
Isi Kandungan
ToggleBila anak nak masuk darjah satu, kalutnya mak ayah dah bermula dari sekarang. Dup dap dup dap dalam hati tu memikirkan ‘Pandai tak nanti anak aku berdikari’,
‘Cukup tak nanti keperluan anak’, ‘boleh tak anak ambil baki dengan betul lepas membeli di kantin sekolah’, ‘Hilang tak nanti barang sekolahnya.’
Macam-macam persoalanlah berlegar-legar dalam kepala itu. Jadi sebelum kebimbangan itu jadi sesuatu yang merisaukan, mak ayah perlu ambil langkah bersiap sedia.
Panduan yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee untuk mak ayah persiapkan diri sememangnya cukup berguna dan perlu dihadam kemas-kemas.
Anak Masuk Darjah Satu.. Bertenanglah Mak Ayah
Ada beberapa perkara yang perlu ibu bapa siapkan sebelum anak melangkah ke tahun satu.
Pertama : Ajar Anak Cara Guna Duit
Yang ini sangat penting. Tunjukkan nilai duit kepada anak. Kalau boleh, buat praktikal di rumah supaya anak tahu berapa perlu dibayar, berapa baki yang perlu diminta dan sebagainya.
Kedua : Tak Perlu Beli Kasut Sekolah Mahal-mahal
Kasut berjenama yang makan harga sampai lebih RM60. Sebab apa? Biasanya kasut sekolah tu hayatnya tak lama.
Sebab hilang. Bila kasut mahal, lepas tu hilang pulak, mulalah mak ayah bikin ribut dalam grup WhatsApp kelas anak.
Sama juga dengan peralatan sekolah seperti pensil warna dan seangkatan dengannya. Cukuplah dengan pensil warna 12 batang. Kalau hilang pun tak ralat.
Ketiga : Jangan Lupa Tulis Nama Anak
Tulis nama anak pada beg, kasut, baju, seluar, bekas pensil dan segala harta ismit ulam raja yang anak-anak kita ada.
Kalau hilang juga, tanya elok-elok dalam grup WhatsApp kelas (kalau ada). Dan kalau tak jumpa juga, belilah baru. Kalau tak mampu, jumpa guru besar. Mungkin PIBG boleh bantu.
Keempat : Ajar Anak Minta Izin Untuk Pergi Tandas
Ada anak yang pemalu atau takut. Tu yang terlepas dalam kelas tu.
Kelima : Cara Ini Elak Anak Nangis Di Hari Pertama Sekolah
Bisikkan dekat anak setiap hari yang mereka akan mula bersekolah tahun depan. Kalau anak-anak nak pakai kasut sekolah hari-hari pun takpa. Sekadar nak mencetuskan rasa teruja. Tak adalah nanti bila sampai sekolah, menangis sepanjang hari.
Keenam : Terangkan Hakikat Sebenar Sekolah
Ceritakan dekat anak apa yang akan dia alami di sekolah. Kalau di tadika, itulah cikgunya dari pagi sampai petang. Tapi di sekolah rendah, cikgu-cikgu bertukar mengikut subjek.
Pernah anak saya cakap, “sekolah tak best.” Saya tanya, “kenapa?” Dia jawab, “cikgu ramai. Tukar-tukar pula tu. Penat nak berdiri duduk.”

Ketujuh : Minta Anak Berkawan-kawan
Suruh juga anak-anak berkawan. Antara sebab anak selalu menangis ialah dia tak jumpa kawan untuk bermain. Kalau jenis mesra alam, senang sikit. Duduk sekejap saja dah boleh ajak kawan sebelah melompat.
Kelapan : Bertenanglah Mak Ayah.. Beri Kepercayaan Pada Sekolah
Biasanya, minggu pertama sekolah ada minggu transisi. Biasanya juga, sekolah hanya benarkan mak ayah tunggu hari pertama sahaja.
Hari kedua mak ayah dah dilarang untuk menunggu sampai depan pintu kelas. Kecuali ada hal tertentu. Bincanglah dengan cikgu, kalau ada kes-kes tertentu.
Kesembilan : Hati-hati Dengan Media Sosial, Tak Semua Status Yang Di ‘Up’ Menyelesai Masalah
Kalau ada yang tak puas hati dengan pihak sekolah, maklumkan terus kepada guru besar. Jangan pula ditular dalam FB. Bayangkan kalau kita bikin masalah. Nanti yang terima akibatnya, anak kita juga. Kita jadi malu, anak-anak pula tak selesa.
Sepuluh : Pergi Sekolah Itu Wajib
Paling penting, suruh anak pergi sekolah. Undang-undang di Malaysia ini, bila anak berumur 7 tahun saja, mereka wajib pergi sekolah. Kalau tak pergi sekolah, satu kesalahan.
Selamat menempuhi alam baru terutamanya ibu bapa yang anak sulung baru masuk tahun satu dan selamat menjadi singa sebab nak kena siapkan anak awal pagi.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee, Cikgu Pan Asian (gelaran baru)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Perkara Bagus Dibuat Dan PATUT ELAKKAN Dalam Group Whatsapp Kelas

Isi Kandungan
ToggleMemandangkan ramai yang buat group whatsapp sekolah di zaman teknologi serba canggih ini, mak ayah patut tahu ‘undang-undang’ cara terbaik untuk berhubung di antara satu sama lain.
Tak dinafikan apabila menggunakan WhastApp, ini memudahkan mak-mak nak buat perbincangan yang dilihat mata kasar dan menerima maklum balas dengan pantas tentang perkembangan anak atau hal berkaitan dengan sekolah.
Namun ada juga yang tersalah guna dengan kemudahan Whatsapp sampai mak ayah lain rasa rimas untuk join dalam group kelas, jadi sebelum ‘macam-macam’ eloklah baca nota daripada Ammar Kamilin ini…
Rutin Harian Mak Ayah Dalam Group Whatsapp
Esok pagi, kita boleh menjangkakan ramai ibu bapa yang akan turun menghantar anak masing-masing ke sekolah.
Kereta akan penuh diletakkan di kiri dan kanan jalan raya. Motor dan kereta bersimpang siur dalam kawasan sekolah. Kita akan jumpa segelintir manusia yang jika boleh mahu meletak kereta dalam kotak parkir guru besar.
Akan kelihatan di mana-mana sekolah, ibu bapa dan anak berpimpinan tangan melintas jalan, bapa-bapa menjinjing beg sekolah anak dan ibu-ibu memegang tupperware (baru beli) masing-masing penuh sabar di kantin menunggu waktu rehat.
Ada antara kita, esok merupakan pengalaman pertama anak sulung memasuki kelas Tahun 1 di sekolah. Tahniah!
Baik, saya mahu berkongsi satu perkara. Jika saya beritahu ini, jangan terkejut!
Duduk saja anak kita di bangku sekolah, kemungkinan besar akan diwujudkan ‘group whatsapp’ untuk kelas mereka. Lalu, sayugia dimaklumkan, bertambahlah 1 lagi group dari puluhan ‘group’ yang sudah sedia ada dalam whatsapp kita.
Ini adalah amalan biasa, terutamanya untuk anak-anak Tahun 1. Maklum saja, anak-anak ini baru ‘berpindah alam’ dan ibu bapa akan sentiasa tertanya-tanya keadaan anak mereka.
Jika tidak diwujudkan group, kita beruntung. Tidak perlu pening kepala mendengar notifikasi ‘ting, ting, ting!’ tak kira masa.
Jika tiba-tiba kita dijemput masuk (invite), maka, bersiap sedialah.
Dari pengalaman 7 tahun bergelumang dalam group whatsapp, saya kongsikan,
Bahagian 1 : 10 perkara bagus dibuat dalam group whatsapp kelas, dan
Dan bahagian 2 : 10 perkara perlu dielakkan dalam group whatsapp kelas.
BAHAGIAN 1
| 10 Perkara Bagus Dibuat Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Sebaik-baiknya, ibu dan bapa, kedua-duanya dimasukkan di dalam group ini. Bukan apa, bagi suami isteri yang bekerja, ada masa, kesibukan akan menyebabkan ada mesej dari guru yang tidak sempat dibaca.
Sekurang-kurangnya, salah seorang dari kita boleh maklum dan mendapat informasi sekiranya pasangan masing-masing sibuk.
Saya faham, kita mungkin terganggu dengan bunyi mesej bertalu-talu, terutamanya orang lelaki (saya memang rimas, tak pasti lelaki lain).
Apa yang boleh dibuat, letakkan notifikasi untuk group ini dalam tetapan (mode) ‘mute’. Jadi segala-galanya akan sunyi sepi. Kita hanya akan baca, apabila bersedia untuk membaca. Yang penting, maklumat sampai.
2. Kita tidak mahu cikgu-cikgu dalam group keliru, sama ada ini group ibu bapa atau group ‘Taman Haiwan’. Tengok foto profil masing-masing, ada gambar kucing, gambar arnab, gambar bunga ros, eh, macam-macamlah.
Jadi, elok ditukar foto profil whatsapp dengan wajah sebenar kita. Letak foto yang paling kredibel, bukan yang bibir juih ikat tepi. Nama yang ‘appear’ di whatsapp juga, gunakan nama sebenar yang sama dengan bin atau binti anak kita tu.
Apa-apa kecemasan berlaku di sekolah, senang cikgu nak skrol dan cari. Takdelah sampai terpaksa buat pengumuman, ‘Siapa bapa Qistina Pavlova?, Siapa ibu Syafiq Kyle?’ Kan susah tu.
Sudah-sudahlah bubuh nama seperti ‘Jejaka Korea’. Buat malu saja masa ambil ‘result’ anak nanti. Buat cikgu tertanya-tanya, ‘celah mana Koreanya?!’
3. Apabila cikgu dah buat group khas untuk maklum apa-apa tentang anak kita, itu menunjukkan cikgu tu sangat prihatin. Mana ada cikgu yang ‘serah tengkuk’ untuk diganggu 24 jam? Jadi, dah dapat cikgu kelas yang begini, kita berbudi bahasa dan berkenalanlah.
Pendek pun tak mengapa, “Assalamualaikum cikgu, saya Ammar Kamilin, bapa Zulfa, terima kasih invite.” Cukup. Cikgu pun boleh ‘save’ nombor henfon kita dengan tepat. Jangan sibuk-sibuk nak tanya, cikgu available ke tidak? Lupa ke bini kita pun dah ‘add’ dalam group tadi.
4. Ada anak kita yang jenis teliti dengar arahan. Ada kawan sekelas anak kita yang susah nak beri tumpuan. Jadi, apabila ada ibu bapa lain yang bertanya tentang tugasan sekolah dan sebagainya, bantulah mereka. Bantu jawabkan bagi pihak cikgu.
Cikgu pun tak terlarat nak jawab setiap masa. Kadang tu saya perhati, “Esok pakai baju sukan ke baju sekolah?.” Soalan macam tu pun, 10 kali orang tanya sejak pukul 7 malam sehinggalah subuh esok pagi. Sian cikgu.
Ada sesetengah parents ni pun satu hal, nak skrol pun berkira. Risau ‘thumb print’ terkikis agaknya. Susah nak ‘punch card’.
5. Dah nama pun ibu bapa, mesti lebih pandai dari anak-anak (banding anak Tahun 1). Jadi, menaip mesej di group, sebaiknya ejaan penuh, tidak kontot-kontot macam bahasa ‘Alien’.
Bukan apa, mengeja penuh boleh elak salah faham. Bukan semua orang mahir teka teki. “Ckg, esk pki bj pe?” Aduh, boleh sewel nak tafsir. ‘pki’ tu apa? macam mencarut pun ya. Eja penuh ya. Tolong.
6. Pagi-pagi sebelum 7.30, biasanya cikgu perlukan maklumat pelajar tidak hadir sekolah. Jika anak kita tidak hadir atas alasan apa sekalipun, maklumkan cikgu.
Lebih bagus, kita boleh tulis whatsapp seperti senarai, dengan tajuk, ‘Murid Tidak Hadir Hari Ini’. Jadi, mudah ibu bapa lain menyambung senarai itu (copy, paste, edit). Cikgu pun senang kerja. Sama-sama gembira.
7. Tiada siapa yang boleh mengelak sakit, begitu juga anak kita. Boleh jika mahu berkongsi berita tersebut dengan group whatsapp kelas. Sekurang-kurangnya, berita kesihatan anak kita, dapat disampaikan oleh ibu bapa lain kepada anak-anak mereka.
Ini mendidik empati pada rakan sekelas. Sebagai ibu bapa, kita doakan kesembuhan buat anak rakan kita. Rakan anak kita, anak kita juga. Begitulah semangat kekeluargaan.
8. Dalam kalangan anak-anak kita, akan ada yang terpilih mewakili sekolah dalam aktiviti luar. Kebiasaannya akan ada guru pengiring atau ibu bapa mereka yang terlibat akan ikut bersama. Tiada masalah untuk berkongsi foto aktiviti tersebut dalam group.
Kita dapat mengetahui wujudnya aktiviti luar yang disertai pihak sekolah. Ada rezeki, kita boleh sediakan anak-anak kita untuk aktiviti atau pertandingan yang sama.
9. Ada masanya, cikgu akan menampal pengumuman dari pihak sekolah dalam group whatsapp, terutamanya yang berbentuk ad hoc.
Sekiranya maklumat tersebut naik, naik, dan naik sehingga tenggelam disebabkan masuk mesej-mesej baharu, ada baiknya ibu bapa yang prihatin mengambil inisiatif menampal semula informasi tersebut untuk mengelakkan ada ibu bapa yang terlepas pengumuman itu.
10. Sekali sekala, apabila cikgu menghantar mesej atau foto aktiviti yang dijalankan di dalam kelas melibatkan anak-anak kita, sebaiknya ibu bapa dapat memberi respon dan penghargaan kepada guru tersebut. Salah seorang, sama ada ibu atau bapa pun sudah memadai.
Sekurang-kurangnya, cikgu merasai sentiasa mendapat sokongan padu dari ibu bapa anak-anak murid mereka.
BAHAGIAN II.
| 10 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Nama pun group whatsapp kelas, jadi, kita elakkan bersembang hal politik negara dalam group ini. 2018 ni tahun pilihanraya, saya yakin, memang ada yang akan buat perangai ‘terlajak perahu’ nanti.
Kekalkan keharmonian group ini. Perkara terakhir kita mahu elakkan, ibu bapa ‘left group’ beramai-ramai kerana bergaduh hal yang tiada kena mengena dengan anak dan sekolah.
2. Elakkan menampal iklan bisnes atau cerita-cerita viral yang tiada kena mengena dengan hal ehwal persekolahan anak-anak. Saya tahu, ramai yang ada ‘part-time business’, tetapi group whatsapp ni bukan saluran yang sesuai.
Kecuali ada yang bertanya, “Mana eh nak cari tudung macamni?” Jika kita boleh membantu, boleh saja PM tepi. Lebih profesional. Cerita-cerita viral artis, politik, perkauman, jauhkan dari group ini. Tak larat nak baca, ‘dari group sebelah’. Entah sebelah mana pun kita tak tahu.
3. Whatsapp group bukan tempat ‘arah-arah’ cikgu. Ini adalah tempat kita ‘minta tolong’ dengan cikgu. Jadi, sewajarnya, ayatnya juga lebih lembut dan tidak mendesak.
“Maaf cikgu, saya terlupa beri duit belanja pada Asyraf Muslim. Mohon jasa baik cikgu pinjamkan duit dulu ya, saya pulangkan kemudian. Terima kasih cikgu.”
Sedap dibaca kan? Mohon maaf, nyatakan tujuan, akhiri dengan terima kasih. Lengkap. Cikgu pun takde rasa tertekan dan ikhlas membantu.

4. Saya selalu perasan perkara ni. Ibu bapa mesej tak kira masa. Apabila cikgu tak sempat menjawab whatsapp, mula meradang. “Eh, mana cikgu ni ek? Tak respon pun.”
Sabar ya. Cikgu pun ada kehidupan dia sendiri. Jika di sekolah, mereka ada jadual mengajar masing-masing. Mana sempat untuk buka whatsapp apabila sedang mengajar.
Jika di rumah, mereka pun ada anak seperti kita. Entah anak dia lebih ramai dari kita. Jika kita mesej jam 7.00 petang, mungkin dia sedang mandikan anak. Kita mesej jam 8.00 malam, mungkin sedang ajar anak mengaji. Mesej jam 9.00 malam, mungkin dia sedang teman suami makan. Mereka pun perlu masa.
Jika tak berjawab juga, percayalah, mereka memang benar-benar tidak sempat menjawab. Jika memang sangat kecemasan, cuba pula hubungi ibu bapa kawan anak kita. Mereka mungkin tahu.
5. “Siapa ibu Aiman Danial dalam group ni? Anak saya kata, dia curi ‘pencil box’.”
Hah, sudah! Tanda-tanda perang akan bermula. Memang ada ibu bapa yang serang ibu bapa lain dalam group whatsapp. Kalau boleh, mahu satu kelas tahu mereka sedang berkonfrontasi. Relaks ya, abah, mama. Perkara begini, elok PM tepi dan selesaikan ‘face to face’. Tidak perlu amuk dalam group.
Tunggu keesokan hari, lapor pada guru kelas di sekolah. Insya Allah, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Sebolehnya, keharmonian group kekal terpelihara. Elok 2 famili saja terlibat, habis 1 sekolah tahu. Kool ya!
6. “Cikgu, macamana ya subjek Bahasa Inggeris anak saya ni? Dapat D.” Mengadu hal anak dalam group. Ini mungkin kurang sesuai. Ya, mungkin ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Tetapi, jika dibincang dalam group, akan jadi panjang lebar dan mengganggu ibu bapa lain yang melihat notifikasi tanpa henti.
Sebaiknya perbincangan tentang anak kita, dibuat dengan berjumpa guru tersebut. Apabila guru menawarkan solusi, contohnya mengadakan kelas tambahan, barulah sesuai kita iklankan dalam group whatsapp kelas supaya anak-anak lain dapat ‘join’ bersama.
7. Cikgu baru saja tampal pengumuman dan info terkini tentang apa yang anak-anak perlu sediakan esok. Tak sempat dibaca, dah ada ibu bapa yang kecoh bersembang sampai pengumuman tadi akhirnya hilang naik ke atas.
Memang boleh skrol, tapi macam saya tulis awal tadi, bukan semua rajin untuk skrol. Sebaik-baiknya ketika cikgu sedang menaip pengumuman, elak mencelah! Biarkan informasi lengkap sepenuhnya, baru diajukan pertanyaan.
8. Ibu bapa zaman moden ni, memang ramai yang positif! Rajin ‘forward’ foto dan video motivasi ke dalam group. Baguslah jadi orang positif, tetapi group whatsapp kelas ni untuk komunikasi guru dan ibu bapa, jadi kekalkanlah begitu. Hanya hal ehwal sekolah dan anak-anak.
Bab positif ni, biar kekal dalam group positif kita saja. Lagipun, foto dan video menelan ‘data’ yang banyak. Bukan semua ibu bapa ada ‘plan internet tanpa henti’ macam kita. Mereka pun mesti dah tengok foto dan video tu dalam group lain, jadi, cukuplah.
9. Anak-anak kita memang aktif di rumah. Macam-macam aktiviti mereka buat. Melukis, mewarna, menulis, dan banyak lagi. Bagi saya, cukuplah ambil foto dan simpan sebagai kenangan keluarga saja. Tidak perlu tampal dalam group whatsapp kelas.
“Cikgu, tengok, anak saya dah pandai lukis dinasour.” Ya, kami pun tumpang gembira. Tetapi bayangkan jika semua ibu bapa buat perkara sama. Berapa banyak foto kita nak tengok. Entah sempat atau tidak cikgu nak menengoknya. Tah, tah, cikgu pun sedang jadi ‘dinasour’ di rumah. Jika mahu juga, hantar ‘personal’ pada cikgu. Boleh ya.
10. Disebabkan bertukar tempat kerja, anak kita mungkin berpindah dari sekolah itu. Sebaiknya, ceritakan sedikit tentang perpindahan tersebut dalam group dan mohon izin untuk ‘left group’. Sekurang-kurangnya, ibu bapa lain yang sudah lama mengenali anak dan diri kita akan maklum dan memberikan ucapan tanda ‘selamat tinggal’. Suasananya lebih muhibbah.
Meninggalkan group tanpa memaklumkan apa-apa, seolah-olah kita ‘memutuskan’ silaturrahim yang telah diwujudkan dengan ibu bapa lain sebelum ini dan terus menghilang.
Mungkin ada perkara lain yang tidak disebut, saya buka kepada ibu bapa berpengalaman lain untuk menambah dalam ruang komen.
Sebelum ada yang bertanya, anda bebas dan digalakkan untuk SHARE dalam group whatsapp sekolah.
~Ammar Kamilin~
Certified Consultant, Group Whatsapp Kelas Anak
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kisah Cinta Agung, Sehari Selepas Nikah Isterinya Dijemput Ilahi

Isi Kandungan
ToggleIndahnya sebuah kisah cinta agung, antara pasangan suami isteri bernama Muhammad Saiful Azam Azmi, 25 dan allahyarham Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24. Isterinya meninggal dunia sehari selepas nikah.
Azam dan allahyarham isterinya diijabkabulkan pada Jumaat, 3 Ogos 2018 di rumah pengantin perempuan di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. Azam cuma dapat bergelar suami selama sehari apabila isterinya menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan kanser tisu tahap tiga yang dihadapinya.
Catatan abang-abang allahyarham Fatin Nur Syahirah, Yusri Yusof dan Shukur Yusuf ini benar-benar meruntun hati. Dikongsikan dengan penuh tulus, tentang adiknya yang sentiasa bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinannya. Malah tidak merungut tentang sakit kanser yang dialaminya.

Kisah I : Kakak Tak Pernah Give Up – Yusri Yusof
Hari ini, adik perempuan, Fatin Nur Syahirah telah pulang menyahut panggilan Ilahi yang ternyata lebih sayang kepada arwah Syahirah atau dalam keluarga kami lebih mesra dipanggil kakak. Dia anak perempuan pertama dan adik beradik keempat dari lima beradik.
For most, people will say she lost her battle with cancer. Tapi ini bukan sebarang kanser, ini mesenchymal chondrosarcoma. Sejenis kanser yang rare, menyerang soft tissue dan cartilage. Tumor yang sangat agresif dan tiada belas kasihan untuk tubuh seorang gadis yang baru berumur awal 20-an.
Tapi bagi kami kakak won her battle with this cancer. Sejauh mana pun agresif kanser ini tapi dia tak pernah give up. Tak pernah menyerah kalah. Kakak sangat kuat dan tak pernah merungut. Dua major surgery Sep 2017 dan Feb 2018 dengan bukaan lebih panjang dari C-section. Kakak terus berjuang melawan mesenchymal chondrosarcoma, dan pada masa yang sama tetap positif dan jarang sekali mengalirkan air mata.
Kakak Lebih Kuat Sebab Ada Cinta Dari Anak Muda Bernama Azam
Kakak kuat sebab dia cinta Allah dan Rasul, kakak kuat sebab kami sekeluarga cintakan kakak. Tapi kakak lebih kuat sebab ada cinta dari anak muda bernama Azam. Azam yang sanggup menerima keadaan kakak dan ingin menjadikan Syahirah sebagai isterinya. June 2018, lepas Aidilfitri mereka bertunang dengan niat untuk bernikah pada 18 August ni sebelum Aidiladha.
Tapi apa kan daya kesihatan kakak merosot secara mendadak dalam tempoh seminggu ketika aku ada kat Korea. Lumpuh apabila kanser menyerang tulang belakang, pernafasan kakak pun amat terganggu. Tapi perancangan Allah Maha Hebat dan Dia izinkan majlis pernikahan mereka berdua. Akhirnya Azam dan Syahirah pun sah bergelar sebagai suami isteri setelah bernikah di rumah pada 3 Ogos 2018.
Dan hari ini kakak meninggalkan kami semua, selama-lamanya. Aku sembang-sembang dengan adik ipar baru, Azam dan dia dengan air mata bergenang ucap terima kasih kerana benarkan dia keluar dengan Syahirah sebelum-sebelum ni. Sambil air mata kami mengalir di pipi, aku cakap kat Azam “Takde apa lah benda kecik ja tu. Walaupun Syahirah dah takde, kita tetap adik beradik. Kalau nak datang rumah bila-bila mai ja Azam.”
Siapa sangka, aku dan adik ipar turun dalam liang lahad untuk sambut jenazah adik dan isteri yang diturunkan oleh ahli keluarga yang lain. Allahuakbar.
Al Fatihah buat kakak, Fatin Nur Syahirah
Kisah II : Coretan Buat Kakak – Shukur Yusuf
Kanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang kami panggil Kakak disahkan menghidap Kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3!
Sekeluarga tergamam. Mama terus menangis. Abah kelu tak terkata. Seakan tidak percaya akan diuji sehebat ini. Tetapi Kakak yang kami sayangi nampak cukup kuat. Kami sekeluarga terus positif yang mengatakan Kakak boleh sembuh. Hidup bertukar 360 darjah. Segala aktiviti dan perhatian kami dikhususkan untuk Kakak.
September 2017
Selesai pembedahan membuang kanser tersebut. Doktor memberi jaminan yang pembedahan berjaya dan insyaAllah kanser tidak akan menyerang lagi sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Cuma follow up seperti biasa. Leganya perasaan kami sekeluarga. Difikirkan berakhir di situ, tetapi tidak.
Disember 2017
Kakak diuji lagi. Kanser datang kali ini dengan lebih agresif. Doktor juga tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser ini begitu cepat membesar. Kami sekeluarga terus memberi semangat. Terus yakin. Terus berusaha. Terus bertawakal. Hanya kami dapat memberikan kekuatan psikologi yang amat diperlukan Kakak.
Februari 2018
Mama dan Abah terus setia menunggu diluar bilik bedah. Pembedahan kedua yang memakan masa lebih 15 jam selesai jam 2 pagi. Usai solat Subuh, Mama, Abah dan saya dah terjegat di Cardiacthoracic Intensive Care Unit (CICU) menunggu ulasan doktor mengenai pembedahan tadi.
Doktor memaklumkan bahawa pembedahan tidak 100% berjaya. Sel kanser tak dapat dikeluarkan sepenuhnya disebabkan keadaan sudah terlalu rumit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Selesai mendengar ulasan doktor, kami keluar. Masing-masing diam membisu namun akhirnya kami sama-sama menangis. Tak kuat kami menahan air mata. Ya Allah! Sungguh hebat ujianMu kali ini…
Bermula daripada saat itu, kami sekeluarga mula menjadi doktor sendiri. Habis segala macam artikel berkaitan kanser kami baca. Habis segala petua kami cuba. Segala ceruk pelusuk negara kami teroka. Dengan hasrat mencari penawar buat Kakak tercinta. Kakak seperti biasa senyum tanpa luahkan sakit yang terseksa.
Hujung April 2018
Kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.
Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut.. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak.
Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah….
17 Jun 2018
Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.
Julai 2018
Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan.
Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…

Ogos 2018
Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.
Pagi 3 Ogos 2018
Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.
Namun, saat gembira itu tidak lama. Petangnya selepas solat Jumaat, Kakak terus dimasukkan ke hospital. Pernafasan Kakak semakin merosot. Mama terus menjadi peneman setia. Disamping Abah yang terus berusaha serta keluarga yang terus mendoakan kesembuhan Kakak.
Namun Allah lebih sayangkan Kakak dan Saat itu tiba juga.
Kakak pergi meninggalkan kami pada waktu Subuh 4 Ogos 2018. Alhamdulillah ditemani Mama, Abah, Suaminya, Mak Besah serta Saya.
Disaat ini, keluarga redha dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya budi baik Azzam dan keluarganya.
Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Aamiin.
Fatin Nursyahirah Binti Yusuf
1994-2018
Al-Fatihah
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين
Sumber/Foto : Yusri Yusof , Shukur Yusuf
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lelaki Terus ‘Cair’ Kalau Berdepan 13 Sikap Wanita Macam Ini

Isi Kandungan
ToggleSetiap wanita ada kelebihan tersendiri, tetapi kalau terselit 13 sikap ini confirm lelaki terus ‘cair’ dan tak pelik tetiba ada yang berangan nak buat perempuan itu jadi calon bini!
Ok, sebenarnya ramai yang salah anggap dengan gerak tubuh dan cara lelaki melayan wanita. Lelaki ‘kaya’ dengan gerak tubuh, bahasa badan, cara pandangan, dan cara percakapan.
Kena tahu, lelaki ni cukup gemar menguji wanita pujaan hati sebelum diangkat menjadi pasangan hidup. Mereka menguji dengan cara yang ada kalanya disalah tafsirkan wanita. Jadi sebelum salah anggap, ketahui 13 kriteria rahsia wanita yang menjadi idaman setiap lelaki.
1. Rupa Paras
Rupa paras cantik dikira bonus. Tapi rupa paras cantik itu terlalu subjektif untuk digambarkan. Ada yang manis dipandang, ada yang comel, dan banyak lagi. Awas, lelaki tak memandang paras rupa semata-mata pada bakal isteri. Haaa.. rupa cantik belum tentu hati pun cantik molek!
2. Pegangan Agama
Kebiasaannya wanita idaman lelaki perlulah mempunyai pegangan agama yang kuat supaya dapat mendidik anak-anak kelak. Selalunya biar pun lelaki itu jenis ‘gila-gila’, dia tetap fokus cari wanita yang sopan. Cari pasangan hidup haruslah kuat pegangan agama agar masing-masing dapat memperbetulkan apa yang salah dan melengkapi apa yang kurang.
3. Budi Pekerti
Budi pekerti yang baik pasti menjadi idaman lelaki. Tingkah laku, adab, kesopanan menjadi elemen penting dalam menilai seseorang. Ibu yang baik budi pekerti pasti melahirkan anak yang baik.
4. Pandai Masak
Kalau dapat bakal isteri yang pandai masak, maka bahagialah perut mereka. Bagi yang kurang pandai memasak anda masih lagi boleh belajar dan curi peluang masak bersama, asah ‘skill’. Percayalah, air tangan wanita mampu sejukkan emosi lelaki yang merajuk. Eh, mentua pun boleh sangkut!
5. Bijak Mengurus Kewangan
Ini sangat penting kerana sedikit sebanyak dapat membantu pasangan apabila sudah berkahwin dalam menguruskan kewangan keluarga. Jika bakal isteri bijak menguruskan kewangan, itu menandakan bahawa dia bukanlah seorang yang boros. Pengurusan kewangan yang baik dapat menjamin masa depan yang cerah bersama anak-anak kelak.
6. Pandai Ambil Hati Keluarga Mentua
Anda kena bijak mengambil hati keluarga calon mentua. Jangan terlalu peramah, dan jangan terlalu pendiam. Tetapi ingat, jangan bermuka-muka kerana anda akan dianggap hipokrit. Sebaiknya jadilah diri sendiri.
7. Menerima Seadanya
Wanita yang sanggup menerima kelemahan pasangan adalah wanita yang sangat berharga bagi lelaki. Lumrah kehidupan pasti ada turun naik. Kehidupan suami isteri perlulah seiring dan sejalan serta bersama-sama menempuh pahit manis dalam perkahwinan. Jangan pula nanti semasa senang sahaja anda bersama suami, semasa susah dibiarkan si suami sendiri.
8. Hormat
Setinggi mana pun pangkat dan darjat, hormat dan patuh pada suami lebih penting daripada segalanya. Biasanya lelaki tidak mengharapkan penghormatan yang tinggi seperti tunduk kepadanya sehingga tidak boleh bersuara. Cukup sekadar menghormatinya sebagai suami dan ketua keluarga.

9. Boleh Terima Teguran
Teguran calon suami bukan bermakna benci tapi untuk memberikan kebaikan. Semua pasangan mahu kesempurnaan dalam hubungan mereka, jadi terimalah teguran calon suami dengan hati terbuka. Lelaki akan lebih selesa dengan bakal isteri yang tak mudah ‘sentap’ atau merajuk.
10. Setia
Jangan cuba bermain api kerana lelaki boleh hilang pertimbangan apabila berbicara tentang isu ini. Kesetiaan dalam perhubungan suami isteri sangat penting sebab anda nak berkongsi hidup lama dengan pasangan. Sudah tentu, lelaki mahukan calon isteri yang setia!
11. Berdikari
Kaum Adam sangat kagum dengan wanita yang pandai berdikari. Ini bermakna si isteri mampu melakukan sesuatu perkara tanpa terlalu bergantung kepada mereka. Wanita berdikari boleh memberi kesenangan dalam mengharungi kehidupan berumah tangga kelak. Terlalu bergantung kepada lelaki bukan sahaja menimbulkan kesusahan tetapi merimaskan lelaki. Sebab itulah ramai lelaki tertarik memilih calon isteri yang bijak dan berdikari.
12. Manja
Lelaki menyukai wanita yang keanak-anakan atau mempunyai sifat manja, supaya lelaki boleh memainkan peranan sebagai pelindung. Namun begitu, sifat manja dan keanak-anakan yang melampau tidak sesuai kerana ia akan menampakkan wanita itu seperti kurang matang. Lama kelamaan, lelaki akan berasa rimas.
13. Tak Cerewet
Lelaki suka pada wanita yang tidak cerewet. Wanita cerewet merimaskan dan menyebabkan lelaki merasa jemu. Biasanya, wanita cerewet suka mengkritik apa saja yang tidak disenanginya walaupun perkara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI