Selepas lebih tiga bulan ‘hilang’ dari media sosial, pempengaruh dan usahawan Hafiz Mahamad tampil dengan buah tangan pertama filem pendek arahannya berjudul Misi Ainaa.
Jelas Hafiz, dia telah membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk menerbitkan filem pendek pertamanya itu.
“Kalau saya libatkan orang luar kos filem ini mungkin mencecah jutaan ringgit, tapi apabila kita buat sendiri menggunakan pasukan sendiri, saya yang tulis skrip dan saya sendiri yang berlakon, kos yang dapat dijimatkan sekitar 50 peratus.
“Saya keluarkan kos untuk filem ini lebih kurang RM500,000,” ujarnya ketika ditemui media baru-baru ini.
Berhabis RM500K
Hafiz yang ditemui pada tayangan perdana filem pendek Misi Ainaa di IOI Putrajaya baru-baru ini memberitahu filem yang dihasilkan itu demi memberikan pengalaman baharu kepada kakitangannya dan tidak melibatkan keuntungan.
“Tidak pernah terlintas untuk menjadi pengarah dan menulis skrip, namun saya bersyukur diberikan ilham dan idea sewaktu menghasilkan Misi Ainaa.
Ads
“Semuanya saya lakukan demi abah dan mahu berikan satu pengalaman baru dan realisasikan impian staf saya.
“Apa yang kami buat tiada keuntungan daripada segi duit kerana semuanya ditayangkan di laman sosial, tiada kutipan tiket pun di pawagam.
“Namun mungkin ada peluang lain selepas ini, mungkin sudah ada kepercayaan daripada badan seperti Finas atau terbitan Ainaa Dokumentari di Netflix. Saya suka hasilkan sesuatu berdasarkan kisah benar,” ujarnya.
Menerusi naskhah yang dimuatnaik di platform media sosial, filem bergenre aksi itu turut menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Beto Kusyairy, Azhan Rani, Hasnol Rahmat, Hushairi Husain, Elfira Loy dan pelakon Indonesia, Yayan Ruhiyan.
“Ia bermula dengan angan-angan dan apabila kami cuba risik mereka dan jelaskan pembikinan Misi Aina, Alhamdulillah semua pelakon tersebut berminat dan katakan ia satu naskah di luar kotak.
“Beto sendiri mengatakan nilai yang diterima bukan menjadi ukuran namun jalan cerita yang ditampilkan,” tambahnya.
Ads
Keseluruhan jalan cerita dan skrip dinukil sendiri oleh Hafiz dengan mesej yang ingin disampaikan berkisar liku-liku perjalanan perniagaan bersama isterinya, Syafiqah Aina.
Misi Ainaa mengisahkan kejadian culik pengasas produk Ainaa Beauty, Syafiqah Aina untuk mencuri data mengenai maklumat pembangunan perniagaannya.
Komander Hafiz yang mendapat arahan daripada Jeneral Abah menyertai misi untuk menyelamatkan Aina serta pasukan lain.
Rintangan dan cabaran untuk menyelesaikan misi terbabit merupakan simbolik jatuh bangun perniagaan Ainaa Beauty sepanjang tujuh tahun.
Misi Ainaa bakal ditayangkan di semua platform media sosial Ainaa Beauty mulai 22 Februari 2024.
Sembuh dari kanser payudara tahap 4, Nurhayati nasihat jangan percaya bomoh untuk rawatan. Di sebalik kisah sembuhnya seorang wanita dari kanser payudara tahap 4, tersimpan satu pesan penuh bermakna dari Nurhayati Sahak 46 tahun.
Nasihatnya, jangan sesekali memperjudikan nyawa dengan mempercayai bomoh.
“Ramai yang memilih jalan mudah. Menolak rawatan doktor kerana takut, ragu atau terpedaya dengan janji manis kononnya ada bomoh atau pengamal perubatan ada “ubat mujarab” untuk menyembuhkan kanser.
“Hakikatnya, kepercayaan itu hanya menjerumuskan pesakit ke kancah penderitaan yang lebih berat. Saya pernah lalui semua itu. Dari menerima rawatan doktor kemudian putus asa dan percaya bomoh boleh menyembuhkan kanser, hakikatnya semua itu salah,” kata penerima Anugerah Icon Kanser Cancer Survivor Malaysia 2022.
Nurhayati Sahak, kini 46 tahun pernah dinobatkan sebagai Ikon Cancer Survivor Malaysia pada 2022 di mana dari tahap 4,dirinya kemudian disahkan bebas dari penyakit ditakuti ini
Bagi Nurhayati, pengalaman hampir meragut nyawanya dengan mempercayai kanser boleh diubati dengan rawatan bomoh menjadikan dirinya lantang mengingatkan orang lain agar tidak tersilap membuat keputusan.
“Jangan biarkan penyakit ini membunuh sebelum waktunya kerana kita silap memilih rasa percaya itu berbanding menerima rawatan doktor,”katanya memulakan perbualan.
Berbicara bersama ibu kepada seorang anak meningkat remaja, Nurhayati berkongsi perjuangannya melawan kanser payudara tahap 4 yang dihidapinya.
“Tahun 2019, saya sering demam tapi tak kebah-kebah. Kadang ada rasa sakit di bahagian payudara. Rasa macam terbakar tapi saya abaikan. Sehinggalah satu hari bengkak di bawah payudara pecah. Keluar nanah. Bila ke hospital kerana sakit, doktor cadangkan buang saja sebelah.
“Lepas bincang dengan suami, kami ikut nasihat doktor. Hari ketiga selepas nanah tu pecah, saya buat pembedahan buang payudara sebelah kiri tanggal 5 September 2019. Dan selepas dibuang itu, bila ujian makmal dilakukan, doktor sahkan saya mengidap kanser payudara tahap 4.
“Bukan saja di payudara tapi sel kanser dah merebak ke tengkuk, pelvis, rusuk dan tulang belakang. 10 Oktober 2019, saya mula jalani kimoterapi. Awalnya enam kali tapi kemudian jadi 9 kali.
“Jujurnya tak mudah. Sakit, badan panas. Muntah. Tak larat bangun. Mulut rasa besi, tak boleh angkat tangan, rambut botak, kuku jadi hitam selain kulit di bawah ketiak melepuh akibat panas radioterapi semua saya lalui. Tapi bila saya pandang muka anak, Hazim Wafri yang ketika itu berusia 8 tahun serta sokongan suami, saya bangkit. Saya bersyukur kerana masih ada keluarga yang beri sokongan. Walau rasa nak rebah tapi syukur saya mampu habiskan sembilan kali kitaran kimoterapi sebelum melalui radioterapi sebanyak 15 kali.
Suami, Mohammad Hamri Ibrahim yang banyak memberi sokongan buatnya dalam melalui ujian kanser dideritainya. Mereka kini banyak membantu CSM dalam memberi penajaan belon dan sebagainya untuk majlis2 CSM
Allah tak pernah tidur dan sentiasa memandang doa dari hamba-hambaNya.
Bagai tidak percaya, selepas lebih setahun melalui kimoterapi dan radioterapi, akhirnya berita paling manis diterimanya apabila disahkan bebas dari kanser payudaranya. Bukan payudara saja, kanser di rusuk dan pelvis turut hilang,” kata Nurhayati berkongsi perjuangannya melawan kanser.
Menyedari ramai yang perlukan bantuan dan nasihat melawan kanser, Nurhayati menyertai persatuan Cancer Survivor Malaysia (CSM) sebagai sukarelawan demi membantu wanita lain. Jika dulu bermula sebagai ahli, dia kini merupakan insan penting menjaga negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Kami beri mereka katil dan mesin oksigen. Kadang kami datang ke rumah ziarah. Beri nasihat buat pasangan yang adakalanya putus asa dengan ujian ini.Jujurnya bila diuji kanser tak mudah. Kesakitan bukan saja pada penyakit dialami tapi pada emosi dan jiwa. Sebab itulah kekuatan dan sokongan dari pasangan sangat diperlukan melawan penyakit ini.
Program ziarah dan bantuan diberikan oleh Nurhayati bersama CSM kepada mereka yang diuji kanser selepas dirinya bebas dari kanser
“Buat masa ini CSM di Kuala Lumpur dan Selangor ada 8 katil yang kami beri pinjam pada pesakit kanser. Tak perlu bayar apa pun. Andai pesakit dijemput Allah, katil ini akan diberi pinjam pada pesakit lain pula. Begitu juga mesin oksigen, kami ada tiga unit. Semuanya diberikan percuma kerana kami Ngo yang non profit,”katanya ketika kunjungan Nurhayati ke Mingguan Wanita.
Jika di awal 2021, dirinya disahkan bebas dari kanser payudara, ujian Allah semasa Covid melanda dunia pada 2022, sekali lagi Nurhayati diuji penyakit berbahaya ini.Kali ini bukan di payudara sebaliknya kanser dikesan pelvis, tulang belakang, pinggang serta paru-parunya.
“Saya ikut saja saranan doktor untuk buat kimoterapi termasuk disarankan membuang rahim. Bayaran perlu dibayar RM68,000. Ubat kali ini agak mahal tapi kami usahakan juga kerana saya mahu sihat. Sekali lagi saya perlu bertahan melalui kesakitan semasa kimoterapi dan radioterapi. Tapi demi untuk sihat, saya ikut semua saranan doktor.
“Sekarang ini kemajuan dalam dunia perubatan juga semakin memudahkan pesakit kanser. Hanya makan pil yang mana pesakit tak perlu duduk di hospital lagi untuk rawatan. Kesannya sama macam buat kimoterapi.
“Syukur alhamdulillah, bulan lapan tahun lalu doktor sahkan kanser yang ada pada saya sudah tiada. Rasa nak menangis bila mengenang perjuangan melawan kanser ini. Dan di tahun 2025 ini, saya hanya perlu memakan ubatan bagi mengekang kanser kembali menyerang.
“Kos ubatan saya sebulan mencecah RM3100 dan syukur ianya dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor. Rawatan juga saya terima di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam. Doakan saya terus sihat,” katanya yang mengakui antara memberi kesembuhan buat dirinya selain doa ialah sokongan dari suami dan ahli keluarga.
Program CSR dilakukan oleh Cancer Survivor Malaysia bagi membantu pesakit kanser menikmati kehidupan
“Sebab tu saya sertai CSM. Bila bertemu orang ramai yang diuji sama, kita boleh sama-sama faham tentang penyakit ini. Kata orang saling membantu satu sama lain,” katanya memaklumkan dengan bantuan suami, Mohammad Hamri Ibrahim mereka sering menjadi penjaga bagi projek-projek CSM seperti penyediaan belon dan sebagainya.
“Ini salah satu kegembiraan saya. Buat perkara yang mampu bahagiakan orang lain juga,”katanya yang mengharapkan mereka yang diuji dengan kanser terus kuat melawan penyakit ini.
Hari ini juga, wakil CSM Kl/ Selangor telah menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada kepada Tabung Pesakit Hospital Ampang.
Pagi ini wakil CSM Selangor, Melissa Tan, Amnah Salleh, Wafri Hamri Wafri Yaty telah mengadakan kunjung hormat kepada Dr Kasuadi bin Hussin Pengarah Hospital Ampang dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM 10, 000.
CANCER SURVIVORS MALAYSIA mengambil kira ramai pesakit Kanser Darah dari seluruh Malaysia perlu ke Hospital Ampang untuk menjalani Rawatan Pemindahan Stem Cell
Ramai juga pesakit kanser darah seperti, Limfoma, Leukimia, LCH yang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Ampang.
Jom bersama kami sertai Pink Ribbon Run pada 25 Oktober 2025 ini di Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majalah Nona dan Mingguan Wanita.
Sama-sama kita beri semangat dan kekuatan kepada kaum wanita yang diuji dengan kanser payudara ketika ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap kali Samsung Malaysia memperkenalkan produk terbaharu, pastinya ia bakal menjadi talk of the town. Mana tidaknya, ia pastinya datang dalam pelbagai spesifikasi menarik yang bersesuaian untuk pelbagai keperluan pengguna.
Samsung Galaxy A55 yang baharu sahaja dilancarkan pada awal Mac 2024, bersama Galaxy A35 cukup menarik untuk diperkatakan. Walaupun pada segi zahirnya nampak serupa, namun A55 menawarkan reka bentuk badan keluli, dan pemproses Exynos 1480 yang lebih baru dengan masing-masing ditawarkan pada harga RM 1,999 (A55) dan RM1,699 (A35).
Telefon ini menawarkan skrin AMOLED FullHD+ lebih besar iaitu 6.6 inci, dengan kadar segar 120 Hz untuk animasi yang lancar. Kedua-duanya dilengkapi perisian antara muka One UI 6.1 Samsung berlandaskan Android 14, dan dijanjikan kemas kini lima perisian dan keselamatan untuk tempoh lima tahun.
Bingkai Baharu Lebih Premium
Antara keistimewaan A55 adalah ianya didatangkan dengan bingkai baharu sekaligus memberikan rasa lebih premium kepada peranti berkenaan. Perbezaan utamanya jika dibandingkan dengan pasangan A34/A54 terdahulu terletak pada bahagian sisi-sisi yang rata.
Butang sisi ditempatkan pada tonjolan kecil di sebelah kanan, yang mana terasa lebih tinggi jika anda mempunyai tangan yang lebih kecil, untuk mencapai bar navigasi selepas menekan butang menaikkan volum mungkin perlu mengubah kedudukan telefon di tangan anda.
Telefon ini mempunyai penarafan IP67 untuk kalis air dan debu. Bahagian belakang dilapisi dengan Gorilla Glass, manakala bahagian hadapan menggunakan Gorilla Glass Victus+. Dengan skrin yang lebih besar, Galaxy A55 hanya sedikit lebih besar daripada pendahulunya, A54 dan A53, dari segi ketinggian, 161.1 milimeter (mm) dan lebar (77.4 mm), susulan bezel yang lebih nipis, tetapi kedalaman tidak berubah pada 8.2 mm.
Skrin Lebih Besar, Pasti Jadi Pilihan Wanita
Galaxy A55 pasti menjadi pilihan pengguna yang menggemari skrin besar. Skrin 6.6-inci ini sangat baik untuk permainan digital dan video, dan tidak mengalami masalah apabila digunakan di luar bangunan. Meskipun tahap pencerahan adalah 1000 nit, tidak terlalu tinggi namun ia sudah memadai.
Sementara itu, Samsung turut menekankan penggunaan Keselamatan Samsung Knox dalam Samsung A55 ini. Ia adalah sistem keselamatan yang dibangunkan Samsung yang terbina ke dalam telefonnya. Ini sesuai untuk mereka yang menginginkan lapisan keselamatan tambahan apabila datanya disimpan dalam peranti mereka.
Prestasi Galaxy A55
Apa yang boleh penulis katakan, Galaxy A55 memberikan pelbagai “kejutan”. Mana tidaknya, telefon kelas pertengahan sebelum ini menerima pelbagai gangguan dalam penggunaannya, namun ianya ternyata tidak pada Galaxy A55 ini. Exynos 1480 yang terdapat dalam telefon ini mempunyai spesifikasi yang mantap, termasuk GPU baharu yang menggunakan seni bina grafik AMD RDNA. Galaxy A55 menawarkan pengalaman pengguna yang lancar dan pantas secara umumnya.
Pada pengamatan penulis, Galaxy A55 mempunyai rangkaian ciri penyambungan lengkap, termasuk Wi-Fi 6 dan 5G. Ia mempunyai slot SIM hibrid, yang boleh mengambil dua SIM fizikal atau satu SIM dan satu kad microSD. Untungnya, telefon ini turut menyokong eSIM di banyak pasaran, jadi anda masih boleh menggunakan dua rangkaian mudah alih dan storan luaran pada masa yang sama.
Meskipun tiada fungsi Galaxy AI, ia bukanlah halangan utama untuk memiliki telefon kelas pertengahan ini pada harga mampu milik kerana Galaxy A55 menawarkan pengalaman One UI yang kebanyakannya lengkap. One UI mungkin antara antara antara muka pengguna tersuai terbaik dalam landskap Android, dan walaupun ia dikenali mengalami kekangan dan kelambatan pada peranti kelas pertengahan, perkara ini tidak berlaku pada Galaxy A55.
Foto Malam Lebih Baik
Galaxy A55 menggunakan perkakasan kamera yang sama seperti Galaxy A54 (kamera utama belakang 50MP, kamera ultra-lebar 12MP, kamera makro 5MP, dan kamera hadapan 32MP). Kali ini, Samsung mempertingkatkan kualiti seperti foto malam yang lebih baik dan penstabilan video, hasil daripada perubahan yang dibuat kepada algoritma kamera. Antara ciri menarik yang perlu diberi perhatian pada Galaxy A55 ialah ia menyokong penstabilan elektronik dalam rakaman video 4K@30fps, elemen yang bakal menarik perhatian bagi mereka yang suka merakam video semasa bergerak!
Jangka hayat bateri
Jangka hayat bateri pada Galaxy A55 sungguh menakjubkan. Ia mempunyai bateri 5,000 mAh yang sama seperti Galaxy A54, tetapi jauh lebih cekap, mungkin berkat cip Exynos baharu dan pengoptimuman pada bahagian perisian.
Antara foto yang dirakam menggunakan Samsung A55
Secara keseluruhannya, Galaxy A55 merupakan sebuah pembaharuan yang cuba diterjemaj oleh Samsung segi prestasi peranti. Pada pandangan penulis, telefon Galaxy kelas pertengahan ini memberi dimensi baharu buat pengguna merasai gaya lebih premium apatah lagi dengan jangka hayat bateri yang lebih baik. Galaxy A55 boleh disimpulkan sebagai pilihan untuk individu yang mencari telefon kelas pertengahan baru dan tidak cerewet soal prestasi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kedatangan Ramadan merupakan pesta ibadah yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengejar pahala yang berlipat kali ganda. Selain melakukan ibadah, hidangan berasaskan bufet Ramadan juga turut menjadi pilihan ramai. Inginkan kelainan untuk berbuka puasa tahun ini? Mingguan Wanita ada jawapannya.
BIFE Charcoal Steakhouse meraikan bulan yang istimewa ini dengan menawarkan bufet Ramadan gabungan masakan Melayu dan churrasco styled grilled meat.
Terkenal dengan konsep panggangan arang yang autentik, restoran ini menawarkan pengalaman menjamu selera yang memikat dengan aroma daging yang menggoda dan rasa yang menggiurkan.
Pasti ramai yang tertanya-tanya maksud di sebalik nama BIFE itu bukan? BIFE Charcoal Steakhouse merupakan restoran Brazilian Steak terkenal dan merupakan satu-satunya milik penuh Bumiputera yang telah beroperasi sejak November 2019.
Tahun ini merupakan tahun kelima restoran yang terletak di The LINC Kuala Lumpur ini mengadakan bufet Ramadan dengan konsep ‘fusion menu’.
Gaya Buffet Berbeza
Tahun ini, ia menampilkan gabungan unik masakan Melayu dan churrasco styled grilled meat yang menjadi kepakaran restoran ini. Antara hidangan utama yang ditawarkan termasuk 11 jenis daging panggang premium, Kambing Panggang Istimewa, seleksi pasta dan pelbagai jenis sup seperti Sup Berempah, Sup Sayuran, Mi Goreng Mamak, Nasi Hujan Panas, Rendang, Soto dan banyak lagi.
Selain menyajikan daging panggang berkualiti tinggi, restoran ini turut menampilkan hidangan tradisi yang dekat di hati masyarakat Malaysia termasuklah aneka kuih tradisi, Cucur Udang serta juadah pencuci mulut seperti Kek, Aiskrim, Cendol, Air Batu Campur, Buah-buahan, Rojak Buah dan pilihan salad segar.
Bufet Ramadan di BIFE Charcoal Steakhouse boleh dinikmati pada harga yang berpatutan iaitu RM128.00nett bagi dewasa dan RM64.00 bagi kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah dan boleh dinikmati bermula jam 6.00 petang hingga 10.00 malam sepanjang bulan Ramadan.
Restoran ini mempunyai kapasiti keseluruhan seramai 160 orang dengan ruang dalaman yang boleh memuatkan seramai 90 orang. Susunan meja di ruang dalaman boleh disesuaikan mengikut permintaan pelanggan bagi kumpulan besar dan mampu menampung sehingga 100 orang pada satu-satu masa.
BIFE menjanjikan suasana tenang dan ruang makan yang selesa buat seisi keluarga. Pelanggan Muslim yang ingin mendirikan solat boleh menggunakan kemudahan Surau yang disediakan oleh pihak The LINC KL.
Sekadar informasi, BIFE Charcoal Steakhouse mengetengahkan kaedah rotisserie berkonsepkan Brazilian churasco style grilled meat yang dipanggang dengan arang kayu bakau menjadikan pelanggan yg hadir ke BIFE boleh menikmati kelazatan daging panggang yang beraroma dan sangat enak, dihantar terus ke meja makan dari dapur panas dan dihidangkan berulang kali mengikut permintaan pelanggan.
Penulis yakin menu yang disediakan semestinya memenuhi kepuasan penggemar daging termasuklah Australian grain-beef premium Sirloin, Picahna, Garlic Beef, Lamb Shoulder, Chicken Wings, Drummet, Sotong Mediterranean, Udang Harimau dan Pineapple Glaze.
Hidangan Berkualiti
Dari segi suasana, restoran ini menawarkan dekorasi moden dengan sentuhan klasik, memberikan keselesaan kepada para pengunjung. Dengan pencahayaan yang hangat dan susunan meja yang eksklusif, Bife Charcoal Steakhouse sesuai untuk pelbagai majlis seperti makan malam romantik, perjumpaan keluarga, atau jamuan perniagaan.
Untuk maklumat lanjut tentang bufet Ramadan ini, anda boleh layari ke media sosial BIFE Charcoal Steakhouse.
Gadis 15 tahun hilang sejak Oktober 2025 dan keluarganya merayu bantuan orang ramai. Baca laporan penuh dan ketahui ciri-ciri Qaseh untuk membantu pencarian.