didik anak

Nak anak jadi ‘orang’, mak ayah patut didik anak dan sediakan aktiviti yang sesuai dengan tahap umur anak. Bila dan apa jenis aktiviti yang patut buat? Ok, jom semak perkongsian ini.

Sebenarnya waktu hujung minggu cukup sesuai untuk biasakan anak-anak dengan kerja rumah, didik si kecil sifat tanggungjawab.

Ada beberapa jenis aktiviti hujung minggu yang boleh ibu pilih agar permata hati anda kenal sifat tanggungjawab dalam diri, sekali gus mencipta kendiri yang baik ketika berhadapan dengan teman mahupun masyarakat sekelilingnya.

1. Sapu sampah

Bukan mudah meminta bantuan anak-anak menyapu sampah. Ada saja alasan yang diberikan. Apa kata mulakan dengan menyapu kamar tidur anak-anak itu sendiri. Setelah selesai, lakukan pemeriksaan dan berikan pujian. Minggu seterusnya bolehlah minta mereka menyapu pula di ruang tamu dan minggu seterusnya di dapur pula. Paling penting, jangan memaksa mereka. Paksaan akan membuatkan anak memberontak.

IKLAN

2. Basuh pinggan mangkuk

Letihnya apabila anak-anak yang sudah memasuki sekolah rendah, enggan membasuh pinggan mangkuk sendiri. Apa kata latih mereka membasuh pinggan selepas makan. Ajar mereka kegunaan sabun dan cara bilasan yang betul. Anak-anak akan seronok dan mereka melakukannya dengan penuh kegembiraan.

Bagaimana jika semasa membasuh, mereka telah memecahkan pinggan kaca?

IKLAN

Haaa… ibu kena bertenang dan jangan mudah melenting. Minta mereka ambil penyapu dan penyodok, bersihkan kawasan itu. Jika anak belum mahir, ibu lakukan dengan pemerhatiannya. Maklumkan itu bukan salahnya, lain kali perlu lebih berhati-hati. Dengan ini, keyakinan diri anak mulai berkembang dan mereka jari lebih bertanggungjawab.

3. Buang sampah

Ajar anak agar membuang sampah yang sudah memenuhi ruang tong sampah. Berikan jadual giliran untuk setiap anak. Tidaklah nanti mereka merasakan dibuli oleh abang atau kakak. Jadual giliran ini juga melatih anak-anak soal tanggungjawab dan perkongsian. Mereka berkongsi kesusahan bersama adik-beradik. Walaupun nampak remeh, namun aktiviti ini begitu penting sekali. Ada juga anak-anak yang seronok bila tiba giliran mereka membuang sampah.

IKLAN

4. Cuci barang peribadi

Barang peribadi di sini bermaksud barangan persekolahan mereka. Misalnya kasut sekolah. Minta anak-anak membasuh kasut sekolah pada hari cuti. Tak salah juga minta anak-anak membasuh pakaian mereka sendiri. Pakaian sekolah selalunya berdaki dan dipenuhi kotoran degil. Boleh latih mereka bagaimana mahu membuang kotoran degil dengan rendaman air suam dan soda bikarbonat. Tetapi anda perlu berada di sebelah sekiranya ia melibatkan air yang panas. Secara tak langsung, anak-anak belajar tentang sains dan kegunaannya dalam keperluan harian.

5. Membasuh kereta

Anda sebenarnya menjimatkan RM12 setiap bulan. Tak perlu hantar kenderaan ke tempat cuci kereta tetapi dengan bantuan anak-anak, kenderaan boleh bersih berkilat. Sediakan baldi dan sabun serta span yang sesuai. Kadangkala sambil membasuh, mereka juga bermain bersama. Ini mengeratkan lagi hubungan ayah dengan anak-anak.

Moga pengisian ini cukup bermanfaat buat anda semua untuk ajar anak-anak berdikari sejak kecil. In shaa Allah, esok-esok kalau anak belajar jauh pun boleh buat sendiri dan pastinya anda langsung tak ragu-ragu dengan kemampuan anak!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI