Tak ramai isteri mampu memberikan layanan kelas A taraf VVIP kepada suaminya. Tapi wanita hebat ini telah buktikan isteri sibuk pun boleh menjalankan amanahnya dengan baik. Bacalah apa yang membuatkan Cikgu Hussayn doakan syurga untuk isterinya yang digelar Ainul Mardiah.

Isteri Yang Baik, Bijak Meraih Hati Suami

Saya jarang menceritakan hal berkaitan rumahtangga di FB kerana pada saya biarlah ia rahsia walau manis atau pahit sekali pun.

Banyak kisah yang saya coretkan berkaitan anak-anak & anak murid sahaja. Memandangkan topik dakwah itu luas maka saya ingin berkongsi apa yang berlaku pada saya. Semoga menjadi iktibar serta inspirasi bagi insan yang bergelar isteri di luar sana.

Baru-baru ini isteri tercinta saya yang saya gelarkan sebagai (‘Ainul Mardiah) ada maklumkan yang dia perlu ke JB sebagai urusetia mesyuarat KPI yang dianjurkan jabatannya.

Bermula 9hb (selasa) hingga 12hb (jumaat) Januari 2018. Empat hari tu satu masa yang agak lama sebenarnya pada saya. Kerana kebiasaan, isteri sayalah yang uruskan pakaia, hantar anak-anak ke sekolah dan pengasuh.

Saya menunggang motorsikal sahaja ke sekolah.

Cabarannya bila isteri tiada. Terpaksa uruskan 4 orang puteri. Awal pagi dah kejutkan mereka, siapkan urus diri si kecil, sediakan pakaian dan peralatan anak-anak, hantar dua anak ke sekolah rendah, kemudian hantar pula anak kecil (3 tahun) pada pengasuh.

Selepas itu ke tadika di presint 9 untuk hantar anak ketiga (5 tahun) yang baru bersekolah di sana.

Mencabar sebab banyak perkara saya kena buat dalam satu masa disamping pastikan hadir ke sekolah awal memandangkan minggu kumpulan saya bertugas.

 

Apa Yang Isteri Ini Lakukan Sampai Suami Doakan Syurga Untuknya

Apa Yang Isteri Lakukan Buat Saya Terharu

Cuba lihat gambar dan baca perbualan whatsapp saya dengannya. Allahu.. Rupanya semua pakaian saya dan anak-anak dah tersedia malah diseterika mengikut hari.

Pinggan mangkuk juga sudah siap dibasuhnya. Tidak cukup dengan itu, nampak yang dia begitu risau hingga bermula pukul 5.30 pagi tadi hp sy akan berbunyi & tiap 20 minit akan berbunyi lagi.

Sampailah saya betul-betul keluar dari rumah. Tidak cukup dengan itu, isteri saya taip lagi nota ingatkan apa yang perlu dilakukan.

Mungkin nampak kecil di mata org lain tetapi hebat dan besar di mata saya. Terasa diri diambil berat dan disayangi.

Bila situasi begini.. teringat saya sebuah wawancara di TV suatu ketika dahulu. Seorang pemanggil bertanya apakah dia berdosa sekiranya tidak mengikut wasiat isterinya yang mahu dia berkahwin lagi.

Selepas ketiadaan isteri yang meninggal disebabkan kompilasi semasa melahirkan anak bongsu. Perbualan mereka disaksikan ibu mertuanya ketika itu dan dia terpaksa mengatakan ‘ya.. insyaAllah’ kerana mahu menjaga hati isterinya memandangkan isterinya terlalu bersungguh-sungguh ketika itu.

Sampai usia anaknya enam tahun dia masih menduda. Para panel bertanya, apakah alasan dia tidak mahu berkahwin lagi dan menolak wasiat isterinya.

Katanya.. “Saya rasa tiada wanita lain yang boleh menggantikan tempat isteri saya dan saya takkan jumpa wanita sepertinya. Biarlah seperti sekarang kerana saya bahagia bersama anak-anak dan kenangan bersamanya.”

 

Apa Yang Isteri Ini Lakukan Sampai Suami Doakan Syurga Untuknya

Abang Redha Akan Dirimu

Allahu.. kata-kata yang terus menusuk disanubari. Ia membuatkan ahli panel dan saya yang menonton terharu hingga menitiskan airmata.

Beruntunglah isteri yang mampu memikat hati suami dengan cara yang tersendiri, walau anda tiada lagi di dunia bayangan kalian masih tersemat di hati seorang suami. Semoga pasangan ini akan bertemu semula di Syurga Firdausi.

Nukilan khas ini adalah buat isteriku ‘Ainul Mardiah @ Rosnita. Ketahuilah yang dirimu sudah mencapai tahap seperti isteri pemanggil tadi. Abang bahagia dan redha akan dirimu sayang.

Pilihlah mana-mana pintu Syurga yang dikehendaki. Cuma abang doakan biarlah abang pergi dahulu bertemu Ilahi sebelum dirimu.

Abang tidak sanggup kita berpisah di dunia ini. Jaga dan didiklah anak-anak kita sebaiknya. Salam sayang buatmu wahai Bidadariku ‘Ainul Mardiah.

Apabila seorang wanita (isteri) itu sudah melakukan 4 perkara ini; solat fardhu 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan diri dan mentaati perintah suami, maka dia bebas masuk ke Syurga melalui mana-mana pintu yang dipilihnya.”
[HR. Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani]

Sumber/Foto : Cikgu Hussayn

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI