Bakal jemaah haji pasti dah mula buat persiapan kenduri sebelum berangkat ke tanah suci. Sebelum berangkat, apa kata anda atau sampaikan pada ahli keluarga yang bakal ke Makkah, agar lakukan 6 tip kesihatan ini yang dikongsikan oleh Dr Faizul Jalal.
Ia penting bagi memastikan anda kekal sihat sepanjang mengerjakan ibadah di tanah haram.
Tak lama lagi jemaah haji Malaysia akan mula berangkat ke tanah suci. Sememangnya pengalaman pergi menunaikan ibadah haji adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Syukur alhamdulillah kerana saya telah diberi peluang pada tahun 2014 untuk menyertai rombongan petugas kesihatan untuk musim haji pada tahun tersebut.
Berdasarkan apa yang saya lalui di sana sebagai pegawai perubatan, banyak perkara-perkara penting yang saya ingin kongsikan kepada semua bakal jemaah haji yang akan berangkat tak lama lagi.
1. Banyakkan Latihan Berjalan Kaki Sebelum Ke Tanah Suci
Semua mungkin sudah sedia maklum yang apabila berada di tanah suci, kita akan banyak berjalan kaki. Berjalan dari hotel ke masjid, menunaikan tawaf dan saie dan paling penting ialah sewaktu hendak menunaikan ibadah melontar di Mina.
Saya rasa semua bakal jemaah haji sudah maklum yang secara kasarnya jarak antara hotel ke masjid al-haram adalah sekitar 1-2KM. Di Mina pula, jarak dari khemah maktab ke tempat melontar adalah lebih kurang 5-6km.
Perjalanan yang jauh ini sememangnya satu cabaran yang besar bagi mereka yang belum biasa berjalan jauh.
Nasihat saya, banyakkan berjalan kaki sebelum berangkat kesana. Berjalan keliling kawasan perumahan, berjalan di taman rekreasi atau di mana-mana yang sesuai dengan kita. Berlatih berjalan kaki paling kurang 40 minute pada satu sesi.
Percayalah, apabila badan sudah biasa berjalan kaki, akan kurang rasa sakit-sakit otot apabila disana.
2. Pastikan Penyakit Kita Sudah Terkawal Sebelum Berangkat
Majoriti yang terpilih untuk pergi menunaikan haji ialah jemaah berumur 40 tahun ke atas dan kebanyakkannya juga mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi.
Biasanya sebelum bertolak, doktor yang merawat akan memastikan paras tekanan darah dan gula kita dalam keadaan terkawal. Saya nasihatkan jemaah haji semua untuk ikut semua nasihat doktor yang merawat anda. Pastikan kita ambil semua ubat-ubat yang telah ditetapkan patuh kepada segala amalan yang membantu untuk mengawal tekanan darah dan paras gula.
Ads
Ada ramai yang saya jumpa sewaktu disana, tekanan darah mereka naik tinggi dan paras gula juga meningkat, mungkin disebabkan faktor stress. Semua sedia maklum, disana suasana sesak, banyak berjalan dan agak memenatkan.
3. Bawa Ubat-ubatan Secukupnya Untuk Penyakit Kronik
Tempoh jemaah haji berada di sana adalah dalam lingkungan 40-55 hari bergantung kepada nombor penerbangan.
Bagi mereka yang mengidap apa-apa penyakit seperti darah tinggi atau kencing manis, dinasihatkan supaya bawa bekalan ubat sekurang-kurangnya cukup untuk 2 bulan.
Walaupun disana terdapat klinik dan hospital Tabung Haji, tetapi stok ubat mungkin terhad, tidak cukup untuk supply kepada semua jemaah yang memerlukan. Membawa ubat secukupnya juga memudahkan jemaah haji, tidak perlu bersusah payah ke klinik meminta ubat.
Bagi mereka yang membawa insulin, kebanyakkan tempat penginapan jemaah ada peti ais di bilik. Sekiranya tiada, boleh tumpang simpan di klinik maktab masing-masing.
4. Ubat Tambahan Dan Keperluan Kesihatan Yang Penting Untuk Dibawa
Suka saya galakkan kepada semua bakal jemaah, untuk bawa ubat-ubatan dan barangan kesihatan ini kesana:
i. ubat demam / batuk / selesema / sakit tekak / gula hacks
Ads
Boleh saya kata hampir 90% jemaah haji di sana akan mengalami sakit tekak / batuk / selesema semasa di sana, samaada kejap atau lama. Mungkin disebabkan cuaca kering dan berdebu (serta tabiat suka minum air sejuk). Jika ada ubat-ubat sendiri untuk masalah tersebut, ia amat memudahkan, tidak perlu bersusah payah ke klinik.
ii. plaster luka
Luka kecil boleh terjadi dengan macam-macam cara. Luka terkena pisau, terpijak batu tajam dan sebagainya. Luka-luka kecil mudah dirawat sendiri tanpa perlu ke klinik.
iii. minyak panas / heat rub / yoko2
Bila banyak berjalan, otot badan dan kaki cepat rasa lenguh, sapu minyak panas sebelum dan selepas berjalan. Sebelum tidur juga bagus untuk mengurangkan rasa sakit dan lenguh.
iv. losyen pelembap / krim tumit kaki
Cuaca yang kering dan banyak berjalan menyebabkan kulit dan tumit kaki menjadi kering dan merekah. Bila tapak kaki merekah akan menyukarkan kita ke masjid atau ke mana-mana. Sapu losyen atau krim sekerap mungkin.
Ads
Boleh bincang dengan guru agama tentang losyen atau krim yang sesuai digunakan semasa berihram (isu bau-bauan)
5. Pakai Alas Kaki Yang Paling Baik!
Nanti di sana akan banyak berjalan, jadi penting untuk jemaah haji pakai selipar/sandal yang paling baik. Alas kaki itu mestilah selesa dan sesuai untuk berjalan jauh dan lama.
Antara masalah yang sering berlaku akibat tidak memakai alas kaki yang sesuai ialah kaki melecet dan sakit tapak kaki. Teringat saya ada seorang jemaah yang mengidap kencing manis, kakinya melecet di celah antara ibu jari kaki dan jari kaki ke dua akibat pakai selipar jepun yang keras. Walaupun sudah diberikan rawatan yang sewajarnya, akhirnya luka merebak sehingga menyebabkan 2 jari kakinya dipotong.
Jemaah haji kalau boleh belanjalah lebih sikit untuk alas kaki yang berkualiti. Ia satu adalah satu ‘investment yang berbaloi. Sudah kita bayar beribu-ribu untuk ke tanah suci, apalah salah kiranya kita belanja lebih sikit untuk alas kaki yang bagus.
6. Minum Air Zam-zam Banyak-banyak
Aktiviti kita di sana dan juga keadaan cuaca yang kering pasti akan membuat badan kita kering dan cepat dahaga. dehidrasi adalah masalah utama semasa di sana.
Salah satu nikmat yang hanya ada di tanah suci tidak di negara kita ialah air zam-zam. Minumlah air zam-zam sebanyak mungkin untuk mencegah dehidrasi. Beli botol, isi air zam-zam penuh-penuh dan bawahlah kemana-mana kita pergi. Air zam-zam bukan sahaja menghilangkan dahaga, juga menyembuhkan penyakit serta mendapat pahala bila meminumnya.
Teringat ada seorang jemaah yang dijumpai sesat dan keadaan badan sungguh lemah, kering dan fikirannya keliru. Bila ditanya kemana pergi tadi, dia cakap nak cari kambing di kampung. Ini antara tanda-tanda kritikal bila seseorang tu mengalami dehydration. Apabila diberikan air melalui drip, barulah keadaannya beransur pulih dan waras.
Diharapkan apa yang saya kongsikan ini berguna untuk semua bakal jemaah haji. Saya pasti setiap jemaah mahu mendapat haji yang mabrur.
Semoga dengan tubuh badan yang sihat dan kuat akan memudahkan segala urusan ibadah kita, menambahkan kekusyukkan semasa ibadah serta hadirnya keikhlasan dalam hati dan akhirnya dikurniakan haji yang mabrur.
Suami dimadukan isteri, saya tak pernah ceraikannya, kami masih pasangan sah dari hukum syarak. Ternyata kisah suami dimadukan bukan dogengan kerana ia benar-benar terjadi. Jika kita biasa mendengar wanita dimadukan tetapi nampaknya lelaki dimadukan juga.
Hal ini didedahkan kepada umum selepas seorang peniaga, Rahaman Mohamed Jaafar, 47, mendedahkan dia berkahwin dengan wanita berusia 32 tahun pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand, sebelum isterinya menghilangkan diri selepas keluar dari rumah, Januari lalu.
Suami Dimadukan Isteri
Menurutnya, perkahwinan mereka sah mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
“Bagaimanapun selepas kehilangan isteri Januari lalu, saya mendapat tahu di media sosial pada April lalu bahawa dia berkahwin dan perkara itu agak mengejutkan kerana saya tidak pernah menceraikannya… kami masih suami isteri.
“Selepas saya membuat semakan, saya dapati isteri ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April lalu.
“Dia dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami terdahulu iaitu sebelum berkahwin dengan saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
“Saya Tak Pernah Ceraikannya, Kami Masih Pasangan Sah Dari Hukum Syarak”
Memetik laporan Harian Metro, mengulas lanjut, Rahaman berkata, susulan mengetahui dia ‘dimadukan’ isteri, dia memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya dengan suami kedua.
“Susulan itu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Ogos lalu membuat keputusan memerintahkan isteri saya selaku defendan pertama dan suami keduanya yang juga defendan kedua difaraqkan sementara.
“Mereka tidak dibenarkan tinggal bersama sebagai suami isteri sehingga kes kami selesai dibicarakan,” katanya.
Terdahulu, Rahaman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, di sini, hari ini untuk prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya.
Hakim, Ahmad Hariri Mohd Saat kemudiannya memberikan tempoh 14 hari kepada Rahaman untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.
Rahaman yang diwakili peguam, Marzuqi Muhamad menegaskan, dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isterinya sebagaimana yang didakwa dan sehingga kini mereka masih suami isteri.
“Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya ‘dimadukan’.
“Saya percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran berkahwin terhadap isteri saya dengan suami keduanya kerana perkahwinan kami di luar negara dalam proses pengesahan di sini,” katanya.
Hari ini masuk hari keempat anak-anak syurga dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah meninggalkan kita semua. Setiap berita yang dipaparkan, dibaca dengan hati yang meruntun sayu. Ada juga yang langsung tak punya kekuatan untuk membaca malah menatap wajah anak-anak ini.
Kita yang tidak mengenali ini pun begitu keadaannya, inikan pula ahli keluarga mangsa. Sayu hati membaca perkongsian kakak salah seorang anak syurga ini, Muhammad Hasrullah Bin Ismail menerusi akaun instagramnya Nazra @nzraismail.
Kerinduan seorang kakak yang tak mungkin dapat lagi melihat wajah adik kesayangan untuk sekian kalinya. Wajah yang hanya dapat ditatap buat kali terakhir tiga hari sebelum tragedi. Dan wajah akhir itulah yang menjadi kerinduannya.
Tragedi ini cukup pilu untuk dikenang. Semoga ikhtibar dari kisah ini kita mak-mak berazam untuk lebih sayang pada anak-anak, berusaha dalami ilmu keibu bapaan dengan sebaik-baiknya agar suatu hari nanti… walau tidak mampu menjadikan mereka hafiz/ hafizah… anak-anak ini menjadi anak bangsa yang memelihara adab, akhlak dan cemerlang dunia akhirat serta tidak menyusahkan orang lain.
Adik Baru Masuk Tahfiz
Adik, budak manja. Baru.. baru masuk tahfiz nangis sebab basuh baju sendiri teringat mak. Rindu. Lepas tu terus mak tak bagi basuh dah.
Tiap minggu kak Waa & kak Lia datang tengok. Nampak kitaorang sampai je bebudak tu excited jerit Achoi kakak kau datang. Alahai rindu.
Sampai satu hari adik bagitau kena pindah building baru, sebab nak renovate. Sementara je tapi maybe lama. Tak sangka selamanya habis dekat situ. Kak Waa tak pernah lawat dah dekat tempat baru ni.
Masuk tahfiz ni adik jadi pendiam, tapi kak waa tahu banyak benda adik sorok. Tengok air muka adik cuba senyum tapi sayu je. Bila tanya adik nangis, baru adik cerita. Hm sabar la dik, dugaan nak tuntut ilmu Allah. Adik rindu suasana rumah dengan family.
Adik tulis no kak Waa dekat kertas, demam ke apa adik mesti call kak Waa suruh amek. Last raya haji hari tu, adik call.
“Kak waa esok Achoi dah boleh balik amek pagi-pagi tau, pukul 8 pagi!”
Adik berat hati nak balik tahfiz, asyik tangguh. Balik kerja je adik yang buka pintu. Bila tanya nape adik tak balik lagi? Adik sengih je cakap esok la. Rindu sengih tu ? Dua tiga hari macam tu. Malam sebelum balik tahfiz, adik gaduh dengan Nadhir berebut main phone.
Gaduh punya pasal tak tidur dengan Nadhir, adik tidur dengan kak Waa. Lama kak Waa tenung adik kat sebelah, tengok adik tidur & that was the last time i saw you adik. Tak dapat tengok jenazah adik, sebab mak dengan kak Lia yang bagi DNA test je dapat tengok jenazah.
Last-last kak Lia hantar gak adik balik tahfiz, adik cakap adik penat nak habis cepat. Nak balik rumah, nak jaga mak. Berehat lah adik. Berehat selamanya di sana ?
Adik antara yang terawal pergi dulu dalam kebakaran tu. Adik struggle nak lepaskan diri, adik rempuh pintu tapi ? Doc yang jumpa jenazah adik, angkat jasad adik yang terkaku depan pintu.
Adik teman ayah dekat sana ye, ayah mesti rindu adik. Jumpa abang kita Omar juga. Kak Waa tahu tak layak, tapi adik tolong tarik kami semua sama-sama masuk syurga ? Rindu. Kita terpisah di dunia. In Shaa Allah di alam sana kita berjumpa lagi. Terima kasih Allah beri peluang kami sekeluarga luangkan masa bersama arwah, beraya bersama sama untuk kali yg terakhir. Adik tetap dalam kenangan, tetap dalam hati kami ❤️
Tarikh 12.12 menjadi detik paling bermakna bagi Dato’ Sri Eizlan Yusof, 48, apabila dengan hanya dengan sekali lafaz pelakon ini selamat menjadi suami kepada Natasha Rosa Boudville, 29, pada majlis pernikahan yang berlangsung di The Glass Suite, Boraombak Marina, Putrajaya, petang tadi.
Bapa kepada anak tiga itu menamatkan zaman duda dengan wanita berketurunan Serani yang juga kakitangan pengurusan kanan hotel lima bintang di ibu negara, tepat jam 3.28 petang.Pasangan itu dinikahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail dengan disaksikan kira-kira 100 tetamu, termasuk keluarga dan kenalan terdekat.
Pada majlis itu, pengantin perempuan yang memeluk Islam pada Ogos tahun lalu, menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan sebentuk cincin berlian, selain wang hantaran RM12,121.90. Natasha turut menerima lima dulang hantaran, berbalas tujuh.
Elemen Kejutan Dalam Perkahwinan
Sebelum upacara akad nikah, Eizlan diarak menyeberangi tasik Marina Putrajaya menaiki bot diiringi pegawai tertinggi dan bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Majlis turut diserikan dengan upacara berbalas pantun kedua-dua pihak sebagai sebahagian daripada kemeriahan adat tradisi Melayu dalam perkahwinan.
Eizlan berkata, banyak elemen kejutan yang dirahsiakan daripada pengetahuannya apabila semua urusan keseluruhan majlis disempurnakan sahabat terdekat.
“Saya sangat terharu dengan sokongan semua pihak, terutama rakan dan keluarga yang menjadikan majlis pada hari ini sangat meriah dan penuh bermakna buat kami berdua.
“Doakan perjalanan kehidupan kami sekeluarga sentiasa dilimpahi kasih sayang dan perkahwinan ini berkekalan hingga ke jannah,”katanya.
Majlis Kahwin Anggaran RM1 Juta
Majlis resepsi pasangan mempelai bakal diadakan di Ballroom, Boraombak Marina Putrajaya, jam 8.30 malam esok. Pada majlis itu, Eizlan dan Natasha diberi penghormatan istiadat penuh APM, membabitkan perarakan silang perang oleh barisan Pegawai Bersekutu agensi terbabit serta pancaragam ‘bagpipe’.
Majlis perkahwinan membabitkan empat acara yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu bermula dengan malam berinai bertemakan Bollywood, semalam. Selain malam berinai, pernikahan dan persandingan, pengantin bakal diraikan sekali lagi pada majlis penghargaan yang juga resepsi terakhir di lokasi sama pada 14 Disember ini.
Sebelum ini, Eizlan pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Vie Shantie Khan pada 2007. Namun, perkahwinan mereka hanya bertahan lapan tahun. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zara, 11, Zareef Yusof, 9, dan Vie Zaara, 6.
MW: Tahniah buat Kol. Bersekutu (PA) Dato’ Sri Eizlan Yusof dan isteri Datin Sri Natasha Rosa Boudville. Selamat Pengantin Baru, semoga berbahagia dan perkahwinan berkekalan hingga ke akhir hayat.