Redha dengan pemergian bayi perempuan yang maut ketika meniarap, seorang ibu nekad tidak akan ambil sebarang tindakan.
Kalau ikutkan, hati ibu mana yang tidak sedih dengan kehilangan anak secara tiba-tiba, tahu pun waktu dia di tempat kerja.
Terkejut Tapi Tak Salahkan Taska
Namun ibu ini tetap berlapang dada dan tidak mahu menunding jari pada pihak taska atau mana-mana pihak bertanggungjawab kerana tahu insiden berlaku bukan disebabkan kecuaian sesiapa.
Baginya ini ujian dariNYa apabila arwah, Dayangku NurAlya Mariyam Awangku Hazrin, berusia empat bulan ditemui dalam keadaan tertiarap dan wajahnya kebiruan tidak sedarkan diri oleh petugas taska di Terengganu sebelum menghubungi ibunya, Syahirah Mhd Ali, 31, kira-kira jam 10 pagi.
Bayi Perempuan Baru Belajar Meniarap
Dalam keadaan terkejut, ibu arwah yang juga penjawat awam bergegas ke taska berkenaan sebelum mendapati anak bongsu daripada dua beradik itu dalam keadaan lemah dan tak bermaya.
Ads
Arwah seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan selanjutnya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi.
“Arwah yang dilahirkan pada 13 Januari lalu sebenarnya baru belajar meniarap dan mungkin semasa dia sedang cuba meniarap, tiada petugas di situ.
“Saya difahamkan dia sedang tidur semasa ditinggalkan oleh guru taska menjaganya dan mungkin sepanjang tempoh itu, dia cuba meniarap,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HSNZ, di sini.
Ads
Anak Pergi Di Hari Lahir Suami
Syahirah berkata, meskipun dia kehilangan arwah pada hari lahir suaminya, Awangku Hazrin Awangku Hidup yang ke 34, tetapi dia reda dan menerima ujian ini sebagai ketentuan dari-Nya.
“Saya tetap bersyukur kerana ALLAH sudi pinjamkan anak syurga ini kepada kami sekeluarga walaupun hanya empat bulan.
“Saya terima dan reda dengan ujian ini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini,” katanya dalam nada sebak.
Ads
Tidak Akan Ambil Sebarang Tindakan
Syahirah enggan anaknya dibedah siasat kerana tidak mahu mayat terseksa selain berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada semua pihak termasuk pihak pengurusan taska berkenaan.
Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, di sini.
Selain arwah, pasangan itu memiliki seorang lagi cahaya mata perempuan, Dayangku Nur Hawa Marisa Awangku Hazrin, dua tahun.
Sumber: SINAR HARIAN
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sudah 48 hari berlalu, tragedi serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch, New Zealand tetap memberi kesan emosi yang mendalam.
Kejamnya pengganas, yang mahu menggugat keimanan umat Islam, tidak sedikit pun terkesan di bumi New Zealand. Ukhuwahnya makin utuh, makin erat. Baik di kalangan penduduk yang beragama Islam, mahupun non Muslim, mereka saling bersatu hati.
Kesempatan menjejakkan kaki ke bumi Chistchurch, dikongsikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Antaranya ziarah mangsa serangan, Nazril Hisham Omar antara yang dihempap timbunan mayat-mayat mangsa lain di dalam masjid.
Dan menyaksikan, merasai besarnya jiwa umat Islam di Christchurch ini.
Hati mula disinggah rasa hiba sebaik kaki melangkah keluar daripada Chrischurch International Airport. Suhu yang mencapai 16°c sedikit pun tidak terasa dek membuak-buak perasaan ingin bertemu dengan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan dalam kejadian berdarah di Christchurch.
Destinasi pertama kami adalah rumah En. Nazril yang tidak jauh daripada lapangan terbang. Sebaik sampai, Puan Zurinawati menyambut kami di muka pintu. Masuk ke bahagian dalam rumah, kelihatan En. Nazril sedang menunggu kami di atas kerusi roda dengan senyuman yang terukir.
Masa yang terluang, kami penuhi dengan perbualan seputar tragedi berkenaan. Alhamdulillah, kelihatannya beliau sudah hampir pulih sepenuhnya daripada trauma berkenaan. Sesekali bergenang air mata di kelopak mata kami apabila En. Nazril menceritakan situasi semasa berlakunya tembakan tersebut.
Mayat bergelimpangan di mana-mana.
Masih terngiang-ngiang di telinga seorang jemaah yang menyebut “Allah…Allah…” sehinggalah nyawa di hujung tenggorok dan akhirnya kematian pun menjemput. Terlalu pedih untuk digambarkan.
Pertemuan diakhiri dengan sedikit penyampaian sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP kepada En. Nazril dan Puan Zurinawati sekeluarga. Kami mendoakan beliau segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.
Teruskan memberi sokongan moral dan motivasi buat mereka kerana itulah sumber kekuatan bagi mangsa-mangsa ini.
Deretan jambangan bunga menyambut kehadiran kami di Masjid al-Noor. Hati tetap berdebar-debar walaupun kejadian berkenaan sudah berlalu sekian lamanya. Langkahan awal ke dalam masjid membuatkan kami terkesima.
Lihatlah apa yang tertulis di papan putih itu. Subhanallah, besarnya jiwa umat Islam di sini! Pintu utamanya mengingatkan kami kepada seorang tua yang menyambut pengganas berkenaan dengan ucapan “Hello Brother” sebelum ditembak tanpa belas kasihan. Begitulah keindahan Islam yang meraikan sesiapa sahaja, meletakkan toleransi dan sangka baik, tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Usai menunaikan solat jamak dan qasar, kami mengambil kesempatan berbual dengan beberapa warganegara Malaysia yang tinggal berhampiran dengan masjid. Mereka menunjukkan kawasan timbunan mangsa tembakan di beberapa sudut masjid.
Alhamdulillah, dengan kuasa Allah SWT, jemaah Muslimah terselamat kerana pengganas berkenaan tidak menjumpai bahagian solat Muslimah. Begitu juga imam terselamat kerana beliau bersembunyi di belakang mimbar. Masjid al-Noor kini dalam proses pembaikan semula. Dinding sudah dicat semula bagi menghilangkan kesan darah yang berhamburan. Karpet dalam proses untuk ditukar.
Terselit rasa bangga apabila ada juga beberapa risalah dakwah yang dikeluarkan oleh IPSI Malaysia ditempatkan di sini. Tahniah Tuan Haji Kamaruddin!
Sebelum pulang, kami sempat berbual dengan seorang Muslim berbangsa Maori bernama Muhammad yang hadir untuk solat. Raut wajahnya tegas, tubuhnya sudah pasti sebagaimana umum bangsa Maori yang terkenal dengan kegagahan dan postur fizikal yang sasa.
Namun, kelebihan beliau sudah pasti pada iman yang tersemat di dada. Itulah keindahan Islam, agamaku. Semua sama di sisi-Nya kecuali iman dan taqwa yang membezakan. Tidak lupa kepada anggota polis New Zealand yang sentiasa berkawal 24 jam di hadapan Masjid al-Noor. Walaupun keduanya bukan Muslim, semangat perpaduan yang ditunjukkan amat mengharukan. Kami menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP kepada Bilal Israfil selaku Jawatankuasa Masjid al-Noor Ketabahan dan kekuatan jiwa mangsa-mangsa ini amat wajar kita contohi dalam melayari bahtera kehidupan ini.
Sudah 16 hari umat Islam berpuasa di negara ini. Bermakna dekat dua bulan, Muhammad Ashraf Hassan, 29 hilang di Gua Tempurung. Kali terakhir, Ashraf memakai baju hijau ber ‘vest’ biru.
Dan sebelum umat Islam menyambut 1 Ramadan, abang Ashraf, Mohd Zahiruddin atau Denny Lang berkongsi rakaman video yang dikatakan ada kelibat adiknya. Denny tandakan ‘circle mark’ pada kawasan kelibat dilihat.
Ibu ini, Mimie Yaya berkongsi video yang dilihat di media sosial dengan anak ketiganya, Rosniazara Syazia, 4 tahun. Anak ketiga ini Allah anugerahkan pandangan yang istimewa.
Dia boleh melihat, mendengar entiti ghaib yang tak boleh dilihat pada pandangan kasar orang lain. Sejak usia 2 tahun lagi, anaknya dah menunjukkan tanda-tanda sebegitu.
Tulis ibunya pada 15 Mei, “ambe hari ni follow perkembangan Acap. Tunggu status yang Abang Acap up. Sejak tunjuk video yang Abang Acap. Denny Lang up di facebook tu kat anak.”
“Dua tiga kali ulang, tanya semacam.”
“Sekso, tok tau nak jawab gapo. Bakpe abam baju ijau tu jerit? Ada hantu kat luar tu ma? Sian kat abam baju ijau tu? Kat sini… Takkan la ambe nak tipu.”
Bila bagi dia tengok video tu, dia nampak dan dia dengar suara ‘Acap’ duk teriok/memanggil. Bila gambar di madkan warna. Memang nampak tu Acap.
“Then yang purple tu, bila dimadkan warna. Tempat ni 100 peratus keras. Patup la anak ambe oyat ado hantu kat luar. Pada zahir, memang tak nampak pun dalam video tu. Bila screenshot masa dan limit. Nampak bayang orang mundar mandir.”
“Lagi musykil dan mengerikan bila dimadkan warna. Tempat ni dikuasai dengan kejahatan.”
Pada 3 April, ibu ini pernah rakam perbualannya dengan anak ketiganya itu. Anaknya menunjukkan lokasi entiti ghaib yang boleh dilihat pada gambar Acap yang dikongsikan. Iaitu gambar terakhir Acap dapat dirakam lensa.
“Mana tak seramnya. Saya satu minggu tak tidur time saya tunjuk gambar Acap tu. Anak saya siap mimpi lagi malam tu. Esoknya dia beritahu saya. Dia cakap hantu kosek (tegur) adik. Dalam mimpi tu macam mengigau juga lah.”
Kongsi ibunya lagi, kebolehan anaknya itu bagaimana pun tak menjejaskan aktiviti harian mereka anak beranak. Cuma ada ketikanya apabila dia melihat entiti ghaib yang menakutkan, anaknya itu pernah diserang demam.
“Dia ternampak ‘benda’ kat rumah ni. Siap cerita lagi 2 ke 3 hari berturut-turut. Kadang dah banyak hari pun dia boleh cerita balik apa yang dia nampak.”
“Setakat ini, kami tak bawa pergi berubat. Reaksi dia ok saja.” jelas ibunya ketika MW hubungi.
Tentunya Ramadan ini, masih ramai lagi di luar sana yang mendoakan agar Acap dapat pulang ke pangkuan keluarga menyambut lebaran bersama anak, isteri malah ahli keluarga tercinta.
Takutnya bila cerita bab pedofilia ini. Lagi-lagi mak ayah yang ada anak perempuan. Sebab wajah pedofilia kita memang susah nak kenal. Pedofilia tak ada ‘muka’ tapi lelaki ini, BroOhsem Akhtar Syamir bantu mak ayah cam ciri-ciri si pedo, lagi-lagi di media sosial (socmed).
Apakah itu Pedofilia? Ibu-bapa wajib baca dan belajar cara melindungi anak-anak kita.
What is Pedophilia? A must read article for parents and learn how to protect our children.
Pedofilia ini adalah satu gangguan mental di mana seseorang itu mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur. Sama ada lelaki atau kanak-kanak perempuan.
Secara telitinya, seorang penghidap Pedofilia mempunyai corak keghairahan seksual dan minat yang berterusan melalui pemikiran seksual. Mereka sering berfantasi dan kanak-kanak boleh menaikkan nafsu mereka. Penghidap Pedofilia selalunya gagal membezakan daya tarikan kanak-kanak belum baligh dan yang sudah baligh. Ia juga sering dikaitkan dengan penderaan seks kanak-kanak.
Penghidap Pedofilia ini tidak terhad kepada lelaki sahaja. Wanita juga ada yang mempunyai masalah mental yang sama tetapi tidak seramai lelaki.
Buat masa ini, tiada penawar untuk Pedofilia, tetapi terdapat terapi yang boleh mengurangkan kebarangkalian seseorang pedofilia itu melakukan penderaan seksual kepada kanak-kanak.
Penghidap Pedofilia seringkali memuaskan nafsunya dengan pornografi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
Namun, pada masa kini, mereka juga boleh menjadikan gambar serta video yang dimuat naik oleh ibu-bapa sendiri sebagai bahan pemuas nafsu mereka.
Sebagai contoh, tular baru-baru ini apabila seorang pedofilia yamg menyamar sebagai wanita di Telegram, Whatsapp dan Facebook menawarkan diri untuk bercerita dan berkongsi masalah keputihan kanak-kanak di awal usia bawah 5 tahun.
Nampak pelik bukan? Namun, terlalu ramai ibu-bapa yang lurus bendul terpedaya dan dengan rela hati memberi gambar kemaluan anak kepadanya. Akhirnya, gambar-gambar itu dijadikan pemuas nafsu mereka dan ada kebarangkalian dijual ke laman web pornografi.
Ada juga kes di mana penghidap Pedofilia meminati kanak-kanak yang memakai legging. Ini dinamakan fetish. Fetish bermaksud, suatu bentuk nafsu seksual di mana kepuasan dikaitkan dengan minat yang tidak normal untuk objek tertentu, barang, pakaian, bahagian tubuh dan lain-lain.
Si penghidap Pedofilia ini akan “request friend” kepada ramai wanita yang mempunyai anak kecil terutamanya yang ada gambar anak memakai legging. Pesakit mental ini kemudiannya akan komen serta tag diri sendiri tepat di bahagian “bawah badan” gambar tersebut untuk dirujuk semula bagi memuaskan nafsunya.
Di Youtube pula sedang kecoh dengan pedofilia muncul di video kanak-kanak penari Balet yang sudah semestinya memakai seluar yang ketat. Mereka dengan beraninya tag masa bila video untuk ternampak bahagian sulit kanak-kanak tersebut di komen untuk memudahkan penghidap pedofilia lain skip ke bahagian yang “utama” sahaja di video tersebut.
Situasi di atas dikaitkan penghidap Pedofilia yang menyendiri dan tidak melibatkan sentuhan fizikal kerana ianya berlaku di alam maya.
Malaysia pernah dikejutkan dengan kes Pedofilia yang besar pada tahun 2018 di mana seorang lelaki berusia 21 tahun didakwa atas 16 pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap 12 kanak-kanak perempuan berusia antara 8 hingga 12 tahun di Kuala Terengganu dan Marang.
“… yang juga penganggur, didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan termasuk pornografi, menyentuh buah dada dan kemaluan serta melakukan seks oral terhadap tertuduh.”
Dari sini, kita boleh lihat ada dua jenis penghidap Pedofilia yang utama iaitu yang bersendiri dan yang terus tidak boleh mengawal nafsunya dan melakulan penderaan seksual terhadap kanak-kanak secara fizikal terus.
Apa yang kita boleh buat sebagai ibu-bapa untuk melindungi anak-anak?
1. Jangan menjadi lurus bendul dan terpedaya dengan pujuk rayu orang yang tidak dikenali.
2. Jangan layan bualan orang yang tidak dikenali walaupun dia seorang wanita kerana jantina di internet ini tidak dapat dipastikan secara 100%. Semua lelaki yang menggunakan gambar profil wanita boleh menjadi wanita.
3. Jangan berkongsi hal peribadi dan sulit anak-anak. Jika ada masalah, terus rujuk Doktor dan bukannya “kawan” di media sosial.
4. Berhati-hati apabila memuat naik gambar atau video anak-anak. Pastikan aurat dan aib anak-anak dijaga. Secara mudahnya, jagalah aurat anak sebagaimana anda menjaga aurat anda sebagai seorang wanita Muslim.
5. Buang mentaliti “bayi tidak apa”. Jangan sekali-kali memuat naik gambar bayi dengan lampin sahaja. Ini antara kegemaran penghidap pedofilia. Mereka akan berfantasi mengenai kulit bayi yang lembut dan lain-lain.
6. Peka dan buka mata mengenai Pedofilia ini. Jika kita peka, kita boleh sedar bila ada sesuatu yang tidak kena. Sebagai contoh, di media sosial, ada orang tawarkan untuk cakap perkara sulit atau ternampak seorang yang sudah dewasa bercakap mengenai betapa cantiknya anak memakai legging. Sepatutnya perkara ini terus mendatangkan syak.
7. Jika terjumpa orang sebegini di media sosial, terus laporkan dan block. Kongsikan juga dengan kawan-kawan supaya anak mereka tidak dijadikan mangsa.
8. Jaga aurat dan aib anak-anak walaupun dengan saudara mara. Ini selalu terjadi apabila berkumpul terutamanya semasa perayaan. Si ibu secara terang-terangan menukar lampin anak di hadapan orang lain. Aurat dan aib anak dipamerkan dan kita tidak boleh tolak kebarangkalian ada mata jahat yang memerhati dan berfantasi mengenai anak kita.
9. Peka dengan perubahan pada anak-anak. Penghidap pedofilia ini boleh berada di mana-mana. Berdekatan sekolah dan di rumah pengasuh atau jiran serta saudara-mara sendiri. Perlu berkomunikasi dengan baik bersama anak supaya mereka sedia berkongsi apabila ada masalah.
Kita tidak mampu untuk merubah penghidap pedofilia ini. Tetapi kita mampu mengawal dan melindungi anak-anak kita. Jangan pula takut untuk berkongsi di media sosial, cuma perlu tahu batas yang sesuai.
Dan akhirnya, belajarlah cara berkomunikasi dengan anak dan didik anak dengan cara mereka boleh berkomunikasi dengan betul.
Saya sarankan anda yang membaca artikel ini belajarlah dari Dr. Taufiq Razif, seorang pakar dalam ilmu keibubapaan. Beliau dan Puan Wawa Shauqi baru sahaja menerbitkan EBook Kit Didik Anak Hebat Komunikasi. Lebih 80 mukasurat yang menerangkan secara terperinci mengenai perbualan, bahasa tubuh, cara berkomunikasi, merapatkan hubungan, cara menangani masalah dan konflik serta cara bersosial anak lelaki dan perempuan.
Semoga kita sebagai ibu-bapa sedar akan masalah Pedofilia ini dan mula melindungi dan mempunyai ilmu untuk lebih bijak berkomunikasi dengan anak-anak.
Perlu ingat, jika anak anda tidak suka berkongsi cerita dengan anda ibu-bapa, ini bermakna anda telah gagal berkomunikasi dengan anak dan ianya bakal mendatangkan masalah di masa hadapan.
Semoga artikel panjang yang ditulis sendiri oleh saya ini dapat memberi ilmu dan mendatangkan manfaat buat semua orang.
Sila semak friend list anda mulai hari ini. Jika terdapat perkara yang meragukan, sila unfriend atau block terus.
Kongsilah penulisan ini supaya lebih ramai orang membuka mata mengenai masalah Pedofilia dan bahaya penghidap Pedofilia terhadap anak-anak kita.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa dan berkongsi di Supergroup Telegram BroOhsem Fans di http://t.me/broohsemfans
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!