
Suami isteri yang pakai baju sedondon memang nampak romantis, sehati dan sejiwa. Tak kiralah pakai sedondon baik pergi jalan-jalan, kenduri kahwin atau apa-apa majlis. Biasanya para isteri yang suka tetapkan tema warna dan pakai baju sedondon ni berbanding golongan suami. Berita baik, boleh teruskan rutin ini dalam rumahtangga kerana ia adalah salah satu tip suami isteri kekal bahagia.
Tips Kekal Bahagia
Ini dibuktikan oleh sepasang warga emas dari California, Amerika Syarikat (AS) yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-68 bulan depan, berkongsi tips rahsia mereka untuk kekal bahagia.
Francis dan Rosemary Klontz masing-masing berusia 87 tahun berpasangan sejak zaman sekolah menengah.
Menurut pasangan berkenaan, antara rahsia perkahwinan bahagia mereka ialah berpakaian sedondon sejak sebelum mendirikan rumah tangga pada usia 19 tahun.
“Ibu saya membelikan kami baju sedondon ketika zaman sekolah tinggi, saya yang memilih pakaian tersebut dan sejak itu kami berpakaian sama,” kata Rosemary kepada KOVR-TV.
Tak Kisah Isteri Sediakan Pakaian
Suami Rosemary, Francis pula berkata, dia tidak kisah isterinya menyediakan pakaiannya setiap hari.
“Dia menyediakan pakaian saya dan saya tidak perlu bimbang tentang apa-apa,” kata Francis.
Pasangan terbabit yang juga bekas pastor gereja berkata, agama turut memainkan peranan penting dalam perkahwinan mereka.
MW: Tak sangka suami isteri yang pakai baju sedondon juga antara tips untuk kekalkan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumahtangga. Jadi buat pasangan suami isteri bolehlah amalkan selalu. Selain nampak romantis, ia sebenarnya menzahirkan kesepakatan, toleransi dan kepercayaan pada pasangan.
Sumber: Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Jangan Jadi ‘Lori Sampah’, Kesannya Mendalam Pada Anak-Anak & Kehidupan!

Betapa dalam kehidupan kita berhadapan dengan pelbagai perkara dan situasi baik negatif mahupun positif. Adalah amat penting kita sebagai mak ayah, menyerap hanya perkara yang baik-baik dan mengabaikan aura negatif dalam kehidupan seharian. Jangan jadikan diri kita sebagai ‘Lori Sampah’ yang mempu memberi kesan mendalam pada anak-anak dan rumahtangga.
Berikut perkongsian daripada Puan Najibah Mustaffa mengenai ‘Lori Sampah’ yang boleh dijadikan panduan.
IBU AYAH. JANGAN JADI LORI SAMPAH.
“Law of the garbage truck.”
Pertama kali saya mengetahui istilah ini adalah beberapa bulan lepas. Rupa-rupanya istilah ini datangnya daripada sebuah tajuk buku yang ditulis oleh David J.Pollay di mana ia sangat popular dan memberi kesan mendalam kepada kehidupan ramai orang.
Saya ‘search’ tentang perkara ini untuk mengetahui lebih mendalam lagi, terjumpa page rasmi The Law of the Garbage Truck. Taglinenya adalah
“Spread Gratitude. Not Garbage”.
Sebarkan kesyukuran. Bukannya sampah.
Masyaallah. Kempen yang sangat baik. Dan ia bermula di negara barat.
Definisi ‘Lori Sampah’ Dalam Kehidupan
Lori sampah. Betapa inilah realiti kehidupan kita hari ini. Setiap hari kita bertemu dengan ramainya manusia dan berhadapan dengan banyaknya situasi.Manusia negatif, peristiwa negatif diibaratkan sebagai sampah. Dan kita ini adalah sebuah lori atau trak.
Ada orang yang kerjanya setiap hari mengutip sampah sampah ini dan memenuhkan lorinya dengan segala yang busuk dan meloyakan itu.Dan sampai satu masa, sampah itu telah penuh. Dia terpaksa membuang sampah itu kepada insan sekelilingnya.
Saya terfikir. Betapa ada di kalangan kita ini – ibu ayah selalu sangat jadi seperti lori sampah ini. Tanpa kita sedari.Kita keluar rumah untuk bekerja atau apa jua urusan. Kita bertemu dengan macam macam orang dan keadaan.
Traffic jammed. Merungut.
Di jalanraya, ada pemandu lain memotong dan beri lampu tinggi, terhamburlah sumpah seranah.
Di kedai makan, hidangan lambat sampai. Terus marah marah
Di pejabat, bos tegur itu ini, kita pun terkesan sama, jadi bad mood dan naik angin.
Banyak lagi situasi dan orang sampah yang kita jumpa. Kita kutip dan kutip. Kita benarkan perasaan dalaman kita ditentukan oleh luaran.Sampah ini kita kumpulkan dalam lori kita. Hari demi hari, minggu berganti bulan. Ianya penuh dan membusuk.
Bawa ‘Sampah’ Pulang Ke Rumah
Kita bawa sampah ini pulang ke rumah. Sedihnya, bila sampah ini mulai penuh dan melimpah. Kita hamburkan kepada pasangan dan anak-anak.
Kita pulang dari kerja. Tiada segaris senyum atau wajah ceria. Kita bawa wajah yang sarat dengan beban dan masalah.
Anak-anak bising. Kita marah.
Anak-anak buat sepah. Kita tengking.
Anak-anak datang kepada kita mahu perhatian, kita abaikan.
Begitu juga dengan pasangan. Perli, marah, penderaan emosi jadi perhiasan rumahtangga kita.
Kita buka handphone. Baca berita negatif. Hal bertelagah tak sudah, membawang, gosip itu ini.
Kita kutip sampah lagi.
Kesan Kutip ‘Sampah’
Tenaga emosi kita menjadi sangat rendah. Dalam rumahtangga kita aura nya juga jadi negatif.Dan lagi sedih, pasangan dan anak-anak yang menerima sampah ini boleh menjadi penyumbang dan pengutip sampah juga.Pasangan. Tidak didamaikan emosinya. Lalu dilepaskan kepada anak-anak.
Anak-anak terpinga-pinga. Keliru. Mereka belum mengerti, namun emosi yang koyak rabak itu membentuk mereka jadi keras, kasar, suka bergaduh terbawa bawa ke sekolah. Ada yang jadi pasif. Ramai juga yang kemurungan dan membawa kepada masalah mental yang lainnya.
Allahu. Teruknya kesan sebuah sampah ni kan. Berantai rantai.
Ramai kita tak sedar perkara ini. Saya pun! Dan sangat sebak ketika menulis catatan ini. Sebab teringat kenangan dulu dulu. Waktu saya selalu menjadi pengutip sampah. Semua perkara yang berlaku di luar mudah sangat beri kesan kepada ketenangan diri. Teruk sungguh rasanya.
Pilih Yang Baik-Baik
Setahun dua ini minat saya kepada ilmu keibubapaan membawa saya menerokai banyak ilmu berkaitan psikologi anak-anak. Dan saya perlahan lahan memperbaiki salah dan silap dulu. Semoga anak-anak lupa, tak simpan dalam memori – perihal sampah yang saya kutip dan hamburkan kepada mereka dulu.
Ibu ayah. Semakin kurang kita mengutip sampah iaitu mengizinkan perkara negatif masuk dalam diri kita. Semakin besar sebenarnya ruang dan peluang untuk kita hidup penuh cinta, saling menghargai dan berkasih sayang.
Ya. kehidupan ini sangat sukar. The struggle is real. Namun kita masih boleh memilih yang baik-baik. Dengan mohon kekuatan daripada Allah.
Jangan Jadi Lori Sampah
Mulai hari ini kita katakan pada diri. Jangan jadi seperti lori sampah. Jika ada orang mahu berikan sampahnya kepada kita. Kita jangan ambil. Kita tolak, senyum dan berlalu pergi.
Katakan pada diri. Kita ibu ayah yang keluarnya mencari rezeki buat keluarga. Pulangnya nanti, saat anak isteri menyambut di muka pintu, yang kita mahu bawa bersama adalah kebaikan, wangian, keindahan dan keceriaan.
Ini semua tenaga emosi yang tinggi frekuensinya. Yang insyaallah berupaya menarik lagi banyak perkara best dan indah dalam hidup. Seisi keluarga pastinya bergembira. Lalu turunlah rahmat dan berkat daripada Allah. Jadi lah rumahtangga kita sejuk dan mendamaikan. Syurga sebelum syurga. Insyaallah.
Ibu ayah. Kita cuba ya!
Najibah Mustaffa
Sedang belajar berhenti jadi lori sampah.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah serapkanlah dalam diri hanya aura positif dan perkara yang baik-baik untuk anak-anak. Semoga kita dalam membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah dalam persekitaran yang harmoni.
Sumber: Najibah Mustaffa
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pagi Sebelum Jawab Kertas Peperiksaan, Mak Ayah Dan Anak Amalkan Ini

Asal nama peperiksaan, yang bakal mendudukinya akan rasa debaran yang tak tau nak ‘habaq’. Macam ada ‘kupu-kupu’ dalam perut. Seram sejuk.
Cikgu Mohd Fadli Salleh, kongsi amalan doa yang boleh redakan rasa cemas lagi kalut dalam dewan peperiksaan itu. Lagi-lagi bulan September ini anak-anak darjah 6, bakal menduduki kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bolehlah mak ayah minta, anak-anak amalkan doa ini. Moga urusan anak-anak kita dipermudahkanNya.
Amalan Sebelum Anak Jawab Kertas Peperiksaan
Malam ini (ketika status dimuat naik) sekolah aku ada buat solat hajat sempena murid tahun 6 bakal menduduki peperiksaan UPSR.
Teringat pesanan PU Salman ceramah tahun lepas, dia selit satu amalan ‘mahal’ yang sesuai diamalkan oleh semua calon yang bakal menduduki peperiksaan.
Tak kiralah exam apa sekali pun. UPSR ke, PT3 ke, SPM ke, peringkat Universiti ke. Semuanya boleh.
Ini amalan yang boleh mengelakkan lupa apa jua ilmu yang telah dihafal dan dipelajari. Senang saja amalannya tuan-tuan.
1) Sebaiknya berwuduk dahulu.
2) Ambil segelas air kosong.
3) Baca Surah Al A’la ini.
4) Sampai ayat ke-enam “Sanuk riu ka fala tannsa” ulang 7x (tujuh kali) kemudian tiup dalam air.
5) Sambung bacaan hingga akhir ayat.
6) Minum air tersebut dan niatkan agar ilmu yang dihafal dan dipelajari tidak lupa semasa peperiksaan.
Sangat baik diamalkan dipagi hari peperiksaan. Untuk amalan setiap hari pun bagus juga.
Namun kalau boleh, pagi hari peperiksaan itu wajibkan diri buat ya. Suruh anak buat, ibu bapa pun boleh juga baca sama, tiup dan doakan.
Sesungguhnya tiada kejayaan tanpa redha Allah taala.
Silalah #SHARE ilmu mahal ini agar ramai dapat manfaat. Kita usaha, selebihnya serah saja pada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh, #MFS – Memberi yang banyak, tidak menyorok yang sedikit. Itulah guru. –
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Ini Jelaskan 2 Sebab Tidak Galakkan Minum Air Selusuh Untuk ‘Mempercepatkan’ Proses Bersalin

Biasanya bagi orang Melayu air Selusuh seringkali digunakan sewaktu tanda-tanda awal bersalin berlaku. Ia dipercayai untuk membantu ‘mempercepatkan’ proses bersalin. Namun, menurut perkongsian ilmu oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak yang merupakan seorang Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, beliau tidak mengalakkan penggunaan Air Selusuh ini atas sebab-sebab tertentu.
Berikut antara perkongsian oleh beliau yang boleh dijadikan panduan;
Boleh minum air selusuh ke doktor?
Biasanya orang Melayu kita lebih arif berkenaan dengan air tersebut. Air biasa direndam dengan Akar Fatimah ataupun air biasa dibaca dengan mantera jampi serapah atau dicampur sikit dengan herba-herba yang memulakan kontraksi rahim. Juga turut dikenali sebagai Sanggul Fatimah / Rumput Fatimah / Rose of Jericho .
Air selusuh akar fatimah ini dipercayai turun temurun digunakan untuk ‘mempercepatkan’ proses bersalin . Biasanya akan diminum selepas tanda tanda awal bersalin itu berlaku, keluar darah awal bersalin pecah air mentuban pecah atau sakit kontraksi sudah bermula. Bukan sahaja boleh diminum, ada yang boleh disapu pada perut, bersertakan bacaan-bacaan tertentu. Masalahnya, betul ke akar fatimah ini sememangnya mempercepatkan proses kelahiran ?
Selusuh yang melibatkan hanya air kosong dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa, sepatutnya tiada masalah untuk diamalkan. Ada beza tu, doa dan jampi serapah. Jangan keliru!
Air rendaman akar fatimah, minyak selusuh bidan kampung, air jampi, air asam jawa yang dibacakan jampi, rendaman akar kayu dan herba – sekadar menamakan sedikit jenis-jenis selusuh amalan orang melayu. mungkin ada banyak lagi selusuh yang mungkin tidak saya ketahui.
Selusuh jenis ini tidak diketahui cara penghasilan dan bahan kimia aktif di dalamnya – ada kajian membuktikan bahan yang digunakan mempunyai aktiviti seperti hormon oksitosin yang menyebabkan kontraksi pada rahim. Dos bahan ini tidak diketahui dan tak boleh dipantau secara klinikal.
Hormon oksitosin yang digunakan dalam dalam perubatan obstetrik moden diketahui dos nya dan diubah mengikut keperluan pesakit. Dan bukan sewenang-wenangnya diberikan tanpa alasan yang kukuh.
Melihat kepada pengalaman saya yang sekelumit cuma ini sepanjang berkhidmat di bidang ini yang sentiasa berhadapan dengan ibu-ibu yang sedang bertarung nyawa ni, secara peribadinya, saya TIDAK menggalakkan penggunaan air selusuh yg mengunakan bahan-bahan seperti yang saya nyatakan tadi. Ada banyak sebab mengapa saya tidak mengalakkan penggunaannya dan jika ada ahli debat yang sanggup berdebat, saya persilakan.
PERTAMA :
Ibu digalakkan berpuasa sepanjang tempoh bersalin – yakni ibu-ibu yang sudah memasuki fasa aktif bersalin yang berada di dewan bersalin untuk menyediakan ibu jika berlaku sebarang kecemasan yang memerlukan pembedahan ceaserean , ibu itu sudah berpuasa dan boleh segera dilakukan pembedahan ke atasnya. Jadi jika air selusuh diberikan kepada ibu-ibu nak bersalin ini secara tak langsung akan memberikan risiko kepada ibu.
KEDUA :
Air selusuh ini seolah-olah memaksa pintu rahim terbuka sedangkan belum tiba waktunya untuk bersalin. Hal yang demikian akan menyebabkan ibu ibu mengalami kesakitan yang amat sangat. Bukan kepalang sakitnya. Di mana, melalui pengalaman saya, hampir kesemua ibu yang mengamalkan air selusuh ini meracau dan tidak keruan akibat kesakitan yang melampaui biasa.
Tambah menyedihkan, ada di antara mereka terpaksa kami tolak ke dewan bedah untuk pembedahan caeserean kerana pintu rahim langsung tidak terbuka sedangkan ibu tersebut dalam kesakitan yang amat sangat, berjam jam lamanya. kontraksi yang kerap ketika bersalin akibat air selusuh ini kadangkala menyebabkan peredaran darah pada bayi terganggu dan boleh mengakibatkan bayi lemas secara tidak semena-mena.
Pandangan peribadi saya kepada pasangan yang baru berkahwin, terutamanya yang duduk di bandar-bandar besar, kalau boleh, janganlah mengharap kepada air selusuh ini. Lazimnya air selusuh ini bukan buatan sendiri, kadang kadang kita meminta orang lain yang buatkan, jadi kita tidak tahu apa yang terkandung dalam air tersebut.
Memang diakui, syaitan itu ada, bahkan di setiap pembuluh darah kita, syaitan itu akan melaluinya. Jika inginkan kesenangan dan kemudahan dalam bersalin, lakukanlah solat taubat, mohon keampunan kepada Allah, mohon dipermudahkan segala urusan, solat hajat. Minta ampun pada suami, kedua ibu bapa, dan para suami, ampunkan dosa dosa isteri. Insyallah, Allah itu akan ADA untuk kita.
Setiap kali, melihat pesakit yang mengamalkan air selusuh ini , sangat ‘terasa’ kesakitan para wanita itu, tapi apa kan daya. Kadang kala, kejahilan di atas ilmu yang ada membuatkan kita lupa, alpa dan lalai. Oleh itu, Allah sediakan masa 40 minggu bersamaan dengan 9 bulan untuk bersedia menghadapi semua itu.
Dan, yang terakhir pesanan saya, amalkanlah doa ini setiap masa – Laillahha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zholimin
(Tiada Tuhan melainkan Engkau, Masa Suci Engkau, sesungguhnya aku dalam golongan orang yang menzalimi diri sendiri).
Ini adalah doa Nabi Yunus ketika baginda ditelan oleh ikan Nun, di mana pada ketika itu baginda berpaling dari kaumnya yang enggan mengaku Allah itu sebagai Tuhan. Amalkan setiap kali musibah dan masalah melanda, insyallah akan melimpah Rahmat dari Yang Maha Berkuasa.
Saya bukan ler ustaz mahupun alim ulama, hanyalah manusia biasa yang menilai alam sekeliling, yang kadang-kadang lupa dan lalai.
Proses bersalin ni mengajar bakal ibu dan ayah supaya banyak bersabar. TIADA benda yang boleh cepatkan proses ini, tanpa izin Allah.
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Semoga perkongsian ini bermanfaat, kongsikan juga buat wanita lain yang bakal bersalin.Seeloknya dengarlah nasihat doktor, yang lebih arif dalam bidang perubatan dan sakit puan ini.
Sumber: Dr Muhammad Izzat
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI