Bayi berusia 6 bulan bergelar yatim piatu, ibu & ayah terkorban dalam kemalangan jalan raya. Pada usia yang belum sempat mengenal dunia, seorang bayi kecil kini memikul takdir paling pilu iaitu diuji dengan kehilangan kedua ibu bapanya dalam sekelip mata.
Ketika tangannya masih mencari pelukan ibu dan hatinya belum pun sempat mengenal suara ayah, takdir pula memilih untuk memisahkan mereka. Nur Laylaa Batrysha berusia 6 bulan akan menumpang kasih sayang ibu saudara dan orang sekelilingnya selepas kedua ibu bapanya, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dan isteri, Nur Fatihah Othman, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 54.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, semalam.
Pasangan suami isteri ini meninggal di tempat kejadian sementara anak tunggal mereka, Laylaa yang berada di kerusi keselamatan kanak-kanak di bahagian belakang dilaporkan terselamat dalam nahas jalan raya semalam selain mengalami luka di bahagian kepala.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata nahas kira-kira jam 1.30 tengah hari itu membabitkan Perodua Myvi dinaiki tiga beranak berkenaan, sebuah kereta jenis Toyota Vios dan lori.
Ads
“Kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lori kelapa sawit tanpa muatan.
“Serpihan kenderaan akibat kemalangan itu kemudian terkena pada Toyota Vios,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perodua Myvi dinaiki pasangan ini bertembung dengan lori membawa kelapa sawit dari laluan arah bertentanganLori yang membawa muatan kepala sawit terbabas selepas pertembungan tersebut.
Yusof berkata, nahas itu meragut nyawa pemandu serta penumpang hadapan Perodua Myvi terbabit.
Ads
Beliau berkata, penumpang belakang yang juga bayi perempuan duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kereta itu pula cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.
Ads
Bagaimanapun, pemandu lori berusia 47 tahun dilaporkan hanya cedera ringan, manakala lelaki berumur 46 tahun yang memandu Toyota Vios tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terpaksa menulis tesis di atas katil hospital selepas menjalani rawatan kemoterapi bukan alasan untuk berputus asa bagi seorang pensyarah UMK yang menghidap kanser payudara. Ketabahan luar biasa Dr. Fadilah Hanim Abdullah, 45, akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Keusahawanan selepas hampir lapan tahun berjuang menamatkan pengajian.
Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Kota Bharu itu berkata, perjalanan akademiknya penuh liku apabila beliau terpaksa menyiapkan tesis dalam keadaan menahan kesakitan akibat rawatan yang dijalani. Banyak masa dihabiskan di hospital dan di rumah untuk menulis, walaupun tubuhnya lemah akibat kemoterapi.
“Perjalanan saya bermula pada tahun 2015, namun setahun kemudian saya disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga. Ketika itu semangat saya hampir hilang. Saya menjalani pelbagai prosedur termasuk pembedahan, 22 kali kemoterapi dan 20 kali radioterapi,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-15 UMK di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Bachok.
Namun dugaan belum berakhir apabila pada tahun 2023, sel kansernya merebak ke tulang hingga mencapai tahap empat. Meskipun begitu, pensyarah UMK ini tidak menyerah kalah. “Alhamdulillah, berkat doa keluarga, rakan-rakan serta kekuatan diri, saya berjaya menamatkan pengajian ini. Saya mahu buktikan bahawa sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang,” ujarnya penuh sebak.
Lebih bermakna, Dr. Fadilah Hanim menerima ijazahnya daripada Pro-Canselor UMK, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Mahkota Kelantan, sekali gus menjadikan detik itu antara kenangan paling manis dalam hidupnya. Bagi pensyarah UMK ini, perjalanan tersebut bukan sekadar akademik, tetapi lambang kekuatan luar biasa seorang wanita melawan kesakitan.
Menurutnya lagi, tempoh pengajian PhD sepatutnya hanya empat tahun, namun disebabkan masalah kesihatan, beliau mengambil masa dua kali ganda lebih lama. “Saya percaya setiap cabaran itu datang bersama hikmah. PhD ini bukan sekadar gelaran, tetapi simbol kekuatan, kesabaran dan kebergantungan kepada Allah,” katanya.
Kisah pensyarah UMK ini menjadi inspirasi kepada ramai — bahawa walau diuji dengan penyakit, semangat dan ketekunan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan. Beliau membuktikan bahawa dengan keazaman dan doa, tiada apa yang mustahil untuk dicapai.
Istilah bahagia sememangnya sedang melingkari kehidupan penyanyi Shila Amzah apabila ibu tersayang selamat bergelar isteri dan kini kembali mengecap kebahagiaan bersama pasangan hidupnya.
Malah Shila tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila tanpa sedar menjadi ‘pengawas’dalam perjalanan cinta ibunya.
Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah berkata segala yang berlaku benar-benar di luar jangkaan. Perkenalan ibunya dengan suami baharu itu berlaku dalam tempoh yang singkat dan tidak banyak berbeza kisah cintanya bersama suami tersayang, Ubai.
Älhamdulillah saya sangat gembira. Benda yang tak dijangka. Perkenalan mereka sangat singkat sepert saya dan Ubai. Dari kawan, tak tunggu lama terus ajak kahwin. Mak saya pun lalui benda yang sama,”katanya.
Shila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media album Shila Amzah berjudul SA25.
Menurut Shila lagi, meskipun ibunya sudah berusia, ia bukanlah alasan untuk menghalang wanita tersebut untuk mencari kebahagiaan baharu dalam kehidupannya selepas hampir dua tahun hidup bersendirian.
Tambah Shila lagi, kebahagiaan seseorang tidak seharusnya disekat oleh faktor usia atau pandangan masyarakat yang tidak berfikiran terbuka.
Bercerita lanjut, Shila berkata sebaik sahaja melihat Brigedier Jeneral Zainal Abidin Mohammad Salleh yang kini bergelar bapa tirinya, dia dapat merasakan aura positif yang berlaku dalam diri ibunya. Katanya, sejak perkenalan itu, kebahagiaan jelas terpancar di wajah ibu tersayang.
“Pertama kali jumpa Babah, dia ada aura tersendiri. Orang kata kalau kita dah tempuh macam-macam sebelum ini, sekali pandang pun dah tahu.
Pada masa yang sama, Shila dan suaminya, Ubai tanpa sedar mengambil peranan sebagai penjaga ibunya sekaligus memastikan ibunya tidak terlalu lama menjalinkan hubungan tanpa hala tuju.
“Saya dan Ubai macam jadi ‘pengawas’ mak saya. Kami lebih kepada mengingatkan dia supaya ‘jangan lama-lamalah ya kalau macam ni’. Tiba-tiba saya pula rasa macam jadi mak dia! Kelakar pula bila fikirkan balik,”ujar Shila usai ditemubual media.
Untuk rekod, Fauziah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk ND Lala pada tahun 1989 dan sah bercerai selepas 34 tahun mendirikan rumah tangga. Perkongsian hidup selama 34 tahun mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
Shila Amzah melakar satu lagi pencapaian apabila melancarkan album penuh terbaharu berjudul SA25, simbolik kepada 25 tahun perjalanan kariernya dalam industri seni. Album ini menghimpunkan 10 lagu baharu, satu remake serta empat bonus track yang merangkumi fasa penting dalam kehidupan dan kerjaya Shila.
Album terbaharu Shila Amzah, SA25, bukan hanya sebuah projek muzik, tetapi sebuah pengkisahan perjalanan diri yang menggabungkan kekuatan, luka lama dan proses penyembuhan.
Salah satu karya paling berat dalam album ini ialah “Sirna Hati”, sebuah lagu yang terinspirasi daripada pengalaman sebenar melibatkan penderaan emosi dan fizikal. Proses menulis lagu tersebut bukan mudah, malah membuka kembali memori yang cuba dilupakan.
Namun Shila menyifatkan suaminya, Ubai, sebagai individu yang membantu dirinya mengharungi proses itu. Dorongannya agar Shila menulis sebagai bentuk penutupan kisah lama menjadikan lagu itu bukan sekadar karya, tetapi terapi yang menyembuhkan.
Walaupun Shila bekerjasama dengan beberapa komposer berbeza, DNA muziknya kekal utuh. Individu-individu seperti Izzy Musa, Raja Nazrin Shah dan Ubai bukan sekadar rakan kreatif, tetapi teman yang memahami Shila sebagai manusia dan sebagai seniman. Kefahaman itulah yang memastikan muzik Shila tidak lari daripada identiti utamanya walaupun melalui pelbagai evolusi.
Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk Norman Abdul Halim tidak mampu menyembunyikan rasa luluh di hati apabila berkongsi perkembangan terkini kesihatan bapanya, Abdul Halim Kamal, yang kini berdepan masalah hati dan telah dirawat di pusat perubatan sejak tiga minggu lalu.
Menurut Norman, 53, bapanya pernah berada dalam keadaan sangat kritikal, sebelum menunjukkan sedikit demi sedikit perkembangan positif. Namun perjalanan itu bukan mudah—lebih-lebih lagi ketika dirinya perlu berdiri di atas pentas besar menjayakan Konsert GenKRU The Finale.
“Ketika Edry menyebut tentang ayah kami semasa konsert, saya terus sebak. Pada awalnya, saya sendiri berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan konsert atau tidak,” luahnya, masih jelas menyimpan getaran emosi yang sukar dilupakan.
Sepanjang tempoh persiapan konsert, fokus Norman sering terpecah. Antara tanggungjawab sebagai anak dan komitmen terhadap peminat, hatinya sentiasa dibasahi doa.
“Ayah saya berada dalam keadaan kritikal sebelum ini. Dia dimasukkan ke wad tiga minggu lalu dan sepanjang tempoh persiapan, fikiran saya sangat terganggu. Saya berulang-alik ke hospital, melihat keadaan ayah setiap hari,” katanya ketika ditemui seusai konsert di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil.
Alhamdulillah, ada sinar di hujung resah. Norman memaklumkan bahawa bapanya kini semakin stabil, namun kesihatan belum mengizinkan untuk hadir menyaksikan konsert seperti yang diimpikan keluarga.
“Dia sebenarnya sangat berharap untuk datang. Tetapi saya minta dia jangan risau. Insya-Allah, kalau ada rezeki, mungkin dia dapat hadir ke konsert kami yang lain pada masa depan,” ujarnya penuh harap.
Sepanjang konsert berlangsung, bukan hanya Norman, malah kedua adiknya, Datuk Yusry dan Edry turut tidak mampu menahan air mata saat bercerita tentang bapa mereka. Detik itu menjadi saksi betapa kuatnya kasih seorang anak, betapa dalamnya doa yang dipanjatkan agar insan tersayang kembali pulih seperti sediakala.