Ketika kita enak menikmati bermacam juadah berbuka puasa, makan sahur dengan sepinggan nasi berlaukkan udang dan ayam, ada sebuah keluarga yang melalui kesusahan hidup. Bekas kandang kambing menjadi tempat berteduh dari panas dan hujan. Malah kemudahan asas pun tidak lengkap. Ini bukan saja ujian mereka, malah ujian untuk kita juga.
Kerana tidak berdosakah kita, membiarkan ada sebuah keluarga yang melalui kesusahan sebegini terus menjadi miskin. Perkongsian daripada Mastura Hatta (Kak Tuya), sukarelawan Thirdforce Gua Musang yang mana pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin ini benar-benar terkesan di hati.
Rumah Di Kandang Kambing, Tak Berdosakah Kita?
Wanita ini, Rasidah ditinggalkan suami bersama 6 orang anak tanpa dibenarkan tinggal di rumah yang diduduki sebelumnya. Kerana perpisahan itu, kak Rasidah terpaksa mencari tempat tinggal baru.
Bukan tak boleh menumpang di rumah mak atau keluarga lain, tapi rasa segan terbit dalam diri kak Rasidah memandangkan anak-anaknya ramai. Lagi selesa tinggal di rumah sendiri walau keluasannya tak sampai pun 10 kaki panjang.
Rumah berdindingkan zink ini asalnya dari kandang kambing di belakang rumah asal yang pernah diduduki bersama bekas suami. Lihat saja keluasan rumah yang memang tak luas. Di sudut itulah tempat tidur, di penjuru itu jugalah dapur dan tempat makan.
Ads
Anak-anak Cerdik, Tapi Kemiskinan Halang Mereka Sambung Belajar
Tinggal bersama 4 anak yang masih kecil manakala 2 lagi sudahpun bekerja selepas SPM. SPM mereka ok tapi kemiskinan menghalang mereka untuk sambung belajar. Cerdik dalam pelajaran namun tak mampu untuk diteruskan maka bekerja adalah pilihan agar dapat sedikit sebanyak membantu keluarga.
Kak Rasidah bekerja sebagai penoreh getah. Menoreh pula getah orang. Maknanya hasil yang tak seberapa itu harus dibahagi dua.
Tadi semasa kunjungan wakil Thirdforce, beliau baru sahaja balik dari menoreh. Malu nak salam dengan kami sebab katanya tangan berbau. Cepat-cepat pergi basuh tangan dekat belakang rumah jiran.
Beliau menumpang mandi pun di rumah sebelah. Tandasnya di depan rumah. Bila diperhatikan, tiada sambungan wayar eletrik ke rumah beliau.
Ads
Cuma Cahaya Lilin Temani Tidur Malam Mereka
Hati terdetik ingin tahu lalu kami bertanya. Jawapannya sangat mengejutkan. Empat beranak ini tidur dengan bertemankan cahaya lilin. Semestinya tidur mereka tanpa kipas. Tak seperti kita di musim panas. Tidak merenggekkah anak kecil Itu?
Kak Tuya minta izin kak Rasidah untuk ambil gambar di dalam rumah. Namun kak Tuya tak mampu nak melangkah lebih ke dalam kerana bimbang lantainya akan jatuh. Beralaskan hanya kayu bulat dan lantai jarang.
Dari pintu terus nampak dapur mereka. Di sebelah kanan tempat tidur. Perhatikan gambar tempat tidur yang tidak bertilam itu. Rak pakaian yang juga tiada.
Ads
Menitis hiba si air mata melihat senyum tabah anak-anaknya. Tak berdosakah kita membiarkan mereka begini. Yang pasti mereka tak jadi begini overnight … Apa kita nak jawab dengan Allah nanti.
Dan kita berada di tahun 2018..
Pek ramadhan sumbangan rakyat Malaysia disambut penuh syukur oleh kak Rasidah. Terima kasih rakyat Malaysia. Di sini tempat di mana sumbangan anda diagihkan. Tepat ke sasaran.
Terima kasih kerana terus bersama abangraja dan kami semua sukarelawan thirdfofce. Bersama kita mampu menelusuri lebih banyak kehidupan marhaen seperti ini.
Sekiranya pembaca mahu memberikan sumbangan, anda boleh terus menghubungi Thirdforce : 017 867 8767
Sesungguhnya doa orang-orang teraniaya adalah dimakbulkan tuhan. Jangan sesekali berniat untuk menganiayai orang lain kerana doa golongan ini pasti akan diperkenankanNya. Seorang pencuri bertindak memulangkan semula barang dicuri dari sebuah rumah yang bernilai RM1,200 dalam tempoh tidak sampai 24 jam dipercayai ‘kepanasan’ kerana bimbang ditimpa kejadian tidak diingini.
Mangsa, Persi Saperi, 43, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Manis, di sini jam 6.46 petang kelmarin, selepas kediamannya di kuarters Jabatan Bekalan Air Selumit, di sini, dipecah masuk. Katanya, antara barang hilang adalah televisyen dan tong gas yang dipercayai dibawa lari menerusi tingkap belakang rumahnya yang diumpil.
“Berikutan itu, saya berdoa dan bertawakal kepada Allah supaya pencuri berkenaan memulangkan semula barang kepunyaan saya itu.
“Pada solat Subuh (semalam), saya ada membaca beberapa potong ayat suci al-Quran dan memohon sepenuhnya kepada Allah supaya saya mendapat kembali barang yang dicuri itu.
“Berbekalkan sedikit ilmu dan keizinan Allah, saya cuba ‘memanggil’ kembali pencuri berkenaan agar mengembalikan barang yang diambil… Selebihnya, saya bertawakal kepada Allah,” katanya.
Doa Persi yang teraniaya itu termakbul apabila televisyen dan tong gas yang dicuri ditemui semula. Katanya, barang berkenaan diletakkan di kawasan lapang tidak jauh daripada kediamannya pada jam 1.30 petang, kelmarin.
“Sejurus pulang daripada Tanjung Manis, saya terkejut melihat barang yang hilang seperti dipulangkan semula,”
Katanya, walaupun kesal dengan kejadian berkenaan, dia bagaimanapun tidak berdendam dengan si pelaku, malah mendoakan supaya pencuri terbabit kembali ke pangkal jalan.
“Belum terlambat kepada kita yang banyak berdosa ini untuk memohon keampunan dan bertaubat.
“Jadilah insan yang memberi manfaat kepada manusia lain,” katanya.
Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Bagi orang yang teraniaya, mintalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar diri mendapat pembelaan sewajarnya dan semoga orang yang menganiaya mendapat pembalasan yang setimpal.
“Ayah, bila nak beli baju raya…” Permintaan dan pertanyaan dari bibir anak kecil berusia 10 tahun ini membuatkan hati lelakinya menangis kerana dia tiada kemampuan menunaikan apa dihajati oleh anaknya itu.
Mungkin tidak banyak permintaan anaknya, Mohamad Khairul Iziham sekadar sepasang baju raya, tetapi disebabkan tiada sumber kewangan, masa yang sama dirinya juga sedang dalam proses pemulihan dari kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta yang pemandunya sedang mabuk pada 12 Januari lalu membuatkan dirinya hanya mendengar tanpa memenuhi impian anaknya.
Hampir lima bulan dia terlantar di tilam. Segala-galanya memerlukan bantuan isteri dan adik-adik ipar serta bapa mentua. Hilang malu kerana kecederaannya terlalu parah. Tidak hairanlah tatkala anak tunggalnya menyebut ingin membeli baju raya, sekali lagi hatinya menangis! Semasa sihat, sebutlah apa saja, mahu makan apa saja, dia akan gagahkan diri untuk memenuhi permintaan anak tunggalnya itu tetapi hari ini, dia hanya mampu mendengar sahaja!
Ramadan tahun ini disambut ala kadar sahaja oleh mereka sekeluarga. Bagaimanapun kemeriahan Aidilfitri dapat dirasai juga kerana dia duduk bersama keluarga mentuanya. Apabila sudah berkumpul memang riuh rendah jadinya, ia mampu memberi sedikit keriangan bagi hatinya. Malah di bulan Ramadan penuh keberkatan ini, dia melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana sudah mampu duduk di kerusi roda berbanding hanya terbaring sahaja di tilam sebelum ini, selepas ditimpa kemalangan.
Berkongsi kisah kemalangan yang dialaminya, jelas Said bin Me, 44 tahun, dia ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli nasi ayam yang diminta anaknya.
“Saya dari arah sempadan Kampung Lalang ingin ke Kampung Becah Sawah, Baling. Kereta itu dari arah bertentangan. Jalan tidaklah sibuk sangat ketika itu. Tak banyak kereta lalu lalang pun. Tetapi tanpa disedari satu hentakan kuat tepat mengenai saya sehingga tubuh saya terpelanting di sebalik pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam cerunan. Saya tidak sedarkan diri selepas kemalangan. Saya koma 10 hari! Dari Hospital Baling saya dibawa pula ke Hospital Kulim kerana kecederaan yang saya alami ini.”
Banyak sebenarnya kecederaan yang dialami ekoran kemalangan itu. Paha kanannya dimasukkan besi, buku lali yang hancur juga dimasukkan. Bukan itu sahaja dia mengalami kecederaan di bahagian betis yang terkoyak teruk, tulang punggung pecah, tulang bahu juga terkeluar dan tulang selangkanya merapat menyebabkan paru-parunya berfungsi dengan sempurna.
“Dahi saya juga menerima jahitan yang banyak dan panjang kerana luka besar di bahagian itu.”
“Disebabkan kecederaan terlalu parah, saya tidak mampu bergerak dan pembedahan memasukkan besi dilakukan beberapa hari selepas kejadian. Ada beberapa bahagian yang patah namun kata doktor, ia akan mengambil masa untuk pemulihan kerana tidak sesuai dilakukan pembedahan. Agak lama juga saya terlantar di tilam rumah. Dari rumah sendiri, disebabkan susah untuk isteri menguruskan saya seorang diri, kami berpindah ke rumah mentua di Kampung Becah Sawah ini.
“Bayangkan bila hendak mandi, saya perlu didukung ke bilik air. Sekarang ini, mereka letakkan saya di kerusi roda dan terpaksa mandi di atas kerusi roda juga.”
Menurut Said, dari cerita saksi di tempat kejadian motosikalnya melekat di bawah kereta sehingga kereta yang melanggarnya tersekat dan tidak boleh bergerak.
“Pemandu tidak mengalami kecederaan tetapi isterinya mengalami sedikit luka walaupun keretanya agak remuk kerana terseret ke pembahagi jalan.”
Beberapa orang saksi kejadian mendakwa pemandu kereta itu mungkin dalam pengaruh air ketum berdasarkan air tersebut ada bersamanya ketika kemalangan itu berlaku.
“Kenderaan yang datang dari arah Thailand itu, tiba-tiba sahaja dia masuk ke laluan saya dan terus melanggar motosikal saya. Motosikal terlekat di bawah kenderaan sementara saya terpelanting ke sebelah pembahagi jalan. Aduan dibuat di balai polis dan dia mengaku telah melanggar saya. Kini kes berkenaan masih dalam siasatan polis.”
Ketika itu Said cuma bekerja kampung sebagai tukang dengan upah sebanyak RM100 sehari.
Bila dah tidak mampu buat apa-apa lagi, tiadalah sumber kewangan untuknya. Katanya pihak JKM telah memberikan bantuan sebanyak RM300 sebulan. Untuk menambah pendapatan, isterinya mengasuh anak orang dengan upah RM300 sebulan juga. Wang itulah yang digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu bagi menguatkan tulangnya. Selain itu dia sekeluarga turut dibantu oleh adik beradik isterinya yang tinggal serumah.
Naluri seorang isteri, pasti dapat merasakan sesuatu yang tidak kena apabila orang yang disayangi bakal ditimpa bencana. Petang itu, Fatimah Abdul Razak, 37 tahun berkata, dia bagaikan resah dan sesekali memandang ke luar tingkap rumah. Hatinya tertanya-tanya kenapa kelibat suami masih tidak kelihatan sedangkan waktu itu suaminya sepatutnya sudah tiba di rumah.
“Saya cuba telefon suami tetapi tidak berangkat. Hati mula risau. Pandang ke jalan raya, kelibatnya tidak ada. Tidak lama kemudian, adik menelefon. Katanya bersabar banyak-banyak, suami saya kemalangan. Saya sangat terperanjat mendapat khabar berita itu. Adik terus membawa saya ke tempat kejadian. Ketika itu suami sudah terbaring di atas rumput di tepi jalan raya. Sementara menanti ambulan, darah dari tubuh suami terus keluar. Saya tidak sanggup melihat.
“Dari hari pertama menemaninya di hospital, saya tidak balik ke rumah. 11 hari lamanya di hospital menunggu suami sedar dari koma. Biarpun kecederaannya agak parah ketika itu tetapi kata doktor, tiada pembedahan boleh dilakukan. Ia mengambil masa untuk pulih, sebelum menjalani pembedahan.”
Kos pemasangan besi membabitkan sejumlah RM1100 tetapi selepas pembedahan dilakukan, mereka diminta menambah lagi sejumlah RM1600 namun tidak dijelaskan.
Mengakui Ramadan ini adalah masa-masa sibuknya menguruskan keperluan suami, namun masa yang sama, Fatimah akui dia redha dengan ketentuan Ilahi.
“Syukur Alhamdulillah kerana suami masih ada di sisi. Biar sibuk menguruskan segala keperluannya, tetapi saya anggap itulah pahala menjaga suami yang selama ini mencari rezeki buat saya dan anak.”
Buat masa ini Fatimah memilih tinggal sementara bersama keluarganya berikutan kecederaan teruk dialami suaminya itu.
Di sebalik kejadian kemalangan ini, kata Fatimah, dia mendapat tahu pihak yang melanggar suaminya itu ada meminta dia menarik balik laporan polis. Itupun bukan disampaikan sendiri oleh empunya diri sebaliknya oleh jiran yang datang melawatnya.
“Ada juga saya dengar dia menyara kehidupan kami sedangkan semua itu tidak benar sama sekali. Terasa sedih juga tetapi buat masa ini semua urusan saman dan tuntutan dilakukan oleh peguam yang datang semasa suami dirawat di hospital. Saya mengharapkan segalanya baik belaka dan berharap kes ini akan selesai dalam masa terdekat,”
Buat masa ini suaminya belum lagi menjalani latihan fisioterapi kerana kaki dan pahanya belum kuat selain laporan doktor, besar kemungkinan suaminya akan memperoleh kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bagi anda yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga ini bagi menghadapi sambutan Aidilfitri, bolehlah salurkan bantuan ke akaun Bank Islam milik Fatimah Abdul Razak di nombor 02-048-02-046570-2. Semoga sedikit sumbangan anda dapat meringankan bebanan mereka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kadang-kadang dek kerana tugas, seorang guru terpaksa melupakan seketika tanggungjawabnya sebagai ibu apabila berada di sekolah. Tatkala berada di sekolah, dia menjadi milik sekolah sepenuhnya. Begitu juga sebaliknya setiap kali anak istimewanya memerlukan dia, dia perlu berada disisi.
Suatu ketika dahulu subjek Bahasa Inggeris dianggap subjek yang sukar, kini dengan penambahbaikan setiap masa yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Bahasa Inggeris telah dianggap sebagai satu mata pelajaran yang menyeronokkan.
Apatah lagi pelajar turut terdedah dengan teknologi IT (Information Techology) yang sedikit sebanyak memudahkan mereka mencari bahan yang sesuai dalam pembelajaran mereka. Guru juga bukan lagi dianggap sebagai “spoon feed” kepada murid-murid kerana peranan guru banyak kepada menyelia atau sebagai fasilitator kepada murid-murid bagi membina keyakinan diri mereka dalam berbahasa Inggeris.
Seterusnya perkara yang membuatkan empunya diri terus kekal berinpirasi untuk menabur bakti kepada masyarakat adalah anak bongsunya sendiri. Agak sukar untuk percaya, tetapi sememangnya inspirasinya untuk terus berbakti kepada masyarakat datangnya daripada keluarganya sendiri iaitu anak istimewanya.
“Anak bongsu saya seorang anak yang cacat penglihatan dan mild autisme. Setiap kali saya memandang dan menjaganya, disitulah juga terbitnya rasa semangat untuk mendidik anak murid kerana bagi saya cabaran yang lain menjadi amat kecil dibandingkan cabaran saya mendidik anak sendiri.
“Saya juga bersyukur kerana dengan anugerah ini membuatkan hubungan kami sekeluarga dan saudara mara terjalin erat,” ungkap Suryati Nordin, 48 tahun, yang telah menceburi bidang perguruan selama 25 tahun.
Biar pun empunya diri telah terlalu lama dalam bidang pendidikan, namun sekali pun tidak terlintas di perasaan merasa bosan dengan bidang ini terutama apabila melihat ramai murid yang bersungguh belajar menuntut imu ketika berada di dalam kelas.
Menurut ibu beranak empat ini, dirinya memilih guru karier perguruan kerana ramai ahli keluarganya menceburi bidang perguruan bermula dari datuk, ayah, ibu saudara, sepupu serta kakak dan adik iparnya. Bermula dari situlah timbul minat untuk menjadi seorang guru terutama apabila melihat arwah ayahnya yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris ketika dia masih kecil.
Kemudahan Teknologi Mudahkan Sesi Pembelajaran
Selain itu, bagi Suryati antara cabaran utama dalam mengajar Bahasa Inggeris di sekolah sekarang adalah dari segi penerimaan murid-murid terhadap sukatan pelajaran baru. Umpamanya Bahasa Inggeris CEFR yang baru diperkenalkan pada murid Tahun 1 pada tahun ini.
Walaupun pada awalnya agak sukar untuk diterima pakai, tetapi dirinya bersyukur lama-kelamaan dengan adanya bantuan daripada pihak terlibat seperti bantuan kursus dan bengkel daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru-guru Bahasa Inggeris di sekolah, kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berjalan dengan lancar dan murid mula berasa seronok untuk belajar apatah lagi banyak kemudahan telah disediakan menerusi internet.
’Manakala cabaran lainya ialah kebanyakkan murid agak segan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Mereka lebih banyak menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
“Pendekatan yang diambil adalah melakukan aktiviti berkumpulan secara mentor-mantee di mana murid yang pandai akan membantu murid yang agak lemah dalam berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris walaupun menggunakan ayat yang mudah,” jelas Suryati yang berkelulusan TESL (Teaching English as a Second English) di Institut Perguruan Guru (IPG), kini mengajar subjek bahasa Inggeris bagi tahun 1, 2 dan Pendidikan Moral bagi tahun 4.
Di samping itu, dirinya turut menggalas tugas sebagai Ketua Panitia Pendidikan Moral, Setiausaha Peperiksaan Dalaman, Penyelaras Program 3K dan Guru Perpustakaan di sekolah.
Cabaran dan Pengorbanan
Tidak semua yang kita idamkan dimiliki, biar pun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta yang jauh di Johor Bahru, manakala dia dan anak-anak berada di Kelantan. Biar pun getir dan terasa teruji, tetapi Suryati tetap cekalkan hati untuk melakukan semua tugas yang sebelum ini dikongsi bersama suami seorang diri.
“Pernah suatu ketika, saya sedang menghadapi tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda, dalam masa yang sama mengajar Murid Tahun 6 yang pastinya padat dengan kelas tambahan. Saya juga seorang diri menguruskan anak sulung yang akan menjalani peperiksaan SPM danm tidak ketinggalan setiap dua minggu saya ke hospital membawa anak istimewa saya menjalani rutin Pengrusan Tata kerja dan Fisioterapi.
“Maka pengurusan masa pada ketika itu amat penting. Ketahanan mental dan fizikal juga perlu diambil kira agar tidak terbawa-bawa masalah dan dugaan tersebut ke sekolah,” luahnya satu-persatu yang mengajar hampir tujuh buah sekolah di sepanjang perkhidmatannya.
Dalam masa yang sama, dugaan dan cabaran sentiasa ada walaupun murid-murid datangnya daripada sekolah luar bandar mahupun sekolah di bandar. Namun begitu, sebagai guru yang berpengalaman, Suryati perlu bijak memainkan peranannya. Sudah tentu, pendekatan yang berbeza dan bersesuaian dengan murid perlu difikirkan oleh guru agar murid tidak tercicir dalam subjek yang diajar.
Jelas Suryati, paling kritikal apabila pelajar merasa rendah diri untuk berkomunikasi dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Mereka lebih suka bercakap dalam bahasa ibunda mereka. Peranan guru dalam menarik minat murid dalah dengan menggunakan pendekatan kata pujian, kata semangat yang dirasai mampu membantu mereka mendorong diri sendiri untuk cuba betutur dalam bahasa Inggeris walaupun perkataan yang digunakan agak mudah dan ringkas.
Sebagai guru, dusah tentu wanita ini berharap agar anak -anak murid pada masa akan datang bukan sahaja bijak dalam akademik, namun perlu juga mempunyai jati diri yang kuat dan berperibadi mulia kerana kita bukan sahaja mahu melahirkan insan yang cerdik akal tetapi juga berkeperibadian yang mulia sejajar dengan harapan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.