Sejak kecil dimanjakan ayah membuatkan anak-anak lebih sayang dan kasihkan ayah berbanding ibu. Ibu seringkali dikaitkan ibu yang garang dan pemarah lagi-lagi ibu yang bergelar suri rumah dan 24 jam menguruskan anak.

Ayah yang jarang-jarang sekali uruskan anak-anak cukup disayangi kerana dilihat tidak cepat marah dan memukul. Sebenarnya seorang ibu penat menguruskan anak-anak dan rumah tangga serentak.

Oleh hal yang demikian, ayahlah main peranan penting tambahkan kasih sayang dan hormat anak-anak pada ibu mereka. Betul tak?

Ikuti perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini dan hadam baik-baik ya:

Ayahlah Main Peranan Penting

Seorang ayah sebenarnya memainkan peranan amat penting untuk menambahkan kasih sayang dan hormat anak-anak terhadap ibu mereka.

Saya masih ingat waktu saya kecil, ayah seorang yang sangat sibuk dan jarang berada di rumah. Apabila ayah pulang selalu akan membelikan ole-ole seperti pakaian baru, mainan, aiskrim dan makanan yang kami adik beradik teringin.

Jadi apabila ibu, ayah atau siapa-siapa bertanya “Sayang siapa? Ayah atau ibu?”

Kami semua cakap sayang ayah!

Sebab kami 24 jam di rumah dengan ibu. Ada masanya ibu marah. Dan ada masanya ibu berleter. Kemudian ada masanya ibu bertegas. Kadang kalau kami degil, kenalah cubit.

IKLAN

Tetapi ayah, ayah tak pernah marah, ayah bila pulang bawa hadiah, beri duit, belikan mainan. Ehh.. Mestilah sayang ayah lagi banyak kan?

Tambahkan Kasih Sayang & Hormat Anak Pada Ibu

Kemudian, di sinilah ayah memainkan peranannya.

Ayah kata, sebagai anak, apa-apa mesti ingat dan dahulukan ibu. Banyak pengorbanan ibu. Apabila lepas solat, atau nak ikut ayah keluar, ayah suruh salam dan cium ibu.

Dan apabila ibu jahitkan baju sekolah, baju raya, ayah suruh cakap terima kasih dan rasa syukur sebab ada seorang ibu yang pandai menjahit.

Apabila kami keluar sama-sama dengan ayah, ayah akan tanya pendapat kami, nak belikan apa ya untuk ibu di rumah?

IKLAN

Baca Juga Di sini:

Tanggungjawab Ketua Keluarga Didik ADAB, Pastikan Anak Tahu HORMAT Ibu Sendiri

Mak Mentua Kena HORMAT PILIHAN Anak, Terima Menantu Dengan Terbuka  

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Ayah Kena Terangkan Keadaan Sebenar

Ayah terangkan kenapa ibu mudah marah. Ya, sebab ibu penat, ibu letih, ibu stres.

Duduk rumah penat, dengan kerenah kami yang degil dan selalu bergaduh, mestilah ibu marah, kata ayah. Kalau kami baik, dengar kata, mesti ibu tak marah.

IKLAN

Ya, memang nampak ibu macam duduk depan mata kami 24 jam. Tak ada belikan apa-apa, tak beri duit belanja sebanyak ayah. Tapi ibu ambil upah menjahit sebagai pendapatan sampingan untuk membantu ayah menyara kehidupan kami sekeluarga.

Semua itu belakang tabir, kami anak kecil tak faham tetapi akhirnya kami faham dan nampak besar pengorbanan ibu setelah ayah fahamkan kami.

Ibu Sentiasa Harapkan Yang Terbaik Untuk Anak

Ketahuilah wahai anak, bahawa sebelum kamu dilahirkan ada seorang wanita yang selalu mendoakan kamu dan merindukan kamu meskipun belum bertemu, dia menanggung segala kepayahan dan kesakitan semasa mengandung dan melahirkan kamu.

Ingatlah bahawa manusia itu adalah ibu mu. Pada tubuhnya ada parut yang berbekas sebagai tanda pernah melahirkan kamu atas muka bumi ini.

Hargailah ibumu. Kerana padanya ada doa yang mustajab, walau dia hanya insan yang biasa-biasa sahaja.
.
#intandzulkefli
#selfreminder

Alhamdulillah, setakat hari ini, suami saya juga menerapkan hal yang sama kepada anak-anak. Mudah-mudahan berkekalan, amiin.

MW: Dengan cara ini, barulah ayah kecil faham mengapa kadang-kadang ibu garang. Marah seorang mak bukan kerana benci sebaliknya kerana sayang. Mana mungkin seorang ibu membenci anak yang dikandung dan dilahirkan dia. Betul tak?

Sumber: Puan Intan Dzulkefli

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI