
Dulu beli barang branded tanda berduit, sekarang tak kisah jenama janji selesa dipakai.
Suatu ketika dahulu, membeli barang branded, memakai beg tangan berlogo besar, kasut berjenama atau pakaian yang sekali pandang orang sudah tahu harganya boleh menjadi satu simbol kemampuan.
Namun cara orang berbelanja perlahan-lahan berubah. Barang berjenama masih ada peminat dan tetap menjadi pilihan, tetapi bagi sesetengah orang, nama pada label bukan lagi perkara pertama yang dicari.
T-shirt polos pun tak mengapa asalkan materialnya sedap. Kasut mungkin tidak nampak mewah, tetapi sanggup dibayar lebih jika selesa berjalan seharian. Beg pula biarlah ringan dan praktikal, tak perlu orang lain tahu berapa harganya.
Bukan tak mampu membeli barang branded atau yang mahal. Cuma sekarang, selesa dan berbaloi pun sudah cukup.

Dulu Beli Barang ‘Branded’ Tanda Berduit
Menariknya, perubahan ini turut dapat dilihat melalui cara pengguna Malaysia berbelanja.
Menurut UOB ASEAN Consumer Sentiment Study 2025, 51 peratus responden Malaysia mengurangkan perbelanjaan bukan keperluan, manakala 47 peratus lebih aktif mencari promosi dan diskaun. Sebanyak 43 peratus pula mengambil masa lebih lama sebelum membuat pembelian baharu.
Maknanya, semakin ramai tidak terus membeli hanya kerana suka pada pandangan pertama. Tengok harga, baca ulasan, bandingkan pilihan dan fikir sama ada barang itu akan betul-betul digunakan.
Sebab itu murah tidak semestinya paling berbaloi.
Kasut RM500 yang dipakai hampir setiap hari dan masih elok selepas beberapa tahun mungkin terasa lebih berbaloi daripada kasut RM100 yang hanya keluar dari kotak dua kali kerana tidak selesa.
Begitu juga pakaian. Ada masanya sehelai baju polos yang senang dipadankan dengan macam-macam gaya akhirnya jauh lebih kerap dipakai berbanding baju mahal yang dibeli kerana sedang viral.
Akhirnya, barang branded atau tidak bukan lagi satu-satunya pertimbangan ketika membeli.

ORANG JEPUN ADA ISTILAH ‘COSPA’
Di Jepun, cara berfikir tentang pembelian sebegini sering dikaitkan dengan istilah ‘cospa’, singkatan daripada cost performance. Konsepnya mudah, bukan mencari barang paling murah tetapi melihat nilai yang diperoleh daripada setiap wang yang dibayar.
Sebenarnya tanpa mengenali istilah itu pun, ramai antara kita sudah melakukannya.
Telefon masih elok, guna dulu. Barang yang diidamkan terlalu mahal, tunggu sale. Jumpa preloved dalam keadaan cantik pada harga lebih rendah, apa salahnya? Kalau kasut sedikit mahal tetapi kaki selesa memakainya setiap hari, mungkin itulah pembelian yang lebih baik.
Pada masa sama, kalau memang sudah lama mengidamkan sebuah beg berjenama dan mampu membelinya tanpa mengganggu kewangan, tak salah pun mahu memilikinya.
Kerana perubahan ini bukan bermaksud barang mahal atau berjenama sudah tidak relevan. Cuma semakin ramai tahu bila patut berbelanja dan untuk apa mereka sanggup membayar lebih.
Malah cara masyarakat melihat ‘berada’ juga semakin luas. UOB ASEAN Consumer Sentiment Study 2026, yang melibatkan 5,000 responden di lima negara ASEAN termasuk Malaysia, mendapati 43 peratus mengaitkan kekayaan dengan kehidupan tanpa kebimbangan kewangan atau hutang. Sebanyak 41 peratus pula melihat kemampuan menyediakan keperluan serta masa depan keluarga sebagai ukuran kekayaan.
Anda mungkin berminat dengan
Mungkin sebab itu kita semakin sukar menilai kemampuan seseorang hanya daripada apa yang dipakainya.
Ada yang berduit tetapi selesa dengan T-shirt biasa. Ada yang menggunakan telefon sama bertahun-tahun. Ada juga yang suka barang branded tetapi membelinya hanya untuk perkara tertentu yang benar-benar dihargai.
Akhirnya, selera tetap selera dan duit sendiri tetap hak masing-masing.
Cuma kalau dulu soalan pertama mungkin “Jenama apa?”, sekarang semakin ramai nampaknya lebih suka bertanya,
“Sedap pakai tak? Berbaloi tak?”
Dan kalau kedua-duanya dapat, logo besar atau kecil mungkin sudah tak penting sangat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

