Lagi kes buli berlaku! Hati seorang ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak kecil pulang dari sekolah dalam keadaan wajah lebam dan hidung berdarah!
Itulah yang dialami Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, apabila anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun mendakwa menjadi mangsa buli sekumpulan murid sekolah pada 30 Julai lalu.
Lebih memilukan, insiden yang berlaku sejurus tamat kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu menyebabkan tulang hidung mangsa patah, sehingga dia terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu.
Menurut Rifka Amelia, anaknya memberitahu dia diserang beramai-ramai oleh beberapa murid. Kedua-dua tangannya dipegang, sebelum ditolak, ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi sehingga terjatuh ke tanah, lalu mukanya terhantuk kuat.
Ads
“Saya panik bila nampak dia pulang dalam keadaan hidung berdarah dan muka lebam. Saya terus bawa ke klinik swasta. Pemeriksaan X-ray mengesahkan tulang hidungnya patah,” luahnya ketika ditemui di pekarangan HSNZ.
Rifka Amelia turut mendedahkan ini bukan kali pertama anaknya cedera akibat perbuatan murid lain.
Ads
“Jun lalu, dia pernah cedera di mata akibat dibaling batu, tapi saya tak buat laporan polis. Kali ini saya nekad ambil tindakan undang-undang. Saya tak mahu murid lain jadi mangsa seperti anak saya,” tegasnya.
Pihak sekolah difahamkan telah memanggil ibu bapa murid terlibat untuk berbincang pada Isnin lalu.
“Ada yang sudah minta maaf secara bersemuka atau mesej, tapi masih ada murid terlibat yang saya dimaklumkan belum dikenakan tindakan,” ujarnya.
Ads
Terima Laporan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor
“Siasatan awal mendapati insiden dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek. Kes telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
Isu ini menjadi peringatan buat semua ibu bapa dan pihak sekolah bahawa buli bukan sekadar gurauan kasar, tetapi boleh membawa kecederaan serius, malah meninggalkan trauma yang panjang kepada anak-anak.
Kes tragis yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus mendapat perhatian seluruh negara.
Selepas beberapa minggu siasatan, seramai lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini berhubung insiden buli membabitkan arwah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke mahkamah untuk proses pertuduhan. Semua remaja akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.
“Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina. Mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan rasmi menyatakan pihaknya meneliti kertas siasatan polis dan memutuskan untuk menuduh beberapa individu terbabit berdasarkan keterangan yang diperoleh.
AGC turut menegaskan bahawa walaupun pertuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan berhubung punca kematian Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues yang kini sedang berjalan di mahkamah.
Kes ini bukan sekadar angka di mahkamah, tetapi luka yang membekas di hati seorang ibu yang kehilangan anak. Arwah Zara Qairina pergi pada usia yang terlalu muda di kala sepatutnya sibuk mengejar pelajaran, membina persahabatan dan menikmati zaman remaja.
Seorang wanita yang saban hari menabur bakti sebagai jururawat, meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang cukup tragis. Roslinawati Ramli, 33, dari Simpang Renggam, Johor, maut selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 394, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Ajil, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Roslinawati yang menyertai konvoi 13 motosikal untuk ke acara Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, Roslinawati dipercayai bertolak dari rumahnya di Simpang Renggam pada jam 1 pagi bersama rakan konvoi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan,” katanya.
Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Jenazah kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Roslinawati bukan sekadar seorang penunggang motosikal tegar, tetapi juga seorang jururawat, insan yang setiap hari berhadapan dengan nyawa dan kesakitan orang lain. Ironinya, kali ini, dirinya pula menjadi mangsa takdir di jalan raya.
Perjalanan jauh yang ditempuh sejak dinihari, dari Johor menuju Terengganu demi memenuhi minatnya terhadap dunia permotoran, berakhir dengan tragedi yang meruntun hati. Hasratnya untuk bersama ribuan ahli RXZ dalam himpunan tahunan itu tidak kesampaian.
Pemergian Roslinawati yang mesra disapa Eyna meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada keluarganya malah rakan-rakan terdekat.
Menerusi perkongsian di TikTok, pengguna akaun Farawaniey87 mendedahkan arwah seorang yang pemurah dan suka berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.
“Eyna ini jenis suka belanja kawan, suka berkongsi apa saja yang dia ada. Susah senang, dia tak pernah kedekut. Kehilangan dia benar-benar terasa,” tulisnya.
Sebagai ibu kepada dua anak, arwah dikenali sebagai seorang wanita tabah yang mampu membahagikan kasih sayang antara keluarga, kerjaya, dan minatnya terhadap dunia permotoran.
Di balik tragedi ini, yang paling terasa tentu sekali dua anak kecil Eyna yang kini kehilangan sosok paling berharga dalam hidup mereka, seorang ibu.
Tiada lagi suara lembut yang membangunkan mereka di pagi hari, tiada lagi tangan penuh kasih yang menyuapkan makanan atau menidurkan mereka saat lena. Kehilangan seorang ibu di usia yang masih terlalu muda adalah luka yang sukar digambarkan.
Bagi keluarga terdekat, anak-anak itu kini menjadi amanah untuk terus diberi kasih sayang, agar mereka membesar dengan mengingat ibu mereka sebagai wanita kuat yang penuh cinta.
Roslinawati disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala. Mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Biar jasad anak digali, asal hatiku tidak lagi dibebani teka-teki. Aku mahu kebenaran. Demi Zara.”
Sudah 14 hari berlalu sejak pemergian anak perempuannya, namun buat Noraidah Lamat, 45, setiap malam masih bersulam tanya mengapa dan bagaimana anak tunggalnya, Zara Qairina Mahathir, menemui ajal?
Zara, 13 tahun, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah. Namun dari awal, kata ibunya, terlalu banyak perkara yang tidak terjawab. Terlalu banyak tanda tanya yang menyiksakan jiwa.
Dan kini, ibu dari Sipitang ini membuat keputusan yang berat tetapi perlu mengarahkan peguam untuk memulakan proses menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat dilakukan demi menoktahkan segala curiga yang bersarang dalam hatinya sejak hari pertama Zara dijemput Ilahi.
Jenazah Zara dikebumikan pada malam 17 Julai, dalam keadaan tergesa-gesa. Tanpa bedah siasat. Tanpa sebarang cadangan dari mana-mana pihak ketika itu. Hati ibu mana yang tidak resah mengenang semula saat itu?
“Ketika itu saya dalam keadaan sedih dan terkejut. Fikiran bercelaru. Kami mahu uruskan pengebumian segera. Tapi esoknya, kami mula persoalkan… ada sesuatu yang tak kena.”
Sejak itu, cerita demi cerita mula timbul. Ada yang menyebut tentang kemungkinan kes buli. Ada yang menyatakan bahawa insiden itu bukanlah sekadar ‘terjatuh’. Ibu ini mula dihimpit dengan kenyataan yang menyesakkan. Mungkinkah anaknya pergi dalam keadaan yang menyimpan luka, bukan sahaja di tubuh tetapi juga jiwa?
Keputusan untuk membuka semula kubur bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut keberanian. Ia menuntut pengorbanan emosi yang luar biasa. Namun seorang ibu, bila telah ditolak ke penjuru duka, hanya akan bangkit demi satu perkara dan ebenaran untuk anaknya.
Noraidah kini telah melantik dua peguam untuk membantu menjalankan proses undang-undang. Bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk mencari jawapan. Kerana jawapan itu bukan sekadar menenangkan hati ibu, tetapi juga membela maruah seorang anak yang sudah tiada.
“Zara anak tunggal saya. Dialah nyawa saya. Saya takkan berhenti selagi tidak tahu apa yang sebenar-benar terjadi.”
Susulan itu, katanya, beliau mahu polis melakukan siasatan telus berhubung kes itu dan pada masa sama, bedah siasat yang pertama terhadap jenazah Zara Qairina perlu dibuat bagi memperincikan punca kecederaan dan kematiannya.
“Pelbagai cerita disebarkan berhubung kematian Zara Qairina dan ia mengguris hati saya. Ia bukan keluar daripada mulut saya, jadi saya mahu semua pihak hentikan spekulasi itu.
Serah kes kepada Bukit Aman
Sementara itu, Polis sudah merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian Zara Qairina termasuk tiga individu dengan nama ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ iaitu antara nama disebut mempunyai kaitan dengan kes kematiannya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan untuk kes itu kini di peringkat akhir yang mana kenyataan kira-kira 60 saksi sudah dirakam polis membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah.
Zara Qairina ditemui pada kira-kira jam 3 pagi 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Polis tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes itu, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.
Kronologi Kejadian:
1. 16 Julai: Noraidah menerima panggilan telefon daripada warden sekolah memaklumkan Zara Qairina cedera jatuh bangunan, bergegas bersama suaminya ke Papar yang mengambil masa dua jam perjalanan.
2.Setibanya di lobi wad kecemasan HQE1 pada jam 10 pagi, Noraidah panik melihat sudah ramai pegawai jabatan berada di situ termasuk polis dan pengurusan sekolah. Noraidah dimaklumkan kes ini sudah menjadi kes polis dan ketika dibawa masuk ke dalam, melihat badan dan muka Zara Qairina berselirat dengan wayar tetapi wajahnya tidak cedera langsung.
3.Doktor dan kaunselor memaklumkan kepada Noridah jika anak hidup sekalipun, dia takkan sempurna kerana otaknya sudah rosak.
4. Noraidah tidak menafikan anaknya pernah bercerita mengenai gangguan seksual diterimanya daripada seorang pelajar di asrama itu.
5.Arwah Zara Qairina pernah melaporkan kes itu kepada guru kaunseling dan dimaklumkan tindakan diambil jika pelajar terbabit mengulangi kesalahan itu. Bagaimanapun, pelajar itu berhenti mengganggunya.
6. Arwah Zara Qairina seorang yang ceria, dia pelajar yang cerdik hingga dapat masuk ke sekolah asrama penuh dan ramai mengenalinya di Sipitang.