Anak yang dinanti siang dan malam ini rupa-rupanya berhadapan dengan masalah yang cukup sulit. Dua hari selepas dilahirkan, segalanya terungkai dan sebagai ibu, Tuan Azilah Tuan Abdullah, 35 tahun, merasakan dunianya gelap serta-merta.

Apa lagi sepanjang kehamilan dirinya tidak berdepan dengan sebarang masalah. Jadi setelah doktor menjelaskan bahawa permata hatinya, Ainur Fatihah Saiful Hafiz yang kini berusia setahun lima bulan menghidap penyakit jantung kongenital (pulmonari atresia with ventricular septal defect), hatinya gundah.

Dalam erti kata lain, Ainur Fatihah atau panggilan manjanya Ainur tidak mempunyai injap jantung dan jantungnya berlubang. Dalam masa yang sama, menurut Tuan Azilah, doktor turut menyatakan bahawa Ainur sebenarnya berdepan dengan penyakit jarang jumpa (PJJ).

“Sebagai ibu, memang bukan mudah untuk saya menelan kenyataan ini. Apatah lagi setiap kali memikirkan masa depan Ainur dan berapa lama masa yang saya ada untuk bersama dia. Segala-galanya bermain dalam fikiran saya, namun sama sekali saya tidak berserah.

“Sebenarnya apabila melihat keadaan Ainur secara luarannya, memang dia nampak seperti kanak-kanak normal. Tidak siapa tahu yang dia sedang menderita. Penyakit yang dihidapinya membuatkan Ainur berdepan dengan masalah kekurangan oksigen dalam badan.

“Kekurangan oksigen juga membuatkan pergerakan Ainur agak terbatas dan dia tak boleh letih. Ainur juga sangat sensitif dengan keadaan sekeliling, jika ada yang demam di rumah, memang saya kuarantinkan Ainur. Bimbang jika dia demam dan seterusnya melarat.

“Tetapi saya tidak mengurung Ainur di rumah, sesekali saya bawa dia keluar melihat dunia luar. Cuma saya sentiasa pantau keadaan Ainur kerana jika tersilap langkah, Ainur akan jadi biru,” ungkap Tuan Azilah atau lebih mesra disapa Aza.

Anak Tiada Injap Jantung & DiSahkan Penyakit Jarang Jumpa, Ibu Ini Tak Pernah Menyerah
Sekali pandang, Ainur seperti kanak-kanak lain. Cuma kulitnya agak kebiruan berbanding kanak-kanak lain.

Syukur Allah Pinjamkan Ainur

Dalam usia sebegini, sudah tiga kali pembedahan dilalui tubuh kecil dan comel ini. Biar pun pelbagai usaha dan prosedur dilakukan bagi memulihkan kesihatan Ainur, tetapi setakat ini belum ada apa-apa harapan dan menampakkan sinar.

Jadi Aza sering berteka-teki sampai bila Ainur dipinjamkan padanya, namun ibu beranak empat ini bersyukur dengan kurniaan Allah yang satu ini. Sesungguhnya ujian demi ujian yang Allah berikan pada Aza sekeluarga membuatkan hatinya terjentik dan berbalik pada Allah.

IKLAN

Hati ibu mana yang tenang jika anak yang baru berusia setahun lima bulan sering kali menjadi penghuni hospital. Tidak lelap matanya mengenangkan keadaan Ainur setiap kali anaknya tidak sihat.

Ainur tidak mempunyai injap besar penyambung jantung dan paru-paru, oleh itu si kecil ini perlu bergantung kepada saluran untuk menghubungkan jantung ke paru-paru bagi proses menghantar darah pada seluruh anggota badan.

Memedihkan hati sang ibu apabila dirinya menerima keputusan doktor bahawa tiada lagi rawatan yang boleh diberikan pada Ainur. Bagai kaca yang berderai apabila Aza perlu menerima hakikat jangka hidup Ainur tidak lama.

“Ketika Ainur berusia tiga bulan, dia pernah melalui prosedur dengan memasukkan tiub ujian bagi mengetahui masalah sebenar yang dilalui Ainur. Setelah ujian itu barulah kami tahu apa yang menyebabkan Ainur dalam keadaan demikian.

“Sepatutnya dalam masa yang sama Ainur perlu dibedah untuk membuat injap, tetapi doktor pakar mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembedahan itu kerana keadaan Ainur yang tidak mengizinkan serta bakal membahayakan nyawanya.

IKLAN

“Tetapi saya sama sekali tidak berputus asa kerana apa sahaja yang doktor sarankan demi kepentingan Ainur, pasti saya turutkan. Saya ingin lihat Ainur sihat dan membesar seperti anak-anak saya yang lain,” luahnya sebak.

Anak Tiada Injap Jantung & DiSahkan Penyakit Jarang Jumpa, Ibu Ini Tak Pernah Menyerah
Jika berlaku kiecemasan, Aza akan membawa anaknya ke hospital untuk mendapat rawatan.

Hampir Kehilangan Ainur

Masih jelas di ingatan Aza, penghujung tahun lalu dalam usia Ainur hampir setahun, anaknya biru secara tiba-tiba. Ainur jadi lemah dan rupa-rupanya oksigen dalam badannya hanya tinggal 28 peratus. Kala itu, Ainur tidak memberi respon.

Badannya yang menggigil dibungkus dengan kain, dalam hati Aza tidak putus-putus berdoa agar Allah tidak mengambil buah hatinya lagi. Biar pun setiap hari berdepan dengan segala macam risiko, tetapi sesungguhnya Aza tidak bersedia untuk menerima kehilangan Ainur kala itu.

Selepas 40 minit berlalu akhirnya jantung Ainur mula mengepam dan dia mula bernafas seperti biasa. Setinggi-tinggi syukur Aza panjatkan pada Allah kerana memberi kesempatan buatnya untuk terus berbakti kepada anaknya yang satu ini.

“Sejak peristiwa hitam itu, saya jadi lebih berhati-hati dan belajar memujuk hati untuk menerima kebarangkalian apa yang berlaku pada Ainur. Bukan mudah tetapi saya harus bersedia dengan apa sahaja.

IKLAN

“Doktor juga pernah tanya pada saya, jika tiba masanya jantung Ainur berhenti, adakah saya akan mengizinkan untuk prosedur CPR atau intubate dalam menyelamatkan nyawa anak saya.

“Tetapi saya jelaskan bahawa jika telah tiba masanya saya reda. Saya tidak mahu Ainur terseksa lagi. Saya juga telah tandatangan surat agar tidak menjalankan apa-apa prosedur jika sesuatu berlaku pada anak saya,” jelasnya sambil menyeka air mata dan berdoa akan ada keajaiban buat Ainur.

Anak Tiada Injap Jantung & DiSahkan Penyakit Jarang Jumpa, Ibu Ini Tak Pernah Menyerah
Keadaan Ainul jika dia tidak sihat, sayu hati seorang ibu melihatnya.

Menerima Seadanya

Sebagaimana Aza menerima keadaan Ainur seadanya, begitu juga dengan suami dan anak-anaknya. Walaupun berat ujian ini, tetapi wanita ini sentiasa meminta anak-anaknya untuk mendoakan kesihatan adik bongsu mereka sentiasa baik.

Malahan anak-anak yang berusia antara empat hingga sepuluh tahun juga telah terbiasa akan menjauhkan diri daripada Ainur jika mereka tidak sihat. Mereka juga tidak mahu adik mereka sakit. Ahli keluarga terdekat turut sering bertanya khabar tentang keadaan Ainur dan memberi semangat setiap kali Aza bersedih.

“Semenjak Ainur sakit, saya jadi terbuka dengan masalah orang lain. Maklumlah sebelum ini anak-anak yang lain tiada masalah, bila Ainur tidak sihat barulah kita bergaul dengan senasib dan melihat orang lain yang lebih teruk diuji.

“Saya anggap ini ujian Allah dan saya insan terpilih untuk Allah nak uji. Memang telah kering air mata saya meratapi nasib Ainur dan kini telah tiba masanya saya berserah dan reda dengan ujian ini,” katanya yang sentiasa bimbang apabila perlu menghadapi saat-saat kehilangan Ainur kelak.

Anak Tiada Injap Jantung & DiSahkan Penyakit Jarang Jumpa, Ibu Ini Tak Pernah Menyerah

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI