Di sebalik kejayaan seseorang, pasti ada kisah disebaliknya. Mungkin kita merasakan bertuahnya hidup mereka, namun kita tidak pernah tahu apa yang dilaluinya. Tiada siapa yang menduga dari seorang yang dilahirkan normal namun dek kerana kemalangan jalan raya yang menimpa dirinya membuatkan kini dia berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Pastinya kejadian kemalangan yang berlaku pada bulan Februari 2011 ketika usia Ahmad Jaffri Jamaluddin yang ketika itu 26 tahun tidak akan padam dalam ingatan. Sejak detik itu dia disahkan cacat namun itu semua tidak menjadikan dunia ini gelap.

Berstatus OKU bukan penghalang untuk seseorang itu mencipta nama dan kejayaan sendiri. Malah, kekurangan yang dialami mereka itu sebenarnya boleh membawa kepada kejayaan yang lebih besar berbanding orang biasa sekiranya mereka bijak mencari peluang.

Begitu jugalah yang diterapkan oleh anak kelahiran Kuala Lipis Pahang yang kini merupakan atlet memanah paralimpik yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa. Penulis mengenali susuk tubuh figura ini menerusi bonda tercintanya, Datin Fadzilah Mat Idin, 59, atau lebih selesa dengan panggilan Tok Mak. Beliau begitu kagum dengan semangat anak lelaki tunggalnya itu. Malah sewaktu ditemubual, Ahmad Jaffri akui ibu, ayah dan ahli keluarga lain merupakan tulang belakang kepada kejayaannya.

“Ibu, ayah dan adik beradik memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Saya tidak pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri sebabnya mereka banyak beri sokongan dan galakan dalam bidang yang saya ceburi.

Tatkala menerima anugerah.

“Sejak kecil saya sangat minat bersukan. Sewaktu zaman sekolah saya sibuk dengan latihan sukan golf. Pernah mewakili negeri untuk pertandingan sukan ini. Saya juga aktif dengan sukan golf sehinggalah saya ditimpa kemalangan. Selain golf saya juga aktif sukan lain seperti futsal, bola speak dan badminton.

“Sejurus selepas pulih dari kemalangan walaupun tidak sempurna seperti dulu namun saya tidak pernah padamkan minat dalam sukan. Saya cuba buat kajian tentang sukan yang boleh saya ceburi dengan keadaan diri. Dari situ saya cuba sukan memanah. Dan alhamdulillah saya berjaya terpilih sebagai atlet memanah sepenuh masa di bawah Majlis Sukan Negara. Saya juga mewakili negara dalam sukan memanah para,” ungkap Ahmad Jaffri yang membesar di Kuantan, Pahang.

Kerja Keras

Memiliki azam yang tinggi, Ahmad Jaffri kini mengikuti latihan sepenuh masa di Majlis Sukan Negara.

“Sekarang ini saya sibuk dengan latihan. Seawal jam 8 pagi saya mulakan latihan memanah hinggalah jam 12 tengari hari. Rehat sekejap kemudian jam 3 petang latihan bersambung sampai pukul 5 petang. Inilah rutin harian saya dari hari Isnin hingga Sabtu.

“Saya ni jenis yang tak boleh duduk diam. Suka bersukan dan keluar peluh. Sememangnya sejak kecil saya suka pertandingan. Dalam pertandingan ada satu saja matlamat iaitu mahu menang. Untuk realisasikan kemenangan saya harus bekerja kerja. Itulah prinsip yang saya terapkan dalam kehidupan. Malah saya juga tanamkan azam mahu sentiasa berjaya,” sambung Ahmad Jaffri yang juga akui rakan-rakan normal yang lain turut bekerjasama dan memberi sokongan kepada dirinya.

Bangkit dan terus berjaya.

Beri Manfaat Pada Rakan OKU

Baru-baru ini Ahmad Jaffri juga telah menerima Anugerah Sukan Pahang menerusi kategori Anugerah Paralimpik Lelaki Terbaik (sukan memanah).

“Saya bersyukur atas usaha keras dan semangat tidak mudah putus asa membuatkan saya bersemangat meneruskan kejayaan demi kejayaan dalam bidang sukan ini. Saya juga terharu dengan anugerah yang diberi. Hasil usaha saya selama ini sangat berbaloi,” kata Ahmad Jaffri yang telah meraih pelbagai kejayaan dalam sukan ini.

Dalam bidang sukan ini Ahmad Jaffri juga masih mahu menggilap kariernya dan turut mahu membantu golongan senasib.

“Azam saya untuk karier sekarang saya ingin menang di peringkat sukan paralimpik. Manakal dalam kehidupan pula agar dapat memberi manfaat kepada semua org terutama golongan OKU.

“Saya juga berharap golongan senasib dengan saya jangan terlalu merendah diri dan cubalah beri yang terbaik. Ini kerana banyak perkara yang boleh dilakukan cuma perlukan pendedahan kepada mereka. Dengan usaha dan kerja keras, insyaAllah kita boleh berjaya seperti orang normal. Paling penting tanamkan azam dan tekad yang tinggi untuk gapai sesuatu kejayaan. Keluarga juga memainkan peranan yang penting. Doa dan galakan dari mereka membuatkan saya miliki semangat lebih tinggi ke arah kecemerlangan diri,” tegas Ahmad Jaffri.

Minat Memancing

Selain bersukan Ahmad Jaffri juga menerangkan dia akan memancing bersama rakan-rakan.

“Selain bersukan saya juga punya hobi lain iaitu memancing. Ramai rakan-rakan OKU saya yang turut sama suka memancing. Bila punya masa luang saya akan habiskan masa dengan memancing bersama mereka.

“Bila cuti pula saya tidak akan lepaskan peluang untuk pulang ke kampung bertemu ibu dan ayah yang tinggal di Kuantan,” tambah Ahmad Jaffri.

Bersama keluarga tercinta.