Keajaiban dan kekuasaan Allah. Siapa sangka bayi lahir pramatang, tidak cukup bulan ketika dilahirkan pada 9 Jun 2020 dan beratnya hampir menyamai sebiji epal akhirnya dibenarkan keluar dari sebuah hospital di Singapura baru-baru ini.
Ketika dilahirkan di Hospital Universiti Nasional Singapura (NUS), bayi itu, Kwek Yu Xuan seberat 212 gram dan hanya 24 sentimeter panjang, menurut akhbar The Straits Times.
Bayi Paling Kecil Di Dunia
Bayi perempuan itu dilahirkan ketika berada dalam kandungan ketika berumur enam bulan.Dia dipercayai sebagai bayi paling kecil di dunia yang masih hidup.
Menurut Pendaftaran Bayi Paling Kecil Universiti Iowa, Amerika Syarikat (AS), seorang bayi perempuan di AS memegang rekod sebagai yang terkecil di dunia apabila beratnya hanya 245 gram pada tahun 2018.
13 Bulan Bergantung Dengan Ventilator
Dalam pada itu, Yu Xuan terpaksa berada di hospital selama 13 bulan untuk menjalani rawatan dan terpaksa bergantung dengan ventilator untuk bernafas kerana organnya tidak berfungsi sepenuhnya.
Namun, apabila bayi itu dibenarkan keluar dari hospital, beratnya kini sudah mencecah 6.3 kilogram, lapor akhbar tersebut.
Ibu Yu Xuan melahirkannya dengan kaedah pembedahan tiga bulan lebih awal ekoran masalah pra-eklampsia iaitu masalah yang dihadapinya ketika hamil.
Mingguan Wanita : Kuat semangat dan panjang umur bayi ini. Walaupun dilahirkan pada usia 6 bulan dalam kandungan dan hanya menyamai berat sebiji epal, namun kini semakin sihat dan membesar dengan baik. Malah dah dibenarkan keluar dari hospital dan boleh balik ke rumah.
Selebriti dan usahawan, Wawa Zainal baru-baru ini menafikan masalah kesihatan yang dialaminya sejak setahun lalu mempunyai hubung kait dengan penyakit ain. Sebaliknya, isteri pelakon Aeril Zafril ini mendakwa sistem imunisasi tubuh merosot akibat faktor usia, hingga menjejaskan tahap kesihatannya.
.
Minta Maaf
Bagaimanapun, Wawa atau nama penuh, Nur Hawa Zainal Abidin, 34, turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada mana-mana individu yang mungkin pernah disakitinya.
“Saya baru baik daripada demam dan batuk. Mungkin imun badan tidak kuat dan kena banyak makan vitamin supaya tidak kerap sakit.
Tambah Wawa lagi, sebelum ini, dirinya hendak demam pun susah. Tetapi sekarang selalu sakit gastrik pula. Namun begitu, Wawa tidak boleh memberi komen sekiranya dia terkena penyakit ain.
“Saya ada bertanya kepada orang yang pandai mengenai penyakit ini. Kadang-kadang memang ada, saya pun tidak tahulah bila akan berakhir.
Untuk info, penyakit ‘Ain merujuk kepada kesan buruk akibat pandangan hasad atau cemburu seseorang terhadap orang lain, sama ada secara sedar atau tidak. Ia berpunca daripada pandangan mata yang disertai dengan perasaan iri, dengki, atau kagum yang tidak disertai doa keberkatan.
Penyakit ini dipercayai boleh menyebabkan kesakitan, gangguan emosi, atau kemudaratan kepada individu yang terkena, bahkan dalam kes tertentu, boleh membawa kepada kematian.
Awal bulan lalu, Wawa yang juga ibu kepada empat cahaya mata pernah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di sini, selama beberapa hari selepas diserang gastrik kronik.
Wawa berharap dapat sihat seperti seperti sedia kala kerana perlu mengasuh anak-anak, selain komitmen harian dan perniagaan.
“Apabila kita tidak sihat, ia menganggu rutin kita. Apabila saya sakit, anak-anak pun mudah terkena jangkitan. Ada juga yang sesak nafas. Alhamdulillah, tiada apa-apa.
“Kita banyakkan sahaja solat sunat, baca al-Quran dan berzikir. Minta kepada-Nya, semoga keluarga kita dihindarkan dari penyakit ain ini,” katanya.
Wawa berkongsi dia mula menjaga pengambilan makanan bagi mengelak kerap jatuh sakit.
“Saya tidak boleh lambat makan dan makan laju. Saya juga elak ambil minuman bergas, juadah manis, kafein dan minuman tenusu.
“Saya juga elak minum air panas. Sebelum ini, saya suka minum air yang sangat panas. Doktor marah sebab perut mudah luka,” katanya.
Lancar 3 Produk Baharu
Terdahulu, Wawa Global Sdn. Bhd., syarikat yang diasaskan oleh pasangan selebriti
terkenal Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, telah melakar sejarah baharu dalam industri kecantikan tempatan dengan pelancaran rasmi tiga produk pelindung matahari (sunscreen) terbaru berserta logo baharu syarikat, dalam sebuah acara gilang-gemilang yang menandakan permulaan kepada “Chapter Baru” buat jenama Wawa.
Sejak mula dipasarkan, Sunscreen Wawa telah mencatat jualan lebih daripada 4 juta unit, sekaligus membuktikan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produknya. Namun, Wawa Zainal meluahkan rasa kecewa terhadap sesetengah pihak yang mempertikaikan kejayaan produknya dengan menyatakan pelanggan hanya membeli kerana faktor populariti.
Beliau menegaskan bahawa jenama Wawa telah bertapak kukuh selama lebih tujuh tahun dan mempunyai kumpulan pengguna setia yang menghargai keberkesanan produknya.
Lalat hitam? Siapa hendak tengok lalat hitam? Apa kegunaan lalat hitam ini? Itulah persoalan yang keluar daripada mulut Dr. Zubaidah Ya’cob apabila ditawarkan menjadi pembantu penyelidik di Universiti Malaya.
Tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan mengenai lalat hitam, Dr Zubaidah pun melibatkan diri dalam bidang kajian yang pernah dianggap ‘kerja gila’ oleh mereka yang mengenalinya. Kini telah lapan tahun Dr Zubaidah ‘hidup, makan dan tidur’ dengan lalat hitam.
Pakar
Masih ada lagi yang tidak memahami ketaksubannya pada lalat hitam. Namun di sebalik semua itu, Dr. Zubaidah berasa puas kerana penglibatan secara tidak langsung pada peringkat awal itu telah melayakkan dirinya kini menjadi pakar lalat hitam di Malaysia.
Kisah Dr. Zubaidah dan lalat hitam bermula pada tahun 2010. Pada tahun 2006, dia menjalankan penyelidikan terhadap ekologi burung hutan demi mahu bagi mendapatkan Ijazah Sarjana. Selepas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana pada tahun 2010, dia mula mencari kerja.
“ Kebetulan ketika itu seorang pensyarah di Universiti Malaya memberitahu bahawa mereka memerlukan seorang penyelidik untuk membuat kajian mengenai lalat hitam di Malaysia. Penyelidik ini akan membantu Penyelidik dari Jepun Profesor Hiroyuki Takaoka yang melakukan penyelidikan tersebut di Malaysia.
“ Saya tanya kepada Prof Hiroyuki kenapa lalat hitam dan apa keistimewaannya serangga ini? Terus Prof. Hiroyuki menunjukkan lalat hitam kepada saya. Betapa terkejutnya apabila melihat lalat hitam lebih kecil daripada lalat biasa yang kita lihat selama ini. Saiz lalat hitam dewasa itu adalah 3 hingga 6 milimeter. Ia hanya dua kali ganda daripada agas,” ujar Dr. Zubaidah berkongsi titik penglibatannya dengan lalat hitam.
Daripada penjelasan yang diberikan oleh Profesor Hiroyuki barulah Dr. Zubaidah mengetahui sedikit sebanyak mengenai lalat hitam.
“ Lalat ini di Afrika, apabila ia menggigit manusia, ia akan melepaskan cacing pada kita Apabila cacing itu menggigit, ia akan melepaskan anak cacing di bawah kulit manusia. Apabila cacing jantan dan betina bertemu, ia akan mengawan dan menghasilkan jutaan anak cacing. Anak-anak cacing ini berpotensi untuk bergerak ke seluruh badan sehingga ke mata dan menyebabkan kebutaan,” jelasnya.
Profesor Hiroyuki yang kini berusia 73 tahun dengan penuh sabar mengajar Dr. Zubaidah. Wanita berusia 36 tahun ini yang pada mulanya bermula sebagai pembantu penyelidik pada tahun 2010 telah mendaftar untuk melakukan PhD pada tahun 2014. Pada tahun 2017 dia telah berjaya memperolehiPhD dan sekali gus telah dilantik menjadi Pensyarah Kanan Penyakit Berjangkit Tropika dan Pusat Pendidikan Universiti Malaya.
Paksa Suami Teman Cari Lalat Hitam
Kesabaran adalah perkara penting yang dipelajari oleh Dr. Zubaidah dalam mengkaji lalat hitam di Malaysia. Tidak hairanlah jika tiga buah peti sejuk di makmalnya dipenuhi dengan sampel-sampel lalat hitam.
“ Saya belajar menjadi sabar dan pupuk minat untuk mencarinya di seluruh Malaysia sebab tidak ada orang yang buat kajian mengenainya di Malaysia. Pencarian itu membuatkan saya perlu pergi ke banyak tempat seperti ke Gunung Tahan, Gunung Kinabalu, Gunung Murut dan seluruh negeri di Malaysia.
“ Semasa mencari pensampelan dalam penyelidikan PhD, saya perlu menjelajah 18 sungai di Cameron Highlands selama dua tahun. Bila rasa penat, ada juga rasa hendak ‘give up’. Tetapi bila ingat lagi ini PhD, saya teruskan juga sehingga habis.
“ Paling menarik dalam pencarian lalat hitam ini apabila saya berpeluang menjelajah di seluruh Malaysia dan beberapa buah negara di Asia Tenggara termasuklah Vietnam, Indonesia, dan Thailand.
“ Di 180 sungai di Malaysia di mana saya mencari lalat hitam ini, semua sungai itu adalah habitat semula jadi pupa dan larva lalat hitam. Lalat hitam ini terdapat di dalam air sungai dan air terjun yang bersih. Dalam masa yang sama kita boleh tahu bahawa semua sungai yang ada di Malaysia ini dalam prestasi yang bagus. Kehadiran lalat hitam itu sebagai petunjuk bahawa sungai itu bersih tanpa sebarang serangga perosak lain,” terang Dr. Zubaidah.
Sehingga kini Dr. Zubaidah masih tidak dapat lagi menemui spesies lalat hitam yang menghisap darah manusia. Tetapi Dr. Zubaidah telah menjumpai lalat hitam menghisap darah haiwan iaitu babi hutan.
Dalam mencari lalat, suaminya Nor Azhar Jamil adalah peneman setia Dr. Zubaidah dalam mencari lalat. Suaminya merupakan kakitangan sokongan di UM, namun setiap kali Dr Zubaidah melakukan pencarian, suaminya akan mengambil cuti untuk menemani.
“ Suami terpaksa bertolak-ansur dengan saya. Kami banyak habiskan masa di lapangan pencarian. Kalau di Cameron Highlands hari itu seminggu kami di dalam hutan. Pencarian kami tidak mengira masa termasuklah selepas hari raya puasa. Kami redah semua. Nasib baik kami tidak memiliki anak lagi. Allah itu Maha Besar. Dia tahu apa yang terbaik buat kami. Disebabkan saya juga suami terpaksa mendaki Gunung Kinabalu hingga ke puncak.
“ Proses mencari lalat itu agak lama. Kami akan berjalan di sepanjang sungai mencari sampel. Setelah jumpa saya akan berhenti pada satu tempat untuk membuat sedikit kajian. Hanya apabila hari telah gelap dan kami tidak mampu berjalan barulah kami akan berehat dan tidur.
“ Sepanjang menjelajah Malaysia, saya bersama suami telah berjaya menjumpai 20 spesies baru lalat hitam. Kebanyakan spesies baru ini dinamakan dengan nama mereka yang paling saya hormati,” luahnya lagi.
Kepuasan sebenar Dr. Zubaidah dalam pengkajiannya ini adalah apabila ada orang cakap bahawa dia adalah pakar lalat hitam di Malaysia. Malah katanya jika ada yang mahu melihat hasil kajiannya bolehlah membaca jurnal-jurnal bertaraf antarabangsa yang telah diterbitkan.
“ Saya tidak menafikan apa yang saya buat ini memang membosankan di kaca mata orang biasa. Tetapi dalam bidang penyelidikan kita dianggap hero sebenarnya. Hero maknanya orang awam tidak akan tahu dan kepentingan kajian ini selagi tidak terkena pada batang hidung mereka.
“ Sebagai contoh, hanya setelah disahkan mengalami demam denggi baru orang awam ambil tahu kepentingan mengelakkan diri daripada nyamuk aedes. Sebab itu saya fokus pada lalat hitam. Saya rasa saya berjaya buat benda orang lain tidak mampu buat,” akhirinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Perkhabaran duka dikongsi oleh pelakon dan usahawan Syatilla Melvin apabila memberitahu hasratnya untuk menimang cahaya mata ketiga tidak kesampaian setelah mengalami keguguran ketika kandungan memasuki usia lapan minggu.
Isteri kepada Shaheizy Sam ini juga memaklumkan dirinya mengetahui kisah sedih itu ketika membuat rutin pemeriksaan degupan jantung kandungan di sebuah klinik.
Syatilla dan Sam berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.
Syatilla Sedih Alami Keguguran
Ketika ditemubual di majlis pelancaran LB Creuset X Syatillah Melvin Nasi Daging Telentang semalam, Syatilla meluahkan rasa sedih tersebut.
“Saya baru dapat tahu hamil anak ketiga dalam dua bulan lalu. Bagaimanapun ketika membuat pemeriksaan degupan jantung semalam (Selasa), doktor sahkan perkembangan janin terbantut dan tidak membesar sebagaimana sepatutnya,” ungkapnya.
Tidak Merancang Untuk Anak Ketiga
Ditanya tentang reaksi suaminya, dia dan suami menganggap tiada rezeki untuk menimang anak ketiga buat masa ini.
“Sebenarnya saya memang tak merancang untuk anak ketiga ini, tapi bila dapat tahu hamil memang saya dan suami gembira sangat.
“Malah Syeriv (anak sulung) pun teruja sehinggakan setiap hari cium perut saya kerana tak sabar nak jumpa adik baru.
“Jadi bila doktor memaklumkan perkara tersebut semalam, Sam terdiam sekejap. Bagaimanapun dia menerima semua ini dengan positif dan anggap bukan rezeki kami,” sambungnya.
Gugur Kali Ketiga
Syatilla juga menerangkan keguguran kali ini merupakan pengalaman kali ketiga buatnya.
“Sebenarnya ini adalah keguguran saya yang ketiga. Sebelum Syeriv, saya pernah keguguran sekali dan kali kedua sebelum Sarima.
“Kali ini pengalaman mungkin sedikit berbeza kerana saya perlu melalui proses mencuci rahim, sekiranya janin tidak jatuh sendiri dalam masa terdekat ini,” akhirinya.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Simpan Kira-kira Dan Urus Kewangan, Silap Urus Bisnes Lingkup
Mejar Mohd. Fikry dan isteri memohon doa seluruh rakyat Malaysia untuk kesihatan anak kembar tiga mereka yang kini dirawat di NICU Hospital Melaka. Kisah penuh harapan dan ketabahan seorang ayah.