Memang ada benarnya, sesetengah isteri memang asal naik kereta je mulalah mata nak terlelap tidur. Bukan kata tak nak temankan suami bawa kereta, tapi mungkin keadaan selesa dalam kereta tu membuatkan diri senang ‘terbuai mimpi’. Malah waktu itulah sebenar-benarnya saat isteri sedang berehat.
Jemput baca perkongsian santai Farhad Hassan ini buat panduan suami;
ASAL NAIK KERETA JE MESTI TIDUR AWAK NI
Tidur sama serentak, sama 8 jam, sama sedar 16 jam, tapi kalau naik kereta, sekejap je mesti wife tertidur. Tak de pun nak teman husband drive ke apa.
Tuan-tuan, fikiran lelaki tak sama dengan fikiran perempuan.
Kita lelaki, tengah-tengah drive tu pun boleh jadi blank. Kosong. Tau-tau je dah sampai destinasi. Badan jadi auto pilot. Kalau boleh masuk kotak fikiran dalam tu, macam 1 dewan yang besar dan kosong.
Jerit hello pun boleh bergema-gema.
Fikiran Perempuan Lain
Sebelum naik kereta, dia fikir suis seterika dah tutup ke belum? Seterika untuk baju. Baju kotor dah basuh ke belum. Nak basuh guna air. Paip air dah tutup ke belum. Bil air dan elektrik naik nanti.
Ads
Nak bayar bil kena pakai duit. Duit kena cari. Mana nak cari duit. Kalau tak ada duit, macam mana nak makan. Nak makan kena minum. Minum apa sedap? Bubble tea sedap kot. Nak bubble tea apa eh? Makan apa sedap dengan bubble tea?
Macam tu lah fikiran nya. Non stop dan sering berkait, umpama wayar yang bercantum tapi terikat sana sini.
Waktu Sebenar Isteri Berehat
Tapi bila keadaan dia “terkepit” tak boleh buat apa duduk dalam kereta.. Waktu tu lah otak mula bagi signal untuk slow down. Rest.
Dengan sejuk aircond, gegar-gegar kereta macam massage chair, tak boleh buat apa-apa kecuali duduk.. Waktu tu lah yang sebenar-benarnya wife sedang berehat. Memang tak fikir apa-apa. Wayar-wayar tadi mula terpisah, keadaan jadi tenang.
Ads
Berapa jam sangat. Jangan lah dikacau dia berehat. Kalau boleh bagi kusyen, bantal biar dia peluk. Nanti dah sampai destinasi, otak dia kembali bekerja.
Apalah sangat drive sorang-sorang tu. Nanti dah bangun dia juga yang fikirkan makan minum kita, hal urusan kita.
Waktu dia tidur la kita bantai lagu-lagu Metallica, A7X, Trivium yang keras tu, tapi volume slow lah.
Ads
Tapi jangan salah sangka, walaupun diaorang tidur, sensor vibration dia tetap on. Ko tekan sikit 120km/j, nanti akan kedengaran suara sayu-sayu..
Macam tau-tau pulak dah lebih had laju 110km/j mamai-mamai pun.
MW: Semoga perkongsian ini memberi penjelasan buat para suami, perkara yang menjadi punca, asal naik kereta je isteri mudah terlena. Bagilah peluang isteri berehat, itulah waktunya isteri dapat berehat dengan tenang. huhu
Ada suami memang suka tengok isteri merana depan mata. Lagi-lagi bila isteri dah tawar hati dalam perkahwinan dan menuntut fasakh. Saja-saja tak mahu lepaskan, malah tuntut tebus talak dengan kadar yang bukan-bukan.
Benar.. tebus talak itu dibenarkan dalam membubarkan sebuah perkahwinan, tapi perlukah suami hingga menyeksa isteri dengan sesuatu yang tak mampu isteri tanggung. Memaksa isteri membuat satu keputusan nekad untuk dirinya demi merdeka jiwa raga.
Makin tersepit isteri, tapi mahkamah tidaklah sekejam suami. Pertimbangan hakim tentunya akan memberi keadilan untuk kedua-dua belah pihak.
Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkongsi kisah ‘tebus talak’ yang berlaku dalam contoh kes rumah tangga ini. Penting untuk isteri hadamkan info tebus talak dan berapa jumlah yang sepatutnya isteri beri.
Banyak situasi yang berlaku dalam kes rumahtangga di Mahkamah Syariah adalah suami enggan lepaskan isteri dengan cara baik katanya masih sayang.
Tapi, diakhir pembelaan, mesti akan ada tuntutan supaya isteri bayar RM50k (contoh) untuk tebus talak iaitu Kau bayar RM50k, kemudian aku lepaskan kau. Alasan yang selalu diberi, gantirugi sebab kenduri dulu mahal lah, isteri nusyuz lah, sebab isteri yang lari tinggalkan lah & macam-macam lagi.
Pernah dengarkan? ke pernah jadi kat awak? Perkongsian kali ini saya nak ulas pada semua tentang Khulu’ atau tebus talak? dan berapa kadar yang sesuai.
Perpisahan antara suami dan isteri dengan sebuah ganti (tebus talak) dengan menggunakan lafaz talak atau khulu’.
Ya, ada. Satu hadis yang menceritakan tentang isteri kepada sahabat Nabi saw, iaitu Thabit Bin Qais datang mengadu pada nabi. Katanya, Thabit bin Qais ni orangnya baik. Memang cantik akhlaknya dan agamanya. Tapi, si isteri ni dia takut kufur pada Islam iaitu ingkar hak suami sebab hati dia tidak suka pada Thabit bin Qais ni. Sesetengah riwayat berkata sebab Thabit ni rupanya tidaklah lawa.
Jadi sebab si isteri ni dah tak boleh nak terima hatinya pada Thabit, maka, Rasulullah SAW bertanya kepada isteri tersebut, mahukah isteri tersebut pulangkan kebun Thabit yang menjadi mahar kepada isteri itu. Isteri tersebut pun setuju dan Nabi menasihatkan Thabit untuk ambil kebun itu balik dan lepaskan wanita itu dengan talak satu. (Riwayat Al-Bukhari)
Ijma ulama sepakat bahawa perceraian secara tebus talak adalah dikira sebagai Talak Bain Sughra. Tak boleh rujuk semula dalam eddah tapi boleh nikah semula dengan akad dan mahar yang baru. Jadi, tak ada jumlah talak satu ke dua ke atau tiga.
Ini secara peribadi berdasarkan pengalaman saya. Jika isteri tersebut memang dah tak ada hati dengan suaminya tapi tidak ada alasan yang munasabah dan kuat untuk dapatkan perceraian secara fasakh khususnya, nafkah semua suami tu jaga baik, maka, memang sewajarnya si isteri membuat keputusan untuk berpisah secara tebus talak.
Di dalam kitab al-muktamad Mazhab Syafie, tak diceritakan secara khas berapa bayaran. Cuma, dinyatakan, isteri boleh bagi mahar (mas kahwin) perkahwinan sama ada jumlahnya banyak atau sedikit. Boleh juga tak bagi duit, tapi apa-apa barang atau harta yang dimiliki isteri tersebut mempunyai nilai tertentu manfaatnya.
Kalau tak setuju bayar tebus talak, tak perlu la untuk tebus talak. Cuba perceraian cara lain.
Di dalam hukum syarak dan undang-undang Konsisten menyatakan perceraian secara tebus talak ni mesti atas kerelaan antara suami dan isteri. Jika ada pertikaian tentang jumlah tu, Seksyen 49(3) Enakmen Keluarga Islam Kedah menyebut, Mahkamah boleh taksirkan jumlah ikut Hukum Syarak dengan beri pertimbangan pada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak. Jadi, kena bicara untuk tentukan jumlah sahaja.
Kalau salah satu pihak tak setuju dengan taksiran jumlah yang Mahkamah tentukan, Mahkamah tak boleh paksa untuk isteri bayar tebus talak tu dan tak boleh juga paksa suami untuk terima. Senang cerita, macam jual beli. Tak ada sapa boleh paksa seseorang untuk jual atau beli sesuatu kalau tak nak. Mesti kena ada kerelaan dua-dua pihak. Kalau tak berjaya, Mahkamah akan lantik Jawatankuasa Pendamai dan ikut proses seksyen 47 enakmen keluarga islam.
