Kedatangan musim haji tiba lagi.Seronok rasa hati melihat para jemaah menjadi tetamu Allah, melipat gandakan amalan di tanah suci agar memperolehi haji yang mabrur.
Namun, bagi yang tidak berpeluang pergi menunaikan haji, sebenarnya juga turut mempunyai peluang yang cukup besar untuk meningkatkan amalan dan ibadat pada bulan Zulhijjah ini.Ramai yang menganggap 10 hari awal Zulhijjah tidak penting atau nikmatnya tidak seperti berada dalam bulan Ramadan.
Namun hakikatnya, 10 hari awal ZuIhijjah ini sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Allah SWT sedia untuk memberikan kepada hamba-Nya pintu keredaan, keampunan dan kerahmatan.
Soalan:Dr, MAZA, apakah benar bahawa sepuluh hari bulan Zulhijjah ini paling terbaik untuk kita beribadah. Tidakkah Ramadan bulan yang terbaik? Jika benar sepuluh hari Zulhijjah terbaik, apakah amalan yang patut saya lakukan?
Jawapan Dr MAZA: Memang benar, terdapat dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang memberi maksud sepuluh hari awal Zul Hijjah merupakan hari-hari yang penuh dengan kelebihan dan kurniaan Allah. Bahkan dalam hadis, Nabi s.a.w menyatakan sepuluh awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling terbaik untuk seseorang melakukan apa-apa amalan soleh.
Berikut dalil dan perbincangan;
1. Dinyatakan Dalam Surah Al-Fajr
Firman Allah dalam Surah al-Fajr ayat 1-2: وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2)
(maksudnya: Demi waktu fajar. Dan (demi) malam-malam yang sepuluh)
Menurut Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubair, Mujahid dan ramai kalangan ulama salaf dan khalaf bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam di ayat ialah sepuluh hari (awal) Zul Hijjah (lihat: Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, 2/593. Dar Tibah).
Apabila Allah bersumpah dengan sepuluh hari Zulhijjah tersebut, pasti ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah sukai melebihi sepuluh hari ini (sepuluh hari awal Zulhijjah)”. Mereka bertanya: “Sekalipun jihad pada jalan Allah?”. Jawab Rasulullah s.a.w: Sekalipun jihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjuang) dengan diri dan hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit” (Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi -lafaz di atas adalah lafaz al-Tirmizi- , Abu Daud, Ibn Majah).
Dalam riwayat al-Darimi (berstatus hasan) daripada Ibn ‘Abbas, lafaz hadis seperti berikut:
“Tiada amalan yang lebih mulia di sisi Allah dan lebih besar pahala daripada kebaikan yang seseorang lakukan pada sepuluh hari Adha (sepuluh hari awal Zulhijjah).”
Berdasarkan hadis di atas, maka sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk kita melakukan amalan soleh. Pahala yang dijanjikan paling banyak.
Ads
3.Dikatakan Amalan Soleh Waktu Siang 10 Hari Zulhijjah Lebih Baik Dari 10 Hari Terakhir Ramadan
Para ulama berbincang, apakah hadis ini menunjukkan sepuluh hari Zulhijjah itu lebih afdal dari sepuluh hari terakhir Ramadan?
Dalam menilai hal ini, para ulama berbeza pendapat, ada yang berpendapat amalan soleh semasa sepuluh hari awal Zulhijjah ini lebih afdal dari semua hari termasuk sepuluh akhir Ramadan. Ada pula yang mempertahankan sepuluh akhir Ramadan itu lebih afdal.
Hasil dari perbahasan mereka, ada yang mentarjihkan bahawa amalan soleh pada waktu siang hari semasa sepuluh hari awal Zulhijjah lebih baik daripada semua hari termasuk sepuluh hari akhir Ramadan. Sementara amalan soleh pada malam hari sepuluh akhir Ramadan lebih afdal dibandingkan semua malam termasuk sepuluh malam akhir Zulhijjah. Alasan mereka kerana pada malam sepuluh akhir Ramadan terdapat Lailatul Qadar yang merupakan malam yang terbaik. Sementara pada siang sepuluh hari awal Zulhijjah terdapat Hari Arafah yang merupakan hari yang terbaik (sila lihat: ‘Ali al-Qari, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/1082. Beirut: Dar al-Fikr) .
4.Terkumpulnya Ibadah-Ibadah Utama
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpendapat keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah kerana terkumpul padanya segala ibadah-ibadah utama; solat, puasa, sedekah (zakat) dan haji. Ini tidak terdapat pada waktu yang lain (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 2/459. Beirut: Dar al-Ma’rifah).
Maka, sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan satu tempoh yang mana manusia beribadah kepada Allah dalam segala bentuknya. Ia benar-benar satu tempoh waktu pelbagai ibadah dipersembahkan oleh sekelian para hamba yang soleh. Allah merahmati waktu tersebut dengan memberikan ganjaran yang besar kepada apa sahaja amalan soleh yang dilakukan semasa sepuluh hari berkenaan.
Ads
5. Hari Yang Paling Besar Ganjarannya
Apapun yang jelasnya, hadis Nabi s.a.w tersebut menggalakan amalan soleh pada sepuluh hari awal Zulhijjah. Amalan soleh pada hari-hari tersebut paling disukai di sisi Allah serta paling besar ganjarannya dibandingkan hari-hari yang lain. Perkataan ‘amalan soleh’ itu merangkupi segala perbuatan baik yang disukai Allah. Ini termasuk solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, tahmid, takbir, tahlil, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan dan seumpamanya.
Maka, semasa tempoh sepuluh hari awal Zulhijjah ini marilah kita berusaha bersungguh-sungguh melakukan amalan yang mendapat pahala di sisi Allah. Demikian kita wajar menjauhkan diri dari dosa sebagai menghormati hari-hari yang Allah muliakan. Kita berusaha membanyakkan ibadah dan apa sahaja amalan baik. Ini kerana, semasa pahala meningkat, semasa itu amalan patut meningkat. Maka bergandalah amalan yang banyak dengan pahala yang besar.
Amalan yang wajib atau fardu kita perbaiki dan perindahkan. Maka bukan sahaja solat fardu, tetapi secara berjamaah. Demikian kita boleh membayar zakat wajib dalam tempoh ini. Meningkatkan berbuat baik kepada ibubapa, mengukuhkan lagi tarbiah untuk keluarga dan mereka yang menjadi tanggung jawab kita. Melakukan Amar Makruf dan Nahi Munkar dengan cara yang lebih baik.
Sementara amalan sunat ataupun nafilah seperti puasa sunat boleh dilakukan semasa sepuluh hari tersebut, apatahlagi pada Hari Arafah. Demikianlah membaca al-Quran, beristighfar, berdoa, bersedekah, membantu yang memerlukan dan seterusnya apa sahaja amalan yang baik di sisi Allah, samada antara kita dengan Allah ataupun antara kita sesama hamba-hamba Allah yang lain.
Kesimpulannya, sepuluh hari ini bagaikan pesta amalan soleh yang kita wajar penuhi setiap detik di dalamnya. Ia merupakan peluang pahala paling besar yang Allah berikan kepada kita semua. Marilah kita berusaha merebut peluang yang hebat ini.
Semoga perkongsian ini bermanfaat, sama-samalah kita mempertingkatkan amalan dan merebut ganjaran pahala pada 10 hari awal ZuIhijjah ini.
Hubungan menantu dengan ibu mentua ini ibaratnya, dicuit peha kiri peha kanan terasa. Begitulah dugaan yang dihadapi Pengerusi Canser Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal.
Bila mana ibu mentua disahkan kanser paru-paru stage 4. Perasaan hiba menantu yang tak dapat ditahan-tahan dilepaskan depan doktor.
Sehinggakan doktor terpaksa menenangkan menantu ini yang meraung di hadapannya. Sungguh, akuinya sukar untuk diterangkan emosi yang pesakit kanser sedang lalui.
Walaupun mudah menyebut sabar dibibir, tapi akuinya ia tidak semudah itu.
Mak Mentua Disahkan Kanser
Cakap Memang Mudah
Siapa yang tak menghidap kanser TIDAK akan memahami APA yang dilalui oleh seorang pesakit kanser.
Walaupun saya bekas pesakit kanser Endometrium tahun 2012. Tetapi apabila Ibu mertua saya disahkan kanser paru-paru stage 4 pada Disember 2021, saya yang meraung di hadapan doktor.
Jenuh Doktor kena tenangkan saya. Bagi tisu untuk lapkan air mata.
Saya fight untuk ibu mertua menjalani rawatan di hospital. Saya convinced MIL (mother in law), rawatan hospital itu selamat dan sangat diperlukan untuk merawat kanser.
Tetapi … ianya tidak semudah itu.
Melihat Mak Melah menghidap kanser paru-paru stage 4 di usia 78 tahun… ianya sangat sukar.
Side Effects Rawatan Yang Teruk
Kesan rawatan setiap pesakit berbeza. Tetapi di bawah pemantaun Dr Arvind Alaga seorang Pakar Perubatan yang sangat “prihatin” dan komited.
Dia mendengar apa sahaja luahan pesakit.
Dia cuba bantu “kurangkan penderitaan pesakit”
TERIMA KASIH Dr Arvind, ure the best. So attentive.
Yang lain terserah kepada pesakit dan penjaga pesakit untuk bersama mengharungi setiap detik rawatan.
Berulang-alik ke hospital adalah rutin seorang pesakit kanser.
Apabila menemani ibu mertua ke hospital, saya berpeluang berjumpa dengan ramai pesakit kanser paru-paru secara dekat.
Ada yang sangat memberi inspirasi seperti Puan Rohaya dan Makcik Jimat.
Malah ramai telah kita bantu, ringankan beban, beri bantuan susu, kewangan dan lain-lain.
Benarlah, PENYAKIT itu ujian hidup.
KANSER bukan hukuman Tuhan tetapi iktibar dan ujian bagi kita yang di sekeliling.
ALHAMDULILLAH rawatan Mak Melah, membuahkan hasil positif. SAIZ TUMOR dah mengecut dari 2.47cm kepada 1.4 cm
TIADA kelihatan sel kanser yang baru.
Mak Melah pun kata, batuk yang dihadapi hampir 2 tahun dah hilang.
Sakit-sakit belakang dah hilang (dulu doktor nampak sel kanser merebak ke tulang) harapnya dah hilang juga.
Teruskan buat kebajikan
Teruskan berbakti dan beri manfaat kepada masyarakat.
Kerana terlalu banyak nikmat hidup yang telah kita kecapi.
“MAKA NIKMAT TUHANMU YANG MANA LAGI KAMU DUSTAKAN”
Mingguan Wanita : Bukan calang-calang ujian. Semoga ibu mentua mahupun menantu ini terus tabah lalui ujian hidupnya.
Pertengahan Januari ini, anak-anak mula kembali ke sekolah. Ada keluarga dari kalangan anak-anak B40 yang begitu terkesan ekonominya dengan pandemik Covid-19. Keluarga mereka kehilangan sumber pendapatan, terjejas teruk kewangan, jadi sukar untuk anak-anak ini lalui momen kembali ke sekolah dengan ceria.
Memahami kesukaran mereka, program ‘Kembali Teguh’ diwujudkan bagi membantu anak-anak B40 yang kurang bernasib baik ini. Program ‘Kembali Teguh’ dibangunkan dengan dua komponen penting agar memberi semangat anak-anak ini memulakan hari persekolahan dengan gembira setelah sekian lama tak menjejakkan kaki ke sekolah.
Bagi merealisasikan impian anak-anak B40 ini, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Unilever Malaysia dan PINTAR Foundation (PINTAR) menjalinkan kerjasama.
Komponen Pertama
Memastikan murid-murid dilengkapi secara fizikal untuk sekolah, di mana Tesco akan menyediakan kit kembali ke sekolah yang terdiri daripada beg sekolah, pakaian seragam, kasut, stoking dan alat tulis.
Sementara, Unilever akan menyumbang baucar Tesco bernilai RM100 untuk setiap pelajar dari dana Donate to Help yang berlangsung di cawangan Tesco dari 19 November hingga 2 Disember 2020. Untuk setiap pembelian produk Unilever, gabungan melebihi RM35 dalam satu resit, RM1 akan disalurkan ke tabung ini. Dan kini diserahkan sebagai baucar kepada pelajar.
Manakala, PINTAR akan menyediakan kit Covid-19 yang terdiri daripada pelitup muka, tisu basah dan sabun tangan kepada para pelajar. Ini bagi memastikan mereka kekal selamat dan sihat semasa di sekolah.
Jenama kepakaran kebersihan Unilever, Lifebuoy, juga akan menyumbang kepada kit Covid-19 dengan menyediakan cecair sanitasi tangan 50ml.
Komponen Kedua
Program ‘Kembali Teguh’ dirancang untuk memastikan murid-murid bersedia secara mental dan emosi. Memastikan mereka bermotivasi untuk menghadiri kelas setelah tahun persekolahan yang lalu terganggu oleh wabak Covid-19.
Beberapa topik untuk bengkel merangkumi memperkasa pemikiran positif, mengembangkan kekuatan peribadi dan penetapan tujuan untuk menanamkan keyakinan, dan penyuntikan elemen kemahiran hidup melalui modul untuk menjadi pembeli yang pintar.
Program Kembali Teguh akan dimulakan pada 20 Januari 2021 dengan pengedaran kit kembali ke sekolah dan Covid-19 serta baucar, sementara bengkel akan berlangsung sepanjang suku pertama 2021. Secara kolektif, 1,000 murid B40 dari 25 sekolah Tesco Diadopsi akan mendapat manfaat daripada program ini.
Hasrat Tesco Malaysia
Menurut Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco, Azliza Azmel, “Tahun lalu adalah tahun yang sangat mencabar bagi kebanyakan kita. Dan lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak dari golongan kurang mampu yang keluarganya terjejas akibat wabak Covid-19.
Dalam menghayati nilai ‘Every Little Helps Makes a Big Difference’, kami bekerjasama dengan Unilever dan PINTAR untuk memastikan bahawa anak-anak ini bukan sahaja dilengkapi secara fizikal untuk tahun persekolahan baru.
Malah, bersedia secara mental dengan mengajar mereka kemahiran yang diperlukan untuk terus bermotivasi di sekolah, dan juga petua untuk menjadi pembeli pintar.”
Sebelum ini, Tesco bekerja sama dengan Unilever dan PINTAR secara berasingan. Ternyata hasilnya sangat memberangsangkan.
“Kami percaya dengan memanfaatkan setiap kekuatan kami secara kolektif sekarang, kami dapat menghasilkan impak yang lebih besar lagi bagi anak-anak yang sangat memerlukannya.” Kata Azliza lagi.
Ini Pula Harapan Unilever Malaysia
Bagi Pengarah Pembangunan Pelanggan Unilever Malaysia, Jay Go, kerjasama
ini sangat sesuai dengan kepercayaan Unilever bahawa jenama dan syarikat dengan tujuan
akan terus berkembang.
”Ini adalah tahun ketiga kami bekerjasama dengan Tesco untuk tabung Unilever Donate to Help yang telah mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 untuk pelajar kurang mampu di rangkaian Sekolah Angkat Tesco di seluruh Malaysia. Dana ini membolehkan pengguna bergabung dengan kami dalam membantu anak-anak yang memerlukan melalui pembelian jenama kami di Tesco.
Selain pendidikan, fokus Unilever adalah melindungi kehidupan orang ramai sejak awal Covid-19. Lifebuoy telah menyediakan papan pembersih tangan, cecair pencuci tangan dan papan pesanan infografik ke 63 Sekolah Angkat Tesco.
Ini adalah kali keempat Lifebuoy dan Tesco bekerjasama untuk mendidik anak-anak sekolah mengenai manfaat pencucian tangan yang baik dan kebersihan yang betul, yang lebih penting lagi semasa pandemik Covid-19. Kerjasama tidak berhenti di sini. Bersama Tesco dan PINTAR, Lifebuoy akan memberikan kepentingan kebersihan tangan melalui program ‘Kembali Teguh’.”
Program Sekolah Angkat PINTAR
Sementara itu, PINTAR gembira dapat bekerjasama dengan Tesco, yang sejak 2017 mengambil 63 sekolah angkat melalui Program Sekolah Angkat PINTAR. Melalui kerjasama ini, Tesco telah membantu memperkayakan sekitar 57,000 murid-murid sekolah melalui pendidikan, kesihatan dan kesedaran pemakanan yang baik serta aktiviti hidup yang lebih mesra alam.
Menurut Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PINTAR, Sabri Ab Rahman, visi PINTAR Foundation adalah untuk memberi inspirasi kepada anak muda menjadi warga negara yang bertanggungjawab melalui konsep PINTAR.
”Kami berusaha untuk terus membina kerjasama dengan syarikat, badan bukan kerajaan dan kerajaan untuk meningkatkan motivasi dan kejayaan pelajar yang berprestasi rendah melalui pendidikan.
Tesco telah menjadi salah satu ahli kami yang paling aktif dan kami gembira dapat berkolaborasi lagi dengan Tesco Malaysia untuk membawa program ‘Kembali Teguh’ kepada pelajar PINTAR. Kebanyakan pelajar ini dari keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di komuniti kurang terlayani di seluruh negara dengan alat yang diperlukan untuk mulakan tahun persekolahan mereka seperti biasa yang telah kita tinggali sejak setahun yang lalu.
Tanggungjawab untuk membantu mereka yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19, terutama dari masyarakat yang kurang mampu, adalah penting. Ketika negara dan dunia belajar berfungsi dalam norma baru, kita menyedari tidak semua orang dapat dilengkapi sepenuhnya untuk menavigasi dunia baru ini.
Kerjasama dengan syarikat korporat dan inisiatif seperti program ‘Kembali Teguh’ akan membawa banyak – memerlukan bantuan untuk menolong komuniti B40 di Malaysia.”
Bakal jadi nenek, Shiera kongsi tip pada anak sulungnya yang sarat mengandung. Masa berlalu tanpa disedari, Sharifah Shahirah atau lebih mesra dipanggil Shiera bakal bergelar nenek tidak lama lagi.
Anak sulungnya, Allisya, 25, kini sedang hamil lapan bulan dan Shiera bakal menyambut cucu pertama pada 1 Januari 2025. Sekadar info, Allisya ialah anak Shiera bersama vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt.
Shiera kemudian berkahwin dengan Zulkifli Azhari atau Ijoy pada 28 Februari 2003 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu AireIl, 19, Airra, 16, Audra, 14, dan Adeena,6.
Bakal Jadi Nenek, Shiera Kongsi Tip
Kurang dua bulan menyambut orang baharu, Shiera berkongsi tips memudahkan kelahiran dan berpesan kepada agar Allisya bersalin di Kuantan, Pahang.
“Tipsnya adalah minta dia banyak bergerak seperti saya sebelum ini, sehari sebelum bersalin pun saya masih bekerja.
“Selain itu, saya cakap yang dia kena beranak di Kuantan sebab nanti dalam kad pengenalan ditulis 06 (kod kelahiran di Pahang). Nanti bolehlah dapat banyak promosi. Selain itu, kita ikut sahaja ada aturan- NYA,” katanya.
Shiera juga meminta supaya Allisya berehat dirumahnya.
“Saya mintanya berpantang dekat rumah tapi tidak tahulah macam mana nanti.
“Kalau saya jaga dia pantang, bolehlah saya pun sama makan makanan tersebut untuk jaga badan,” ujarnya.
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, rempuh Proton Saga. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.