Proses bersalin ni suatu ‘rezeki’ juga sebenarnya. Ada wanita yang cukup mudah dan senang sangat prosesnya, sekejap je dah terbuka laluan dan bersalin. Namun ada juga wanita, yang mengambil masa berjam-jam, malah berhari-hari baru laluan terbuka dan dapat bersalin dengan sempurna.Namun yang pastinya, mudah atau sukar seseorang wanita itu bersalin ia bukanlah pengukur tahap kesolehahan seseorang bakal ibu itu.
Baca perkongsian daripada ibu anak empat, Puan Intan Dzulkefli ini.
Waktu warded untuk bersalin haritu, banyak beri pengajaran kepada diri ini. Bersalin mudah dan cepat itu memanglah rezeki, ketentuan Allah yang diberikan kepada siapapun yang Allah kehendaki.
Ada yang kita lihat sepanjang di wad tak tutup aurat, tak solat langsung, rambut berwarna warni, gelak kuat-kuat menonton movie di telefon bimbit tanpa menjaga sensitiviti pesakit lain. Tapi apabila sakit bersalin sekejap sahaja bayi sudah lahir tanpa sebarang komplikasi. Mudah, bagaikan air yang mengalir. MasyaAllah.
Ada pula yang menjaga aurat, sentiasa solat fardu on time, asyik bertembung dengannya dalam surau sedang mengaji sambil tersedu sedan, tetapi apabila sakit bersalin datang, sangat lama dan payah pula prosesnya. Sampai menangis-nangis suaminya di sisi katil kerana tak sanggup lihat keadaan si isteri yang kesakitan amat sangat. Allahuakbar.
Tempoh Bersalin Bukan Pengukur Tahap Kesolehan Bakal Ibu
Benarlah, bersalin cepat dan mudah atau bersalin lama dan payah, mahupun bersalin normal ataupun secara pembedahan bukanlah pengukur tahap kesolehahan seseorang bakal ibu itu.Rezeki belaka. Nikmat belaka. Semuanya dalam ketentuan Allah belaka.
Ada ibu yang sakit kontraksi sampai meraung-raung tetapi bukaan serviks baru 1-2cm. Ada pula ibu yang masih kuat berjalan-jalan keliling wad rupanya sudah hampir benar waktu melahirkan.
Memang ada ramai wanita yang terlalu mudah melahirkan anak. Tak panas pun lagi katil wad sudah boleh pulang ke rumah dengan bayi kerana tiada apa-apa komplikasi.
Ada pula ibu-ibu yang berdepan terlalu banyak ranjau, sakit, perit dan proses yang menyeksakan untuk si ibu lalui sebelum bertemu permata hati yang dikandung selama ini.
Empatilah Pada Wanita
Oleh itu, saling empatilah kita kepada wanita. Yang mana sentiasa direzekikan bersalin mudah, bersyukurlah. Jangan dilekehkan orang yang bersusah payah untuk melahirkan zuriat-zuriatnya. Jangan dinafikan trauma yang mereka lalui.
Ads
Yang suami jangan hanya fokus pada kecomelan bayi yang baru dilahirkan tapi fokus juga kepada ibu yang baru melepasi perjuangan yang amat dahsyat kesakitannya.
Peluklah dan raikanlah isteri. Ucapkanlah tahniah dan terima kasih. Itulah pengorbanan yang takkan mampu siapapun membalas kecuali hanya Allah semata.
“Bersalin memanglah sakit. Memang sakit dik.. sebab itu kalau ibu meninggal waktu bersalin dikira syahid. Adik sabar ya. Zikir banyak-banyak. Semoga dengan kesabaran dan ketabahan adik, semua ni dikira pahala yang bagi mudah adik masuk syurga nanti,” pujuk staff nurse dengan suara lembut apabila ibu-ibu muda mengadu tak tahan sakit kontraksi. Diurut-urutnya belakang si ibu sambil mengajar teknik pernafasan apabila kontraksi kuat datang.
Apabila awal pagi, waktu bersiap nak ke surau, akan ada nurse yang datang merayau sekitar wad dan berpesan kepada semua pesakit.
Ads
“Bangun awal ya. Mandi. Bersiap-siap boleh pergi solat. Selagi belum melahirkan selagi tu kena solat ya puan-puan,” masyaAllah.
Berusahalah Menunaikan Kewajipan Solat
Nasihatku, ibu-ibu yang berada di wad bersalin, waktu menyiapkan beg bersalin, bukan hanya siapkan baju-baju bayi tetapi perlu bawa telekung dan mini sejadah sekali kerana belum tentu kita terus akan melahirkan sebaik tiba di hospital.
Mungkin esok, mungkin lusa. Maka selama mana bayi masih belum lahir, selagi itu masih wajib solat. Berusahalah agar tidak terhutang kewajipan solat kerana belum tentu kita keluar wad dalam keadaan sihat dan bernyawa.
Perjuangan melahirkan adalah antara hidup dan mati, walaupun ada yang memandang ringan hal ini. Hanya Allah yang sebenar tahu.
Untuk ibu-ibu yang baru melahirkan, ‘congrats! You made it!’
Buat ibu-ibu yang bakal melahirkan, semoga Allah mempermudahkan segala urusan di samping segala usaha untuk menjaga diet dan melakukan latihan untuk memudahkan proses kelahiran.
Ads
Setelah itu, serahkanlah kepadaNya yang menentukan segalanya. Percayalah, kadang Allah takdirkan keajaiban. Sungguh, tiada yang mustahil bagi Allah.
Namun, sekiranya sebaliknya, berlapang dadalah. Yakin, ada hikmah pada sesuatu ketentuan Tuhan.
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para wanita dan bakal-bakal ibu. Memang ada benarnya, tempoh bersalin sekejap mahupun lama, secara normal mahupun pembedahan semuanya ada ketetapan rezeki daripada Allah, bahkan ia bukanlah ‘kayu pengukur’ tahap kesolehahan seseorang bakal ibu itu.
Viral sebuah video di media sosial seorang jurunikah atau tok kadi menggunakan kanta untuk mengetahui tulen atau tidak cincin yang dijadikan mas kahwin dalam sebuah majlis nikah baru-baru ini.
Video itu mendapat perhatian dan ramai memuji sikap tok kadi tersebut. Tok kadi yang dikatakan siap bawa kanta, tiada niat lain dan mengakui perkara ini telah menjadi rutin baginya kerana sudah menjadi amanah buatnya memikul tanggungjawab ini.
Tindakannya bukanlah untuk mencuri tumpuan atau menarik perhatian orang lain. Apatah untuk memalukan keluarga pengantin, tetapi ianya dilakukan semata-mata kerana amanah.
Tiada Niat Lain, Telah Jadi Rutin Sebab Ini Amanah
“Niat saya membuat pemeriksaan secara teliti (ketulenan cincin emas sebagai mas kahwin) bukanlah untuk memalukan pengantin mahupun keluarga mereka, ia hanyalah tanggungjawab dan amanah,” kata jurunikah, Ustaz Harudin Mohd Mydin.
Harudin memberi reaksi itu selepas rakaman video menunjukkan dia menggunakan kanta khas meneliti ketulenan cincin yang dijadikan mas kahwin bagi pernikahan Azizul Abdul Rashid, 34, dan Siti Nurshakirah Shamsudin, 30, tular di media sosial.
Detik itu dirakam jurugambar perkahwinan sebelum dimuat naik di Facebook dan ia membuatkan rata-rata warganet memuji ketelitian jurunikah itu yang dianggap unik.
Tok Kadi Siap Bawa Kanta
Harudin berkata, tindakannya meneliti ketulenan emas pada majlis pernikahan itu bukannya untuk mencuri perhatian orang ramai, sebaliknya ia sudah menjadi ‘rutin’ baginya setiap kali menjadi jurunikah.
Menurutnya, sepanjang bertugas sebagai jurunikah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, rata-rata pengantin jujur dalam memberitahu kandungan pemberian yang diberikan mereka kepada pasangan masing-masing.
“Pengamalan duhulu, ada pengantin yang berterus terang cincin yang dibeli itu (tidak tulen) bukanlah di kedai emas tetapi di pasar raya. “Saya hanya menjalankan tugas dengan tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Pengantin Tak Sangka Tok Kadi Begitu Teliti
Sementara itu, Siti Nurshakirah berkata, dia dan keluarganya juga tidak menyangka Harudin membuat pemeriksaan yang begitu teliti pada majlis pernikahannya. “Mujur suami bersedia dengan situasi itu, lagipun kami masing-masing yakin emas yang dibeli adalah tulen.
“Resit pembelian juga dibawa ketika majlis itu tetapi tak sangka tok kadi ambil langkah tambahan dengan memeriksa (cincin) menggunakan kanta,” katanya.
Perlu Jujur Dengan Tok Kadi
Katanya, majlis pernikahan ringkas itu hanya dihadiri keluarga terdekat yang diadakan di Surau Pematang Rawa MK7, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 26 Disember lalu.
“Bagi majlis persandingan, masih lagi belum ada tarikh yang sesuai memandangkan penularan pandemik Covid-19 belum reda.
“Saya juga tidak menyangka gambar itu tular di media sosial dan berharap ia menjadi pengajaran kepada bakal pengantin di luar sana supaya jujur dalam memberikan butiran kepada jurunikah,” katanya.
MW: Tok kadi hanya menjalankan amanah dan tanggungjawabnya. Tindakan ini seharusnya dipuji kerana tidak semua bakal pengantin di luar sana berlaku jujur. Padahal bab mas kahwin ini bukanlah perkara yang boleh diambil ringan dan dibuat main-main.
Memang nak buat baik amat sukar. Ada saja alasan diberikan. Belum sampai ‘seru’, belum bersedia, tak cukup ikhlas dan macam-macam lagi. Sebenarnya tak perlu tunggu masa tertentu kalau nak mula buat perubahan ke arah kebaikan. Yang penting, kena didik hati dulu.
Ikuti perkongsian daripada Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), juga penulis ruangan REDA ILAHI di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Alasan
Saya tidak akan lupa satu perbualan. Kala itu, saya masih di alam persekolahan. Saya punya seorang kenalan, perempuan. Ketika di sekolah, dia mengenakan tudung. Di luar sekolah, dia membukanya. Saya merasa terganggu. Sehinggalah saya bertanya dan mendapat jawapan.
“Aku tak mahu memakai tudung kerana orang. Biarlah ia datang dari keikhlasan hati aku sendiri.” Ujarnya. Ringkas sekali.
Didik hati untuk berubah.
Berubah Dari Hati
Saya percaya, isu ini bukan sekadar dia seorang. Ramai juga begitu. Mahu berubah, tetapi bukan kerana orang. Ia perlu daripada hatinya sendiri. Kita tidak perlu berhujah isu hati. Memang dalam Islam, hati perlu jadi baik.
Imam Muslim meriwayatkan, nabi pernah berkata bahawa hati itulah sang raja yang akan menentukan segala. Jika hatinya baik, maka seluruh jasadnya menjadi baik. Tutur bicara. Mata dan telinga. Kaki dan tangannya.
Benarkah Ikhlas?
Isunya, benarkah setiap tindakan mesti datang dari hati yang ikhlas? Jika begitu, semua pekerjaan akan menjadi payah. Ini kerana tidak semua perkara dalam kehidupan ini, dikerjakan dengan ‘hati yang ikhlas’.
Cuba kita hitung. Ikhlaskah anak-anak kita untuk bangun pagi, mandi, solat dan pergi ke sekolah? Kita sendiri, adakah betul-betul ikhlas ke pejabat saban hari atau selalu mengimpikan cuti? Cuba tanya isteri, ikhlaskah dia mencuci pakaian, memasak makanan dan mengemas rumah? Atau dia rasa lebih enak jika si suaminya membantu, atau mencarikan pembantu.
Tanya Hati
Mari, kita tanya kepada pengguna jalan raya. Ikhlaskah ketika dia wajib mengambil kelas memandu, dan membayar kos yang tinggi untuk mendapatkan sekeping lesen memandu? Ikhlaskah seorang penunggang motorsikal memakai topi keledar? Ikhlaskah seorang pemandu yang wajib berhenti di persimpangan jalan – biar pun kosong – hanya kerana lampu di depannya merah menyala?
Ikhlaskah kita apabila wajib membuat pasport untuk ke luar negara? Ikhlaskah apabila wajib beratur di kaunter imigresen dan menunggu giliran disoal petugas? Ikhlaskah kita apabila wajib mengambil visa dan keluar segera apabila tamat waktunya?
Yang Sara Keluarga
Paling tidak, ikhlaskah seorang suami menggunakan hampir semua gajinya untuk menyara anak dan isterinya? Ikhlaskah si isteri mengorbankan masa rehatnya untuk keperluan suami dan anak-anak? Banyak lagi jika mahu dihitung. Namun saya ingin bertanya, ikhlaskah semua itu dikerjakan?
Saya sendiri tidak ikhlas mengambil lesen, memohon pasport dan menjawab segala pertanyaan pegawai imigresen di kaunter. Jika boleh, saya mahu bebas keluar masuk ke negara mana pun yang saya suka. Tinggal seberapa lama yang saya suka. Memandu tanpa lesen dan tidak perlu mematuhi semua peraturan jalan raya.
Alasan
Jadi, adakah saya boleh mengabaikan semua itu hanya dengan alasan ‘saya belum ikhlas’? Bolehkah pegawai JPJ, polis trafik atau imigresen menerima alasan saya, menunggu ikhlas baharu mahu mengambil lessen, passport dan mematuhi lampu merah?
Adakah seorang suami boleh menjawab kepada hakim di mahkamah syariah, dia tidak memberikan nafkah lahir dan batin kepada anak dan isterinya kerana belum ikhlas?
Bolehkah si ibu menjawab kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, membiarkan anak-anaknya terlantar tanpa makanan dan pakaian, hanya kerana dia belum benar-benar ikhlas membela mereka?
Semuanya, tidak akan diterima oleh pihak yang berkuasa. Ikhlas atau tidak, setiap orang yang dengan sengaja melanggar peraturan, tetap akan ditangkap, didakwa malah didenda.
Jika begitu, bolehkah kita menerima alasan, aku belum memakai tudung, aku belum solat, aku belum bayar zakat, hanya kerana aku belum ikhlas?
Didik Hati
Hati perlu dididik. Hati perlu dilentur. Hati perlu diasuh. Ikhlas benda yang wajib dipupuk. Jika perlu dipaksakan. Sama seperti sepohon mempelam. Jika sedari awal dibaja, diberikan air yang cukup dan dijaga dari makhluk perosak, maka natijahnya ialah buah yang enak. Manis sekali untuk dicicip isinya dan bijinya menjadi benih yang baik pula. Wallahuallam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sesetengah rumah atau premis perniagaan atau tempat kerja, ada yang menggantung ayat Al Quran pada bahagian dinding. Bila terpandang, tergerak hati sama membaca apa yang tertulis tu.
Persoalannya boleh ke tidak gantung ayat Al Quran dekat bahagian dinding terutama rumah-rumah kita tu? Ustaz Azhar Idrus menjelaskan huraiannya dalam akaun instagramnya.
Gantung Ayat Quran Pada Dinding Rumah
SOALAN :
Adakah harus menggantung ayat-ayat atau surah-surah tertentu dari Al-Quran pada dinding rumah?
JAWAPAN :
Meletakkan ayat-ayat atau surah-surah dari Al-Quran pada dinding rumah seperti yang dapat dilihat dilakukan oleh masyarakat Islam sekarang ada perselisihan ulamak padanya.
Setengah ulamak mengharuskannya dengan syarat memeliharanya dan memuliakannya manakala setengah ulamak memakruhkannya.
Tersebut pada Kitab Al-Fatawa Al-Hindiyah : “ولو كتب القرآن على الحيطان والجدران بعضهم قالوا: يرجى أن يجوز، وبعضهم كرهوا ذلك مخافة السقوط تحت أقدام الناس”
Artinya : “Dan jikalau ditulis akan Al-Quran di atas dinding dan tembuk maka berkata setengah ulamak : Diharapkan bahawa hukumnya adalah harus manakala setengah mereka itu memakruhkan yang demikian itu kerana khuatir jatuh ia pada kaki-kaki manusia.” ( jilid 5 m.s. 323)
Dan tersebut pada himpunan Fatwa Negeri Oman :
تجوز كتابة الآيات القرآنية على الجدران أو نقشها عليها أو تعليقها على شكل مناظر، ولكن الواجب أن تُعظَّم وتُحترم، وتُصان عن العبث أو الامتهان، وعدم رميها مع القمامة بعد تلفها، لقوله عز وجل: (ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ) الحج/32.
Artinya : “Harus menulis ayat-ayat Quran atas dinding atau memahatnya atasnya atau gantungnya sebagai tatapan awam akan tetapi yang wajib bahawa memuliakannya dan menghurmatinya. Dan juga dipelihara dari disia-siakannya atau direndah-rendahkannya.
Dan wajib bahawa tiada diletakkan bersama benda yang kotor kemudian dari rosakya.” Ini adalah kerana firman Allah Taala :
Artinya : “Yang demikian itu maka barang siapa yang memuliakan akan syiar-syiar Allah maka sungguhnya ia adalah tanda hati yang taqwa.” (Al-Haj : 32)
Wallahua’lam
MW : Faham kan mak ayah, jika kita berniat mahu memuliakan dan menghormati ayat Al Quran itu sendiri. Letakkan lah ia pada kedudukan yang tinggi dan kukuh. Janganlah letak pada dinding dekat-dekat bahagian tandas pulak.. itu pun dah kira tak menghormati.
Dua beranak yang menjadi mangsa kes bunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru disahkan maut akibat luka parah di leher ditetak senjata tajam jenis pisau pemotong daging. Polis masih menyiasat motif kejadian tragis ini.