih sayang akan melahirkan suasana rumahtangga bahagia yang kondusif untuk pembesaran anak-anak yang sihat emosi & berakhlak mulia.
Pesan saya, berkongsilah dengan suami dan isteri anda jika anda ada sebarang masalah. Itulah perkahwinan. Jika anda hadapi sendiri kelak memakan diri sendiri nanti.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Pesanan buat para suami, rajin-rajinlah berborak dan berkongsi cerita dengan isteri.Memang ada benarnya, ia mampu buat isteri bertambah bahagia dan lebih gembira.
Poligami sentiasa menjadi polemik, pihak yang pro dan kontra saling menunjuk hebat dengan segala dalil dari pelbagai kitab rujukan.
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding undang-Undang Keluarga Islam, juga kolumnis di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/DatoMurshidDiRajaDr/
Isteri cuba menghadam apa yang difahami suami tentang poligami, dia ternganga mendengar kawan-kawan suami memperlekehkan dirinya sebagai wanita jahil yang tak faham sunah poligami.
Dia wanita yang baru kenal agama, baru pandai menghadam satu dua hadis, baru lurus lidahnya membaca al-Fatihah tiba-tiba dipaksa untuk menerima dalil seolah-olah poligami itu wajib, sesiapa tidak menerima maka dia sesat!
Mengapakah tuduh isteri menolak sunah? Padahal isteri mengakui poligami adalah syariat Allah begitu juga monogami, tiada siapa menolak sunah. Berhati-hatilah dalam isu poligami, jangan berbangga dan riak tayangkan kemampuan kerana ia satu ujian! Bagaimanakah Iblis membelit dalam isu poligami?
Tiada siapa yang menafikan nikmat tertinggi bagi lelaki adalah berhubungan intim, apa-apa pun kononnya niat suci kerana Allah itu semua datang selepas niat pertama diperoleh. Oleh itu lelaki cuba memanipulasi untuk niat berahinya. Ia tidak salah, asalkan suami memahami cara mendapatkan kenikmatan itu mesti ikut syarak.
Sudahlah badan ada penyakit, harta tidak banyak, anak isteri yang pertama pun tak selesai hal nafkah, tiba-tiba boleh pukul isteri tua yang menolak dipoligami, kononnya nusyuz?
Tengoklah betapa belitan iblis itu sudah kemas di leher si suami; iblis mempengaruhi dirinya untuk memaksa isteri. Iblis kata semuanya manis, tidak ada yang pahit dalam bermadu. Buktinya orang-orang soleh zaman Nabi s.a.w boleh buat, kenapa aku tidak?
Dia tak tanya, siapakah orang soleh zaman Nabi itu? Apakah kesabaran dirinya boleh disamakan dengan mereka, imannya boleh dinaiktarafkan seperti mereka, ilmunya setanding dengan mereka? Apakah isterinya ada kekuatan sepertimana isteri para sahabat? Apakah amal ibadah isterinya cukup untuk menampung kebocoran hati akibat cemburu buta?
Jika seorang ummul mukminin semulia Aisyah RA berasa cemburu sehinggakan membuat pakatan untuk menjatuhkan isteri-isteri Nabi yang lain, apakah boleh bagi isteri kamu menghadapi kecemburuan itu dengan iman senipis bawang, ilmu secetek air longkang kekeringan, akhlak serapuh ranting kayu bila dibakar api cemburu?
Memang hakikatnya poligami indah, tapi pelakunya yang memburukkan wajah poligami ini disebabkan dia tidak layak memikul bebannya.
Wahai isteri, semangat yang tinggi mahu menerima sunah sebagai jalan hidupmu tidaklah cukup tanpa mujahadah kerana akan ada suara-suara yang cuba melunturkan niatmu dari jalan Allah.
Mereka akan berkata: “Setelah berpoligami, baru kau tahu rasa remuknya hati bila disakiti! Senang saja nak cakap move on. Macam mana nak kikis kerak benci, dendam dalam hati? Menangislah selagi kau boleh berasa tenang, takkan hilang bayang-bayang kecemburuan kau selagi belum bercerai! Akan datang wanita-wanita yang cuba mencari-cari kelemahan suami dan diri kamu. Mereka berkata: “Awak tak cemburukah, madu dapat lebih, anak daralah kan? Malam-malam awak boleh tidurkah kalau suami giliran di sana? Apa rasa bila suami marahkan awak, sedangkan isteri muda dipuja-puji?
Setaat-taat wanita beriman, terlontar juga kata-kata nak mati bila dapat tahu suami berkahwin lain. Tak percaya? Bukankah ia perkataan yang dilafazkan ummul mukminin Aisyah yang cemburu kepada madunya?
Diriwayatkan daripada Aisyah, dia berkata: Rasulullah s.a.w apabila hendak melakukan perjalanan, baginda mencabut undi untuk isteri-isterinya. Keluarlah nama Aisyah dan Hafsah untuk bermusafir bersama Rasulullah s.a.w. Suatu malam baginda keluar bersembang-sembang bersama Aisyah sambil berjalan-jalan. Hafsah berkata kepada Aisyah: Mahukah kamu malam ini menunggang untaku dan aku menunggang untamu supaya kamu boleh melihatku dan aku boleh melihatmu? Aisyah berkata: Baiklah. Kemudian Aisyah menunggang unta milik Hafsah dan Hafsah menunggang unta Aisyah. Kemudian datanglah Rasulullah kepada unta milik Aisyah yang dinaiki Hafsah, mengucapkan salam kepadanya dan berjalan bersama sampai keduanya turun kembali. Tiba-tiba Aisyah merasa kehilangan Rasulullah s.a.w dan cemburu. Ketika mereka turun berhenti, Aisyah menendang-nendang kakinya ke rumput izkir yang harum baunya sambil berkata: Wahai Tuhanku, semoga ada kala jengking atau ular yang menggigitku sedangkan aku tidak dapat mengatakan apa-apa kepada Rasul-Mu.” (Hadis riwayat Muslim)
Cinta itu boleh memudaratkan jika manusia tidak dapat mengawal perasaan. Kegilaan seseorang disebabkan cemburu boleh mendatangkan bahaya jika akal dan perasaannya kalah dalam belitan iblis. Bukan mudah berpoligami, hanya mereka yang sabar dan tebal iman mungkin boleh selamat. Ya mungkin kerana ramai yang bergantung pada kekuatan iman akhirnya gagal juga.
Oleh itu segala pergantungan hendaknya dikembalikan kepada kuasa-Nya, qada dan qadar-Nya semata! Apakah anda masih mahu riak menayangkan poligami, bukankah ia ujian mengapa mahu dibangga-banggakan? Sepertimana nasihat Rasulullah kepada Aisyah apabila diserang cemburu, takutlah kamu kepada Allah wahai Aisyah!
Niat awalnya nak ke sekolah, tetapi tiba-tiba motor yang dibonceng bertembung kereta guru di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang hari ini