Banyak sangat kes pasangan kahwin nak mudah, sanggup ke Thailand demi halalkan hubungan. Yang banyak jenis pasangan kahwin jadi nombor dua! Tetapi bila dah bertahun bersama, akhirnya lelaki buat perangai dan gagal tunaikan tanggungjawab. Padahnya hubungan rumah tangga dilanda badai.
Allah… tolonglah sedar wahai kaum wanita! Untuk renungan sebelum bertindak dengan cara yang salah dalam urusan perkahwinan, jom baca perkongsian penulis ruangan RESEPI HIDUP majalah Mingguan Wanita, Puan Suzana Ghazali ini…
“Kak Su, suami saya tak nak daftarkan perkahwinan kami. Dia cakap, kalau saya uruskan juga untuk daftar, jatuh talak satu.”
Antara aduan seorang isteri yang sudah berkahwin di sempadan hampir lima bulan. Suami melarang gara-gara diugut isteri pertama, jika perkahwinan kedua suaminya didaftarkan, dia akan failkan cerai. Suami isteri ini telah bersemuka dengan saya sebelum ini dan saya nasihatkan untuk uruskan permohonan poligami. Lebih kurang sebulan kemudian, saya dimaklumkan oleh si isteri, mereka dah pun berkahwin di sempadan, dengan pujukan si lelaki tika itu bagi memudahkan urusan.
Teringat kata orang: bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Ya lah, kalau nak susah tu, mudah saja tapi kalau nak senang belakang hari, perlulah bersusah sedikit di awalnya. Kalau senang dan mudah pada awal tadi, biasanya malah kebanyakan kes membuktikan, akan ada payah dan susahnya di belakang hari.
Ads
Ramai yang tahu hakikat ini. Namun, yang menjadi masalahnya ialah tahu tetapi enggan mengambil iktibar. Ada juga yang tahu tetapi bila terkena batang hidung sendiri, bertindak seolah-olah hakikat bukan senang nak senang tu dusta semata-mata. Tetap nak juga ambil jalan mudah dengan pendirian, berdoalah agar mudah juga belakang hari. Ya… memang betul, kita usaha dan yang lainnya kita serahkan kepada AllahYang Maha Kuasa.
Jangan lupa… usaha dan ikhtiar perlulah mengikut jalan dan landasan betul. Sungguh, matlamat tidak menghalalkan cara walaupun jalan yang anda ambil hanyalah bercanggah dengan undang-undang dan bukan hukum syarak. Satu perkara yang perlu diingat terutamanya oleh para gadis dan wanita di luar sana, undang-undang adalah untuk kebaikan anda. Melanggar undang-undang bererti anda menempuh bencana dan paling tragis, ada kes perlanggaran undang-undang dan dalam masa yang sama bercanggah juga dengan hukum syarak.
Ads
Bukan Suka-suka
Ketahuilah, perkahwinan bukanlah perkara main-main apatah lagi perkara gurauan atau suka-suka. Perkahwinan memerlukan agar setiap rukun dan syaratnya dipenuhi. Rukun nikah ada lima: calon isteri, calon suami, wali, dua orang saksi dan sighah iaitu ijab dan kabul. Saya tak nak jelaskan dengan terperinci mengenai hukum dan syarat nikah ini. Saya yakin, anda boleh cari faktanya sendiri. Namun, fokus saya ialah mengenai perkara yang selalu diambil mudah dalam perkahwinan iaitu wali dan saksi.
Teringat kes pertama yang saya kendalikan ketika menjalani latihan praktikal di Kuala Muda, Kedah: seorang lelaki ditangkap bersama seorang wanita yang diakui sebagai isterinya. Malangnya ketika tangkapan dibuat, tiada surat akuan nikah yang berjaya dikemukakan. Ketika perbicaraan, lelaki ini mengeluarkan kenyataan amat menggeletek hati saya hinggalah sekarang.
Ads
Tika hakim bertanya: siapa wali perkahwinan? Si lelaki menjawab: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Hakim bertanya lagi: siapa saksi perkahwinan? Jawapan masih sama: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Ya Allah!! Kenapalah boleh jadi begini? Itu kata hati saya tika itu dan setelah hampir 20 tahun terlibat di dalam bidang kerjaya ini, saya kenal pasti satu perkara, ramai yang mencari jalan keluar yang mudah tanpa memikirkan kesan dan akibatnya di belakang hari. Seperti kes lelaki yang terlalu mengharapkan abang angkatnya inilah, khabarnya perkahwinan dijalankan oleh kadi Thailand tetapi bila ditanya di mana tempat nikah, jawapannya: sebuah kampung dekat dengan Kuala Ketil. Alahai, bila pula Kuala Ketil masuk bawah sempadan Thailand?
Itu kisah pada tahun 1996. Saya tahu dan saya yakin, hari ini tika kita disogok dengan pelbagai kemajuan, masih ramai lagi yang terlibat dan bercadang untuk terlibat di dalam perkara yang bodoh seperti itu. Ya, memang perkara bodoh dan juga memalukan.
Saya merayu kepada para gadis atau wanita di luar sana, jangan termakan pujuk rayu lelaki yang konon cintakan anda sepenuh hati. Jika benar cinta, minta si lelaki berkahwin dengan anda mengikut cara yang betul, tidak melanggar adat, menepati kehendak undang-undang dan paling penting bertepatan dengan kehendak syarak.
Ketahuilah dan ingatlah, simpankan kemas di lipatan minda anda… natijah dan kesan daripada perbuatan bodoh itu akan diterima dan ditanggung oleh anda sendirian. Terus terang, hampir kebanyakan kes sebegini, pihak lelaki bertindak lepas tangan. Yang merana dan menderita, yang terpaksa meneruskan hidup dalam sengsara adalah anda!!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setahu saya selama ini hanya isteri sahaja yang bermadu. Menerima seorang wanita lain sebagai ‘tuan punya bersama’ ke atas suami memang sesuatu yang sangat menyakitkan. Tapi bagaimana kalau isteri pula yang ‘madukan’ suami tanpa sedar? Apa maksud tu ye?
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga penulis ruangan NOTA UNTUK ISTERI dalam majalah MINGGUAN WANITA.
Kenapa Bukan Suami?
Sekarang saya telah faham bahkan mengerti hikmah kenapa bukan suami yang dimadukan. Bayangkan suami mendapat berita yang dia terpaksa menerima seorang lelaki lain sebagai tuan punya bersama isterinya yang jelita itu. Saya pasti setiap hari doktor dan pemandu ambulan tidak sempat balik ke rumah.
Tanpa Sengaja
Namun bagaimana jika ramai isteri tidak sedar yang mereka telah ‘memadukan’ suami masing-masing secara tidak sengaja?
Mereka lebih seronok melayan telefon daripada bersama dengan suami. Mereka menatap ‘media sosial’ dalam telefon itu lebih menyeronokkan berbanding bercakap-cakap atau melayan suami.
Isteri begini bukan curang. Mereka bukan ada lelaki yang terlalu istimewa dalam telefon itu tetapi apabila melayari telefon itu mereka seperti ketagih. Anda faham maksud ketagih?
Walaupun suami ada di depan muka, tetapi ada rasa ‘tidak boleh tahan’ untuk melihat apa yang ada di dalam telefon. Mengikut Kamus Pelajar Edisi Ke-2 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, ketagih itu bermaksud ‘terlalu sukar untuk mengatasi’. Pernahkah anda rasa begitu?
Guna Alasan Kerja
Anda mungkin berselindung dengan alasan kerja, masalah kawan atau saja-saja apabila suami mula tidak selesa. Dari sudut emosi, apabila kita menjawab e-mel, membaca atau membalas pesanan rakan-rakan dalam telefon, minda dan emosi akan teruja. Degupan jantung dan tekanan darah meningkat apabila hormon Cortisol mula dilepaskan dalam saluran darah.
Hormon ini adalah perangsang ‘stress’ yang memberi kesan positif atau negatif bergantung kepada keadaan. Pada masa yang sama hormon Dopamine iaitu hormon ‘rasa seronok’ juga masuk.
Gabungan kedua-dua hormon ini memberi kesan ‘suami boleh dilayan kemudian’ kepada isteri. Apabila perasaan itu telah menakluki akal, jari akan bergerak turun-naik pada skrin telefon untuk mencari berita, gambar atau pesanan lain bagi mendapatkan lebih dorongan rasa ‘stress’ dan ‘seronok’ .
Rasa Terpinggir
Jangan sangka suami tidak perasan keadaan ini. Dia lelaki dan orang lelaki ditugaskan untuk menjaga bumi dan alam semesta ini. Pasti dia nampak dan rasa dipinggirkan pada kadar tertentu. Dia mungkin cukup sopan dengan bertanya ”Seronok nampak?” atau “Apa yang senyum-senyum tu?”.
Oleh kerana terlalu asyik dengan telefon itu anda tidak dengar soalan dia tadi dan ketika itulah derita suami bermula. Sudahlah isteri memadukannya tanpa rela dan sekarang bermesra pula di depan mata. Anda mahu tahu rasanya bagaimana? Bayangkan suami anda bercumbu dengan madu anda yang lebih cantik dan lebih muda di depan muka anda. Apa rasa? Seronok?
Bagaimana Nak Atasi?
Apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini? Tidak ada jalan lain. Disiplin! Apabila anda berada di rumah, tutup telefon.
Tidak ada yang lebih penting daripada anak-anak, suami dan rumah tangga. Sekiranya anda rasa anda sudah mengalami ketagihan telefon yang teruk, cabarannya untuk melawan ketagihan ini pasti hebat. Ini kerana apabila anda mula menutup telefon di rumah, kesan kedua-dua hormon tadi masih ada dan meraung minta dipenuhi.
Gantikannya dengan apa yang ada dalam rumah. Bercakap-cakaplah dengan suami dan anak-anak. Hias rumah, cantikkan bilik tidur, baca buku agama atau lain-lain aktiviti yang bukan berkaitan dengan apa yang ada dalam telefon.
Mungkin selepas ini kita buat slogan ‘Ketagih Dadah Hidup Sengsara. Ketagih Telefon Rumah Tangga Merana’.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masih ramai yang takut-takut nak bersedekah, bukan sebab duit tak ada tetapi risau sangat tak cukup! Akhirnya langsung tak menghulur walau seringgit.
Untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian saudara Abd Ghani Harondalam soal bersedekah.
Bersedekahlah Sampai Jadi Kaya
Saya ingin mengajak anda untuk merenung antara pesanan terakhir Allahyarham Dato Harun Din. Katanya orang mukmin yang hebat ialah mereka yang meninggalkan dunia, sebelum dia meninggal dunia, mereka yang bersedekah sampai kaya. Bukan dah kaya baru bersedekah, mereka yang berdakwah sampai jadi alim, bukan dah alim baru berdakwah. Mereka yang datang ke masjid@surau sampai ke tua, bukan dah tua baru nak ke masjid atau surau. Dan mereka yang beramal sampai ikhlas, bukan dah ikhlas baru nak beramal.
Apa yang dipesankan ini begitu kontra dengan pegangan sebahagian besar dari kita kerana kita seringkali memikir mati hanya setelah sakit dan tua yang hampir mati. Nak bersedekah tunggu bila berada, nak berdakwah tunggu banyak ilmu, nak ke masjid bila dah tua, dah pencen dan menunggu keikhlasan baru nak beramal.
Dengan yang demikian kita tidak mengingati mati, tidak bersedekah, tidak menyeru yang baik, menegah yang mungkar, tidak berulang solat berjamaah kecuali telah pencen dan tidak beramal kerana kurang ikhlas. Hakikatnya kita kena beramal sedikit demi sedikit untuk mencapai semua itu, bukan menunggu ketika tertentu, bukan tiba tiba terjadi demikian.
Ingatlah mati, sebagai kekuatan untuk bersedia menghadapinya, tidak terlalu terkejar dunia ini hingga melupakan mati. Bersedekahlah dengan apa yang mampu, walaupun kita sendiri memerlukan kerana sedekah itu meluaskan rezeki, yang menyebabkan kita terasa sentiasa cukup keperluan. Ini bukan omongan kerana disebut nabi dan pada saya, saya begitu merasainya. Dalam berdakwah, jangan merasa aku tak ada ilmu yg cukup untuk berdakwah kerana pesan nabi’ Sampaikan dari aku walau satu ayat’ yang bermaksud jika kita tahu satu perkara, sampaikanlah, jangan tunggu tahu banyak perkara baru nak menyampaikan.
Pegangan bahawa bila pencen baru nak berulang ke masjid, tak mau buat kerja lain dah, nak ibadat sahaja, adalah pegangan yang salah kerana meyakini umur kita boleh melebihi 60 tahun. Banyak orang tak sempat pencen atau pencen sehari dua, dah dijemput kembali. Tak kurang yang bila pencen terlantar dirumah kerana sakit. Bila masa lagi nak ke masjid, ke surau? Jangan menunggu terasa ikhlas baru nak berbuat baik, lebih teruk mengutuk orang yang berbuat baik sebagai tidak ikhlas, riak. Ikhlas itu perlu dilatih, diulang-ulang berbuat kebaikan, akhirnya akan terzahirlah keikhlasan.
Saya mengajak anda menghayati apa yang dipesan oleh Dato Harun ini dan jadikan pedoman untuk hidup kita, praktikkanlah mulai hari ini. Selagi kita tidak mengamal perkara mengingat mati, dakwah, bersedekah, bersolat jamaah dan berbuat kebaikan tanpa menunggu ikhlas, ia akan menjadi teori sahaja. Malah menjadi slogan untuk dijaja, dipesan tetapi tidak dilakukan.
Banyak orang suka tulis pesan yang baik di fb, petik hadis, kata ulamak, ingatlah pesan Allah,
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
(Surah as-Saf, 61:2-3) Maka jomlah kita amalkan apa yang dipesan sebelum kita memanjangkan pesanan tersebut kepada orang lain.
Wallahu’alam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masa bercinta pasangan anda boleh terima segala perlakuan anda. Tetapi kalau sudah berumah tangga, macam-macam yang hal akan nampak buruk dan salah. Kena lebih peka, suami cukup tidak suka jika si isteri mula buat 6 perkara ini di depannya.
1. Jangan korek tentang bekas kekasih
Bajet nak bergurau sekali pun, tak perlu sampai nak ungkit atau bandingkan sikap pasangan dengan ‘orang yang pernah hadir’ dalam hidup. Lelaki mungkin tak tunjuk rasa kecil hati, tetapi kalau dah banyak sangat pendam, lama-lama boleh meletup!
2. Jangan berdebat di sosial media
Jangan sesekali berdebat di media sosial dengan suami. Nak marah macam mana pun, lebih elok jika bawa berbincang, dengar dari mulut pasangan sendiri. Cukuplah dengan tangani masalah perkawinan anda di rumah.
3. Guna alasan period
Ini selalu wanita buat, marah-marah suami dan guna alasan ‘datang bulan’. Sekali dua bolehlah terima, tapi kalau dah tiap-tiap bulan mahu bosan si lelaki. Jika pun memang itu yang anda akan alami, beritahu pasangan awal-awal. Bolehlah si dia bersedia tadah telinga sebelum anda lepaskan emosi.
4. Berhenti buat gosip
Seorang wanita hidup dengan penuh gosip. Tapi jangan sampai cerita tak betul timbul. Lelaki cukup tak suka kalau perempuan bercerita tentang orang lain hingga pecah belahkan hubungan seseorang. Tambah pula kalau terkait hal ipar-duai. Hati-hati ya wanita…
5. Perangai macam anak kecil
Mungkin sudah biasa jadi anak manja, sikap kebudak-budakan pun kadang terbawa-bawa. Isyh, jangan sampai orang lain muak dengan perangai manja anda ya. Atau mungkin mahukan sesuatu pun, tak perlu sampai merajuk hingga habis cara suami nak pujuk. Cuba bagi ruang dan peluang.
6. Cakap jerit semata tarik perhatian
Perkara paling kotor adalah apabila anda marah pasangan dalam keadaan suara yang kuat dan nada tinggi. Tak perlulah besarkan isu sampai orang luar tahu. Boleh tarik pasangan dan bincang elok-elok. Konon nak menang, tetapi kalau dah memekak sampai suami malu, itu dah jadi kes malukan diri sendiri.
7. Potong cakap
Ada yang jenis cepat marah, cakap pun main sembur. Belum habis lelaki jelaskan keadaan, wanita dah potong cerita. Jangan amal sikap buruk ini, kena lelaki cepat naik tangan memang jadi mangsalah anda!
Bukan semua lelaki mampu bersabar dengan perangai wanita, kira agak untung kalau anda dapat suami penyabar dengan pelbagai karenah anda. Tetapi jangan ambil kesempatan, baik-baik lelaki ada juga batasnya. Dan anda perlu jaga hubungan suami isteri sebelum salah seorang naik bosan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bekas suami Liza Abdullah meninggal dunia. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Zolkefli Abdul Rahman yang telah pulang ke ramahtullah malam tadi.Berita tersebut telah disampaikan...