Cuma pulangkan atau bagi nilai yang wajar sebagai ganti sahaja untuk cerai. Dimana kerugian yang berlaku?
Pernah seorang hakim sound kepada lelaki ini, (bukan kes saya). Isteri mintak fasakh, suami tak mau lepas saja-saja. Dia nak tebus talak RM50,000.00. Hakim tanya, mas kahwin dulu berapa, dijawab RM100.00. Hantaran berapa? RM5000.00. Berapa kali bersetubuh lepas kahwin? Lebih daripada 10 kali. Berapa orang anak? 3 orang. Jadi, apa yang kau RUGI sampai RM50k? Boleh kau pulangkan dara dia?
Sometimes, saya tak nafikan, memang ada suami yang jenis macam ni. Nak seksa hidup isterinya. Betul, ada yang masih sayang, tapi, bukan caranya nak dapat kasih sayang semula tu dengan tuntut nilai yang tinggi. Buat tambah benci ada la. Bahkan lebih keruh keadaan. Akibatnya, dua-dua terpenjara jiwa dalam konflik rumahtangga, walaupun badan dah merdeka.
Bulan madu tidak semestinya hanya untuk pasangan yang baru berkahwin. Pasangan yang telah lama berumah tangga juga perlu untuk sentiasa berbulan madu untuk menghangatkan hubungan.
Hendak bulan madu pun tidak perlulah pergi jauh-jauh. Kat rumah pun boleh. Apa yang penting, anda menghabiskan masa berdua dengan pasangan.
1-Mulakan dengan menghias rumah dan bilik tidur menjadi lebih romantik.Contohnya gunakan pencahayaan suram, pasang lilin aromaterapi dan hiaskan bilik dengan bunga-bunga segar.
2-Gayakan penampilan menggoda. Tidak salahkan sesekali berpakaian seksi untuk suami pada hari istimewa.
3-Makan malam ala candle light dinner dan esoknya sarapan atas katil berdua.
3-Tenangkan diri dengan melakukan urutan manja antara satu sama lain.
4-Boleh juga mandi bersama-sama.
Sebenarnya banyak lagi idea menarik yang boleh anda buat. Semuanya terpulang pada anda sendiri untuk mencipta suasana hangat untuk membahagiakan lagi rumah tangga.
Hendak tahu kupasan lanjut mengenai topik Bulan Madu Setiap Hari, bolehlah menonton Mingguan Wanita Talkshow pada hari Selasa 27 Ogos 2019 di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD 121.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramai yang bercakap soal isteri. Isteri aku begini isteri aku begitu malah ramai juga yang
berbicara soal seorang isteri patut begini seorang isteri sepatutnya begitu namun tidak
ramai yang sedar bahawa siapa seorang isteri itu dan bagaimana seorang isteri itu ditentukan juga oleh siapa dan bagaimana seorang suami itu patut berperanan.
Inilah realitinya mahu dielakkan, realiti yang akan menjejaskan hubungan suami isteri.
Hari ini artikel ini akan menyentuh tentang suami yang romantik. Lazimnya bila kita
bercerita tentang romantik, ramai yang akan terasa lain macam seolah-olah romantik ini hanya untuk golongan tertentu sahaja, hanya untuk mereka yang berada.
Apa tidaknya kita sentiasa dimomokkan dengan scenario romantik itu bermakna suami ini perlu bawa balik bunga untuk isterinya, atau makan malam disinari candle light , dan dilihat juga sebagai romantik itu dengan pemberian hadiah yang wow mahal hingga nipis poket jadinya? Semuanya ini sangat cliché. Apakah hanya ini skop romantik buat seorang suami? Jika inilah tentu saja ramai yang tidak mahu dilihat sebagai romantik, bimbang kopak poket kecil si suami jadinya nanti.
Jadi apakah itu romantik? Jika soalan ini ditanya kepada isteri, mungkin jawapannya berkait dengan soal rasa, soal bagaimana isteri itu merasakan kehadiran suaminya dalam keadaan yang dirinya rasa dicintai, dan dihargai, dalam keadaan isteri ini rasa dirinya diperlukan hingga dia boleh merasai kehadiran suami yang sentiasa merinduinya. Perasaan halus seorang isteri diusik oleh romantiknya si suami.
Bila bercakap tentang soal rasa ini, mana mungkin rasa ini akan timbul jika tiada
pencetusnya, tentu saja rasa ini tidak wujud tanpa pencipta rasa, bermakna si suami perlu
jadi romantik
Erti kata mudahnya, isteri akan merasakan dirinya cantik dan bertambah cantik untuk suaminya jika suami ini seorang yang romantik. Tidakkah ini yang suami mahukan? Untuk isteri kelihatan cantik tidak hanya pada paras rupanya malah cantik pada akhlak dan budi
pekertinya, hati dan emosinya, dan kuncinya ini ada pada suami.
Bagaimana perasaan seorang isteri yang menerima pujian daripada suaminya yang mengatakan dirinya cantik, senyumannya manis, wangi bau rambutnya, dan sedap masakannya? Tidak kah isteri ini akan merasakan yang dirinya cantik dan ingin menjadikan dirinya semakin cantik agar terus mendapat pujian daripada suaminya yang romantik?
Sebenarnya tidaklah susah untuk menjadi suami yang romantik ni, fokuskan kepada perkara rutin harian yang dibuat Cuma kali ini sentuhannya adalah sentuhan romantik.
Ada 10 tip untuk suami yang mahu jadi romantik yang dikongsikan oleh Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy
Sebelum keluar rumah, amalkan sentiasa untuk peluk erat isteri selama 10 saat dan cium
isteri. Tidak cukup dengan hanya isteri yang salam dan cium tangan suami sahaja. Kuasa
pelukan ini akan buatkan isteri merasai yang suaminya sangat mencintai dia.
Malah impaknya akan jauh menusuk ke kalbu isteri bila suami yang sambil memeluknya turut mengucapkan kata-kata cinta dan sayang buat isterinya. Buat setiap hari untuk isteri, hinggakan isteri akan merindui pelukan 10 saat setiap pagi daripada suaminya. Suaminya suami romantik.
Zaman millennium ini media massa sangat memainkan peranan untuk suami zahirkan nilai romantik dalam dirinya. Tidak perlulah skema sangat dengan ayat-ayat buku bila whatsapp dengan isteri. Selitkan ikon-ikon dan grafik dalam whatsapp, buat secara konsisten, isteri akan merasakan dirinya sentiasa di hati suami.
Bayangkan jika pagi-pagi suami teks isterinya “Sayang, abang dah sampai pejabat” atau
“Makan apa tu tengahari ni, abang tak lalu sangat sebab sayang tiada sama ni” mungkin juga “Abang dalam perjalanan balik, sayang ada nak pesan apa-apa? Tidak sabar nak sampai rumah ni”
Mudah sangat dan suami akan kelihatan romantik di mata isterinya malah isteri juga akan
sentiasa merindui suaminya,
Kajian rambang bila ditanya dengan wanita, ramai yang akan bersetuju suami yang pandai berjenaka akan dipandang romantik dan lebih membahagiakan. Bukanlah bermaksud, suami ni perlu jadi maharaja lawak. Hanya perlu ada elemen jenaka dan gurau senda bersama isteri. Kegilaan sekarang dengan pickup line juga boleh dijadikan antara elemen gurau senda dengan isteri. Rasulullah saw juga bergurau senda dengan isteri Baginda.
Ramai yang bersetuju bila berbicara soal mandi bersama ni, ramai yang hanya mengamalkannya di peringkat awal perkahwinan sahaja, antara 3 – 5 tahun. Selepas itu kekerapan dan keinginan untuk mandi bersama makin kurang, ini perlu dikembalikan dan diamalkan selama mungkin di sepanjang perkahwinan.
Bila ditanya ada yang respons bila makin berusia ni dah mula rasa malu dan segan, atas
faktor diri yang tidak lagi seperti dulu. Ini antara perkara utama namun perlu diingatkan
kembali adalah nilai mandi bersama itu, adalah pasakan romantik yang sangat baik.
Ramai yang akan berkata bahawa mereka sentiasa membantu isteri, betul dan memang jadi kelaziman suami-suami membantu isteri, insha Allah.Namun bagaimana untuk kita jadikan, membantu isteri ini sebagai romantik? Kuncinya adalah buat bersama-sama, bila melihat isteri lipat baju, suami datang membantu, bila melihat isteri sibuk di dapur, suami juga datanglah potong bawang, selitkan dengan jenaka dan gurau senda, bertepuk tampar usik mengusik Cuma janganlah sampai tak siap kerja rumah dek kerana sibuk bergurau senda.
Senyum simpul isteri bila suaminya balik terus cari dirinya dan say hi apatah lagi jika
dipeluk cium seolah bertahun sudah tidak jumpa. Inilah romantik, elakkan daripada sekadar masuk rumah dan terus ke bilik mandi dan rehat. Jumpa dulu isteri kemudian baru berehat. Sangat mudah dan praktikal namun kesannya sangat mendalam di hati isteri.
Panggilan-panggilan seperti awak saya atau I you ataupun namanya adalah satu kelaziman dalam perbualan rutin. Dalam kelaziman ini, tambahkan rencah resepi pemanis romantik suami dengan panggilan-panggilan sayang ataupun nama yang manja untuk menarik rasa istimewa pada si isteri. Rasulullah saw sendiri memanggil isteri Baginda Aisyah dengan panggilan “Wahai Humaira” iaitu panggilan sayang untuk Aisyah. Ini akan buatkan isteri rasa panggilan itu hanya untuk dirinya.
Kata bijak pandai less is more. Bayangkan bilamana ketika suami dan isteri makan bersama, sesekali suami menyuap makanan ke mulut isteri dan isteri pula buat-buat mengigit manja tangan suami, subhanaAllah ini suasana romantic yang sangat dicari-cari. Apatah lagi bila suami mengambil dan makan pula lebihan makanan isteri daripada pinggannya dan minum daripada cawannya sebagaimana yang dibuat Rasulullah saw.
Sangat romantik, bukanlah mesti hadiah ini nilainya yang besar dan kerap. Bila keluar
bertugas di luar kawasan, bawalah hadiah balik buat isteri dan sebut kepadanya ole-oleh ini untuknya. Suami akan dilihat sebagai romantik biarpun yang dibawa pulang hanya sekilo buah manga ataupun sekotak coklat, apa yang penting adalah pemberian ini daripada suaminya.
Ramai isteri yang suka bercerita, dan dia akan lebih teruja jika dapat bercerita dengan
suaminya, apatah lagi jika suami mendengar dan respons dengan baik. Inilah nilai romantik yang diingini, suami perlu mendengar dan biarkan isteri bercerita semahunya, biarkan isteri luahkan rasanya biarpun mungkin bercampur emosi dalam ceritanya. Apa yang penting adalah suami berada di sisinya untuk sama mendengar setiap ceritanya. Isteri perlukan perhatian dan suami yang romantik tahu bagaimana untuk memberi perhatian dan mengisi rasa untuk isterinya.
10 tips ini hanyalah sebahagian daripada banyak tips lainnya yang boleh diamalkan oleh suami untuk menimbulkan rasa romantik pada isterinya. Bayangkan begini, bila isteri melihat suaminya romantik, dia juga mahu kelihatan romantik di mata suaminya, suami isteri begini akan saling menjaga keharmonian dan kebahagian, kesejahteraan dan kecintaan dalam keluarga agar berkekalan sampai ke syurga-Nya.
Tidakkah ini yang dimahukan oleh setiap pasangan suami isteri?
Suami romantik, insha Allah isteri akan berusaha untuk tambah cantik di mata suaminya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebuah rumah perlindungan wanita, Baitus Solehah mendedahkan kes gadis mengandung tanpa nikah yang agak luar biasa.Bukan sekali tapi lapan kali dan hampir kesemua kehamilannya melibatkan lelaki berbeza selepas individu berkenaan mendapatkan perlindungan ketika kehamilan kelapannya.