Bila abah dengan mak makin lanjut usia, nak jalan pun susah, bertongkat, berpapah, anak-anak mulalah rasa berjalan bawa orang tua lanjut usia tu satu beban. Walhal kita dulupun masa kecil-kecil waktu tak pandai jalan lagi, mak abahlah yang kendong.
Masuk dalam kain pengendong mak abah bawalah ke sana ke mari. Rasa susah tu mak abah telan dalam hati. Tak luah pun dekat anak-anak. Dapat tengok anak ceria, hati dah rasa hepi sangat.
Allah sedihnya, bila ada anak-anak yang mula merasakan orang tua itu satu bebanan. Mereka pun nak rasa juga berjalan dengan anak cucu.
Mingguan Wanita berkongsi panduan Puan Aminah Hafizah yang membawa arwah ayahnya yang diserang strok (ketika hayatnya) berjalan-jalan.
Yang Gagah Gendong Ayah, Yang Tak Mampu Tukang Sokong
Kita ini jarang sekali berpeluang ajak orang tua bercuti sama-sama keluarga. Bukan Tak mahu, tapi banyak bimbangnya.
“Abah tu jalanpun bertongkat,” hati ragu kuatkah abah nanti?
“Emak mana boleh tinggal ayam itik dia lama-lama”. Alasan yang selalu kita dengar.
Siapa tahu dalam hati abah dah lama teringin tengok laut?
Dalam diam-diam emak kitapun sebenarnya terliur dengar cerita kawan-kawannya ikut anak bercuti di tanah tinggi.
Jangan banyak fikir, 6 panduan ini saya praktik masa bawa arwah abah pergi bercuti.
Abah Jom Ikut Kami Bercuti! 6 Tip Berguna Bawa Orang Tua Lanjut Usia Berjalan Jauh
1. Pilih Destinasi Yang Sesuai
Sesuaikan minat keluarga dengan orang tua kita. Bincanglah bersama. Utama sekali pertimbangkan faktor jarak destinasi dan aktiviti di tempat bercuti. Jika abah kita Pak Haji, fikir dua kali ya kalau hendak mengajaknya ke taman tema penuh yang anak muda. Urut dada dia nanti.
2. Penginapan Mesra Warga Emas
Pilihlah tempat penginapan atau resort yang mesra warga tua. Selalunya jika tempat yang mesra OKU juga mesra warga tua. Ada ramp untuk laluan kerusi roda.
Semaklah terlebih dahulu jika tempat penginapan jauh dari kawasan parkir. Menggigil abah kita menapak nanti. Jika resort luas dan jauh untuk ke sana sini, lebih mudah jika ada kereta bungee.
3. Rancang aktiviti Bersama
Inilah masanya mengeratkan hubungan sesama keluarga. Ambillah kesempatan ini mendidik anak-anak menyantuni datuk dan nenek mereka.
Boleh saja anjurkan permainan keluarga, berBBQ paling tidakpun santai-santai sambil cerita kenakalan kita terbuka. Inilah saatnya anda memanjakan orang tua sendiri. Lihatlah dia ketawa sampai tidak nampak mata!
4. Ketahui minatnya, Buatkan Dia Rasa Penting
Surveylah destinasi percutian kita. Jadikan percutian ini untuk menghargai mereka, bukan sekadar membawa jalan sebab tiada siapa yang jaga.
Ambillah peluang lawat tempat bersejarah misalnya stesen keretapi lama, kawasan perang, tunggu sajalah mereka buka cerita. Bukan saja anak-anak belajar perkara baru, kita juga dapat merangsang minda orang tua kita supaya sentiasa aktif.
5. Ubat-ubatnya Jangan Dilupa
Cuti-cuti juga, rutin ubat-ubatan tidak ikut bercuti sekali, ya. Tanyalah mereka ubat yang dimakan setiap hari (menyuntik insulin, misalnya) ubat yang diambil bila perlu (seperti inhaller) dan buatlah senarai semak jika bimbang tercicir.
Warga emas stamina tidak seperti kita. Jika letih berjalan, berhentilah. Jika perjalanan jauh dan bimbang mereka lapar, sediakanlah snek alas perut.
6. Survey Tempat Makan Mesra Famili
Orang tua ini kadangkala cerewetnya lain macam. Sentiasa ingatkan diri orang tua kita tidak kuat makan macam dulu. Sekali hadap membukit sepinggan nasi. Sekarang seleranya kecil, tetapi harus makan kerap. Perut orang tua lebih sensitif kerana ususnya tidak seaktif dulu.
“Halalkah tempat ni, Lan? Abah tengok tukang masaknya semua bukan orang kita,” abah bersuara bimbang.
“Mak kau mana makan western ni, Zam. Malam-malampun kami mesti cari nasi“.
Sudah!
Sebelum terjadi drama masam muka dan anak kita protes tidak dapat makan piza, kita survey siap-siap dan tandakan tempatnya. Pilih jalan selamat yang buat semua orang kenyang.
“Di sini terkenal dengan ikan bakar. Makanan lautnya segar-segar. Malam nanti kita makan di tepi laut”
Didik Hati Bersikap Toleransi Dengan Orang Tua
Semua orang sudah tersenyum-senyum, dapat bayangannya.
Percutian seharusnya memberikan memori indah kepada semua yang mengikutinya. Setiap ahli keluarga perlu dididik dan dilatih bersikap toleransi dan menyayangi orang tua dalam keluarganya. Bibit-bibit kasih sayang dan hormat menghormati harus disemai awal dan ditunjukkan contohnya.
Kita tentu tidak boleh lupa kenangan manis abah membawa kita adik beradik berkelah di pantai. Kita buka tingkap kereta dan nyanyi lagu beramai-ramai. Emak kalau sebut saja pergi bercuti, sebakul penuh bekalan makanan disiapkan.
Sekarang, tip dan panduannya sudah ada. Bersediakah kita semua mencipta semula memori indah begini?
Sumber/Foto: Blog Aminah Hafizah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Biar pun ada larangan merokok di tempat makan, namun masih ada segelintir pelanggan merokok yang buat-buat lupa. Macam tiada rasa bersalah pula bila asap itu berterbangan ke meja bersebelahan.
Kejadian yang disaksikan sendiri oleh Eddie Dieana ini sedikit lucu juga untuk dikisahkan. Bila mana, ayah ini menegur pelanggan yang merokok di kedai makan.
Namun, tegurannya mendapat balasan acuh tak acuh saja. Sehinggalah ayah itu membuat tindakan balas yang di luar jangkaan sesiapa pun.
Bersarapan Di Kedai Makan Dengan Isteri Dan Anak-anak
Pagi tadi saya bawa isteri dan anak-anak bersarapan di kedai makan.
Sedang saya tengah leka menyuap anak-anak makan. Saya dapati orang bersebelahan meja dengan saya menyalakan rokok.
Mujur angin datang dari arah belakang saya. Jadi asap rokok tu tak menghala ke arah isteri dan anak-anak saya. Tetapi menghala ke meja makan di sebelah sana.
Saya lihat abang di meja makan yang terkena asap rokok tu bingkas bangun lalu menegur brother di meja sebelah tadi.
“Bro, kalau nak hisap rokok. Boleh isap jauh sikit tak? asap rokok kena dekat anak-anak aku lah.”
Tegur abang tu dengan nada yang agak sopan.
Tapi malangnya brother yg isap rokok tu tidak mengendahkan teguran abang tersebut malah berkata.
“Aku isap rokok dekat meja aku je. Tak ada kaitan pun dengan meja makan kau. Kalau kau tak boleh nak bau, kau pindahlah meja lain”
jawab brother tersebut.
Abang yang menegur tadi hanya terdiam dan menggelengkan kepala tanda tidak puas hati cara brother tadi jawab.
Tak lama berselang, nampak abang tadi bangun semula. Tapi beliau tak menghala ke brother yang isap rokok tu. Sebaliknya beliau pergi ke arah anak beliau.
Dalam hati saya terfikir. “Agaknya dia nak amek anak dia pindah tempat lain lah kot.”
Abang tersebut dua 3 kali tinjau ke arah pampers anak perempuan beliau.
Ingatkan apalah yang dia nak buat.
Rupanya dia bukak pampers anak dia yang penuh taik tadi. Dia biar terbuka dekat atas meja makan.
Saya tengok brother yang isap rokok tadi tersembur air dari mulut dia.
“Huish, selekeh. Taik pun letak atas meja.”
“Ini meja makan aku. Tak ada kaitan dengan meja kau. Kalau kau tak boleh tengok kau pindah meja lain.” jawab abang tersebut.
Akhirnya Pelanggan Merokok Pindah Ke Meja Lain
Brother yang isap rokok tadi terus ambil air dan nasi goreng dia dan pindah ke meja paling hujung dalam kedai makan tu sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Saya yang menyaksikan kejadian tu hanya mampu tersenyum. Tanda setuju dengan tindakan abang yang buka pampers tu.
“Hahahahahha”
Lawak apa lah yg diorang berdua buat pagi-pagi ni.
Tindakan abang tu betul-betul di luar jangkaan saya. Saya jangka abang tu akan bawa isteri dan anak-anak dia pindah meja. Rupanya beliau buat 1 tindakan bijak untuk balas dendam terhadap brother tu tadi.
Mingguan Wanita : Kadangkala bila teguran secara halus tak jalan, bila ‘main’ kasar macam ayah itu buat barulah nak sedar.
Mak ayah sebenarnya memang boleh elak anak daripada ‘Speech Delay’ jika ambil berat dengan beberapa faktor persekitaran yang menyebabkan perkara ini terjadi. Ramai sebenarnya mak ayah mempunyai anak yang mempunyai masalah untuk bertutur atau lambat bercakap ni. Lebih merisaukan mak ayah bila umur anak semakin meningkat tapi masih tak pandai bercakap atau hanya boleh menuturkan beberapa perkataan je.
Baru-baru ini pasangan selebriti Wawa Zainal dan Airil Zafriel turut berkongsi perkara yang sama dialami oleh anak sulung mereka, Attar yang belum pandai bercakap walaupun telah berumur 4 tahun dilaman instagram mereka.
Menurut perkongsian oleh Speech Language Pathologist,Puan Ruby Atika yang juga merupakan Pengetua dari Ruby EIP Centre;
Faktor persekitaran yang menyebabkan speech delay dan faktor ini sebenarnya adalah benda-benda yang boleh dielakkan jika ibubapa lebih bersikap ambil tahu:
1. Sindrom Anak Pertama
Ibubapa tiada pengalaman dan tak pula ambil tahu tentang ilmu mendidik anak sejak bayi.
2. Sindrom Anak Bongsu
Ibubapa sudah lupa langkah-langkah merangsang otak anak dan serahkan tugas mengasuh anak kepada abang kakak yang lebih besar.
3. Gajet
Pendedahan kepada gajet, skrin tv seawal bayi dalam tempoh lama.
4. Ibubapa Terlalu Sibuk
Ibubapa terlalu sibuk dan serahkan anak kepada pengasuh/nenek terlalu lama. Mereka pula letak anak depan tv atau tidurkan anak lama supaya boleh kerja lain atau letih menjaga anak kecil. Ada pula jenis tak suka mainan sepah. Maka anak anda tidak bermain.
5. Tidak Bersembang Dengan Anak
Ibubapa anggap anak bawah 1 tahun masih terlalu bayi dan tidak boleh bercakap. Maka anda tidak bersembang dengan anak.
6. Lebihkan Smartphone
Ibubapa pandang smartphone lebih lama dari pandang anak, walaupun anak itu ada depan mata anda.
Balik ni, muhasabah diri. Ibubapa berubah, anak juga turut berubah.
Info Ekstra!
Apa itu Speech Therapy?
Speech therapy adalah terapi khusus yang bertujuan untuk menangani mereka yang bermasalah dalam bertutur, seperti lambat bertutur dan mempunyai masalah untuk berkomunikasi sesama rakan sebaya dan orang di sekelilingnya.
Ada yang hanya mengalami sedikit masalah dan boleh diselesaikan dengan galakan tetapi tidak kurang juga yang disahkan menghidap penyakit autisme dan perlu menjalani beberapa siri speech therapy.
Speech Delay
Pada kebiasaannya, ibubapa boleh mengesyaki sesuatu tidak kena dengan anak mereka terutamanya apabila anak mereka lambat untuk memulakan pertuturan. Ia juga dikenali sebagai speech delay.Dan jika si anak boleh bertutur, hanya sedikit sahaja perkataan yang boleh disebut. Kadang-kadang ini boleh membuatkan si anak meradang kerana tidak dapat apa yang mereka nak.
Sebaiknya, jika mak ayah mengalami anak yang masih tidak pandai bercakap atau hanya tahu menuturkan beberapa perkataan je, bertindaklah dengan cepat. Seeloknya bawa anak berjumpa dengan therapi dan pakar bagi mengenal pasti masalah yang sebenar.
Semoga bermanfaat dan kongsikan pada ibu bapa lain.
“Di rumah Allah, pada malam ramadan & sedang solat, malaikat cabut nyawa.” Kematian yang dicemburui!
Begitulah kisah kematian yang dikongsikan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Insan ini pergi selamanya ketika sedang solat dan allahyarham sempat menyebut Allah.
Allahuakbar, sesuangguhnya cara pemergiaannya sangat dicemburui oleh lain. Benarlah mati itu pasti, namun bagaimana caranya, tiada siapa pun tahu.
Di Rumah Allah
Sedang imam membaca surah pada rakaat pertama di solat Isyak malam ini, tiba-tiba kedengaran seorang rebah di belakang saya dengan bunyi yang agak kuat seiring suara, “Allah!”.
Usai solat, keadaan menjadi gempar bila ada ahli jemaah yang menyeru, “ada sesiapa doktor di sini… cepat-cepat.”
Beberapa orang menerpa ke tempat kejadian dan terus memberi pertolongan cemas. Saya dengan beberapa ahli jemaah di saf pertama terus berada di tempat masing-masing sambil mendoakan kebaikan buat ahli jemaah tersebut dan terus melapangkan ruang bagi proses pengudaraan yang baik.
Beliau tidak sedarkan diri. Tangan dan tubuhnya longlai sekali. Ketika doktor menekan dadanya berkali-kali untuk membantu proses bernafas, beliau terus lemah.
Malaikat Cabut Nyawa
Setelah tubuhnya yang tidak berdaya diusung ke belakang, doa tahlil serta solat Tarawih diteruskan. Usai solat Tarawih dengan diikuti solat witir, pengumuman dibuat yang mengatakan ahli jemaah telah pun meninggal dunia.
Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba sekali Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indahnya kematiannya… di rumah Allah, pada malam Ramadan yang barakah, sedang solat, serta sempat mengucapkan nama Allah. Cemburu!
Entah mengapa pada malam ini, saya tergerak untuk solat di Masjid Nur, Jalan Seri Pagi, Bandar Saujana Utama. Dan malam ini, isteri pula agak sihat untuk ditinggalkan seorang buat saya berjemaah di masjid.
Tentunya insiden ini bukan kebetulan. Tetapi punya tujuan, buat diri saya dan sesiapa sahaja yang berada di masjid itu, di jauh dan dekat. Cukuplah mati itu sebagai peringatan. Mengingati mati ialah zikir yang senyap….
Ketika melihat sianak duduk menangis di samping jenazah, seorang wanita (mungkin isteri) yang terburu-buru datang sambil mengalirkan air mata…saya sayu. Kami sendu.
Dan kami mendoakan Allahyarham akan tersenyum meninggalkan dunia yang penuh fitnah ini menuju alam baqa yang penuh saadah. Insyallah. Amin.
Sebelum Peristiwa Itu…
Gambar di bawah, saya ambil hanya beberapa ketika sebelum peristiwa itu. Entah kenapa, hati saya tergerak untuk mengabadikan sesuatu. Tanpa saya jangka, malaikat Izrail sudahpun berada di muka pintu untuk mencabut nyawa sahabat tersebut…
Keadaan di masjid sebelum insiden itu berlaku (Kredit foto : Facebook Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.
Innalilahi wa innailaihi rajiun. Semoga Allah mengasihani dan mengampuni rohnya. Amin.
Kematiannya yang indah…kita? Entah di mana? Entah bila? Bagaimana? Terus rahsia.
Tetapi pasti tiba!
(Untuk makluman beberapa ahli jemaah yang solat di sebelahnya telah terlebih dahulu membantunya dan memberhentikan solat mereka sebaik Allahyarham jatuh).
Mingguan Wanita : Daripada Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...