Diasaskan pada 2003 oleh Almarhum ustaz Hj. Ahmad Ansory b. Morshid, Pondok Bustanul Arifin yang terletak di Kg. Labohan Dagang, Banting Selangor. Kini, selepas pemergian Almarhum Ustaz Hj. Ansory pada tahun lalu, tugas mentadbir pondok tersebut telah diserahkan kepada menantu beliau, iaitu Ustaz Ikhsan Maulana bin Ilyas, selaku Mudir Pondok Bustanul Arifin.
Pelajar Lelaki Dan Perempuan
Menurut Ustaz Ihsan, Pondok Bustanul Arifin menempatkan pelajar lelaki manakala Pondok Bustanul Arifat pula menempatkan pelajar perempuan, terletak di Telok Panglima Garang.
“ Selepas dua tahun usaha mengasaskan pondok Bustanul Arifin berjalan, Pondok Bustanul Arifin berjaya memulakan sesi pengajiannya secara rasmi pada tanggal 27/8/2004 dengan tiga orang pelajar dan seorang tenaga pengajar. Kemudian bilangan pelajar semakin bertambah dan beberapa orang guru juga ditambah bagi memenuhi keperluan pengajian.
Ads
“ Dalam pada itu juga, penambahan pondok kediaman pelajar juga dibuat. Selepas 5 tahun daripada tarikh pondok beroperasi, Pondok Bustanul Arifin telah mencapai perubahan yang baik dari sudut penerimaan pelajar, penambahan guru dan juga penambahbaikan daripada sudut fasiliti pondok. Kini terdapat kira-kira 150 orang pelajar, dengan kaki tangan dan guru melebihi 30 orang.
Ads
“ Pengoperasian Pondok Bustanul Arifin pada asasnya tidak mendapat mana-mana bantuan secara tetap. Walaupun yuran dikenakan sebanyak RM250 sebulan, tetapi kurang daripada separuh pelajar sahaja yang membayarnya secara konsisten. Selebihnya, ditanggung daripada hasil derma orang ramai yang kadangkala tidak mencukupi. Untuk membayar gaji kakitangan sahaja sudah mencecah RM15 ribu sebulan, belum lagi termasuk perbelanjaan makan minum, bil-bil dan sebagainya. Sebab itu kami sangat mengalu-alukan para dermawan yang ingin menyumbang,” ujar Ustaz Ihsan.
Di sini, mereka menerima sesiapa saja yang berminat untuk belajar tidak kira usia. Ada pelajar mereka seawal usia tujuh dan ada juga warga emas yang belajar di situ. Asalkan boleh menguruskan diri sendiri, akan diterima masuk.
Ads
Terdapat dua sistem pembelajaran iaitu tahfiz dan pondok. Tahfiz menumpukan pada hafazan al-Quran manakala pondok pula mengajian kitab-kitab. Tenaga pengajarnya ada yang didatangi khas daripada Bangladesh , Indonesia dan Kamboja.
Dalam Pembinaan
Menurut Ustaz Ihsan, pihak Pondok Bustanul Arifin kini dalam proses membina asrama yang menjadi tempat tinggal para pelajar dan masjid yang lebih selesa sejak beberapa bulan lalu. Namun kerana dana yang tidak mencukupi, pembinaan tidak berjalan lancar.
“Kami ingin membina empat blok kediaman sebagai asrama pelajar dan setiap blok memerlukan RM170,000. Manakala untuk masjid, kos yang diperlukan adalah RM250 ribu. Jadi, kami sangat mengalu-alukan sumbangan ikhlas sama ada zakat/fidyah/infaq dan wakaf daripada orang ramai supaya kami dapat menyelesaikan pembinaan itu pembinaan Masjid dan asrama itu dengan segera. Asrama yang didiami oleh pelajar sekarang hanya diperbuat daripada batu dan kayu yang tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan. Hanya Allah SWT yang dapat membalas segala keikhlasan anda semua,” akhiri Ustaz Ihsan.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun MBB 562058067459 (penama Maahad Tahfiz Bustanul Arifin) atau Ambank 0410020052560 (penama Pondok Bustanul Arifin). Boleh juga menghubungi ustaz Ihsan di talian 016 7312042.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sejak dari sekolah rendah, ibu Rehan Sidik tak pernah gagal menjalankan tanggungjawabnya. Meletakkan dalam hati anak, bahawa guru pertama anak adalah ibunya. Kisah ibu Hajah Norma Abdullah ini dikongsikan sendiri oleh anaknya, Rehan yang kini turut mendidik 4 orang anaknya dengan cara yang sama, tegas penuh kasih sayang.
Bagaimana Saya Melihat Dunia Hari Ini
Adalah bagaimana ibu saya memperkenalkan dunia kepada saya 30 tahun yang lalu.
Corak saya berfikir, diasuh dengan begitu kreatif oleh ibu yang sangat kreatif.
Beliau guru pertama saya, menulis dan membaca. Pada usia saya 7 tahun, saya pernah memenangi pertandingan bercerita peringkat negeri Kelantan. Masya Allah, dengan segala ‘props’ dan persiapan pentas, beliau sendiri yang hasilkannya.
Siang malam, saya dilatih untuk membiasakan diri bercakap di khalayak. Pada usia 7 tahun saya mampu berbicara dengan petah, menyanyi dan menari, bermain alat muzik dan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di pentas.
Anak.. Bila ibunya sangat gigih, anak juga akan turut serta. Mula-mula terpaksa, lama kelamaan, akan jadi terbiasa. Dari sekolah rendah, semua tugasan saya ada sentuhan dari mak. Begini dan begitu.
Mak nak hasil kerja saya sempurna. Kami akan buat sama-sama. Kadang-kadang saya mengeluh untuk ubah balik kerja, tapi mak cukup sabar.
“Kita mahu hasilkan sesuatu yang terbaik, sabarlah”.
Masuk Sekolah Menengah, Cara Kerja Makin Teratur
Bila tiba masa saya ke sekolah menengah, saya dah dapat rentak bekerja cara beliau. Semuanya mesti sempurna dan dalam keadaan yang teratur. Mesti cantik dan smart. Dan apabila anak mula berdikari, itu lah masanya mak menunggu hasil-hasil yang lebih baik untuk dikongsi bersama.
Alhamdulillah.
“Hari ini, saya amat menghargai dirinya, sebagai seorang ibu yang sentiasa memberikan doa dan sokongan, seorang sahabat yang sangat memahami, dan seorang pejuang yang tidak pernah luntur semangat juangnya. Kami ke Pesta Buku Bologna Italy bersama. Bergandingan sebagai rakan sekerja.”
Saya mengangkat beliau sebagai penulis.
“Tulislah mak, tentang segala pengalaman, suka dan duka.. moga-moga setiap dari kami dapat mengambil segala iktibar dari kisah hidupnya yang penuh inspirasi.”
Tahun Kejayaan Rehan Sidik
Di sini, di Rome, Italy, kami berdiri. Bersaksikan bangunan Colosseum yang penuh sejarah. Ini juga sejarah buat kami penulis-penulis IDEAS & TINTA MUALIM. Apalagi kami berkesempatan mempromosikan pelbagai cerita yang berkonsepkan budaya Malaysia dengan penuh bangga.
Saya tidak pernah lupa, di mana saya bermula.
Pada tahun 2015, saya menyertai Program Pengkarya Guru di bawah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, seliaan Lynn Rahman.
Sokongan tanpa henti diberikan sehingga saya bersama 12 Pengkarya Guru yang lain berjaya menghasilkan buku ilustrasi kanak-kanak kami Kids Book by IDEAS yang pertama dan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun 2016.
Seterusnya pada tahun 2017, saya menyiapkan 100 guru Kelantan yang juga mempunyai harapan yang tinggi untuk menjadi penulis, juga tercapai. Terhasillah 3 Antalogi Cerpen Tinta Mualim. Syukur. Berkat doa dari semua.
2018 adalah langkah saya untuk mengantarabangsakan penulis-penulis. Langkah ini bukan mudah. Dan semua pengalaman-pengalaman berurusan dengan pelbagai ragam manusia ini, membuka mata hati, akal dan iman saya agar terus kuat dengan segala ujian yang Allah berikan.
Terima kasih sahabat-sahabat yang sentiasa bersama.
Terima kasih Kak Lynn kerana terus memberikan kata-kata nasihat dari hati ke hati.
Rehan Sidik juga merupakan pengasas Tadika Permata Raudhah yang mempraktikkan Quranic Early Childhood Practitioner.
Allahu.. inilah yang jadi pada jenazah seorang wanita usia pertengahan 40-an. Yang terlalu taksub nak kelihatan cantik semasa hayatnya. Sanggup buat apa saja termasuklah ubah wajah dengan pembedahan.
Wartawan Mingguan Wanita menemuramah Ustazah Halimah, yang kami rahsiakan identiti nama sebenarnya demi menjaga kerahsiaan antara kami. Kisah yang dikongsikan ustazah berlaku ketika beliau diminta menguruskan jenazah seorang wanita tak lama dulu.
Dan pengakuan tentang kehidupan semasa hayat ibunya dimaklumkan oleh anak wanita ini. Perkongsian ini tak lain tak bukan semata-mata untuk memberi pedoman pada mereka yang masih hidup.
Kisah Benar Tukang Mandi Jenazah
Ustazah Halimah sudah lama melibatkan diri sebagai tukang mandi jenazah. Kerja amal yang diceburi secara tidak sengaja ini sudah menemukan dirinya dengan pelbagai kisah pelik yang boleh memberi pengajaran kepada umat Islam yang lain.
“Sebagai seorang tukang mandi jenazah, kerja kami ini boleh dikatakan tidak mengira masa sebab mati itu tidak ada yang dapat menyangkanya. Ajal maut itu semuanya di tangan Tuhan dan sebagai hamba-Nya, apa yang boleh kita buat adalah mengisi masa hidup yang ada dengan amalan yang baik dan meninggalkan amalan yang mungkar.
“Kembali semula kerja saya sebagai tukang mandi jenazah, saya boleh kongsikan satu cerita mengenai seorang wanita yang pernah saya uruskan pemandian dan pengkafanannya. Saya tidak mengenali wanita tersebut. Namun disebabkan arwah tinggal di dalam kawasan kariah masjid tempat saya menabur bakti, saya perlu menunaikan amanah dengan sebaik mungkin.
“Saya masih ingat, wanita itu meninggal dunia pada waktu petang. Dia meninggal dunia di rumah. Punca dia meninggal saya kurang pasti. Tidak pula saya bertanya lebih lanjut pada waris yang menelefon masjid pada hari itu.
Wajah Kedut Sangkakan Sudah Tua
“Sebaik saya sampai di rumah arwah, tidak ramai yang ada di sana. Hanya waris yang terdiri daripada anak dan menantunya. Suami arwah telah meninggal dunia beberapa tahun sebelum ini. Sampai sahaja di sana, saya terus menuju ke bilik yang menempatkan jenazah arwah. Saya memang tidak pernah bertemu dengan arwah dan sebab itu jugalah saya tidak pernah tahu bagaimana rupa arwah.
“Sebab tidak mahu melengahkan masa saya terus membuka kain yang menutup wajah jenazah. Terkejut saya melihat wajah arwah yang berkedut dengan teruknya. Sudah tua sangat arwah ini. Fikir saya dalam hati. Saya tidak bertanya kepada waris apa-apa. Sebaliknya saya meminta bantuan waris untuk mengangkat jenazah untuk diletakkan pada tempat yang luas dan tertutup agar mudah untuk dimandikan.
“Tanpa berlengah, saya uruskan jenazah sama seperti jenazah yang pernah saya uruskan sebelum ini. Anak perempuan arwah turut membantu. Kami diam sahaja sewaktu memandikan jenazah. Hanya sedikit rasa sedih terlihat pada wajah anak arwah apabila tangannya menyentuh wajah arwah ibunya.
“Selesai memandikan jenazah kami terus mengkafankan dengan sempurna sebelum disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan yang berdekatan. Selesai urusan memandikan jenazah saya tidak terus tidak bertemu dengan anak arwah.
Arwah Sanggup Buat Apa Saja Asalkan Nampak Cantik
“Hanya beberapa hari selepas itu anak arwah telah bertemu saya. Sebenarnya saya hampir lupa pada dirinya. Hanya setelah dia memperkenalkan diri barulah saya ingat semula. Katanya tujuannya bertemu saya adalah untuk memberitahu saya mengapa wajah ibunya berkedut dengan agak teruk.
“Saya hairan kenapa pula dia mesti terangkan keadaan arwah ibunya. Bukankah setelah berusia wajah wanita akan berkedut sebegitu. Fikir saya dalam hati. Anak arwah menerangkan ibunya memang sudah berusia tetapi sepatutnya wajah tidak berkedut teruk sehingga seperti tidak dikenali sebegitu. Ibunya baru berusia 45 tahun. Wajah ibunya jadi begitu kerana sewaktu hidupnya arwah agak taksub dengan penampilan wajahnya.
“Arwah sanggup buat apa sahaja asalkan wajahnya sentiasa cantik. Setiap kali ada kedut yang muncul, dia akan risau. Pelbagai krim telah digunakan. Rawatan wajah usah cakap. Apa sahaja yang dia tahu akan dicuba sehinggakan suntikan botox sudah menjadi satu rutin bagi ibunya. Anaknya cuba menasihatkan ibunya untuk menghentikan rawatan botox tetapi tidak dihiraukan. Apabila ibunya meninggal dunia barulah kesan pengambilan botox itu jelas kelihatan. Ibunya juga pernah melakukan pembedahan kosmetik bagi mencantikkan lagi wajahnya.
“Terkejut sungguh saya mendengar penjelasan anak wanita tersebut. Daripada cerita itu saya dapat simpulkan adalah jangan mengubah kejadian yang diberikan oleh Tuhan. Di dunia kita mampu mengubah tetapi sebaik menghadap Ilahi, segala-galanya tidak akan kekal sebaliknya mampu memberi aib pada diri dan waris yang masih ada.
“Si anak tidak berhajat mengaibkan ibunya tetapi dia berharap wanita mahu pun lelaki sebelum mengambil keputusan mengubah kejadian Tuhan untuk berfikir kesan buruk di kemudian hari,” akhiri ustazah Halimah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keluarga Asnaf kedua yang mendapat perhatian majalah Mingguan Wanita dan Impiana dalam program CSR Raya adalah keluarga Rosnani binti Aris. Kehidupan wanita berusia 34 tahun ini memang sangat memeritkan setelah Farimzaimi bin Zakaria, suami yang disayangi tidak mampu bergerak sebaik disahkan menghidap penyakit kanser limfoma sejak tiga tahun yang lalu.
Rosnani dan Farimzaimi memiliki dua orang anak. Siti Balkis berusia 11 tahun manakala Mohd Faris berusia 10 tahun. Mereka sekeluarga tinggal menyewa di sebuah rumah kecil di Kg Baru Nelayan, Sungai Besar, Selangor sejak Farimzaimi sakit. Sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Alor Setar, Kedah selama lima tahun.
Keputusan berpindah ke Sungai Besar dibuat kerana inilah kampung halaman Rosnani. Di sini juga tempat tinggal ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Berpindah ke Sungai Besar turut memudahkan dia membawa suaminya berulang-alik ke Hospital Ampang, Selangor bagi mendapatkan rawatan penyakit kanser limfomanya.
“Saya dan suami mengambil keputusan menyewa rumah kerana tidak mahu menyusahkan keluarga saya yang juga bukan orang senang. Emak perlu menjaga ayah yang menghidap penyakit Parkinson. Jadi, kami menyewa rumah yang berhampiran dengan keluarga saya. Mudahlah jika saya mahu meminta sebarang bantuan jika terjadi perkara yang tidak diingini,” ceritanya.
Mengimbas semula kisah penyakit kanser yang dihidapi oleh suaminya, Rosnani menjelaskan segala-galanya berlaku secara tiba-tiba.
“Suatu hari, selepas suami balik dari kerja, dia mengadu sakit belakang. Rasa sakit itu kemudiannya turun ke kakinya. Dia pergi ke klinik tetapi doktor tidak dapat mengesyaki sebarang masalah. Dia hanya diberi vitamin, namun, rasa sakit yang dialami tidak juga berkurangan.
“Apabila ayah saya mendapat tahu suami saya sakit, dia meminta saya membawa suami berubat di kampung (Sungai Besar). Saya ikutkan kata ayah dan bawa suami pulang. Selepas berubat kampung tidak ada sebarang kesan, saya kemudiannya membawa suami ke hospital Selayang.
“Doktor tidak dapat mengesan penyakit suami. Saya kemudiannya bawa suami ke Hospital Sungai Buloh. Di sana doktor telah melakukan pembedahan pada bahagian tulang belakang suami. Barulah doktor dapat mengesan suami menghidap kanser Limfoma,” cerita lebih lanjut tentang kesakitan suaminya.
Keluarga ini bergantung sepenuhnya kepada Rosnani
Demi Suami Dan Anak-anak
Betapa terkejutnya Rosnani apabila doktor mengesahkan suaminya menghidap kanser Limfoma. Berikutan dengan pengesahan doktor itu, suaminya kemudian telah dirujuk ke Hospital Ampang. Selama sebulan dia menemani suami menjalani rawatan rehabilitasi di Hospital Ampang.
Sepanjang dia menjaga suami, anak-anaknya dijaga oleh keluarga di Sungai Besar. Selepas suami dibenarkan keluar dari hospital, Rosnani perlu membawa suami melakukan rawatan susulan di hospital.
“Saya masih ingat lagi betapa susahnya kami berulang-alik ke hospital agar suami dapat menjalani rawatan kemoterapi. Suami buat kemoterapi selama enam kali. Selepas habis kemoterapi, saya telah menghantar suami ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan radioterapi selama sebulan.
” Habis radioterapi, doktor membenarkan suami balik ke rumah. Doktor sahkan suami sudah tidak ada apa. Cuma kaki dia tidak boleh berjalan. Dari tulang T7 sampai paras kaki, memang tidak ada rasa. Kalau cucuk atau apa sahaja, suami tidak dapat rasa.
“Sedih juga dengan keadaan suami ketika itu. Tetapi rasa sedih itu saya simpan kerana memikirkan tentang dua orang anak kami. Mereka juga perlukan saya dan ayah mereka. Terpaksalah saya mulakan hidup baru.
“Kini hidup saya adalah untuk suami dan anak-anak. Tanggungjawab itu berat kerana perlu membawa suami berulang-alik ke hospital. Pada masa yang sama membawa anak-anak pergi dan balik ke sekolah.
“Saya masih muda dan boleh bekerja tetapi tidak boleh melakukannya kerana jika saya bekerja siapa yang akan membawa dan mengambil anak pergi dan balik sekolah. Siapa pula hendak menjaga suami kerana dia tidak boleh mengawal berak dan kencingnya.
“Dua hari sekali saya akan masuk ubat pada suami agar dia boleh berak. Suami pula akan kencing melalui tiub. Manakala setiap dua minggu sekali jururawat dari Klinik Sungai Besar akan datang ke rumah bagi menukarkan kepada tiub baru,” katanya dengan nada sedih.
Pengorbanan Rosnani yang masih muda menjaga suami berusia 45 tahun ini tidak boleh dipandang remeh. Tidak semua wanita bergelar isteri yang mampu melakukannya. Jelas Rosnani, walaupun suaminya sakit, dia sesekali tidak akan meninggalkan suaminya itu.
“Pernah juga suami meminta supaya saya tinggalkan dia kerana kesakitan yang dia alami. Namun sesekali tidak akan saya tinggalkan dia. Selagi saya mampu, saya boleh jaga suami. Sementara dia masih ada saya akan bela dia. Selagi kudrat saya ada, saya akan jaga dia,” ujar Rosnani dengan penuh bersemangat.
Pesan Rosnani lagi, kepada wanita yang mempunyai suami yang sakit seperti suaminya ini, jagalah suami mereka.
“Jagalah suami kita kerana itulah syurga kita,” tambahnya.
Anak-anak masih kecil, tetapi mereka faham penderitaan keluarga
Tidak Mampu Balas Pengorbanan Isteri
Farimzaimi rasa bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Rosnani. Tatkala dirinya berasa sedih, isterinya banyak memberi kata-kata semangat.
“Saya masih ingat lagi, ketika berada di wad, memang saya mudah ‘down’. Ketika emosi saya tidak stabil, pernah juga saya kata kepada isteri agar tinggalkan saya. Tetapi isteri tidak mengendahkan kata-kata saya itu.
“Sebab itu seringkali juga saya ambil masa ketika berseorangan untuk fikirkan kembali apa yang berlaku pada diri saya. Saya juga jadikan pengalaman, ketika tinggal di wad dan bertemu dengan pakar-pakar motivasi telah membuatkan saya mendapat suntikan moral untuk diri kembali bersemangat.
“Saya berterima kasih kepada isteri kerana sanggup tolong saya walau saya dalam keadaan sebegini. Allah Maha Berkuasa dan Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Pengorbanan isteri saya itu tidak dapat saya ungkapkan. Demi menjaga saya, isteri terpaksa meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh keluarganya,” katanya dengan suara tersekat-sekat.
Tiga Tahun Tidak Membeli-belah
Seronok Rosnani dan anak-anak membeli-belah di Econsave Alam Jaya
Rosnani tidak bekerja. Sebab itu dia amat bersyukur kerana mendapat bantuan dari Pusat Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pusat Zakat memberi bantuan kewangan sebanyak RM400. Manakala JKM memberi bantuan sebanyak RM350. Dengan wang tersebut saya gunakan untuk membeli barang dapur dan menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.
“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang daripada adik-adik saya untuk duit belanja anak-anak di sekolah. Kadang-kadang timbul rasa malu kerana terpakssa pinjam duit daripada adik beradik. Apabila timbul rasa segan itu, anak-anak saya tidak bersekolah,” luah Rosnani, sebagai ibu dia banyak berkorban untuk anak-anak. Dia sanggup tidak makan asalkan anak-anak dapat makan.
“Saya tidak kisah keperluan saya sendiri. Apa yang penting suami sihat. Walaupun kakinya tidak dapat berjalan, yang penting tangannya masih sihat. Anak-anak juga perlukan saya. Saya pernah rasa terbeban dengan tanggungjawab ini tetapi setelah saya fikir sedalam-dalamnya, saya terima takdir Allah ini. Anak-anak penguat semangat saya. Kegembiraan mereka buat saya hati saya gembira,” luahnya lagi.
Seharian Bersama Rosnani dan anak-anaknya, penulis dapat melihat sedikit perubahan pada wajah mereka apabila dibawa membeli-belah di Econsave sementara menunggu rumah mereka menjalani proses make over oleh majalah Impiana.
Dalam program CSR Raya Mingguan Wanita, Rosnani telah diberi baucar bernilai RM1300 tajaan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd. Baucar ini ibarat rezeki terpijak buat keluarga ini. Akui Rosnani, sudah tiga tahun dia tidak mampu menjejakkan kaki ke pasar raya untuk membeli-belah dengan jumlah yang agak besar.
Terima kasih Area Manager Econsave Cash and Carry Sdn Bhd Miss Lim Yoke Foong dan Branch Manager Econcave Alam Jaya Ahmad Subti bin Haji Ashari atas sumbangan baucar bernilai RM1300 yang diberikan kepada asnaf terpilih ini.
“Sejak suami sakit, kami tidak pernah berbelanja sebanyak ini. Syukur sangat dengan rezeki yang diberikan oleh Allah ini. Anak-anak pun seronok kerana mereka tidak perlu melihat tanda harga apabila membeli barang-barang yang mereka berkenan pada hari ini,” katanya dengan gembira dan penuh kesyukuran.
Terima kasih Mamyhome make over ruang tamu rumah Rosnani
Video membeli-belah di Econsave Bersama Mingguan Wanita dan make over rumah oleh Impiana ini pula boleh ditonton di saluran You Tube, laman web, Facebook dan Instagram Mingguan Wanita dan Impiana pada hari raya Aidilfitri ini.
Hulurkan Sumbangan
Jika ada yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah berkunjung ke alamat no 3, Lorong 1, Kg Baru Nelayan, Sg Besar, 43500, Selangor atau menghubungi nombor telefon 0172803572 atau masukkan sumbangan ke nombor akaun BSN 10123-29-00018893-8 Rosnani Binti Aris.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menu mudah yang sedap. Ramadan semakin mendekati puncaknya. Semoga setiap langkah kita dipenuhi keberkahan!Berbuka puasa hari ke-16, mak-mak nak masak menu apa tu? Jom...