Seperti kanak-kanak muslim yang lain, sejak daripada kecil Zaleha Abdullah sudah didedahkan dengan pengajian Islam dan juga al-Quran di sekolah. Namun gadis yang aktif ketika usia mudanya ini sering suka bertanya setiap kali belajar terutamanya apabila kelas agama dan mengaji al-Quran. Dek kerana soalan yang ditanya sering tidak mendapat jawapan, Zaleha beralih ke kelas moral yang lazimnya dihadiri oleh pelajar bukan Islam.

Terdorong

Tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan seterusnya berkahwin, suatu hari timbul kesedaran buat wanita ini untuk mula belajar al-Quran yang telah lama ditinggalkan suatu masa dahulu. Sering melintasi laluan ke Masjid Negara membuatkan Zaleha terdorong untuk menyinggah dan seterusnya mengikuti kelas pengajian al-Quran yang disediakan di situ. Niat sudah ada, tapi hanya mampu diteruskan separuh jalan kerana dirinya yang hamil. Lama-kelamaan dia tidak lagi teruskan pengajian tersebut dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan kerjaya.

Dalam tempoh tersebut, bukan tiada usaha yang dibuat Zaleha untuk mendalami ilmu agama. Sudah banyak buku dibeli, dia belajar sendiri tapi sampai mana sangatlah ilmu yang diperoleh tanpa ada guru yang membimbing. Sehinggalah dirinya sudah tidak berkerjaya lagi bagi menjaga ibunya yang sakit. ternyata Allah lebih sayangkan ibu Zaleha dan sejak dari itu juga kesedaran timbul kembali untuk belajar ilmu al-Quran.

“Saya kecil dahulu ada belajar al-Quran di sekolah, tapi biasalah ketika itu masih kecil tak banyak kesedaran sangat. Dah tamat belajar dan bekerja, ada terlintas juga nak belajar balik. Suatu hari lalu dekat Masjid Negara terlintas nak tengok apa kelas yang boleh saya sertai. Alhamdulillah, saya mula balik dengan belajar Iqra. Tapi saya tak fokus, banyak kali saya berhenti sebab mengandung. Lama-lama saya berhenti terus. Tapi saya masih teruskan mengaji di rumah. dahulu ada satu rancangan yang mengajar al-Quran di televisyen dan saya akan rekod untuk belajar. Tapi itu pun tak lama.

“Bila arwah ibu saya dah meninggal barulah rasa saya perlu belajar mengaji semula. Sejak dari situ saya mula cari kelas-kelas al-Quran yang ada. Saya belajar mengaji melalui kawan-kawan secara tak formal, saya ke masjid mengikuti kelas yang dianjurkan oleh pihak masjid di Seremban. Mula-mula tu memang saya tak terus ikut kelas yang ada, maklum sahajalah saya tak lancar mengaji, saya malu. Jadi saya perhatikan sahaja apa yang diajar. Lama-lama saya mula berani kerana dan mengaji bersama qariah lain,” ujar Zaleha tentang pencariannya untuk belajar Qalam Allah.

IKLAN

Dipertemukan Dengan Orang Yang Tepat

Hidayah itu milik Allah, usaha Zaleha untuk terus mendalami al-Quran bagaikan dipermudahkan. Dirinya yang sedang bertatih dalam mempelajari al-Quran ditemukan dengan orang dan tempat yang tepat untuk tujuan tersebut.

Al Quran Jadi Peneman Zaleha, Hidup Lebih Tenang Dan Berlapang Dada
Zaleha tekun menjawab ujian dalam salah satu kelas yang dihadiri

“Ketika belajar di Masjid, saya ada jumpa seorang lelaki yang kelihatan seperti saya ketika mula-mula dahulu. Saya tegur dia dan bertukar-tukar nombor telefon kerana menurutnya satu tempat yang dikenali sebagai Rumah Ngaji akan dibuka tak lama lagi di Seremban. Tempat tersebut ada menyediakan kelas untuk orang seperti saya belajar mengaji. Gembiranya saya mendengar perkhabaran itu dan itulah titik permulaan saya untuk terus mendalami ilmu al-Quran secara serius,” tambah ibu kepada lima cahaya mata ini.

2016 membuka lembaran baru buat Zaleha, tahun tersebut dia mula belajar mengenal al-Quran dari asas iaitu dengan belajar Iqra. Menurutnya belajar di Rumah Ngaji membuatkan dia tahu hala tujunya dalam mendalami ilmu al-Quran.

IKLAN

“Saya suka dengan cara yang diajarkan di Rumah Ngaji. Di sini mereka ada visi untuk melahirkan lebih ramai tenaga pengajar untuk menyebarkan lebih banyak ilmu kepada orang ramai tentang al-Quran. Di Rumah Ngaji saya bukan sahaja saya belajar Iqra, malah pelajar di sini turut diajar dengan Tajwid, Makhraj dan Sifat untuk setiap ayat dalam al-Quran. Alhamdulillah, dua tahun lebih belajar di sini di samping mengikuti kelas mengaji di tempat lain, bacaan saya semakin lancar. Saya juga sudah mula mengajar keluarga dan rakan-rakan terdekat. Syukur dan sangat berterima kasih dengan Rumah Ngaji yang menjadikan saya seperti hari ini,” ujarnya penuh kesyukuran.

Sehingga kini Zaleha yang sudah berusia 64 tahun tidak jemu-jemu dalam mendapatkan ilmu. Rutin hariannya dipenuhi dengan menghadiri kelas-kelas agama dan pengajian al-Quran bagi melengkapkan diri sebagai bekalan di akhirat kelak.

“Setiap hari memang saya akan mengaji. Kalau tiada kelas pun saya akan mengaji di rumah. Kelas di Rumah Ngaji biasanya dua kali seminggu, di samping itu juga saya turut menghadiri kelas-kelas lain di Masjid dan beberapa tempat lain. Bagi saya belajarlah selagi mampu kerana setiap ilmu yang kita dapat itu manfaatnya berbeza-beza. Seperti juga mengaji, setiap ustaz atau ustazah yang mengajar cara pendekatan dan bacaannya lain, jadi dari situ kita boleh belajar untuk menyempurnakan bacaan dalam al-Quran,” jelas Zaleha lagi.

IKLAN
Al Quran Jadi Peneman Zaleha, Hidup Lebih Tenang Dan Berlapang Dada
Zaleha merupakan antara pelajar yang lulus dengan cemerlang dan tamat belajar mengaji selama 2 tahun di RNBBA

Lebih Berlapang Dada Dan Syukur Nikmat Yang Ada

Saat ditanya apakah nikmat yang diperoleh setelah mahir dan lancar dalam membaca dan memahami al-Quran, menurut wanita yang menjadikan surah Al-Mulk dan Al-Kahfi sebagai amalan ini, mengakui mendapatkan ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata setiap kali dapat mengaji dan memahami maksud yang tersirat pada setiap bait-bait surah yang dibaca.

“Apa yang saya dapat rasakan setelah menjadikan al-Quran teman hidup di kala usia begini, hidup menjadi lebih tenang. Sentiasa berlapang dada dengan apa yang menimpa, sentiasa positif dengan kehidupan yang ada dan mensyukuri apa adanya dalam kehidupan saya. Malah dengan menjadikan mengaji sebagai amalan di samping memahami maksud-maksud di sebalik ayat dan surah yang dibaca menjadikan saya lebih sedar dengan nikmat Allah yang cukup banyak,” kongsinya.

Jelas Zaleha lagi, kini al-Quranlah tempat rujukan saat ada kekusutan yang melanda. Allah dorongkan untuk baca surah atau ayat yang tepat dalam mencari penyelesaian sesebuah permasalahan yang ada. Tambahnya juga, terkadang hingga menitis air mata secara tidak sengaja saat membaca bait-bait ayat al-Quranul Kareem, ternyata ia cukup memberi kesan kepada kehidupan wanita yang bernama Zaleha ini.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI