Setiap individu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Siapa sangka keunikan mempunyai bukaan mulut yang paling besar di dunia, diiktiraf oleh Guinness World Records sekaligus membantunya menjana pendapatan, modal untuk buat duit.
Samantha Ramsdell yang popular di TikTok berikutan bukaan mulut yang sangat luas, kini secara rasminya dinobat wanita mulut paling besar di dunia oleh Guinness World Records.
Dia sebelum ini mengagumkan 1.7 juta pengikut menerusi perkongsian video memuatkan sejumlah besar makanan ke dalam mulut, termasuk keseluruhan kentang goreng McDonald’s.
Bukaan Mulut Seluas 6.52 Sentimeter
Berasal dari Connecticut, wanita berusia 31 tahun itu menerima pengiktirafan berkenaan pada 28 Julai lalu selepas ujian ukuran yang dibuat di sebuah klinik di South Norwalk, Connecticut mengesahkan bukaan mulutnya seluas 6.52 sentimeter.
“Berusia 31 tahun dan memperoleh rekod ini untuk sesuatu yang selama ini buat saya rasa tidak yakin dan pernah mahu menjadikan ia kecil, adalah sangat hebat.
“Ia kini menjadi satu daripada perkara terbaik mengenai saya,” katanya yang bekerja sebagai wakil jualan peralatan perubatan.
Catat Rekod Guinness World Records
Samantha turut menyokong mereka yang mempunyai anggota badan unik untuk mencatat rekod dalam Guinness World Records.
“Lakukan dengan penuh dan jadikan ia aset paling besar anda. Ia adalah kuasa anda, yang menjadikan anda istimewa dan berbeza daripada orang lain di sekeliling,” katanya seperti dilapor Mirror.
Menurut wanita itu, dia membuka akaun media sosialnya untuk berkongsi kebolehan nyanyiannya tanpa sedar bahawa bentuk mukanya yang lebih menarik perhatian orang ramai.
IKLAN
Sebelum ini katanya, dia mula mengumpul keyakinan sejak dua tahun lalu apabila mengambil kelas nyanyian serta berkongsi mengenainya di Instagram.
“Kemudian saya jatuh cinta dengan komedi dan parodi serta mula banyak berkongsi mengenai itu sebelum membuka akaun TikTok pada 2019 tetapi tidak begitu aktif sehingga tempoh pandemik pada April 2020.
“Sejak itu saya berkongsi banyak video kelakar dan parodi tetapi setiap kali berkongsi sesuatu yang menunjukkan mulut saya, ia menjadi sangat tular,” katanya.
Modal Buat Duit
Disamping itu, menurut Samantha siapa sangka kelebihan mulut besar yang dimilikinya juga boleh menjadi modal untuk buat duit dan menjana pendapatan.
Mendedahkan perkara itu di TikTok, Samantha Ramsdell memaklumkan dia menerima AS$15,000 (kira-kira RM62,000) untuk setiap video yang dimuat naik di aplikasi itu.
Katanya dengan teknologi istimewa yang ada pada aplikasi itu, ia menjadikannya mudah menjana pendapatan.
GulfNews melaporkan, wanita berusia 30 tahun dari Connecticut itu turut mempunyai pengikut seramai 740,000 sepanjang penularan wabak Covid-19 ini.
Selebriti Sensasi Internet
Walaupun dia bimbang wabak pandemik itu akan menjejaskan kariernya sebagai bintang komedi, dia memberikan pengiktirafan kepada TikTok, yang menjadikan dirinya sebagai selebriti sensasi internet.
IKLAN
“Ia kedengarannya seperti tidak banyak, tetapi ada video saya ditonton lebih 50 juta tontonan,” katanya.
Samantha bermula dengan video nyanyian dan lakonan untuk meningkatkan keyakinan dan menunjukkan kemahirannya secara atas talian.Kemudian, dia menyedari mulutnya lebih mencuri perhatian.
“Kehilangan lebih 50 paun (kira-kira 22.6 kilogram) dua tahun lalu menyebabkan saya kembali yakin.
“Saya mengikuti kelas nyanyian, dan memuat naik video itu di Instagram,” katanya.
Mingguan Wanita : Memang rezeki dan tuah bermulut besar. Siapa sangka keunikan mempunyai anggota badan yang unik berpeluang dicatat rekod dalam Guinness World Records, sekaligus mampu menjana pendapatan.
Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Antara Miskin Dan Malas
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Terkecuali
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Pemalas
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Duduk Saja
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Malas Dunia Akhirat
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Langkah MAIPs Menentang Hantu Malas
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Akur
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Jihad Menentang Kemalasan
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Kalau baru jadi mak ayah, mesti rasa agak risau nak uruskan tali pusat anak yang baru lahir. Tambah kalau tali pusat tu belum kering lagilah takut-takut. Yang ada anak 2-3 orang pun kadang-kadang kekok sebab perasaan awal-awal pegang bayi ni rasanya lain macam.
Paling seram bila mandikan bayi, risau tengok tali pusat yang bergerak-gerak. Lepas itu, teragak-agak nak bubuh apa di pusat bayi.
Hah, jangan sampai salah gaya ya sebab bukan tali pusat bayi saja sensitif kulit anak pun sama. Salah produk, anak yang merana! Jadi mak ayah kena cedok ilmu untuk elak daripada berlaku jangkitan pada tali pusat anak.
Untuk membuka mata mak ayah di luar sana, baca pengalaman ibu muda, Puan Rose Naz ini…
Uruskan Anak Mandi Dan Jaga Tali Pusat
Assalamualaikum semua…
Hari ni saya nak share sikit berkenaan dengan penggunaan sabun, barut, bedak powder dan minyak pada baby yang baru lahir.
Ibu-ibu sekelian.. sesetengah baby ni kulit diorang amat-amatlah sensitif tau. Masa baby baru lahir mmg baby akan ada kesan merah seperti ruam dan juga lebam. Itu mmg normal… tapi penggunaan sabun perlu dielakkan dulu sebab ruam-ruam tu akan jadi lebih banyak.
Setengah baby tu kulit tak sensitif tak pe, tapi kalau dah mula pakai sabun dan ruam makin banyak naik jadi hentikanlah dulu sebab kebarangkalian terjadinya septic spot tu adalah tinggi.
Jadi tak perlulah ghairah sangat nak guna sabun masa awal-awal ya. Ramai dah saya tengok ghairah sangat nak mandikan baby pakai sabun. Sabar dulu sampai tali pusat tu tanggal. Haaa… lepas tu gunalah sabun sampai kering sebotol.
Barut Baby
Satu lagi pasal barut baby, tolonglah selagi tak tanggal tali pusat tu tak payahlah ghairah nak barut baby tu sebab darah dan nanah akan melekat, pada kain barut tu. Bayangkan masa kita nak buka barut, pusat yang melekat kat kain tu ikut sekali masa kita buka. Boleh tercabut tau tak….!!
Saya bercakap melalui pengalaman sebab ramai ibu muda sekarang ni tak ada pengalaman dan lebih suka ikut cakap orang, satu lagi bila dah berbarut tu tentulah akan berkuap dan berpeluh kat kawasan pusat baby tu. Rasa-rasa akan jadi apa??
Malaysia ni panas….. maka Infectionlah jawabnya.. kena pula kalau baby ada jaundice? Tak ke susah tu.
Tak perlu risau pasal masuk angin ke apa.. baby masuk angin ni pasal masalah penyusuan je bukan pasal tak berbarut ke apa.. kalau nak berbarut tunggulah smpai tali pusat tu tanggal pastu barutlah puas-puas sampai esok pun tak apa.
Satu lagi, baby baru lahir ni tak perlu nak tempek bedak powder kat badan ya sbb bahan dalam powder tu sndiri ada kandungan seperti mica, paraben dan lain-lain yang mana bole menyebabkan infeksi jangkitan pada kulit di sebabkan oleh kesan contaminate dan intolerance pada produk tertentu. Tunggulah lepas baby sebulan dan imun dia dah kuat skit pastu tempeklah sampai putih.
Minyak telon juga tak semua brand dan teksturenya tu sesuai untuk baby, ada kesan contaminated juga. Pendek kata kulit baby ni sensitif, so hati-hati memilih produk yang sesuai ya.
Nak Guna Produk Boleh Tapi…
So sebelum nak guna apa-apa produk kat baby tu tunggula lepas 16 hari or sebulan ya. Setiap baby ni tak sama so ikut pada ketahanan masing-masing.
Selalunya lepas berhenti je pengunaan sabun untuk beberapa hari kulit baby dah pun pulih.
Pusat pun kering cepat..
Kat bawah ni saya share gambar baby kesan-kesan daripada penggunaan sabun, powder dan minyak telon.
Nota:
Septic spot ni bole berjangkit kat ibu juga ya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sangat menyenyuh hati, bila seorang ibu “mickey” suap anak makan dalam hujan. Ternyata mungkin ketika itulah sang ibu dapat berehat dan menyuap anak-anaknya makan.
Ketika orang lain selesa di rumah, ibu yang kuat mencari rezeki demi anak-anak ini terus berusaha mencari rezeki biarpun cuaca hujan.
Ibu “Mickey” Suap Anak Makan Dalam Hujan
Video menyentuh hati seorang ibu memakai kostum watak kartun Mickey Mouse sambil makan bersama dua anaknya di Jakarta, Indonesia menjadi tular di media sosial.
Ternyata ramai netizen sayu melihat aksi mereka anak-beranak, lapor laman berita Suara.com semalam.
Dalam video tersebut yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, wanita berkenaan yang dikatakan mencari rezeki dengan memakai kostum Mickey Mouse sedang berteduh daripada hujan bersama dua anaknya.
Dia menyuap anak-anaknya makan dengan salah seorang daripada mereka dipangku di atas ribanya.
Sangat Menyentuh Hati
Anak-anaknya turut kelihatan kesejukan kerana terkena tempias hujan.
“Terlihat mereka berteduh daripada hujan. Seorang ibu ‘badut’ dan dua anak yang kesejukan sambil memakan nasi yang diberikan orang lain.
“Di saat orang lain mahu berehat, ibu ini bekerja. Tolong lindungi mereka ya Allah,” tulis keterangan pada video tersebut.
Sementara itu, dalam satu video yang lain, kelihatan seorang wanita memberikan makanan ringan dan aiskrim buat kedua-dua kanak-kanak tersebut.
“Apabila melihat ibu tersebut bersama dua anak kecil yang berteduh daripada hujan, saya terfikir ingin membelikan anak-anaknya makanan ringan dan mereka tersenyum gembira,” tulis wanita tersebut.
Video yang dimuat naik itu menjadi tular dengan ramai netizen meluahkan rasa simpati dan sayu mereka melihat situasi tersebut.
“Kasihan anak kecil itu, pasti mereka kesejukan,” komen seorang netizen. – Agensi
Mingguan Wanita : Tatkala menghadapi kesusahan datau diuji dalam kehidupan, pandanglah pada kesusahan orang lain seperti ibu ini. Bersusah payah demi anak-anak tercinta untuk meneruskan hidup.
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
• Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Kakak tak sangka ikan masin & telur goreng menu terakhir adik. Allahu sedihnya apabila mendapat perkhabaran adik kandung kesayangan pergi buat selamanya.Berita sedih itu...