Sebelum anak-anak melangkah ke alam persekolahan, mereka belajar dulu dalam kelas taska, tadika mahupun pra sekolah. Guru tadika lah yang anak-anak ini kenal dulu.
Sayangnya, kata lelaki ini, Mohd Razli Jalil, tak semua orang memandang tinggi terhadap kerjaya pendidik dari kalangan guru-guru taska mahupun tadika.
Hakikatnya, inilah yang mak ayah perlu tahu apakah kebenaran yang berlaku pada seorang guru tadika.
Paling Seronok Tengok Anak-anak Menjadi
“Belajar tinggi tinggi jadi cikgu Taska,Tadika dan prasekolah je, basuh berak budak.”
“Senang je jadi cikgu Pendidikan Awal Kanak-Kanak Ajar ABC, 123 je.”
“Jadi cikgu taska dan tadika senang je jaga budak budak.”
Mentaliti orang kita. Suka pandang rendah pada pendidik seperti kami sebagai seorang Cikgu Taska Dan Tadika sahaja.
Memang sungguh mencabar. Tapi itulah hakikatnya. Bidang pendidikan awal kanak-kanak ini memang menyeronokkan dan ada auranya sendiri. Paling indah dan paling seronok bila tengok anak-anak ini menjadi anak-anak yang baik dan berjaya dalam apa jua bidang mereka.
Apa Hebatnya Jadi Guru Tadika Ini
Meh kita tengok apa kehebatan cikgu tadika ini:
Ads
1. Bila pelajar menangis, pujuk dengan macam-macam cara.
2. Bila pelajar tak mahu bergerak, cikgu akan dukung walaupun badan mereka besar dari biasa.
3. Kadang-kadang ada pelajar yang terbuang air kecil atau besar dalam seluar semasa sesi pembelajaran, muntah lepas makan atau sebagainya, cikgu jugalah yang tolong basuhkan. Terutamanya Kelas Baby Rose.
4. Datang tak tahu baca, tulis dan kira, hujung tahun semua pandai macam-macam.
5. Latih anak kecil bersukan, ingat senang ke? kita suruh lari ke depan mereka lari ke belakang.
6. Mengajar membaca perlu masa, nak ajar bunyi satu huruf pun jenuh, inikan pula nak ajar mereka membaca buku.
Jadi walau apa pun orang cakap kami saja tahu apa tugas kami sebagai pendidik. Semoga terus tabah & teruskan perjuangan sebagai seorang pendidik.
MW : Sememangnya tak ramai di kalangan lelaki yang berani menceburi kerjaya guru pendidikan awal kanak-kanak. Jumlahnya boleh sangat dihitung jika dibanding perempuan. Usaha yang anak muda ini lakukan, sewajarnya perlu dipuji dan dihargai.
Mak ayah akan lalui saat paling kental dalam hidupnya semasa menguruskan perjalanan akhir jenazah anaknya sendiri.
Cuma pernahkah mak ayah ambil tahu, apa yang perlu dilakukan apabila kematian itu berada di depan mata kita? Inilah yang dikongsikan oleh Nik Irma Rita Ns, ibu yang melalui sendiri pengalaman menguruskan jenazah anak kesayangannya, Dahlea Hawraa.
Si kecil Dahlea ini seorang ‘cancer fighter’ yang mengakhiri perjuangan hidupnya kerana bone marrow transplant.
Apakah pernah kita terfikir, suatu hari nanti kedua tangan ini akan menguruskan jasad tak bernyawa dan pada masa itu baru kita sedar, kita sebenarnya tak punya ilmu menguruskan jenazah?
Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia. Sibuk mencari ilmu hingga anak sudah empat lima tapi masih sibuk mengejar ilmu dunia. Kita berlumba-lumba mencari mentelaah berbagai jenis ilmu.
Untuk menjadi guru terbaik, tukang masak terbaik, penjual atau pakar motivasi terhebat, tapi satu-satunya ilmu yang nampak remeh dipandang enteng, langsung kita tak ambil peduli, iaitu ilmu pengurusan jenazah.
“Argh.. bukan nak mati esok.. Anak masih sihat what? Mak ayah alhamdulillah, sihat walafiat.” Maka kita pun membiarkan bisik hati kecil itu berlalu dengan angin yang bertiup.
Sungguh, di saat nafas akhir Dahlea terhenti, aku tiba-tiba kaku dan kelu. “Apa aku nak buat ni Ya allah..”. Mujurlah ketika itu ada nurse menenangkan kami dan dia cakap, “Tak apa kak. Kami uruskan. Untuk bawa balik. Jenazah nak bawak ke mana?”.
Maka berterusanlah segala soalan dan tanda tanya bersambung sambung lepas satu-satu. Iya lah. Dah bawak balik, lepas tu? Apa nak buat? Keliru.
Maka inilah yang dapat diringkaskan, segala apa yang dapat aku pegang untuk peringatan dan rujukan masa depan.
Jika rumah dekat dengan masjid atau surau, bergaullah dengan ahli jemaah masjid/surau. Sekurang kurangnya bila ada kematian, mereka lah yang akan membantu dalam urusan memandikan dan mengkafankan jenazah.
Apa lagi nak solat jenazah usai semua telah selesai dan hendak di kebumikan.
* Sedikit input yang dapat dari perkongsian sahabat, isi borang ahli khairat supaya apa-apa urusan di kemudian hari sangat mudah kerana kita merupakan anak Qariah.
Ambil tahu tanah perkuburan yang terdekat dengan kawasan kita. Sungguh sedikit tertampar dengan diri sendiri, bila aku sendiri tak tahu di mana anak bakal dikebumikan.
Mujurlah ada ketua muslimah masjid membantu kami menguruskan urusan tanah kubur dengan satu panggilan. Ya, alhamdulillah aku kenal seorang dua orang masjid walaupun jarang sekali melangkah ke sana.
Kain batik lepas / kain sarung / kain tak berjahit. Ini lah yang selalu kita dengar orang tua-tua pesan. Kena ada sekurang-kurangnya sehelai dua.
Kain itulah yang akan digunakan untuk menutup jenazah, jika jenazah di bawa pulang ke rumah sebelum urusan pengkebumian dilakukan.
Dan kain batik lepas juga diperlukan ketika urusan memandikan jenazah. Jika jenazah dewasa memang perlu sekurang-kurangnya 4-5 helai. Tak terlepas kain tuala bersih untuk urusan memandikan jenazah.
Persediaan rumah dan tempat meletakkan jenazah jika dibawa pulang. Ini perkara penting dan ketika inilah ahli keluarga dan sahabat terdekat perlu memain kan peranan.
Ketika Dahlea meninggal dunia, kami memang benar-benar tidak menyangka kami akan membawa dia pulang dengan keadaan yang sudah tidak bernyawa.
Urusan kami di hospital, menyukarkan kami untuk menguruskan hal rumah. Maka ketika itu keluarga, sahabat dan jiran terdekat yang tolong kami mempersiapkan rumah.
Mengemas, dan sebuah katil kecil disediakan rapi untuk kami letakkan jenazah, usai tiba dari hospital. Jika tiada katil, tilam sudah mencukupi dengan sebiji bantal.
Kain jarang / selendang nipis diperlukan untuk menutup wajah jenazah, mudah untuk tetamu yang hadir melihat arwah kali terakhir.
Masih aku ingat, terkial-kial aku mencari selendang putih nipis, namun satu pun tiada. Mujurlah, dengan bantuan orang, tudung bawal digunakan.
Pastikan kita ada simpanan surah yasin sekurang-kurangnya 5-10 naskah. Letak berhampiran atau tempat yang senang untuk tetamu yang datang ambil dan membaca yasin.
Alhamdulillah, ketika itu kami memang banyak simpanan Yasin hasil dari hadiah doorgift kebanyakannya yang kami dapat dari majlis kenduri dan doa selamat.
Ini peranan ahli keluarga terdekat, sahabat dan jiran tetangga. Kita tahu ramai tetamu dan pengunjung yang akan datang ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir.
Tuan rumah yang masih bersedih sudah pasti tidak mampu menyediakan apa-apa santapan untuk tetamu.
Jadi kalianlah harus memainkan peranan dengan niat membantu dan bersedekah, beli atau sediakan sedikit minuman dan makanan ringan untuk tetamu yang hadir.
Syukur tak terkira juga kami pada hari itu, jiran membantu membeli air kotak dan pelbagai jenis biskut, ada tetamu yang membawa buah tangan makanan dan bermacam lagi.
Tak ku lupa sahabat baik yang menempah dan membawa bihun goreng keesokan harinya untuk sarapan pagi kami dan ahli keluarga. Ya nampak kecil tapi bermakna sebenarnya. Banyaknya pahala mereka dapat hari itu.
Ini yang utama. Aku ada segala ilmu tapi aku jahil dan alpa dalam menuntut ilmu menguruskan jenazah. Ya, aku tak tahu bagaimana memandikan jenazah.
Aku tak tahu macam mana hendak mengkafankan jenazah. Namun semuanya telah elok di atur oleh Allah s.w.t.
Hari itu, aku dan dibimbingi seorang ustaz, dengan kedua tangan ini juga kami berpeluang memandikan dan mengkafankan jenazah anakanda Dahlea kami.
Walaupun suami sebenarnya tahu dan belajar bagaimana untuk menguruskan jenazah, tapi untuk keadaan hari itu, dia jadi kelu tiba-tiba seakan tidak tahu mahu berbuat apa. Kami hanya menurut telunjuk kata orang lain.
Bayaran yang kita perlu ambil tahu dalam menguruskan jenazah ialah, bayaran van jenazah, bayaran untuk penggalian lot tanah kubur( upah penggali kubur), bayaran pengurusan jenazah ( jika urusan memandikan dan mengkafankan dilakukan di masjid, ada bayaran dikenakan).
Dan baru aku tahu batu nisan dan kepok itu harganya sangat mahal. Maka dikedepan hari, aku tahu aku perlu membantu rakan-rakan yang ada kematian.
Jika urusan memandikan dan mengkafankan jenazah bakal dilakukan di rumah, belilah set kafan yang ada dijual di pasaran untuk simpanan kita.
Dulu aku memandang sinis dengan benda-benda macam tu, tapi kini tidak lagi. Aku tahu ia satu keperluan. Cuma kami bernasib baik , kerana pihak masjid mampu menyediakan semua.
Untuk lelaki, yang terbaik itu jika kalian sendiri yang menjadi imam untuk solat jenazah. Belajarlah. Bukankan itu yang terbaik? Selama mana kalian telah menjadi imam kepada keluarga kalian di sepanjang hanyat mereka, yang terbaik itu kalian sendiri yang menjadi imam di hari terakhir mereka.
Ianya memang sesuatu yang mudah utk dibicarakan namun sukar untuk dilaksanakan, bilamana suami sendiri tidak mampu untuk melafazkan kalimah keramat kerana diselubungi rasa kesedihan dan hanya mampu mengikut imam di saf kedua.
Belajarlah bagaimana keadaan jenazah harus diletakkan di dalam liang lahad. Moga bila ada antara ahli keluarga kita meninggal terutama ibu bapa kita.
Diarlah kalian anak-anak lelaki yang dengan sama-sama sendiri mengusung dan memasukkan jenazah ke dalam liang lahad.
Sungguh hari itu, tika ayah mertua ku di dalam liang menunggu untuk menyambut arwah Dahlea, hati kecil ku berkata “how mommy wish to be inside there adik, put you for your final sleep. But i can’t.”
Dan di saat dia telah kaku dan tidak bernyawa, dia mengajar dan memberi ruang untuk kami menjalankan tanggungjawab kami sebagai ibu bapa iaitu menguruskan perjalanan terakhir dia dengan kedua tangan kami sendiri.
Tak terbayang nilai kepuasan dan betapa beruntungnya kami dapat menguruskan jenazah anak dengan tangan kami sendiri.
Aku sudah belajar. Moga bermanfaat untuk kalian.
Dahlea Hawraa, Bunga syurga.
Dia sudah penat berjuang. Dia srikandi di medan perang sendiri.
Dalam kenangan : 19 March 2017 – 5 November 2018
91 days journey of bone marrow transplant.
Acute myleoid leukemia , high risk. Cause of death : Acute Graft Versus Host disease stage 4 (post haploid bone marrow transplant)
Buat wanita yang sedang berdiet atau mak-mak yang selalu beli salad jenis ‘romaine lettuce’ ni, mohon hati-hati iya. Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penjualan produk ‘romaine lettuce’ yang diimport dari Amerika Syarikat ditarik balik daripada pasaran.
Kementerian Kesihatan menasihatkan pengguna supaya tidak memakan ‘romaine lettuce’ yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) berikutan laporan sayur berkenaan dicemari bakteria patogenik Escherichia coli (E.coli) di negara itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia ada mengimport ‘romaine lettuce’ dari AS dan kementerian sudah mengenakan tindakan penguatkuasaan “Tahan, Uji dan Lepas” (TUL) terhadap sayur jenis itu yang diimport.
“Pengguna dinasihatkan supaya menyemak label produk untuk mengenal pasti negara asal produk dan pengguna yang sudah membeli sayur ‘romaine lettuce’ dari AS dinasihatkan supaya tidak memakannya.
“Bagi mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, loya, muntah dan sakit kepala selepas memakan sayur ‘romaine lettuce’ itu perlu segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laman sesawang Washington Post dalam artikel bertajuk ‘Romaine Lettuce Is Not Safe To Eat, CDC Warns U.S. consumers’ pada 20 November lalu menyatakan pihak Centers For Disease Control (CDC) and Prevention di AS melaporkan, seramai 32 orang dari 11 daerah di AS jatuh sakit akibat memakan ‘romaine lettuce ‘ yang dicemari bakteria patogenik E.coli.
Dr Noor Hisham berkata, kementerian melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan juga sudah mengenal pasti pengimport yang mengimport sayur ‘romaine lettuce’ dari AS dan mengarahkan supaya menarik balik sayur itu dari pasaran mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13C(2), Akta Makanan 1983.
“Kegagalan mematuhi peruntukan seksyen itu adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.
“Selain itu, penjual juga diminta supaya menghentikan penjualan sayur itu serta-merta,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, E.coli adalah sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen.
Katanya, dalam kes yang tertentu, ia boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, orang tua atau orang yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.
Beliau turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan mengenai isu keselamatan makanan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
MW: Jadi buat mak-mak, bila beli sayur tu, lebih berhati-hati iya. Semak label dahulu dan buat masa ini elakkan terbeli salad jenis ini keluaran Amerika Syarikat yang boleh membahayakan kesihatan diri.
Nama Lisdawati bukanlah sosok yang asing dalam dunia seni lakonan tanah air. Mula aktif sejak 18 tahun yang lalu, Lisdawati tidak pernah menyepikan diri dalam dunia lakonan walaupun sudah berumah tangga dengan aktor dan pengarah yang berbakat besar, Fauzi Nawawi pada 2007.
Hasil perkongsian hidup pasangan selebriti ini dikurniakan empat orang cahaya mata. Lisdawati yang baru sahaja melahirkan anak keempat mereka baru-baru ini telah dijemput untuk menghiasi muka depan MW.
Memasuki usia 40-an pada tahun ini, Lisdawati tampil cukup menawan meskipun sudah beranak empat dan juga baru melepasi tempoh berpantang. Menurut aktres ini, walaupun sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, tawaran berlakon tidak pernah putus untuk dirinya. Tapi dengan statusnya itu, fokus utama adalah keluarga tapi tidak menolak jika ada tawaran watak yang sesuai dengan dirinya.
“Alhamdulillah saya baru sahaja lepas berpantang anak yang keempat. Sekarang bayi lelaki saya sudah berumur dua bulan setengah. Saya masih lagi aktif berlakon dan baru-baru ini saya telah muncul dalam drama bersiri Bahagia Bukan Bidaan bersama suami saya, Fauzi Nawawi dan beberapa pelakon lain seperti Nora Danish dan juga Dato’ Adi Putra.
“ Ketika penggambaran drama tersebut, usia bayi saya baru sahaja 20 hari. Saya dah terima tawaran berlakon ni sebelum bersalin lagi. kalau nak ikutkan saya bersalin awal 10 hari dari tarikh jangkaan. Jadi kerana komitmen tersebut saya perlu lakukan juga penggambaran tersebut.
“Nasib baik saya berlakon bersama suami dan adegan yang melibatkan saya semuanya di rumah. Jadi saya tidak terlalu terdedah dengan angin luar. Bayi saya juga saya perlu bawa bersama kerana dia masih menyusu badan. Saya bawa pembantu untuk uruskan bayi ketika saya berlakon. Syukur semuanya dipermudahkan. Ada ketikanya saya perlu bawa makanan pantang saya sendiri, jadi walaupun perlu berlakon, rutin pantang saya tetap diteruskan,”ceritanya tentang pengalaman berlakon ketika masih dalam pantang.
Menurut Lisdawati lagi, sungguhpun dirinya bergelar isteri dan juga ibu, bahkan penampilan juga sudah agak berubah, itu semua sedikit pun tidak memudarkan minatnya dalam bidang lakonan. Malah sehingga kini dia masih lagi aktif dan rezekinya sentiasa ada. Jiwa seni dalam dirinya sentiasa menebal namun fokusnya kini lebih kepada keluarga tercinta.
Tambahnya lagi, ada juga tawaran lakonan lain yang datang selepas drama Bahagia Bukan Bidaan tapi memandangkan bayinya yang masih kecil dan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga, hanya tawaran berlakon yang bermula pada tahun hadapan yang diterima Lisdawati.
Turut berkongsi pengalaman hamil di usia yang agak lewat, jelas Lisdawati memang ada perbezaan ketara daripada kehamilannya yang terdahulu.
“Kali ini saya hamil pada usia 40 tahun, memang berbeza dengan yang terdahulu. Dari segi tenaga terutamanya dan juga nak dapat balik bentuk badan yang asal seperti dahulu. Hamil pada usia dah menjangkau 40-an ini banyak yang perlu dijaga. Saya banyak jaga pemakanan dan melakukan senaman untuk kembalikan bentuk badan yang asal. Bagi saya mudah sahaja, apa yang kita lakukan sekarang adalah bekalan untuk hari tua, jadi penting untuk saya menjaga pemakanan saya dan yang sentiasa menjadi amalan adalah minum air kosong yang banyak.
“Saya memang tak boleh kalau tak minum air manis tapi apa yang saya lakukan adalah pastikan diri sentiasa berdisiplin untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari,” ujarnya lagi.
Walaupun sudah memasuki usia 40-an dan mempunyai empat orang anak, ibu kepada Nor Aini Farhana, Nor Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh ini tetap kelihatan muda dan jelita. Turut berkongsi rutin pemakanan yang diamalkan menurut Lisdawati, dia jarang makan ayam dan daging.
“Saya memang seorang yang jaga pemakanan. Saya memang jarang makan ayam dan daging. Dalam hidangan untuk saya sendiri atau keluarga, memang saya banyakkan sayuran terutamanya lobak merah. Anak-anak dan suami memang dah sedia maklum, kalau saya yang masak, lobak merah pasti ada dalam menu kami.
“Untuk makan malam pula, saya lebihkan sayuran dalam hidangan. Kalau ambil nasi dan lauk, separuh pinggan saya adalah sayuran. Saya pernah buat eksperimen dengan badan saya. Dua minggu saya tak jaga makan dan makan ayam setiap hari, hasilnya badan saya naik 4kg. Nak turunkan balik punyalah lama ambil masa. Sejak itu saya kurang makan ayam dan daging. Kalau nak makan protein, saya lebih memilih ikan dan juga makanan laut yang lain sebagai ganti.
“Bagi saya, paling penting adalah jaga pemakanan dan lakukan senaman. Kita sendiri tahu apa yang badan kita perlukan. Kalau nak diet pun boleh tapi jangan sampai paksa diri tidak makan dan sebagainya. amalkan pemakanan yang sihat dan jangan lupa bersenam itu yang paling penting,” ulasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai suaminya, Fauzi Nawawi yang pernah dijemput ke program Talkshow MW untuk perbincangan tentang isu panas baran, Lisdawati akui suaminya itu pernah suatu ketika dahulu panas baran. Namun itu semua cerita lama, semakin matang usia dan perkahwinan mereka, sikap itu sedikit demi sedikit berkurangan.
“Saya akui suami saya dahulu panas baran. Sebelum berkahwin juga saya pernah dimaklumkan oleh ibunya tentang hal ini. Bila dah kahwin dan hidup bersama, baru saya alami sendiri. Tapi suami saya tidak pernah berbuat apa-apa yang memudaratkan fizikal dan juga emosi saya selama kami bersama. Biasanya kalau dia marah, mukanya bertukar merah dan dia akan keluar dari rumah untuk tenangkan diri.
“Sepanjang 11 tahun kami bersama, apa yang saya ingat sepanjang tempoh tersebut hanya dua kali kami berselisih pendapat yang agak serius. Apa yang kami berdua buat berbincang menerusi mesej atau whatsapp. Kami memang tak bergaduh depan-depan atau dalam telefon. Tujuannya kami tak mahu bila berdepan, lagi tambah mengeruhkan keadaan dengan nada suara yang tinggi dan sebagainya. Alhamdulillah, cara itu berkesan untuk kami berdua,” kongsi artis cantik ini.
Jelas Lisdawati lagi, ketika meniti usia bersama dengan beberapa ujian dalam kehidupan yang melanda, membuatkan suaminya lebih muhasabah diri. Setelah lapan tahun berkahwin, Fauzi mula menunjukkan perubahan positif dan sikap panas baran juga sudah berkurangan. Malah hubungan mereka berdua juga bertambah baik ditambah dengan kehadiran empat orang cahaya mata yang melengkapkan kehidupan mereka di samping empat orang anak Fauzi yang lain menerusi perkahwinan terdahulu.
Mempunyai empat orang anak tiri yang sedang meningkat remaja, Lisdawati ternyata cukup disenangi. Malah keempat-empat mereka kini juga sudah tinggal bersama kerana melanjutkan pelajaran di ibu negara.
“Alhamdulillah, hubungan saya dengan anak-anak suami memang baik. Ada yang belajar di universiti dan kolej di Lembah Klang. Jadi setiap hari minggu, jika tiada kelas, mereka akan balik ke rumah kami.
“Nak jaga hubungan dengan anak-anak yang meningkat dewasa ini bagi saya bergantung kepada diri kita sendiri. Buatkan mereka rasa selesa bila berada dengan kita, jadikan kawan dan dengar apa sahaja cerita mereka. Dengan cara itu mereka akan sedar bahawa saya dan suami sentiasa ada untuk mereka. Lagi pula anak-anak abang Fauzi memang semuanya baik-baik, hormat saya dan sentiasa senangkan hati kami berdua.
“Saya layan mereka sama sahaja dengan anak-anak saya, tak ada bezanya. Kalau beli baju raya, kami semua sedondon. Kalau pergi bercuti, lapan-lapan orang kami bawa. Kalau kena marah pun sama, tiada diskriminasi antara anak kandung dengan anak suami. Apa yang saya ajar anak-anak saya, saya berikan yang sama untuk anak-anak tiri saya, begitu juga soal kasih sayang,” jelas Lisdawati.
Tambah Lisdawati, dia sebenarnya kagum dengan anak-anak tirinya. Walaupun bersekolah di sekolah yang terletak di luar bandar, mereka dapat membuktikan bahawa mereka boleh berjaya walaupun tidak bersekolah di sekolah elit atau sekolah swasta seperti di bandar. Kesedaran itu membuatkan Lisdawati juga sedar bahawa yang paling penting adalah ajaran dan didikan di rumah berserta usaha dan kesedaran anak-anak itu sendiri adalah perkara paling utama untuk berjaya dalam pelajaran.
Kini anak sulung Fauzi sedang belajar di Universiti Malaya, manakala anak ketiganya baru sahaja menamatkan pengajian di INTEC sebelum menyambung lagi pengajian dalam bidang yang lebih tinggi.
******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pelakon cantik Lisdawati. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, Volume 2 ini.
Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Penulis & Penyelaras: Shahrina Azlin Abdullah
Konsep: Mustaizah & Musnida
Foto: TM Azman
Solekan & Dandanan: Atie Jengka
Busana: Zara
Tudung: Sofea Rose
Lokasi: The Villas, Sunway Resort & Hotel SPA
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dilihat semakin bahagia, pempengaruh dan usahawan, Maryam Younarae menyorot perhatian apabila berkongsi momen dirinya yang diajukan soalan mengenai Islam oleh rakannya dari Korea.