Bab Latih Anak Bebas Pampers, Ayah Pun Kena Bantu Sama

Dugaan hebat sebenarnya nak latih anak bebas pampers. Lagi-lagi nak latih pandai buang air sendiri di bilik air. Oh! tugasan ini sememangnya memerlukan kesabaran mak-mak. Disarankan mak kena lebih konsisten dan keras hati.

Kenapa? Puan Nor Robaniyah Jahran, penyelia di Taska Nur Husna – Bondamama Kids Centre terangkan sebabnya. Dan paling penting, tanggungjawab ini bukan letak pada ibu seorang, ayah pun kena memainkan peranan sama.

Latih Anak Bebas Dari Lampin Pakai Buang

Puan, anak puan dah boleh buang air kecil sendiri. Kami sering ajar dia setiap kali sebelum nak mandi. Puan boleh latih juga dia di rumah dan perlahan-lahan boleh ajar dia agar tak perlu pakai lampin lagi.”

Itu yang saya sering usulkan pada ibu anak-anak asuhan jika kami dah nampak anak mereka boleh diajar tidak memakai lampin pakai buang lagi.

Ketika umur berapa anak-anak kecil perlu bebas dari lampin pakai buang?

Jika ditanya pendapat pakar, seawal anak sudah boleh bercakap sekitar setahun ke atas boleh diajar buang air sendiri dan boleh diajar bebas dari pakai lampin.

Tapi ramai ibu-ibu di luar sana belum berkeyakinan untuk melepaskan anak tanpa lampin pakai buang seawal usia 1-2 tahun.

Dari yang saya lihat, ada yang anak sudah masuk tadika tetapi masih pakai lampin pakai buang lagi.

Mengikut pengalaman saya melalui anak sendiri dan anak asuhan taska, anak perempuan lebih cepat belajar dan membiasakan diri berbanding anak lelaki.

Anak perempuan saya, ketika usia 2 tahun lebih sudah saya latih buang air kecil dan besar dan seterusnya bebas dari lampin pakai buang. Tempohnya sekitar 1-2 minggu latihan.

Peringkat awal, memang kena tabah dan sabar kalau dia kadangkala terbabas buang air merata. Asyik mengemop dan mengelap lantai saja..

Usaha Kecil Yang Mak Boleh Mulakan Langkah

Waktu malam dia masih memakai lampin tapi sebelum tidur saya akan bawa dia buang air kecil dulu. Jika saya terjaga tengah malam, saya akan dukung atau kejut anak bawa ke bilik air untuk buang air supaya dia tidak buang air kecil semasa tidur.

Pagi-pagi sebaik dia terbangun saya akan segera bawa dia ke tandas untuk buang air kecil lagi.

Lama kelamaan, kerana sudah terbiasa buang air di bilik air, dia tidak buang air di dalam lampin waktu malam lagi. Waktu itu, saya akan lepaskan lampin pakai buang sepenuhnya.

Tapi pengalaman mengajar anak lelaki berbeza. 3 orang anak lelaki saya dari umur 2 tahun diajar, namun tidak berjaya. Ketika umur 3 tahun saya masih gigih mengajar tapi masih belum berjaya sepenuhnya.

Akhirnya ketika umur mereka sudah 4 tahun baru berjaya ajar mereka tidak memakai lampin sepenuhnya.

Tetapi ada seorang anak lelaki taska saya, ibunya berjaya latih pada umur 3 tahun lagi.

Maknanya di sini, kita sebagai ibu perlu lebih konsisten dan keras hati latih anak buang air sendiri dan lepaskan lampin seawal mungkin.

 

Bab Latih Anak Bebas Pampers, Ayah Pun Kena Bantu Sama

10 Cara Latih Anak Bebas Pampers

Berikut mungkin tips yang dapat membantu ibu-ibu di luar sana cara untuk anak melepaskan lampin mereka.

1) Peringkat awal, latih anak buang air kecil sendiri terutama setiap kali sebelum mandi. Ibu-ibu perlu bersabar sehingga anak boleh membuang sendiri setiap kali di suruh.

Kalau nak suruh ketika hari siang waktu dia berlampin pun boleh cuma leceh sikit sebab perlu pakaikan lampin semula. Silap haribulan tak sempat ajak ke tandas dia dah buang air di lampin.

2) Jika anak dah boleh buang air sendiri, untuk permulaan kena pilih beberapa hari yang lapang contohnya hari minggu supaya ibu-ibu boleh fokus untuk latih anak.

3) Ibu-ibu perlu beritahu anak sebelum ingin melatihnya supaya dia juga bersedia untuk melatih dirinya membiasakan dari tidak memakai lampin pakai buang.

4) Perlu bertanya kepada anak dengan kerap apakah dia mahu membuang air kecil atau besar. Walau pun dia beritahu tidak mahu, untuk mula-mula setiap 15 minit – 1/2 jam sekali ibu perlu bawa anak ke tandas dan minta dia buang air kecil.

5) Selepas dia sudah pandai beritahu untuk buang air sendiri, ibu-ibu boleh jarakkan ke 45 minit – 1 jam sekali.

 

Bab Latih Anak Bebas Pampers, Ayah Pun Kena Bantu Sama
Kredit foto : babycentre.com

Ayah Pun Kena Bantu Sama

6) Ketika ini waktu malam anak masih perlu memakai lampin supaya tidak ada risiko anak buang air kecil ketika tidur.

7) Ibu atau bapa boleh bantu bangunkan anak di waktu tengah malam untuk latih dia buang air kecil di tandas jika dia merasa ingin buang air kecil di waktu malam ketika tidur.

8) Akhirnya selepas dipastikan setiap pagi lampinnya kering sepanjang dia tidur waktu malam, bolehlah dia dilatih tidur tanpa lampin.

9) Yang pasti setiap apa jua yang ingin kita lakukan pastikan kita berdoa memohon kepada Allah semoga dipermudahkan urusan melatih anak kita. Kerana apa jua yang kita lakukan atas izin-Nya.

10) Paling penting juga, pihak bapa perlu bantu isteri melatih anak bersama-sama.

Jika anak sudah pandai ke tandas sendiri, bukan saja kita berasa lega malah menjimatkan kos perbelanjaan bulanan dari membeli lampin pakai buang.

Semoga info ini dapat memberi manfaat untuk ibu-bapa diluar sana.

Salam Sayang.

Sumber/Foto : Nor Robaniyah Jahron

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal