Pasangan suami isteri ini bagaikan bertimpa-timpa ujian hidupnya. Meneruskan kelangsungan hidup sebagai pengutip besi buruk dan suatu hari, suami ditangkap kerana ada laporan mengatakan dia mencuri barang orang, yang disangkanya sudah dibuang.
Walaupun nampak melarat hidup mereka, akhlak di sisi tuhan mereka pelihara sebaiknya. Soal sedekah menjadi rutin sejak mula mendirikan rumah tangga. Tak pernah sekali pun dilupa akan dermanya. Ke tabung surau masjid itulah sedikit rezeki yang ada dikongsikan dengan orang lain.
Kisah pertemuan, Ustazah Asma Binti Harun dengan pasangan suami isteri ini benar-benar menyentak rasa. Biarpun ujian mereka hebat, tapi tidak sesekali mereka meminta-minta.
Ujian Mereka Bertimpa-timpa
Malam ini saya menerima panggilan daripada seorang wanita, menangis teresak-esak, disamping kedengaran 2 anak kecilnya juga menangis.
“Ustazah, tolong kami.. Suami saya ditangkap tadi, ada report mengatakan suami mencuri barang orang, kami ingat besi tu barang orang tak nak, jadi kami ambik untuk dijual.”
Ujian mereka bertimpa-timpa. InsyaAllah ini hanya salah faham, doakan boleh selesai dengan baik esok. Mereka adalah pengutip besi buruk dan barang terpakai untuk kelangsungan hidup.
Akak Tak Buat Apa-apa, Cuma Sedekah Kat Surau
Pasangan ini Allah temukan beberapa hari lepas ketika sedang dalam kuliyah di sebuah surau. Waktu itu kelibat isterinya saya nampak menaiki anak tangga, lalu melakukan sesuatu di satu sudut dan bergegas turun. Saya minta izin daripada jemaah untuk berhenti sekejap lalu terus mengejar wanita tersebut yang telah masuk ke dalam kereta lalu menahannya.
Kereta yang hampir roboh. Tingkap semua dah tiada. Daun pintu dah tinggal rangka. Mata saya tertangkap kepada himpunan barang terbuang di bahagian tempat duduk belakang.
“Maaf tanya, akak buat apa tadi?”
Dengan wajah yang takut tergagap-gagap dia jawab, “Akak tak buat apa-apa, akak cuma bagi sedekah kat surau, masukkan duit dalam tabung tu.”
Ads
Bila saya palingkan wajah, ya Allah.. Memang benar ada tabung disitu. Allahu Allah… Orang susah seperti ini turut bersedekah..
Saya sedikitpun tidak syak dia mencuri dan lain-lain. Tujuan dikejar kerana nampak seperti orang susah yang memerlukan bantuan. Saya terus bertanya, “Akak perlukan bantuan tak?”
Cepat dia jawab, “Kami datang bukan cari bantuan, alhamdulillah Allah bagi cukup, kami boleh usaha, jangan bimbang.” Sambil 2 orang anak kecil di ribanya.
“Akak dan suami kerja apa?”
“Kami kutip sampah, barang terbuang, besi dan apa saja yang boleh dijual, suami OKU, accident takde orang nak ambik kerja, jadi inilah cara kami cari rezeki.”
Dalam keadaan kelam kabut, saya minta dia ambik no tel dan hubungi saya semula dan maklumkan bahawa bersama saya ada duit sumbangan orang ramai.
Ads
Pengutip Besi Buruk Ini Bukan Golongan Suka Meminta-minta
Dua hari menunggu akhirnya dia telefon, rupanya mereka sedang berfikir-fikir samada mereka layak atau tidak untuk terima bantuan.
Sesampai di rumah mereka, kosong tiada barang, ada longgokan alat bertukang, besi dan barang terbuang. Kami sama bersimpuh sambil bertanya lanjut.
Rupanya si suami sebelum ini kerja buruh kasar, jatuh daripada atap rumah 2 tingkat. Kerana itu jalannya dah tidak tegap, bermasalah pada tulang belakangnya. Manakala parut di tangan kesan accident kena langgar lari, ada beberapa besi dipasang. Sekarang masih buat kerja buruh, tapi semakin kurang orang nak ambik dengan keadaannya.
Sewa rumah tertunggak tak mampu untuk dibayar, begitu juga bil api bil air. Mereka memang benar susah, namun masih ada dalam rutin mereka bersedekah.
Bila ditanya, si isteri menjawab, “Kami dah amalkan daripada awal kahwin lagi, sebab itu pesan emak saya, setiap hari mesti buat sedekah, walaupun dengan RM1.” Allahu.. mereka betul berpegang dengan yakin.
Pasangan yang baik, menunaikan solat, boleh baca quran. Sebaik sampul dihulur, mereka masih ragu-ragu, berulang kali suami isteri ini bertanya : “Betul ke kami layak untuk terima bantuan?”, mereka bukan golongan yang suka meminta-minta.
Ads
Jika Anda Mahu Sampaikan Sumbangan
Sekarang suaminya sedang ditahan di balai, saya juga tak boleh buat apa-apa malam ini, sekadar memberi kekuatan dan kesabaran kepada si isteri. InsyaAllah esok akan buat sesuatu untuk membantu. Mereka 3 beranak sangat bergantung hidup dengan pencarian suaminya.
Jika ada sesiapa yang ingin menyampaikn sumbangan, khusus kepada pasangan ini boleh pm saya (Ustazah Asma Binti Harun). Saya tidak boleh sertakan maklumat mereka secara terbuka disini supaya tidak timbul isu-isu lain.
Si suami pernah ada rekod jenayah ringan, pernah beberapa ketika di dalam tahanan, kes salah faham, bergaduh dan pukul. InsyaAllah dah berubah, dapat dilihat keikhlasan suaminya apabila berulang kali menangis sambil berdoa, berjanji dan mengucapkan terima kasih tanpa henti kerana percaya padanya.
Mereka bukan orang asal sini, bawa diri untuk tinggalkan tempat asal untuk mula kehidupan baru. Tidur tepi jalan dan merata tempat itu biasa bagi mereka. Jika ikutkan lagi mudah jika saya letak nama penuh dan acc no.
Suaminya. Tak perlu nak pm, sedang saya juga tidak punya banyak masa. Namun itulah permintaan mereka. InsyaAllah semua akan di PM.
Doakan Ustazah Dapat Bincang Cara Baik
Malam tadi saya sendiri dah hubungi i.o sarjan yang handle kes ini, mungkin kerana dah ada rekod jenayah, jadi cerita lain pula. Dia perlu direman beberapa hari, kecuali pengadu tarik balik. Doakan hari ini kami dapat jumpa pengadu, bincang di luar dengan cara baik.
Lokasi : Negeri sembilan. Urusan permohonan bantuan agak sukar, kerana mereka kerap berpindah. InsyaAllah mungkin di sinilah tempat tetap mereka.
InsyaAllah pihak berwajib telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Saya pernah bertugas di agensi kerajaan dan bagaimana mereka melakukan tugas. Jadi usah kaitkan dengan mengatakan mereka tidak jalankan tugas. Anggap ini tanggungjawab bersama.
Allah… disengat tebuan sampai meninggal! Ya, mungkin sudah ajalnya… adik Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin dijemput Ilahi ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bharu selepas disengat tebuan ketika bermain di halaman rumahnya di Kampung Benting Lintang, Jertih, kelmarin.
Muhammad Adrian, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Benting Lintang disahkan meninggal dunia kira-kira 11 pagi tadi.
Kalau ikut cerita ayahnya, Mohd Rosmin Ong Bo Jit @ Hussin, 30, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu sedang bermain kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Sebelum itu anaknya dikatakan bermain badminton berdekatan kawasan itu dan kemudian bermain dengan rakannya di dalam semak berhampiran.
“Kemudiannya dia bersama empat rakannya diserang tebuan yang bersarang di atas pokok di kawasan itu dan anak saya paling banyak kena sengat di seluruh badan.
“Berdasarkan kesan pada tubuhnya dipercayai dia disengat lebih 60 tebuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Muhammad Adrian kemudiannya dihantar pulang ke rumah oleh anak saudaranya dengan motosikal pada 6.45 petang.
Boleh Bercakap Lagi
Mohd Rosmin berkata, keadaannya ketika itu sudah lemah tetapi masih boleh bercakap dan menyebabkan dia bersama isterinya, Nor Azah Hamid, 27, terus mengejarkannya ke Hospital Besut dengan kereta.
Kata pemandu lori itu, anaknya boleh bercakap sehingga pihak hospital memasukkan tiub ke mulutnya pada 9 malam untuk memastikan dia tidur dan berehat.
“Memandangkan keadaannya yang agak teruk menyebabkan Muhammad Adrian kemudiannya dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Namun akhirnya…
Selepas dirawat di hospital itu keadaannya didapati stabil, tetapi bermula 9 pagi tadi anaknya jadi kritikal kerana buang pinggangnya tidak berfungsi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.
Jenazah Muhammad Adrian selamat dikebumikan di Kampung Benting Lintang, petang tadi. Moga keluarga mangsa tabah dengan ujian Allah, AL FATIHAH.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesungguhnya ajal dan maut adalah ketentuan tuhan. Bila ajal menjemput ia tidak mengira tempat dan waktunya. Hajat seorang wanita untuk tunaikan tanggungjawab mengundi tidak kesampaian apabila, dia rebah dan terus meninggal dunia ketika beratur menunggu giliran untuk membuang undi di SMK Pulau Serai, Dungun, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi, mangsa, Rokiah Sulong, 54, dari Kampung Pelandang yang beratur di saluran dua, rebah secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan beberapa minit selepas kejadian.
Anak sulong mangsa, Nur Zita Md Nur, 36 berkata, dia dan emaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8.00 pagi untuk mengundi.Dia ketika itu beratur di saluran dua manakala ibunya itu beratur di saluran empat.
“Saya mendengar suara ada orang rebah dan tak sangka ia adalah emak sebelum seorang penduduk memaklumkan kepada saya.
“Saya bergegas ke saluran emak dan mendapati emak ketika itu sudah tidak sedarkan diri dan saya ajarnya mengucap dua kalimah syahadah,”
“Ketika keluar dari rumah emak seperti biasa dan tiada tanda-tanda sakit atau tidak sihat.Dia kelihatan gembira untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.
” Emak memang ada penyakit darah tinggi dan sebelum keluar dia sudah makan ubat,” katanya.
Pegawai Perubatan yang tiba mengesahkan emak sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke rumah untuk urusan pengebumian.
Terkejut Namun Redha
Kata Nur Zita, dia dan keluarga masih terkejut dengan kejadian itu tetapi menerima ketentuan dengan redha.
“Sewaktu kejadian kami beratur di saluran berbeza dan sebaik dimaklumkan oleh orang ramai saya terus ke sana.
“Ketika itu emak sudah pengsan dan saya melihat dua hingga tiga kali dia menarik nafas panjang sebelum disahkan sudah tiada.
“Emak tidak sempat membuang undi tetapi saya tetap meneruskan tanggungjawab walaupun amat sedih dan terkejut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian itu.
Jenazah mangsa kemudian dihantar ke rumah di Kampung Pelandang selepas keluarga mengesahkan mangsa menghidap penyakit darah tinggi serta masih menjalani rawatan.
Mingguan Wanita ucapkan salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga arwah ditempatkan dikalangan golongan orang-orang yang beriman.
Akibat gurauan ‘terlampau’ pada bayi yang baru lahir, 3 orang jururawat hospital di Arab Saudi dipecat dan ditamatkan perkhidmatan mereka. Memetik laporan Daily Mail, sekumpulan jururawat Arab Saudi dipecat selepas merakam video menunjukkan mereka ketawa sambil ‘memenyekkan’ muka seorang bayi baru dilahirkan yang dirawat kerana jangkitan kuman.
Ibu bapa bayi berkenaan menyedari perbuatan tidak senonoh mereka selepas rakaman itu tersebar dalam talian dan dikongsikan di media sosial.Dalam video itu, seorang jururawat dilihat memegang bayi itu pada tengkuk dan lehernya sebelum memicit muka bayi berkenaan manakala rakannya didengar ketawa.
Dikenakan Tindakan
Tiga jururawat di hospital bersalin di Taif, Arab Saudi itu, kemudian dikenal pasti dan diambil tindakan.
Jurucakap Hal Ehwal Kesihatan Taif, Abdulhadi Al-Rabie berkata, pihaknya menyiasat sumber video dan mengenal pasti jururawat serta hospital tempat ia berlaku. Jururawat tersebut ditamatkan lesen kejururawatan dan dihalang daripada meneruskan kerjaya dalam bidang ini.
Bapa bayi berkenaan memberitahu media tempatan, anaknya dimasukkan ke hospital selama 10 hari untuk rawatan jangkitan kuman pada saluran kencing. Katanya, dia terkejut melihat video itu dikongsikan meluas di media sosial.
Diselar Pengguna Media Sosial
Pengguna media sosial turut menyelar perbuatan itu.
“Beraninya mereka berbuat begini. Tiga jururawat itu patutnya bersyukur saya bukan ibu bayi itu. Pasti saya penyekkan muka mereka dengan lebih kuat lagi!” kata seorang pengguna.
Issk, macam-macam hal, yang pastinya memang gurauan ni melampau dan melanggar etika, jururawat tersebut juga telah menerima hukuman yang setimpal.
Ibu bapa arwah Wan Ahmad Faris tak pernah putus asa 'berjuang' tuntut keadilan. Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.