Apa dah jadi dengan dunia sekarang. Hilang sudah kah sifat sabar hingga gagal mengawal amarah. Berita guru hamil ditikam suami ini bagaikan manusia sudah hilang perikemanusiaannya sesama insan.
Sekitar jam 9.50 pagi, seorang guru yang sedang hamil 37 minggu terpaksa memandu sendiri kenderaannya dalam keadaan luka berdarah. Selepas ditikam di beberapa bahagian badan oleh suaminya ke Hospital Putrajaya.
Sepanjang perjalanan dari rumahnya di Presint 9 Putrajaya dengan menahan sakit dan pendarahan akibat luka hirisan di jari kiri, lengan kanan, dua kesan hirisan di perut dan luka di belakang kanan badan.
Guru Hamil Ditikam Selamat Lahirkan Bayi Lelaki
Ketika itulah juga mangsa ini mengadu mengalami sakit di bahagian perut. Dia bimbangkan kandungannya, lalu dirujukkan ke Jabatan Obstetric dan Ginekologi serta Ortopedik untuk rawatan lanjut.
Syukurlah, keadaan mangsa dan bayinya stabil. Malah bayi lelaki yang dilahirkan itu juga tak mengalami kecederaan.
Ads
Mangsa Ditikam Dengan Pisau
Suami mangsa yang berusia 39 tahun merupakan seorang jurutera. Dan sudahpun ditahan di kediamannya Jumaat lalu. Malah polis turut merampas barang kes iaitu pisau yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.
Ads
Kata Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah akan direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
MW : ‘Api marah’ itu sememangnya bahaya bila sudah merebak ke dasar hati.
Sumber/Foto : Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pesanan penting jika mengalami penyakit gastrik, perhatikan dahulu jenis ubat yang diambil. Ini kerana pengambilan ubat mengandungi bahan aktif Ranitidine dalam tempoh panjang boleh menyebabkan terjadinya penyakit kanser.
Ia susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menarik semula 10 produk berdaftar yang mengandungi bahan aktif Ranitidine.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk tersebut disahkan mengandungi impuriti N-Nitrosodimethylamine (NDMA) melebihi had dibenarkan.
“Ubat mengandungi Ranitidine bagi pesakit yang mengalami pedih ulu hati dan ulser perut ini biasanya digunakan dalam jangka masa pendek iaitu beberapa hari sehingga beberapa minggu.
“NDMA merupakan salah satu impuriti daripada kumpulan nitrosamine yang biasa ditemui pada paras yang rendah. Antaranya dalam makanan dan minuman tertentu, pencemar udara dan hasil daripada proses pengilangan tertentu.
“Berdasarkan International Agency for Research on Cancer (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang,” katanya.
Buat mereka yang sedang mengambil Ranitidine, sila dapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika ada sebarang keraguan.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak-mak yang ada menggunakan ubat gastrik seperti yang disenaraikan diatas, mohon elakkan dan hentikan. Sila berjumpa dengan doktor untuk menukar ubat mahupun mendapatkan nasihat lanjut.
Di usia 35 tahun, sudah pasti saya juga ingin bergelar isteri dan ibu. Namun hasrat saya itu belum diizinkan Tuhan.
Terus terang, saya seorang wanita yang sangat mementingkan pendidikan dan karier. Saya tak kisah bila zaman remaja saya ‘habis’ dengan mengejar pelajaran dan cita-cita. Kini saya memiliki firma guaman saya sendiri, bersama seorang rakan baik.
Tak nafikan, kerjaya membuatkan ramai lelaki takut untuk menghampiri. Apatah lagi usia saya bukan lagi muda belia. Kalau ada pun, sudah bergelar suami orang dan pasti saya tolak mentah-mentah. Saya tak kisah kalau bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang. Bekerja sebagai peguam syariah, saya banyak uruskan kes perceraian dan banyak kes melibatkan isteri teraniaya bila suami ingin berkahwin lain. Lelaki muda? Lagi saya tolak!
Pertemuan
Kata orang, kadangkala apa yang kita nak elak, itu yang dapat. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes perceraian. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan ditemani adik lelakinya. Saya dapat rasa dia lelaki yang baik kerana sentiasa di sisi kakaknya dalam saat getir begitu.
Selepas kes itu selesai, saya terima panggilan telefon daripada lelaki itu (saya kenalkan sebagai M), mengucapkan terima kasih kerana telah membantu melancarkan kes perceraian kakaknya.
Makin Rapat
Sejak itu, sering kali juga dia whatsapp dan bila free, akan saya balas. Saya suka dengan sikapnya yang kelakar dan pandai hiburkan hati saya bila tengah tertekan. Lama-kelamaan tanpa sedar saban hari kami berhubung dan akhirnya mula keluar bersama.
Saya tak pernah simpan perasaan terhadapnya memandangkan umurnya enam tahun lebih muda. Saya membahasakan diri ‘kakak’ tapi dia enggan panggil saya begitu, katanya tak nampak pun saya lebih tua. Akhirnya saya biarkan saja.
Luah Perasaan
Dia bekerja sebagai pensyarah muda di sebuah IPTS. Satu hari saya tanya, takkan tak ada pelajar yang mengoratnya kerana orangnya boleh tahan segak juga. Tapi katanya hatinya sudah terpikat pada saya dan dia sukakan wanita yang lebih matang. Penat layan perempuan yang manja dan mengada-ada.
Mulanya saya tak ambil perhatian sebab ingatkan dia bergurau. Tapi bila dia luahkan perasaannya dengan serius, saya sedar dia tak main-main.
Dalam masa yang sama, pernah saya mengelakkan diri daripadanya selama tiga minggu namun dia tak henti-henti whatsapp walau pun saya tak balas. Akhirnya saya akur dengan perasaan sendiri, saya juga sukakan dia dan cuba beri peluang untuk kami berdua.
Kini sudah hampir setahun perhubungan kami dan rasanya ini saat tepat untuk bawa ke peringkat seterusnya kerana saya juga bukan muda lagi.
Masalahnya sekarang, saya tak tahu macam mana nak beritahu keluarga bila M mendesak saya bawa dia jumpa keluarga. Pernah saya cuba bagi ‘hint’ pada keluarga saya, apakah mereka akan terima kalau saya pilih lelaki muda tapi awal-awal lagi mak tak izinkan. Katanya jangan percaya dengan lelaki muda. Pasti nak kejar duit saya saja.
Saya serba salah, saya tahu M bukan begitu. Saya tak kisah kalau adik-beradik saya tak setuju, tapi kalau mak dan ayah, sebagai anak tentu saya kena fikir masak-masak. Saya tak nak jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Dalam masa yang sama, saya juga sangat sayangkan M dan saya yakin dia dapat jadi suami yang baik untuk saya.
Miss K, Bangi.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah. Kita merancang..Allah yang menentukan. Merancang dan berusaha serta bertawakal adalah ajaran yang Allah suruh kita ikut untuk mencapai apa yang dihasratkan. Bercakap soal jodoh, kadang-kadang pertemuan tidak dijangka menjalinkan hubungan erat yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan.
Ramai wanita kini yang tidak berkahwin. Antara alasan yang kita sering dengar adalah wanita ramai, lelaki sedikit, susah untuk berjumpa lelaki yang baik, pendidikan lelaki jauh lebih rendah dari wanita, lelaki tidak bekerja atau pendapatan yang rendah (tidak setaraf), keluarga tidak terima berkawan dengan suami orang, dan ada juga faktor umur lelaki yang jauh beza.
Selidik Dulu Soalan Ini
Sebelum kita berbincang tentang penerimaan keluarga terhadap pilihan puan, cuba puan tanya keluarga solan-soalan ini.
i) Apakah kriteria calon yang mereka mahu?
ii) Dalam keadaan usia puan yang telah mencecah 35 tahun, adakah boleh dapat lelaki ikut kriteria yang mereka tetapkan?
Jika keluarga kata mereka boleh carikan, maka puan pula berikan satu tempoh yang bersesuaian yang boleh mereka carikan. Contoh dalam tempoh 3 bulan. Jika mereka berjumpa dengan calon pilihan mereka, mohon masa untuk berkenalan dahulu. Dan jika dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat calon yang mereka mahukan, maka puan minta agar jodoh puan mereka terima.
Dalam masa yang sama, puan cuba kenali M dengan lebih mendalam…dari segi perwatakan, ilmu dan amalan keagamaan, kebiasaan aktivitinya, hubungan keluarga dan kerjaya melalui ahli keluarganya, rakan-rakannya dan di tempat kerjanya. Dari sini puan boleh membuat penilaian tentang latar belakang M. Namun, tidaklah perlu untuk mencari fakta kesempurnaannya kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maklumat ini puan simpan dan boleh dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kerjasama dengan puan. Dengan M yang selalu mendesak minta sedikit masa, katakan padanya keluarga agak berat menerima lelaki yang jauh lebih muda daripada puan. Atau boleh gunakan alasan lain yang bersesuaian. Beritahu dia solat istikharah sama ada pilihannya itu baik buatnya dan agamanya. Minta dia bersabar dengan tempoh masa itu. Jika dia benar mahukan puan, dia akan sanggup menunggu, kerana 3 bulan bukan tempoh masa yang lama.
Setelah sampai tempoh masa yang puan berikan kepada famili, jika tiada calon yang mereka bawa, maka puan boleh menyuarakan hasrat hati bahawa puan ada berkawan dengan M dan M ingin berkenalan dengan ahli keluarga. Jika puan sukar untuk memberitahu ahli keluarga dan meyakinkan mereka, maka puan boleh gunakan ahli keluarga yang memahami puan dan menyokong puan. Lihat respons keluarga sama ada mereka terima atau tidak. Jika responsnya negatif, maka puan bolehlah mengemukakan hujah dan maklumat yang puan tahu mengenai M. Puan seorang peguam, saya yakin tiada masalah untuk puan meyakinkan mereka dengan pilihan puan.
Ramai saja wanita yang lebih umur daripada lelaki antara 5 hingga 7 tahun mereka berkahwin dan kekal dengan perkahwinan. Pun jika ahli keluarga menyatakan bahawa lelaki itu hanya mahukan harta puan, maka puan juga boleh katakan bahawa bahagia bukan letak kepada banyaknya harta. Adakah puan rasa ahli keluarga bimbang jika puan berkahwin dengan orang muda yang tidak sebanyak harta yang puan miliki , maka mereka tidak dapat berkongsi harta puan?
Puan yang dirahmati Allah
Akhir kata, apa jua masalah, kehendak dan pilihan kita, carilah Allah mohon pertolongan. Seperti yang puan minta dia solat istikhrah, puan juga untuk beberapa malam atau dalam tempoh beri masa yang ditetapkan itu, buatlah solat istikhrah, mohon petunjuk dari Allah…apakah pilihan yang terbaik buat puan dan buat agama.
Jika apa yang puan harapkan tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu bersyukur kerana perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahualam.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapa anak lelaki ini? Dijumpai oleh rakan guru ini, Mohd Fadhli Salleh tidur di lorong sehelai sepinggang. Perutnya kelaparan tidak berisi makanan.
Anak lelaki ini bukan tidak bijak budaknya. Setelah diuji ternyata dia pandai. Sayangnya kedaifan ‘memakan’ potensi dirinya. Marilah mak ayah, bantu guru ini.. membantu anak lelaki ini. Semoga usaha kecil kita ini, tuhan berkati.
Sila panjang-panjangkan..
Seorang kanak-kanak selalu kelihatan tidur di lorong sahaja. Ada seorang insan baik hati, Kak Nooraini perasan anak ini.
Kelihatan lesu dan memegang perut tanda kelaparan. Maka diajak masuk McDonald’s, dijamu anak ini makan dan bertanya kisah hidupnya.
Sebelum beredar, anak ini minta untuk bungkus kentang goreng. Agaknya sebagai makanan waktu malam pula.
Kak Nooraini tak lena tidur memikirkan anak ini. Siapa sebenarnya dia. Di mana dia tinggal. Kat mana dia tidur setiap malam. Apa dia sudah makan atau belum.
Maka malam tadi Kak Nooraini pm aku bercerita tentang anak ini. Tanpa buang masa, sebaik aku sampai kedai Awe jam 10:30 tadi aku kerah ‘askar-askar’ aku mengesan anak ini.
Askar-askar aku bukan kaleng-kaleng. Tak sampai 15 minit mereka mencari terus jumpa. Mereka pimpin tangan anak untuk untuk berjumpa aku.
“Jom ke kedai tu. Cikgu saya nak jumpa. Cikgu tu muka ganas, tapi dia baik.”
Geram betul aku, ada dia kata muka suci aku ni ganas. Takut-takut anak ini nak datang tadi. Hahaha.
Sebaik dia duduk, aku suruh dia order makan. Mulanya dia kata dah kenyang. Dengan sopan menolak.
Namun aku pujuk suruh order juga. Akhirnya dia mengalah. Sebelum makan dia doa dulu. Bagus budaknya. Tu diaaa, kata dah kenyang. Sepinggan penuh kejap je habis. Allahu. Nampak sangat dia sebenarnya lapar.
Aku berborak dengan dia. Bertanya tentang latar belakang dan hidupnya. Ibunya meninggal dunia masa dia umur 8 tahun. Kemalangan jalan raya.
Setelah itu dia tinggal bersama ayah tiri. Dulu tinggal di Ulu Tiram, Johor. Umur 9 tahun datang ke Kuala Lumpur.
Sejak itu dia tidak pernah bersekolah. Aku bertanya tentang ic dan surat beranak. Terus dia buka wallet, keluarkan salinan ic dan surat beranak.
Punya aku seronok dapat tahu dia ada dokumen pengenalan diri. Dokumen ni sangat penting. Bolehlah dia bersekolah nanti.
“Awak tahu baca?”
Angguk.
“Cuba baca tulisan di baju cikgu.”
Lancar dia baca. Bila aku suruh dia sebut masa dengan menunjukkan jam jarum aku, pun boleh dia sebut dengan tepat. Tambah tolak asas tu lancar je dia menjawab.
“Awak belajar kat mana?”
“Saya homeschooling je.”
“Siapa ajar?”
“Saya belajar sendiri.”
Tu dia. Homeschooling pun pandai sebut. English kau!
Budak ni ada potensi. Agak bijak budaknya. Ni kalau masuk sekolah boleh pergi jauh kalau kena gaya.
Aku siasat dengan askar-askar aku, budak ni bagus. Tak pernah mencuri, tidak merokok dan tidak melepak dengan budak-budak nakal.
Nantilah aku cuba usaha hubungi ayah tiri dia untuk urusan persekolahan. Tahun ni anak ini dah 13 tahun dah. Tahun depan sepatutnya dah masuk Tingkatan 2.
Katanya ayah tiri dia kerja jaga. Umur dah hampir 60 tahun. Tinggal berdua sahaja di sini.
Ayah tirinya tidak kisah dia balik atau tidak. Kadang-kadang 2-3 hari sekali baru dia balik rumah.
Terabai budak ni. Terus aku pesan kat dia,
“Lapar je datang kedai ini. Order apa awak nak makan. Datang setiap hari pun tak apa. Nanti cikgu bayarkan semua. Faham tak?”
“Baik cikgu. Terima kasih.”
Kedai Awe ni, Cina yang kurang siuman, auntie Indian yang selalu lalu lalang, beberapa keluarga asnaf, orang gila, OKU, semua aku suruh datang makan.
Datanglah untuk sepinggan nasi dan segelas air. Jangan risau. Selagi aku ada, selagi kedai Awe buka, selagi sokongan kalian pada aku ada, mereka ini takkan sesekali kelaparan.
Aku pernah melalui saat di mana duit langsung tidak ada dan hanya makan nasi sekali untuk 3 hari. Minum air paip, makan roti expired hanya untuk menghilangkan kelaparan suatu ketika dulu.
Aku tahu peritnya berlapar. Aku tahu betapa malu dan hinanya rasa diri bila tiada satu sen pun dalam kocek.
Dan aku takkan membiarkan sesiapa sahaja dalam pengetahuan dan radar aku untuk melalui saat sebegitu selagi aku mampu membantu.
Itu prinsip aku sejak dulu.
Aku tidak mampu nak bantu semua orang. Namun aku cuba sedaya upaya untuk membantu sesiapa sahaja disekeliling aku semampu aku.
Tidak banyak tapi sentiasa.Ya, tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna. Itulah #DanaKITA.
Yang ingin mengirim sumbangan melalui Dana Kita, ini maklumat ya :
No akaun : 564221646925
Bank : Maybank Nama akaun : Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.
@dana kita
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh – Sentiasa ada kisah pilu di setiap lorong dan jalan –
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
"Jangan sebarkan benda yang tak betul. Kalau tak tahu cerita baik diam. Jangan sebar fitnah kalau tahu tahu apa-apa," katanya yang mengakui kakaknya tersilap memberi ketiga-tiga anaknya ubat methadone.