Syawal baru melabuhkan tirai tapi nampaknya masyarakat di Malaysia masih lagi beraya, tapi kali ni rayanya lain macam sikit. Raya ‘Raja Buah’ iaitu durian. Rata-rata tempat malah dalam media sosial sekalipun dimuat turun status dan gambar-gambar mengenai raja buah yang boleh didapati di mana-mana dengan harga yang cukup berpatutan. Tahun ini memang rezeki semua orang dapat makan durian yang memang menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia.

Sebagai keluarga yang memang ‘hantu’ durian, saya juga tak ketinggalan untuk menikmati durian pada musim ini. Ada sahaja kawan pejabat yang offer jual durian, saya tak ketinggalan merasa. Memang heaven, tambahan pula durian yang dijual memang cantik dengan isinya yang kuning keemasan persis si musang king yang hebat itu.

Untunglah Penggemar Durian, Raja Buah Ni Rupa-rupanya Dapat Tenangkan Fikiran Dan Atasi Insomnia
Bersama Kak Zara (paling kanan), tuan rumah yang jemput kami

Hujung minggu yang lalu, saya dan keluarga berkesempatan bercuti ke Port Dickson. Semalaman di sana, hari berikutnya kami dijemput oleh salah seorang kenalan rapat sepupu saya yang dikenali sebagai Kak Zara dan keluarga untuk datang ke rumah mereka yang terletak di Alor Gajah. Pergi bukan saja-saja tapi untuk datang makan durian fresh dari pokok. Memang kami tak lepaskan peluang keemasan ini. Hampir satu jam perjalanan dari Port Dickson ke Alor Gajah, sepanjang jalan juga kelihatan banyak peniaga yang menjual durian dengan harga dari serendah RM5 sekilo.

Tak jauh dari tol Simpang Ampat, Melaka, kami tiba ke destinasi yang dituju. Sampai sahaja ke kawasan kediaman tersebut semua teruja tengok buah durian yang lebat di atas pokok. Turut kelihatan beberapa durian yang gugur di atas tanah. Tak sempat bertegur sapa dengan tuan rumah, kami terlebih dahulu melawat ke dusun kecil yang terletak di belakang rumah mereka.

Untunglah Penggemar Durian, Raja Buah Ni Rupa-rupanya Dapat Tenangkan Fikiran Dan Atasi Insomnia
semua teruja tengok durian

Lebih menarik lagi seperti juga kebanyakkan dusun lain, dusun mereka juga terdapat pokok rambutan yang sedang masak ranum bersama manggis. Punyalah gigih semua orang tak kisah dengan semut dan kerengga yang menyengat. Seronok dapat makan manggis dan rambutan yang baru dipetik dari pokok. Durian yang gugur kami kutip dan bawa ke dalam rumah sebelum dikendurikan. Ada juga durian yang telah gugur pada awal pagi dan disimpan oleh keluarga Kak Zara untuk menjamu kami. Bukan sahaja dijamu dengan buah-buahan, kami turut dijamu dengan asam pedas yang enak air tangan Kak Zara. Pendek kata rezeki bertimpa-timpalah. Moga makin murah rezeki keluarga Kak Zara jamu kami dengan macam-macam makanan, siap bawak balik lagi buah-buahan seperti manggis dan rambutan untuk kami makan. Durian tak dapek la jenuh nak bau dari Melaka ke Kuala Lumpur. Orang kata makan durian banyak-banyak pun tak elok sangatkan, jadi makanlah sewajarnya ikut kemampuan diri.

Bagi penggemar durian, tip ini mungkin boleh diguna pakai untuk elak anda mabuk durian:

1. Minum segelas air kosong yang dituangkan ke kulit durian yang telah dimakan. Dengan berbuat demikian dipercayai dapat sedikit menghilangkan rasa mual.

IKLAN

2. Jika masih mual, cubalah makan buah manggis. Langkah ini boleh menjadi penyelesaian bila air kosong masih tidak dapat menghilangkan mabuk durian.

3. Kalau langkah pertama dan kedua tidak mujarab untuk anda hilang rasa mabuk cubalah minum air kosong bersama garam. Menurut sumber daripada internet ada yang menyatakan air garam dapat menghilangkan rasa mabuk setelah makan durian.

4. Minum air kelapa untuk neutralkan semula badan anda setelah makan terlalu banyak durian.

IKLAN

Selain tip, kat bawah ni saya ada selitkan sedikit info menarik mengenai durian menerusi penyelidikan oleh seorang Saintis Mardi, Dr Suri Roowi:

1. Durian kaya bahan asid amino tryptophan – Bahan ini menenangkan fikiran dan sesuai untuk orang yang ada masalah insomnia (susah tidur).

2. Bahan organosulfur (bahan bau) bersifat anti-kanser antioksidan, anti-mikrob, antihipertensi dan melindungi jantung. Durian merupakan satu-satunya buah tropika yang tinggi kandungan organosulfur.

3. Pesakit kencing manis tidak boleh makan durian secara berlebihan

IKLAN

4. Ada kajian menunjukkan kulit durian bersifat antidiabetik

5. Pengambilan isi durian pada kadar tinggi (500 g atau lebih) boleh tingkatkan kadar denyutan jantung

6. Durian kaya potassium, mineral yang boleh menurunkan tekanan darah. Untuk sesiapa yang ada masalah buah pinggang tak boleh makan banyak

7. Elakkan makan durian bersama paracetamol dan alhohol kerana mungkin boleh sebabkan kesan toksik.

Selamat berpesta durian untuk semua!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI