bayi kena tinggal

Ini sangat mengejutkan apabila bayi ditinggal dalam sebuah bilik keseorangan tanpa mak ayah. Dengan keadaan tak sihat, syukur kerana ada seorang lelaki menjumpainya dan terus menjaga bayi tersebut.

Tak boleh nak fikir, macam mana seorang ibu yang tergamak meninggalkan bayi lelakinya berusia lingkungan tujuh hari seorang diri di sebuah bilik sewa di Taman Tampoi Indah dalam kelaparan?

Disebabkan situasi ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kepada bayi yang dipercayai kebulur beberapa hari sebelum diselamatkan seorang pekerja lelaki bahagian pembersihan yang juga kenalan si ibu.

Jumpa Bayi Sendirian Dalam Bilik

Cerita asalnya, pada 5 Julai lalu mak bayi berkenaan berusia 20-an bertemu dengan lelaki itu dan bertanyakan berkaitan bilik sewa bagi keluarganya.

Mak budak itu bersetuju untuk menyewa sebuah bilik di Taman Tampoi Indah pada hari sama dengan bayaran bulanan RM250 dan menyatakan kononnya akan bayar apabila suaminya pulang dari Kuala Lumpur.

Namun tak dijangka, kira-kira jam 7.30 petang 8 Julai lalu ketika pekerja bahagian pembersihan itu meninjau bilik sewa berkenaan, bayi kecil tersebut ditemui kebuluran dan berseorangan.

Kesihatan Bayi Makin Tak OK

Apa yang lagi menyedihkan, sewaktu dijumpai bayi itu berada dalam keadaan tidak sihat dan lelaki itu kemudian menyelamatkan bayi berkenaan dan menjaganya dengan harapan ibu kandungnya akan pulang.

Dalam tempoh penjagaan, wanita itu gagal menuntut bayinya selain berikutan keadaan kesihatan bayi berkenaan semakin merosot, lelaki berkenaan mengambil keputusan membawanya ke HSI pada 12 Julai.

Andai ada yang nak tengok bayi itu, sekarang dia sedang mendapat rawatan di HSI selama beberapa hari sebelum dirujuk menerusi Jabatan Kerja Sosial HSI kepada JKM pada 16 Julai 2018.

Alamat Bayi Dijumpai

Hasil siasatan, bayi berkenaan ditinggal oleh ibu kandungnya di sebuah bilik sewa beralamat 02-17A, Jalan Mawar 3, Taman Tampoi Indah.

Mengikut maklumat dari HSI, tiada sebarang maklumat berkaitan ibu bayi berkenaan diperoleh dan dipercayai bayi itu tidak dilahirkan di hospital awam sekitar Johor Bahru.

Pegawai perubatan bertugas membuat laporan polis bagi merujuk kanak-kanak itu ke Jabatan Kerja Sosial HSI sebelum bayi berkenaan dirujuk kepada pelindung kanak-kanak JKM bagi penempatan sementara.

Bayi Kena Gastrik

Bayi berkenaan dinamakan sebagai Eimir dianggarkan berusia 36 hari dan kini ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak.

Sangat menyedihkan sebab bayi itu masih mendapatkan rawatan susulan di HSI berikutan mengalami masalah gastrik.

Mengikut laporan Berita Harian, kes masih  disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 dan berikutan tiada sebarang tuntutan, bayi berkenaan ditempatkan di institusi perlindungan JKM mengikut Seksyen 18 Akta Kanak Kanak 2001.

Nota:

Kasihan dengan keadaan, kalau ada orang ramai yang tahu tentang bayi tersebut boleh terus menghubungi JKM di talian 07-2232606.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI