Kehidupan semakin mencabar dan salah satu puncanya adalah, tekanan ekonomi keluarga yang meruncing. Beban kewangan semakin besar apabila komitmen perbelanjaan meningkat. Apabila harga barang keperluan asas naik, terasa sangat pendapatan bulanan mengecil. Dalam situasi ini, perbelanjaan terpaksa dilakukan secara berhemat. Ini hakikat hidup hari ini.

Bagi wanita bujang, situasi ini kurang membebankan kerana belum banyak tanggungjawab. Sebenarnya, ini lah masa terbaik untuk urus kewangan dengan bijak namun ada juga sebaliknya; berbelanja semahunya.

Apa pun status kita, ingat satu perkara, wang bukanlah segalanya, namun tanpa pengurusan wang yang bijak, ia akan memberikan tekanan hidup yang hebat sehingga menjejaskan kesihatan dan keupayaan berfikir. Jangan ambil ringan ya. Mencegah lebih baik daripada merawat.

Tekanan, Kurang Bijak Berbelanja Punca Wanita Tertekan

Kita mampu mengawal perbelanjaan kita; apa yang nak dibelanjakan sebaiknya kita kaji baik buruknya. Belanja ikut keperluan berdasarkan perancangan kewangan yang jelas. Ke mana dan di mana kita di penghujung jalan.

Apabila sudah ada perancangan, kita dapat tahu kedudukan kewangan kita. Hati pun tidak lah risau. Berikut adalah sebahagian punca mengapa wanita berasa tertekan kesan daripada cara urus perbelanjaan:

1. Ada wanita yang kurang yakin dalam hal-hal melibatkan pengurusan kewangan. Sebahagiannya kurang jelas menentukan hala tuju kedudukan kewangan sendiri.

2. Hari ini kita bekerja, tak mustahil esok kita hilang pekerjaan apatah lagi terpaksa bersaing dalam bidang yang didominasi lelaki. Tambah malang jika ada pula amalan diskriminasi lain. Oleh itu, andai kita tidak merancang kewangan dari awal, ia menjerumuskan kita dalam situasi tekanan.

3. Tiada persediaan hadapi kemungkinan buruk. Kita tidak tahu nasib kita di masa hadapan. Suka atau tidak, kita perlu juga fikirkan perkara buruk bakal menimpa. Contohnya perceraian, kemalangan atau jatuh sakit. Ramai yang tidak fikir musibah seperti ini. Hidup ada turun naik. Jika gagal rancang kewangan baik dari awal, maka hiduplah kita dalam keadaan tertekan. Mampukah kita?

IKLAN

4. Terlalu tertumpu kepada pengurusan mikro. Kita memang terbukti sangat baik dalam pengurusan tetapi lemah dalam merancang. Tanpa perancangan, sukar untuk kita atur tindakan secara sistematik dan selamat.

Jaminan Kewangan Masa Hadapan

Sama ada berkahwin atau bujang, kesukaran menyimpan kerana memenuhi keinginan berbanding keperluan serta kurang fikirkan masa hadapan, harus dihentikan segera. Jika tidak, bersedialah hadapi hidup dalam tekanan berikutan tiadanya jaminan kewangan kukuh.

 

Tekanan Dihimpit Beban Kewangan Bukan Rekaan

Kerap kali juga kita dengar, rumahtangga musnah atau di ambang perceraian banyak disumbangkan oleh faktor tiadanya kedudukan kewangan yang mantap. Jika masih bersama sekali pun, masing-masing hidup dalam keadaan tidak mesra dan aman seperti di awal perkahwinan.

IKLAN

Apa yang dimaksudkan dengan, jaminan kewangan berupaya mengurangkan tekanan kewangan dalam kehidupan seharian?

Sebahagian daripada kita beranggapan bahawa jaminan kewangan (financial security) bermaksud kita mempunyai wang yang cukup untuk membayar bil, hutang-hutang pinjaman, mampu menyimpan untuk persaraan dan masih ada wang untuk berbelanja tanpa masalah.

Ada juga yang beranggapan, jaminan kewangan merujuk kepada memiliki sejumlah wang, banyak aset dan portfolio pelaburan yang menghasilkan pulangan konsisten seiring masa. Tidak perlu pening kerana yakin sudah menguruskannya dengan baik dari awal.

Apa pun juga definasinya, jaminan kewangan secara amnya ialah, kita memiliki wang yang mencukupi bagi membiayai gaya hidup serta sentiasa berusaha memastikan matlamat kewangan yang dirangka tercapai dengan lancar.

Tidak dinafikan, jaminan kewangan menyebabkan kita terikat dengan permainan ‘nombor-nombor’ seperti berapa banyak perolehan atau pendapatan bulanan atau tahunan, berapa banyak pula yang dibelanjakan dan disimpan?

IKLAN

Kita tidak dapat lari daripada berfikir dan merasakan bagaimana kedudukan kewangan kita secara keseluruhan pengakhirannya. Kedudukan kewangan yang selesa, akan mempengaruhi emosi yang stabil dan fikiran yang tenang. Semakin usia meningkat seboleh mungkin kita elakkan tekanan. Kedudukan kewangan yang terjamin adalah jawapan bagi menghadapi situasi di luar jangkaan.

Percayalah, akibat daripada kurangnya kesedaran terhadap jaminan kewangan, ia akan melorongkan kita hidup dalam tekanan. Wang bukan segalanya, tetapi tanpa wang kita sukar untuk menjalani kehidupan yang lancar sebagaimana diimpikan.

Ingat! Ambil tahu keadaan kewangan kita! Wanita harus mementingkan diri dari aspek kewangan. Wanita memiliki sifat ‘pemberi’ secara semula jadi, terutamanya apabila ia berkaitan dengan kewangan. Sebagai contoh, kita mungkin menangguhkan rawatan pergigian untuk membeli pakaian kembali ke sekolah, anak-anak. Kita juga mampu berhenti kerja untuk membesarkan anak-anak dan menjaga ibu bapa yang semakin tua. Pilihan sedemikian menunjukan yang wanita tidak mementingkan diri sendiri, walau bagaimanapun, ini boleh meletakkan wanita dalam kedudukan kewangan yang tidak menentu.

Jika anda merancang dan anda tahu apa yang akan berlaku dari segi kewangan, anda lebih gembira dan kurang berasa tertekan.

Wanita bijak dalam urus kewangan perlu sentiasa mencari ilmu tentang cara urus kewangan. Jadikan ini sebagai satu peluang pelajaran yang boleh dipelajari oleh semua, tidak kira yang sudah berumah tangga, mahupun bujang, muda juga yang lanjut usia. Bila ada ilmu, kita tak akan terikut-ikut dengan orang lain, sentiasa berdikari dan mencari peluang untuk membuat duit lagi!

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kenangainvestors.com.my
Iklan ini belum disemak oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

*Penafian:
Artikel ini disiarkan bertujuan untuk mendidik dan memberikan kesedaran dan tidak harus ditafsirkan sebagai tawaran atau memujuk untuk menerima tawaran atau melanggan produk Kenanga Investors Berhad (“KIB”). Tiada wakil atau jaminan dari KIB, atau sebarang penerimaan tanggungjawab atau liabiliti untuk ketepatan, kesempurnaan atau kebenaran ke atas maklumat yang terkandung.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI