Kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Bermakna apa juga didikan pada anak hendaklah dimulakan dari kecil. Penting bagi mak ayah menambah kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak ini, agar dapat membentuk sikap positif dan keperibadian mereka.
Jika perasan anak-anak kecil cukup mudah ‘buat perangai’, memberontak dan mengamuk bila tidak dapat apa yang diinginkan.Sebenarnya bagaimana mak ayah menangani kerenah anak ini juga, membentuk ‘perangai’ mereka. Anak-anak kecil yang kerap dijerit, dirampas barang-barangnya memberi kesan mudah memberontak dan mengamuk berbanding bila dipujuk, diterangkan dengan baik. Penting mak ayah ambil tahu tips untuk memujuk anak-anak agar mereka mendengar kata dan tak campak barang lagi.
Jemput baca perkongsian oleh Muhammad Hassan ini sebagai panduan buat mak ayah;
Patutlah anak saya dah pandai campak barang apabila diminta. Rupanya mak saudara di rumah selalu rampas barang dari tangan dia. Perasan tak anak sedang seronok bermain kita rampas,terus dia mengamuk dan menangis.
Rupanya cara kita sangat salah. Merampas barang dari tangan mereka akan develop sifat memberontak.
Ads
2 minggu lepas anak saya main penyapu, kakak datang terus rampas penyapu,marah adik. Apa lagi meragamlah dia. Menjerit sekuat hati marah kakak balik. Kebetulan berlaku depan saya.
Saya cakap kakak bagi balik kat adik. Sini abi tunjuk macam mana cara supaya adik tidak mengamuk.
Saya pergi kat anak. Saya duduk sama tinggi dengan dia(melutut). Perlahan-lahan saya pegang penyapu. Saya cakap rajinnya muhammad nak menyapu sampah ya? sambil saya senyum. Meh sini penyapu abi ajarkan. Terus anak bagi dengan muka tersenyum.
Setelah itu saya alihkan perhatian dia pergi luar rumah tengok burung,tengok langit,tengok kereta.
Ads
Untuk pujuk anak:
1. Eye Contact
Pandang ke dalam matanya dengan ekpresi muka yang tenang apabila bercakap atau untuk arahkan sesuatu.
2. Body Contact
Samakan kedudukkan kita setaraf dengan mereka.Guna sentuhan yang lembut apabila anak sedang meragam. Rapatkan badan kita dengan anak. Pegang bahu dia sambil gosok-gosok dibelakang dan terus peluk,sambil bisik ditelinga dia, “Abi dan umi sayang Muhammad,الله sayang Muhammad”
3. Fahamkan Kegunaan Barang
Perkenalkan kepada anak kegunaan sesuatu barang tersebut. Bezakan kepada mereka yang mana boleh main dan yang mana tidak boleh main atau sentuh,terutama alatan tajam atau barangan elektronik. Sebenarnya bagi kanak-kanak semua barang adalah permainan. Jadi,tugas kitalah untuk fahamkan perbezaan barang-barang tersebut. Contohnya penyapu tadi. Setiap hari ketika menyapu cakap kepada anak penyapu ini fungsinya untuk sapu sampah Bukan untuk main. (sambil ajak anak)
4. Jangan Jerit Pada Anak
Apabila anak 2 tahun main barang yang salah. Jangan kita berteriak dari jauh. Anak pegang gelas dari jauh kita dah jerit. Akhirnya mereka terkejut terus campak gelas ke lantai. Sepatutnya pergi kepada anak dan ambil gelas dengan berhemah.
Ads
Sekarang anak saya mula dengar cakap tidak lagi campak barang. Dia nak main HP sekali pun datang minta izin dengan saya. Rupanya sangat mudah untuk wujudkan emosi yang positif dalam jiwa anak-anak kecil ini.
Moga Bermanfaat kepada tuan puan.
-EncikMatt-
MW: Menarik perkongsian tip ini. Semoga menjadi panduan buat mak ayah dalam mendidik anak-anak agar mendengar kata dan tidak mudah memberontak.
Baru-baru ini, Mingguan wanita ada kongsikan video yang menjadi viral di Facebook, apabila seorang kanak-kanak lelaki, ralit mengalunkan bacaan Al-Quran. Memetik sumber Metro Tv, budak lelaki tersebut ialah Ahmad Ziyyad Mohd Zahir baru berusia dua tahun lapan bulan namun sudah berjaya menghafal 42 Surah seperti Al Waqiah dan Ar Rahman termasuk semua ayat lazim Muqadam.
Menurut ibunya,Nurul Shahida Lukman, 27, bacaan al-Quran menemani hidup anaknya sejak dari kandungan hinggalah kini. Itulah penghiburnya setiap hari. Ahmad Ziyyad mula menghafal ayat al-Quran sejak berusia 11 bulan lagi.
Sebenarnya, tidak mustahil untuk anak-anak menghafal Quran sejak dari kecil, apatah lagi, mereka ibarat kain putih, mempunyai memori yang sangat bagus untuk mengingat.Ini antara tips yang boleh mak ayah boleh amalkan untuk didik anak cintakan dan mampu menghafal Quran sejak dari kecil.
#Tips 1: Memainkan cakera padat video (VCD) surah yang perlu dihafal.
Ibubapa boleh memainkan cakera padat video Al-Quran di rumah atau di dalam kereta ketika hendak ke mana-mana. Memainkan VCD surah-surah Al-Quran pada setiap masa mampu menimbulkan minat anak-anak terhadap surah yang diperdengarkan. Anda boleh memulakan memperkenalkan dengan surah-surah pendek terlebih dahulu.
#Tips 2:Meningkatkan memori atau daya simpan maklumat dalam otak kanak kanak sejak hari pertama dilahirkan
Sebenarnya otak kanak-kanak sudah sangat bersedia untuk menerima apa saja pembelajaran sejak lahir. Otak mereka pada waktu ini ibarat span yang amat mudah menyerap air. Malah mengikut kajian sains, pada usia dua tahun, kapasiti otak kanak-kanak menyamai 80 peratus otak dewasa. Sebab itulah usia tersebut adalah paling sesuai untuk dimulakan latihan menghafaz.
#Tips 3:Mendahulukan mengajar Al-Quran berbanding membaca dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jangan terlalu risau anak anda berkemungkinan tidak dapat membaca.
Hal ini penting bagi ibubapa yang benar-benar inginkan anak yang mampu menghafaz Al-Quran dengan baik. Mengajar banyak perkara sekaligus berkemungkinan menjadikan anak-anak keliru dengan apa yang dipelajari serentak. Fokus anak-anak juga pastinya teralih kepada sesuatu selain hafazan mereka.
#Tips 4:Memulakan dengan menghafal sebelum mengenal huruf Al-Quran
Mengikut kajian sains, kanak-kanak yang belajar menghafal akan meningkatkan kuasa otak kiri mereka. Otak kiri bertanggungjawab untuk menganalisa secara analitikal seperti sains, matematik dan bahasa manakala otak kanan pula bertindak untuk berfikir secara holistik seperti perkara berkaitan seni dan muzik. Ramai juga huffaz (penghafal quran) daripada kalangan orang buta. Ini bermakna seseorang yang tidak mengenal huruf juga boleh menghafal al-Quran dengan baik.
#Tips 5:Biasakan memperdengarkan surah daripada Al-Quran ketika anak sedang tidur
Menurut satu kajian luar negara, memperdengarkan lagu dengan irama yang perlahan ketika bayi tidur mampu meningkatkan kemampuan memori si bayi tersebut. Oleh itu, pilihlah audio bacaan Al-Quran yang dibacakan secara jelas dan perlahan-lahan.
#Tips 6:Gunakan daya kreativiti ibu bapa untuk menarik minat anak-anak terhadap Al-Quran
Kad imbasan juga boleh digunakan untuk membantu menarik minat anak-anak. Sebagai contoh, bayi berusia setahun akan membuatkan ibu bapa terpaksa menarik perhatian bayi mereka untuk menyebut setiap kad imbasan kerana pada waktu ini, mereka dalam peringkat suka meneroka dan mula melakukan pelbagai kerja sendiri dan kurang fokus terhadap apa yang ibubapa inginkan. Ini lebih ketara untuk kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.
#Tips 7:Tidak membanding-banding kemampuan anak lelaki dan anak perempuan
Anak lelaki dan perempuan mempunyai cara belajar berbeza. Berbanding anak perempuan, anak lelaki lebih nakal dan kurang daya tumpuan. Masalah pelat juga lebih dialami kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Sebab itulah lebih perhatian diperlukan terhadap anak lelaki.
#Tips 8:Menggalakkan anak-anak menghafal surah sebanyak yang mungkin mengikut kemampuan mereka
Semakin panjang dan semakin banyak surah yang dihafal, semakin tinggi kekuatan memori mereka. Jika mereka telah selesai menghafal sesuatu surah, minta mereka teruskan dengan surah yang lain pula..
#Tips 9:Sentiasa meminta anak-anak mengulang semula membacakan apa yang telah mereka hafal.
Kaedah mengulang ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, bahkan orang dewasa juga. Mengulangi dengan kerap apa yang telah dihafaz mampu mengubah memori jangka pendek menjadi memori jangka panjang juga! Ini juga boleh dilakukan dengan menvisualkan setiap ayat Al-Quran yang ingin dihafaz..Practices make perfect..InsyaaAllah..
#Tips 10:Memberikan ganjaran apabila anak-anak berjaya melakukannya
Sesekali berikanlah ganjaran kepada anak-anak yang berjaya menghafaz walaupun sekadar satu surah. Ganjaran bukanlah berbentuk material semata-semata. Apa kata hadiahkan anak anda dengan satu ciuman dan pujian dan doakanlah kejayaan mereka bersama-sama mereka agar mereka juga tahu segala usaha mereka sangat dihargai anda. InsyaaAllah..
Selain tips di atas, anda juga boleh membantu menguatkan memori anak-anak yang menghafaz Al-Quran dengan memberikan mereka suplemen yang sesuai untuk menguatkan lagi memori mereka.
Tiada hari yang lebih membahagiakan hati seorang ibu melainkan melihat kejayaan anak-anak yang dilahirkan dan dibesarkan dengan sebaiknya. Begitulah yang dirasai pendakwah terkenal, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa untuk anak kelima nya, Nor Iman Sofia, 16.
Luahan yang dikongsikan ketika anaknya itu meraikan ulangtahun kelahiran sekitar Januari lalu. Besar harapan ibu mahu melihat anaknya itu menjadi generasi al-Quran. Dan apa yang anaknya lalui ketika ini adalah permulaan untuk menggapai impian tersebut.
Ini pesanan ustazah yang sama-sama boleh ibu lain jadikan pegangan dan kekuatan dalam mendidik anak perempuan.
Sempurnakan 30 Juzuk Al-Quran
“Selamat ulangtahun kelahiran anaknda tersayang Nor Iman Sofia al-Hafizoh. Sudilah kiranya seluruh sahabat-sahabat budiman mendoakan keberkatan dan seluruh kebaikan kepada puteri ke-5 ustazah ini ya.
“Umi sangat bahagia melahirkan, membesarkan dan menemanimu selama ini. Hari @imansfia menyempurnakan hafazan 30 juzuk adalah antara hari bahagia umi… umi masih ingat airmata anak umi ini… ketika umi menasihatkan Nor Iman Sofia di tengah-tengah kegembiraan Nor Iman Sofia, bahawa ini adalah permulaan.
Langkah kita untuk menjadi generasi al-Quran baru saja berada di gerbang permulaan. Umi akan temani Nor Iman Sofia selagi masih ada hayat dan kemampuan umi insya Allah , untuk terus menjadi ibu, guru dan sahabat akrabmu dalam journey al-Quran mu.
Umi sentiasa melihat kelebihanmu, bakatmu mengalir dalam ketulusan senyumanmu. Nor Iman Sofia insya Allah bakal menjadi murabbiyah Ummah. Aameen Ya Rabbala’lamin.
Doa Ustazah Datuk Norhafizah Musa Untuk Anak Kelima
“Ya Allah.. Tuhan Maha Pencipta Dan Maha Mencintai hamba-hambaNYA. Aku mohon ada bahagian cintaMU untuk puteriku ini. Muliakan puteriku ini dengan al-Quran.. biarlah dia menjadi Khadam Ummah , membawa ummah menghayati al-Quran.
Hiasi puteriku dengan segala keindahan akhlak mahmudah, permudahkan jalan hidupnya, berlembutlah dalam taqdirMu padanya … puteriku ini hatinya halus sekali, kuatkan dan cekalkan dia Ya Allah Yang Maha Gagah Perkasa. Limpahkan padanya seluruh kebaikan, ilmu terbaik buatnya, rezeki dan jodoh terbaik mendatanginya dan seluruh kebaikan di dunia dan di akhirat. Jauhilah segala keburukan dan kejahatan darinya.
Ya Allah, ku pohon seindah-indah doa buatnya… agar Nor Iman Sofia Al-Hafizah mewarisi syurga Firdaus , dihimpunkan bersama seluruh kekasih-kekasihMU . Aamiin
Segala doa kebaikan untuk sahabat-sahabat budiman juga.”
Nor Iman Sofia merupakan anak kelima daripada 7 beradik. Ustazah Norhafizah mempunyai empat orang cahaya mata perempuan dan 3 anak lelaki.
Sekitar usia 43 tahun, ustazah telah menerima penganugerahan Doktor Falsafah (PhD) dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Serentak dengan itu beliau juga dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Jempol, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 1440H bersamaan 2018 Masihi.
Ustazah Norhafizah juga merupakan seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, Seorang penulis buku, kolumnis majalah, panel radia Ikim FM, panel Tanyalah Ustaz, Al-Hidayah, Forum Perdana dan banyak lagi.
MW : Lembut dan tegas cara ustazah mendidik anak-anaknya.
Ketika kanak-kanak lain di usianya bebas bermain di sekolah, pergerakan Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy pelajar tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, Kota Bharu agak terbatas dek kerana penyakit Epidermolysis Bullosa atau kulit rapuh yang dihidapinya. Kanak-kanak ini perlu berhati-hati dengan setiap pergerakan yang dibuat, dia tidak boleh jatuh mahupun terluka kerana itu akan memudaratkan lagi penyakit yang dialami sejak bayi lagi.
Derita Penyakit Sejak Lahir
Menurut Ruziah Ismail, 38, ibu kepada Muhammad Alif, penyakit kulit rapuh itu dihidapi oleh anaknya sejak bayi lagi. Ketika dilahirkan, Alif kelihatan sama seperti bayi lain yang normal. Namun, apabila berusia dua hari, kulitnya menunjukkan tanda-tanda kemerahan dan gelembung seperti kesan terkena air panas.
Alif ketika masih kecil
“Alif dilahirkan normal seperti bayi-bayi lain. Cuma ketika usianya dua hari dia sudah menunjukkan tanda-tanda penyakit kulit yang teruk. Kulitnya akan kemerah-merahan dan timbul gelembung air seperti kesan terkena air panas. Saya memang tak tahu apa-apa dan terus membawa anak ke klinik kesihatan berhampiran. Saya ingatkan ia penyakit kulit biasa sahaja, tapi lama-kelamaan ia semakin merebak dan teruk.
“Saya diminta meirujuk kepada Hospital Besar Kota Bharu. Rupanya Alif menghidapi penyakit kulit rapuh dan menurut doktor penyakit ini berpunca daripada faktor genetik atau keturunan,” ujarnya tentang penyakit yang dihidapi Alif.
Kini, Alif sudah pun berusia lapan tahun dan menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak seusia dengan dia tetapi dengan penyakit yang dihidapinya itu turut memberi kesan kepada tumbesaran dan perkembangan anak bongsu daripada tiga beradik ini.
Penyakit kulit rapuh yang dialami oleh Alif masih tiada penawar
“Selepas mengetahui penyakit Alif, hospital memang kerap kami lawati. Alif memang memerlukan penjagaan rapi, kulitnya sangat sensitif. Walaupun hanya jatuh sedikit, ia akan memudaratkan kesihatan anak saya. Masih lagi saya ingat ketika dia mula-mula belajar berjalan, kerap sangat terjatuh. Setiap kali terjatuh kulitnya akan terkoyak dan merebak ke tempat lain. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, apa yang saya boleh buat hanya memantau dia sebaik mungkin untuk tidak terjatuh atau terluka kerana itu akan membuatkan dia lebih sakit.
“Sehingga kini setiap dua bulan Alif akan dibawa ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan rapi. Bukan sahaja berjumpa dengan pakar kulit, malah Alif turut dirujuk kepada pakar Peadiatrik, pakar mata, klinik gigi dan beberapa lagi. Apa yang saya lihat dengan penyakit yang dihidapi oleh Alif turut memberi kesan kepada tumbesarannya juga. Alif memang lebih kecil berbanding rakan-rakan seusianya yang lain, malah dia turut menghadapi masalah dengan beberapa bahagian badan yang lain termasuk gigi dan mata. Pendek kata keadaan yang dialami oleh Alif sedikit sebanyak menyebabkan tumbesarannya turut terbantut,” ujarnya penuh sebak.
Belum Ada Ubat Sesuai
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ibu mana yang tegar melihat anak yang masih kecil menahan kesakitan setiap kali luka-lukanya dibersihkan dengan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Rutin ini penting buat Alif untuk memastikan luka yang ada tidak semakin teruk dan merebak ke bahagian lain.
“Setiap kali nak buat dressing atau bersihkan luka di badan dan tangan, Alif pasti menangis. Memang masa tu Allah sahaja yang tahu sedihnya perasaan saya. Tapi saya perlu reda dan kuat untuk Alif,” katanya dengan nada sedih.
Menurut doktor tiada ubat khusus dapat menyembuhkan penyakit kulit rapuh seperti yang dihidapi oleh Alif. Bukan tak pernah Ruziah dan suami mencuba rawatan alternatif, tetapi semua itu tidak menunjukkan kesan yang positif. Malah ada antara ubat yang diambil memburukkan lagi keadaan kulit Alif.
“Sehingga kini memang tiada ubat yang dapat menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh Alif. Bukan tak pernah saya dan suami mencuba rawatan lain selain ke hospital tapi tiada yang berkesan untuk Alif. Rawatan Islam, suplemen, produk-produk yang disarankan memang sudah banyak kami cuba. Mungkin masih tiada yang serasi untuk Alif. Ada satu ketika kami beri dia makan produk yang disarankan oleh kenalan, tapi lukanya semakin teruk, lalu kami berhenti dan sejak itu memang kami serik untuk mencuba produk atau ubat melainkan hanya atas saranan doktor,” tambahnya yang sanggup lakukan apa sahaja untuk anak.
Setelah hampir lapan tahun menghidapi penyakit kulit rapuh ini, keadaan Alif masih lagi sama. Malah menurut Ruziah, semenjak dua tahun yang lalu, keadaan itu semakin teruk apabila jari tangan dan kaki anaknya itu melekat antara satu sama lain. Justeru kaki dan tangan Alif serta bahagian badan yang teruk terpaksa dibalut setiap hari bagi mengelak lukanya bertambah teruk.
Kuat Semangat
Meskipun diri tidak seperti kanak-kanak lain, semangat Alif tetap tinggi. Menurut Ruziah setiap pagi ketika dikejutkan untuk ke sekolah, jika tidak sakit Alif sangat bersemangat dan seronok untuk ke sekolah.
“Pergerakan Alif di sekolah terhad, dia tidak dibenarkan bermain dengan rakan-rakan kerana keadaannya itu. Dia tidak menyertai perhimpunan serta tidak makan di kantin sekolah. Setiap kali waktu rehat saya akan bawa makanan ke sekolah dan anak saya ini juga perlu memakai lampin pakai buang kerana sukar untuk membersihkan diri berikutan jarinya yang sudah melekat. Memang setiap kali anak saya membuang air besar, pihak sekolah akan memaklumkan kepada saya untuk hadir ke sekolah menukar lampin pakai buangnya.”
Tambah Ruziah lagi, rakan-rakan Alif tidak pernah membezakan anaknya itu. Malah mereka sayang dengan Alif dan sering datang bermain bersama di kelas kerana Alif hanya duduk di dalam kelas sahaja.
“Saya hantar dia ke sekolah supaya dia boleh belajar bersama rakan-rakan di samping dapat belajar berdikari. Saya tak selamanya ada dengan dia, jadi saya perlu persiapkan dia dengan ilmu pelajaran dan yang lain-lain. Syukur guru-guru dan pelajar lain faham dengan keadaan Alif, jadi saya tak bimbang tentang Alif apabila dia berada di sekolah,” katanya lagi.
Alif dan keluarga
Kos Tinggi
Bagi memastikan luka-luka yang ada di badan Alif sentiasa dijaga dan tidak merebak atau bertambah teruk, Ruziah membutuhkan kos peralatan luka yang agak tinggi. Setiap bulan RM2,000 ringgit diperlukan untuknya bagi menampung kos tersebut.
“Setiap bulan kos untuk peralatan luka Alif mencecah RM2,000. Jumlah tersebut memang agak tinggi buat keluarga kami memandangkan suami yang hanya bekerja sebagai buruh. Saya pula tidak mampu bekerja kerana Alif memerlukan perhatian yang lebih dari saya. Tapi saya bersyukur memang sentiasa ada rezeki untuk Alif, malah saya turut menerima bantuan daripada pihak berwajib.
“Saya reda dengan semua ini, tapi ibu manalah yang tak sedih melihat anak membesar dengan penyakit sedemikian. Harapan saya agar semua dapat mendoakan Alif untuk sembuh dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Sembuh sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa, Insya Allah,” ujarnya penuh harapan.
Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga Muhammad Alif Firdaus bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB 7611159603, Ruziah Ismail.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...