Memegang ‘title’ seorang ibu tunggal bukanlah mudah. Apatah lagi dalam membesarkan anak-anak. Seboleh-bolehnya segala ruang kasih sayang diisi agar anak-anak tidak merasa kekurangan malah turut menyemai nilai-nilai positif agar mereka dapat jadikan panduan serta pedoman bila besar nanti.
Terharu membaca luahan hati dan nukilan oleh Yang Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Datin Paduka Khaleeda Bustamam, 25 ini kepada bonda tersayang. Rupanya YM Che Puan Khaleeda dibesarkan oleh mama tersayang, Aziyah Abdul Aziz yang merupakan seorang ibu tunggal. Nilai-nilai positif dan murni yang disemai oleh bondanya ternyata membentuk peribadi mulia puteri raja kesayangan bangsa Johor ini.
YM Che Puan Khaleeda menulis luahan Bahasa Inggeris tersebut didalam Instagramnya.
“Mama saya antara salah seorang wanita paling kuat dalam kehidupan saya. Saya benar-benar rasa bersyukur dibesarkan olehnya, diajar nilai sebenar kehidupan bahawasanya dunia ini hanyalah tempat sementara buat kita”.
“Sentiasa mengingati Allah SWT, jangan peduli perkara material dan mengejar dunia. Menghormati setiap orang dan setiap benda hidup serta menjaga alam semulajadi dan haiwan. Sentiasa mendoakan orang yang berkata mahupun melakukan perkara jahat pada diri saya dan paling penting untuk selalu tersenyum setiap hari”.
Ads
“Kepada semua ibu tunggal di luar sana, rasa hormat saya pada anda semua melebihi segala-galanya. Saya dibesarkan oleh ibu saya yang juga merupakan seorang ibu tunggal. Saya telah melihat kepayahan dan kecekalan yang dia tempuhi namun tiada sedikit pun keluhan yang keluar dari mulutnya yang manis”.
“Saya berdoa semoga kegigihan dan kesabaran yang ada pada dirinya sesuatu yang saya boleh miliki suatu hari nanti. Saya menulis ini bukan kerana ucapan Hari Jadinya tetapi untuk mengingatkan diri kita agar limpahkanlah kasih sayang buat ibu kita dengan penuh rasa cinta, ambil berat dan menghormatinya selagi mereka masih ada. Ini kerana terdapat mereka yang tidak berpeluang untuk mengenali ibu mereka sendiri. Alfatihah buat mereka yang ibunya telah berada di syurga sekarang”.
“Saya juga menulis perkara ini kerana sekarang saya memahami kasih sayang seorang ibu dan ia cintanya yang tiada berpenghujung. I Love You With All My Heart, My Sweet Darling Mama♥️”
Terdahulu, DYAM Tunku Ismail dan YM Che’ Puan Datin Paduka Khaleeda telah mendirikan rumahtangga pada 24 Oktober 2014. Pasangan diraja ini dikurniakan sepasang cahayamata YAM Tunku Khalsom Aminah Sofiah,2 dan YAM Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim,1.
Ads
Mingguan Wanita menjunjung kasih dan sangat bersetuju dengan pesanan oleh YM Che Puan Khaleeda ini.Semoga para ibu tunggal memperolehi inspirasi dengan catatan ini. Buat para pembaca pula, hargailah ibu yang masih ada dan luahkanlah kasih sayang serta perhatian buat ibu tersayang.
Apa yang kita perlu takkan sama dengan apa yang orang lain perlu. Begitu juga dengan perasaan, ianya tak sama. Jadi, apabila membaca tentang ujian hidup seseorang, jangan pernah meremehkan apatah lagi cuba samakan perasaan orang itu dengan anda.
Lagi-lagi soal balik kampung di waktu kerajaan membenarkan rentas negeri ini. Mengapa perlu dipertikaikan keperluan mereka itu. Kerana anda tidak berada dalam ‘kasut’ mereka. Hadamkan perkongsian Abdul Muiez Ruslee ini.
Sebab Inilah Jangan Samakan Perasaan Kita Dengan Orang Lain
Sebaik kerajaan membenarkan rentas negeri, saya fikir, mungkin sayalah yang terawal akan menunggu di sempadan. Maklumlah, sempadan Perak-Selangor pun hanya beberapa minit dari rumah.
Tetapi, ceritanya menjadi lain bila permohonan cuti saya pada hari Khamis tidak diluluskan. I is Reda. Duduk lah kita di stesen. Sambil-sambil menunggu semboyan jika khidmat ini diperlukan.
Bila tahu sahaja kami akan lewat sampai ke kampung, ibu dan bapa mentuayang mengambil tindakan cergas merentas negeri untuk bertemu dengan anak cucu mereka.
Sejak dari dalam kereta, air mata ibu mentua sudah tumpah. Tak tertahan-tahan. Di rumah ini lagilah. Perasaan dup dap tu macam rancangan jejak kasih.
Bila isteri dah bertemu mata dengan ibu dan ayahnya, jadilah drama air mata yang penuh emosi. Langsung tak boleh ditahan lagi. Maklumlah, sudah 4 bulan mereka tidak bertemu. Apa lagi nak mencium pipi.
Kerana Kasut Kita Tidak Sama
Jangan main-main wo dengan perasaan rindu ini. Jangan menidak dan meremehkan perasaan orang lain terhadap keluarga mereka. Kerana kasut kita tidak sama.
Kalau kita tidak hairan dengan keluarga, mungkin kerana konflik lama, jangan nak samakan perasaan kita dengan perasaan orang lain.
Kalau anak menantu kita ada di depan mata, jangan nak samakan perasaan kita dengan perasaan orang lain.
Kalau kita dapat berpakaian sedondon dengan ibu dan ayah di Hari Raya, jangan nak samakan perasaan kita dengan orang lain.
Kalau rumah kita hanya sedepa dari rumah ibu dan ayah, jangan nak samakan perasaan kita dengan orang lain.
Jika kita sentiasa dapat memeluk anak menantu dan cucu, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.
Jika dapat berbuka puasa semeja dengan anak menantu, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.
Jika kita dapat menyediakan juadah hari raya bersama keluarga, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.
Jika rindu dengan anak cucu, kita boleh telefon dan hanya sekelip mata mereka muncul depan kita, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.
Jika kita obses terhadap kerja, jangan bertanya kenapa orang lain tidak boleh jadi seperti kita. Perasaan kita tidak sama.
Jika kita paranoid terhadap sesuatu isu, jangan samakan perasaan kita dengan perasaan orang lain.
Kalau kita tidak kisah pun nak balik kampung, jangan harap orang lain ada perasaan yang sama macam kita.
Tak Perlu Sampai Nak Sekolahkan Orang Lain
Macam contoh yang diberi oleh sahabat saya.
Bila kita lihat bil elektrik kita lebih murah berbanding orang lain, maka kita pun menyekolahkan orang itu kerana tidak pandai berjimat dan selalu membazir elektrik. Kitalah yang terbaik, kitalah yang terhebat kononnya.
Nanti sampai satu ketika, bila talian telefon kita lembab, kita pun merungut, “Slow gila internet aku.” Waktu itu orang akan jawab, “Eh, talian internet aku laju saja. Talian kau tu je yang cap ayam.” Masa tu baru kita rasa, PADAN MUKA.
Setiap hari kita ada peluang untuk menjadi orang yang lebih disayangi dan dicintai. Tetapi, mengapa kita memilih untuk rela dibenci?
Alamak, macam lagu Aiman Tino lah pula. InsyaAllah, minggu ini beraya di Perak, minggu depan beraya di Negeri Sembilan. Lepas itu, bolehlah kerja dengan tenang
Sambil nyanyi lagu Balik Kampung, kena nyanyi sekali lagu Dendang Perantau. Fuhh, panjang betul justifikasi nak balik kampung ni. Jangan main-main arrr. InsyaAllah. Daripada Allah belaka.
MW : Begitulah aturan hidup ini. Setiap orang rezekinya berbeza. Jika hati dapat belajar meraikan perbezaan, tentunya ketenangan itu jadi milik diri sendiri.
*Artikel disunting dan diterbitkan dengan keizinan daripada penulis, Abdul Muiez Ruslee
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Tak perlulah sebarkan video pemandu lori.” Sangat jelas lelaki itu sedang berdepan dengan sakaratul maut. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya. Al-Fatihah.
Semalam tular video ini di media sosial dan pelbagai reaksi yang diberikan netizen. Jika dilihat menerusi video, jelas kelihatan pemandu lori itu dalam keadaan pucat dan lemah.
Ikuti perkongsian Dr Karya Kayra bagaimana tanda-tanda sakaratul maut:
Tak Perlulah Sebarkan Video Pemandu Lori
Inna lillahi wainna ilaihi rojiun.
Tak perlulah nak sebarkan video pemandu lori yang sedang berhadapan dengan sakaratul maut. Kesakitan lelaki itu sangat dahsyat bagaikan kulit disiat-siat dari tubuh hidup-hidup.
Sudahlah wanita yang merakam video itu menuduh dan memfitnah Pemandu lori itu mabuk sebelum viralkan, sedangkan lelaki itu “jelas berhadapan” dengan sakaratul maut.
Mungkin kebanyakan kita tidak tahu tanda-tanda sakaratul maut pada orang lain yang dianggap sihat.
Lelaki Itu Sedang Berdepan Dengan Sakaratul Maut
Berdasarkan sedikit pengalaman pernah melihat tanda-tanda ini pada rakan saya dan saudara saya sendiri dan ilmu yang dikongsikan ustazah yang sering mengajak saya membantu ustazah untuk memandikan jenazah orang perempuan.
Tanda-tanda seseorang yang sihat itu sangat hampir dengan sakaratul maut adalah:
1) hujung hidungnya jatuh sedikit tanpa dia sedari.
2) kelopak kedua telinganya bagai melekat ke kepala.
3) dan jika dia berbaring menelentang, jari dan tapak kakinya boleh diluruskan sepenuhnya rapat ke tilam.
4) kedua kaki mereka menjadi lembik.
5) semakin hampir ke penghabisan nyawanya ke kerongkong, bunyi nafas bagaikan mendengus perlahan.
Bagi orang yang beriman mereka jelas menunjukkan dua tanda lagi iaitu:
1) Mereka Mula Kurangkan Makan dan Lebihkan Berpuasa.
Orang-orang yang baik dan dekat dengan Allah SWT ini mereka sudah tahu ajal mereka semakin hampir dan mereka tidak mahu jenazah mereka lambat dimandikan serta lambat pula dikafankan.
Bahkan orang-orang yang baik ini sempat melunaskan semua hutang dan memohon maaf kepada semua sebelum dia meninggal dunia.
Kerana itulah sering saya lihat bagi perempuan yang sangat baik, jenazah mereka senang dimandikan kerana “tubuh mereka sangat ringan”.
Walaupun ada sesetengah jenazah berbadan besar tetapi ringan dan boleh diangkat dengan sebelah tangan sahaja manakala sebelah tangan lagi membersihkan belakang tubuhnya. Sedikit sahaja najis atau tiada langsung najis. Memandikan sekejap dan mengkafankan begitu mudah.
2) Ada keringat di dahi.
Kita akan nampak percikan keringat di dahi orang-orang yang beriman saat mereka meninggal dunia.
Hadith Riwayat Ibnu Ahmad terjemahannya:
“Rasulullah SAW bersabda:
Orang mukmin meninggal dunia dengan keringat didahinya.”
Redhanya Seorang Suami
Saya pernah melihat seorang wanita usia 40-an yang meninggal dunia dengan wajah yang sangat cantik bagai tersenyum dan ada keringat keluar didahinya walaupun selepas jenazah siap sempurna dikafankan.
Jelas dia mendapat redha suaminya apabila selesai dikafankan, si suami menghampiri jenazah si isteri dengan air mata bergenang dan mengucup dahi si isteri sambil suami itu dengan suara perlahan berbisik menyebut beberapa anggota tubuh isterinya itu dilepaskan penuh redha.
“Abang redha jari dan telapak tangan sayang ini yang pernah suap abang makan sebagai tangan isteri abang. Ya Allah masukkanlah isteriku ini ke syurga-Mu asbab dia ikhlas menyuap rezeki-Mu ke mulut aku sebagai suaminya.”
Diakhiri dengan ayat saat dia mencium atas kepala jenazah isterinya sambil berbisik perlahan:
“Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Agong, aku redha……. binti……. sebagai isteri ku, dunia, akhirat. Ampunkanlah dia Ya Allah.”
Kami kumpulan Ustazah yang memandikan jenazah dan masih berada di situ dengan beberapa ahli keluarga mereka yang lain menitiskan air mata melihat bagaimana si suami itu penuh rendah diri memohon syurga buat isterinya.
Semoga Syurga Balasannya
Diharapkan perkongsian ini bermanfaat buat semua yang sudi membaca penulisan saya.
Semoga dilapangkan tempat istirahat Ahmad Sukri Abd Samad pemandu lori itu, bagaikan taman-taman syurga dan dikurniakan ganjaran Jannatul Firdaus di akhir perjalanan sebagai hamba-Nya. Amin, amin… Ya Rabbal Alamin.
Salam Takziah dari saya buat keluarga Allahyarham.
Kayra, Putrajaya.
Mingguan Wanita : Sesungguhnya kisah ini perlu menjadi pengajaran buat kita semua. Jangan terlalu bersangka buruk dengan orang lain, selidiki terlebih dahulu sebelum viralkan. HUlurkan bantuan sebelum bertindak membuta-tuli.
Lazimnya bagi mak ayah, pendidikan anak-anak sangat penting untuk menjamin masa depan mereka dengan menghantar ke sekolah menuntut ilmu. Namun berbeza pendirian buat bekas ahli kumpulan nasyid popular In-Team, Suhaimi Saad,40 dalam mencorakkan pendidikan dan masa depan anak-anaknya.
Suami kepada Ina Naim atau sebenarnya Nordiana Md Naim, 34, ini mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan alasan tertentu.Penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik lagu nasyid ini, ada berkongsi 7 sebab dia berpendirian demikian didalam posting facebooknya baru-baru ini.
Berikut perkongsian tersebut yang dikongsikan;
KENAPA ss TIDAK HANTAR ANAK ANAK KE SEKOLAH
Jika ada kebaikan dan kebenaran,maka ambillah ia sebagai ilmu dan panduan.Jika ia tidak sesuai,maka tinggalkanlah.Tak perlu kecam.Kalau nak kecam juga,silakan..tapi bukan di sini.di wall masing-masing ya.
Bismillah.Setiap orang,hidup dan beramal dengan ilmu, kepercayaan dan sesuatu yang dia yakini. ss pernah belajar di tadika,sekolah rendah,sekolah menengah, maahad tahfiz dan universiti.ss pernah mengajar di beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta.ss pernah tinggal di bandar besar dan pernah tinggal di kawasan pedalaman.
ss dibesarkan oleh seorang guru.5 dari 8 ahli keluarga ss merupakan guru dan ss juga ada ramai kawan dan kenalan dari kalangan guru. Dengan pengalaman hidup itulah Allah memberi ilmu,kefahaman dan kepercayaan berbeza ini.Bukan berniat untuk mengecam, memburuk burukkan atau menghasut orang lain.Sekadar berkongsi cerita dan rasa dengan harapan tidak timbul lagi persoalan dan spekulasi.
Inilah 7 sebab mengapa ss tidak menghantar anak anak ke sekolah.
1. Sistem Pendidikan
Sejujurnya,ss tidak percaya kepada sistem pendidikan yang sedia ada.(minta maaf).Ia berubah ubah tahun demi tahun.Seolah olah tidak ada dasar yang jelas.
ss juga melihat ia tidak banyak membantu anak anak ss memahami dan mengamalkan Islam dengan baik. Waktu dan pendedahan untuk mereka memahami Al Quran dan hadis sangat terbatas kerana diisi dengan perkara perkara lain yang kurang perlu.Al Quran dan hadis sepatutnya bukan saja menjadi perlembagaan, tapi subjek utama dan teras dalam sistem pendidikan negara.
ss juga tidak suka anak anak ss dididik dalam suasana bercampur di antara lelaki dan perempuan dalam satu kelas.Kebanyakan sekolah agama pun dah guna sistem yang sama. Dari kecil dibiasakan bercampur lelaki dan perempuan sehingga percampuran tu jadi perkara biasa.Hasilnya anak anak lelaki dan perempuan hilang rasa malu.Kesannya mungkin bukan sekarang. Nanti..
Kalau kita pernah tersilap dan berdosa,adakah kita mahu anak anak kita juga ikut tersilap dan berdosa?
Kalau ibubapa kita dulu bagi kita makan ubi kayu,takkan kita pun nak bagi ubi kayu pada anak anak,sekurang kurangnya bagilah laksa.Selagi kita tidak meletakkan itu sebagai teras dalam pendidikan awal,generasi kita akan terus menerus gagal memahami agama dan mengamalkan akhlak yang baik.
Buktinya ada ramai netizen yang pergi ke sekolah, belajar agama,tapi jadi haters dan musuh kepada sesama muslim.Pergi sekolah,belajar agama,tapi berwudhuk dan solat pun tidak betul.Tidak tahu hormat ibubapa dan guru. Pakai tudung hanya di sekolah saja.
Sekolah agama dan belajar akhlak, tapi makan sambil berjalan dan hisap rokok.Inilah hasilnya bila akhlak islam tidak dapat difahami dan dihayati dengan sebetulnya.
Akhirnya lahirlah graduan graduan yang bijak pandai dan berkelulusan tapi bila berkerja tidak ada integriti.Nampak hebat dan berjaya secara luaran,tapi jiwa kosong dan jauh dari agama dan amalan.Kerana kejayaan telah dipaternkan dan diukur dengan banyaknya A,ada sijil,ada ijazah,ada master dan PHD,ada banyak harta dan tingginya kedudukan dan tangga gaji.
Padahal kejayaan sebenar adalah kemuliaan akhlak dan kehebatan dalam hidup beragama.Pentingnya pendidikan awal ini kerana ia akan menjadi asas dan dasar pertama yang akan membentuk kefahaman dan pegangan hidup mereka.
2. Tanggungjawab
Tanggungjawab mendidik atau memberi pendidikan kepada anak anak adalah tanggungjawab ibubapa.Bukan guru,bukan sekolah.Sekolah itu platform, guru hanya pembantu.Allah akan tanya setiap kita bagaimana kita didik anak anak kita.ss ambil tanggungjawab itu sekadar yang ss mampu.Tak sempurna, tapi mencuba.
ss percaya tidak semua orang mampu mengajar anak anak sendiri. Jadi tak perlu kecam.Kita lebih kurang sama je. Apa yang wajib dalam agama ini adalah belajar, menuntut ilmu. Memang ramai anak anak yang pergi ke sekolah.tapi adakah semuanya belajar? Berapa ramai yang tak sampai ke sekolah pun. Kalau macam tu lebih baik belajar di rumah.
3. Kos
Perkembangan teknologi dan perubahan zaman membuat ss mengubah cara berfikir.Dulu kita tidak ada jaringan internet.Hari ni, semua ilmu dan informasi boleh didapati hanya di hujung jari. Ada handphone,youtube dan google.
Dengan kenaikan harga barang dan kos hidup,ss tidak fikir ss perlu buang duit untuk tol,minyak kereta dan perbelanjaan buku dan keperluan sekolah yang lain.ss pun bukan orang kaya. So di rumah boleh belajar. Di masjid boleh belajar.Waktu bercuti,di hotel dan di kampung pun boleh belajar.Kehidupan adalah sekolah yang real.
4. Masa
Bukankah kalian juga merasa bahawa hidup kita terlalu singkat? ss sangat menyedari hakikat itu.Bukankah kita banyak membuang masa di atas jalan raya,menunggu di hadapan sekolah dan dalam masa sama ada tugas lain yang tak kurang penting untuk diselesaikan.ss tidak suka situasi itu.ss pilih untuk mengelak.
Tapi kalau tidak ada pilihan,anggaplah itu sebagai pengorbanan.kita sama sama berkorban. ss juga fikir,Sistem pendidikan kita mengambil masa yang lama bagi seseorang pelajar mencapai hasrat dan cita citanya.
Ini kerana setiap pelajar perlu belajar semua perkara dan subjek meskipun yang bukan dalam kemampuan dan minatnya.Akhirnya dia buat kerja lain.Belajar engineering,tapi jadi grafik designer.
ss beri kebebasan untuk anak anak memilih bidang yang mereka minati.Kerana minat setiap anak tidak sama.begitu juga bakat dan kemahiran mereka.Kenapa perlu ikat dan paksa.Belajar,fokus dan jadilah apa yang kamu suka dan mahu.Tapi Al Quran dan sunnah,jangan tinggalkan.
5. Kasih Sayang
Inilah part yang paling touching.ss percaya bahawa ss akan mati.Apa pun kata orang,demi Allah ss juga sayang pada isteri dan anak anak ss.Sayang sampai tak mahu berpisah.Nak hantar ke sekolah pun tak sanggup.
Anak pindah belajar ke Kelantan,ss dan ina ikut pindah duduk di Kelantan. Padahal ss orang Pahang..Ina orang Johor. ss pilih untuk hidup bersama. Mudah mudahan mati pun bersama,amiiin..ss mahu lihat mereka membesar depan mata.
Hari ini ramai orang jadi pelik pelik sebab kurang perhatian dan kasih sayang.kerja jadi lebih utama daripada orang yang kita sayang.Padahal kita berkerja untuk mereka.tapi sangat kurang masa bersama mereka.itulah pilihan kita.
Sebelum ni,ss hantar mereka ke tahfiz.Tapi ada masalah dengan pihak pentadbiran.ss keluarkan.Hantar pula ke tahfiz lain.Mereka dibuli dan dipukul.ss keluarkan.Sementara mereka besar dan pandai membawa diri,ss lebih rela melihat mereka belajar di rumah.
ss boleh pantau solat mengaji dan akhlak mereka.alhamdulillah.. itu pun orang tuduh ss macam macam..takpe,ss maafkan.diorang tu bukan tahu semua perkara.
Ramai orang yang bimbang sangat pada nasib anak anak ss kalau ss mati dulu.terima kasih..ss nak bagitau,Kalau kita hidup lagi 100 tahun pun, belum tentu kita mampu jaga dan tentukan nasib anak anak kita.betul tak? Berapa ramai anak anak yang rosak akhlak dan agama mereka, derhaka pada ibubapa, padahal mak ayah dia masih hidup lagi.
Hidup kita,Semua berada dalam genggaman dan pencaturan Allah. Kalau kita ajar anak anak kita jaga Allah, Allah pasti akan jaga anak anak kita walaupun selepas kita dah tak ada lagi di dunia ni.itu kefahaman ss.
6. Cara Kerja.
Panas,sendu atau beku,sejak 20 tahun yang lalu,inilah pekerjaan utama ss.Penyanyi. Kalau tak kenal,sila taip Suhaimi Saad atau Doa Buat Ibu di ruangan carian Youtube.Boleh juga la kalau nak taip Inteam – Nur Kasih.
So cara kerja penyanyi ni,tak sama macam cikgu,macam kerja kilang atau kerja pejabat.Waktu kerja pun tak menentu,cuti pun tak tentu.Kadang kadang out station 3 hari,5 hari.so ss pilih untuk teruskan kerja ni.sebab ss percaya,inilah rezeki dan minat ss. Kerja ni tak memudahkan untuk ss hantar dan ambil anak di sekolah.ss lebih faham keluarga dan kerja ss.so tak perlu susun aturkan.terima kasih.
7. Hadis Akhir Zaman
Beberapa tahun lepas,ss ada terbaca sebuah hadis tentang Dajjal dan akhir zaman.Memahami hadis itu,fitnah akhir zaman dan realiti hidup hari ini,ss pilih untuk ‘ikat’ anak anak dan isteri di rumah.Semoga Allah selamatkan kami daripada tipudaya Dajjal.amiin
Setelah usaha ini,ss serahkan seluruh hidup dan mati ss dan keluarga hanya kepada takdir dan iradat Allah. Pada hemat ss,Kalian tidak mampu buat sepertimana yang ss buat.
Tapi sebagai muslim,Doakanlah yang baik baik,usahakanlah segala yang terbaik dan teruslah berdoa agar Allah memberi kekuatan untuk kita semua kembali beramal dengan cara hidup yang Allah suka dan redha.
WAllahu a’lam
Suhaimi Saad
MW: Setiap mak ayah pasti nak yang terbaik untuk anak-anak. Ini mungkin pendirian terbaik yang dirasakan oleh Suhaimi Saad dalam mencorakkan masa depan anak-anaknya. Mak-mak setuju ke?
Duit tak pernah cukup pun! Nak belanja pun tersekat-sekat. Nak makan pun berkira sebab gaji kecil. Di sebalik merungut, kita masih mampu beli air viral...