Kelahiran anak yang sihat dan sempurna pastinya menggembirakan hati kedua mak ayah, melengkapkan kehidupan berkeluarga. Selain memberikan nama yang membawa maksud yang baik-baik, dicukurkan rambut, ia juga menjadi tanggungjawab mak ayah melakukan ibadah aqiqah pada anak yang baru dilahirkan. Ia sebagai salah satu tanda kesyukuran atas kelahiran tersebut.
Untuk faham lebih lanjut mengenai bab Aqiqah, baca perkongsian daripada Nurul Hafizah Abdullah ini.
Ilmu Lengkap Bab Aqiqah
AKIKAH / AQIQAH ialah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah.
“Setiap anak yang lahir itu terpelihara / tergadai dengan aqiqah yang disembelih untuknya pada hari ketujuh selepas kelahirannya, dicukur rambutnya dan diberi nama.”
(Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
HUKUM AQIQAH
Hukum aqiqah itu adalah Sunat Muakkad (Sunat yang dituntut) kecuali dinazarkan hukumnya menjadi wajib.
Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri.
Ads
Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda diangkat menjadi Rasul.
Aqiqah untuk anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing.
(Riwayat al-Tirmuzi).
Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)
Niat penyembelihan aqiqah: “Aku jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Ta’ala.”
Ads
Cara Masakan
Daging aqiqah sunat dimasak dengan masakan yang manis dan disedekahkan kepada fakir miskin atau dihadiahkan kepada orang yang mampu.
Unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahagian untuk aqiqah.
Ads
Orang kafir tidak boleh diberi makan daging korban dan daging aqiqah.
Daging atau mana-mana bahagian dari binatang qurban atau aqiqah orang NAZAR, haram dimakan atau diambil oleh orang yang bernazar tersebut.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam memberi penjelasan mengenai ilmu mengenai Aqiqah. Ia sangat dituntut bagi bayi yang dilahirkan diraikan dengan mak ayahnya melaksanakan ibadah Aqiqah.
Sumber : Nurul Hafizah Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak adalah amanah daripada Allah SWT. Semua ibu bapa mengharapkan mereka membesar jadi anak yang mendengar kata, taat bukan saja pada Allah SWT bahkan pada ibu bapa. Namun, ada juga yang diuji dengan cahaya mata yang bermasalah dan tak mendengar kata.
Anak Suka Melawan
Sering kita terdengar keluhan. “Ustaz, jika anak-anak tak nak dengar kata, malas solat dan suka melawan cakap, apa nak buat?”
Malah ia jadi klise, dan selalu diulang-ulang. Berbuih mulut ustaz beri nasihat. Berbotol air jampi diberi minum. Hasilnya?
Siapa Pasangan hidup?
Sebab itu, orang lelaki dan perempuan perlu belajar menjadi ibu bapa. Mungkin anda pernah terdengar nama kitab khusus mendidik anak-anak, Tarbiyatul Aulad namanya. Buku ini ditulis oleh Dr. Abdullah Nashih ‘Ulwan. Saya masih ingat, dalam buku itu ada diberitahu, sebelum memikirkan anak-anak; maka fikirkan dulu siapa pasangan hidup kita?
Seorang lelaki mahu pun perempuan, janganlah main tangkap muat sahaja. Baru berjumpa sudah jatuh cinta. Akhirnya bernikah dan beranak-pinak; ya tanpa perlu melihat adakah orang berkenaan cocok sebagai bakal ibu bapa kepada cahaya mata kita. Inilah ajaran pertama, iaitu ‘be selective’, pilihlah bakal ibu bapa yang tepat buat zuriat kita.
Nak Didik Anak, Cari Ilmu Keibubapaan
Kemudian dari itu, kita juga perlu belajar dan terus belajar. Bukan bererti kita lulusan universiti, sudah ada ijazah maka kita tahu semua perkara. Ampun cakap, pengalaman saya sendiri melihat, pasangan yang ada ijazah sarjana dan PhD, malah berkelulusan pengajian Islam pun ada yang bercerai.
Ertinya, jangan sombong. Ilmu keibubapaan dan mendidik zuriat wajib terus kita cari. Apa lagi anak-anak zaman sekarang jauh berbeza dengan zaman ibu ayahnya dahulu. Zaman sekarang cabarannya amat mengerikan. LGBT dipromosikan tanpa segan silu. Gajet dan smart phone sudah ada dalam saku. Maaf kata, maksiat dan dosa hanya di hujung kuku.
Maka, bagaimana ibu bapa boleh mendidik anak-anak jika mereka pun naif dengan teknologi? Pesanan hukama: “Didiklah anakmu di zaman mana mereka berada.” Maksudnya, terapkan kaedah mendidik yang bersesuaian. Kaedah dahulu kala, ada yang perlu di’up-date’. Seperti sistem komputerlah. Up-date lah selalu kepada yang pakar.
Namun begitu, asas pendidikan tetap sama. Iaitu, menggunakan al-Quran dan as-unnah. Kaedah mungkin ada sedikit berubah, tapi bahannya sama. Jika nabi memerintahkan anak-anak untuk solat sejak usianya tujuh tahun, maka ia tetap sama. Jika ibu bapa menangguhkan arahan solat hingga ke sembilan tahun, maka ia satu kesilapan besar. Itulah punca si anak liat solat, justeru ‘training ground’nya yang harus dimulai dari usia tujuh tahun telah diabaikan.
Selain itu, Islam menyuruh ibu bapa memisahkan tempat tidur anak-anak ketika usianya 10 tahun, dan menyuruh anak-anak yang belum baligh mengetuk pintu bilik ibu bapa sebelum masuk dalam tiga waktu, iaitu sebelum Subuh, ketika tengah hari dan selepas Isyak (jika anak-anak yang sudah baligh, lebih berat tuntutannya untuk sentiasa mengetuk pintu bilik ibu bapa atau adik-beradik sebelum masuk kerana memelihara aurat masing-masing).
Didikan Sejak Kecil
Semua arahan ini ada maksudnya yang besar. Usia 10 tahun selalunya usia baligh bagi anak perempuan. Maka memisahkan tempat tidur, sekurang-kurangnya tilam dan selimat yang berbeza adalah dituntut (jika mampu, maka kamar yang berbeza). Ini demi menjamin keselamatan aurat mereka, walaupun sesama adik-beradik.
Islam amat menitik beratkan pendidikan sejak dari kecil. Jangan remehkan ajaran Islam, kerana punca kerosakan umat manusia hari ini adalah lantaran mereka memandang remeh tentang banyak isu teras yang telah disebut oleh Islam. Wallahuallam.
Sumber: Usaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), juga kolumnis di dalam Majalah Minguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Video bacaan ayat al-Quran PU Riz Tular! Demikian antara komen pengguna laman sosial menerusi video bacaan ayat al-Quran yang dimuat naik pendakwah bebas dan selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 29.
Menerusi video itu, PU Riz membaca potongan Surah al-Anbiya ayat 89 hingga 90 beserta maksudnya.
Menurutnya, bacaan itu sebagai peringatan buat semua yang mana ketika membaca quran perlu juga mengetahui maksud ayat itu.
“Membaca al-Quran satu cara yang boleh menenangkan jiwa. Apabila membacanya, ia boleh menjadi penawar kepada setiap hati yang sedang mengalami kesedihan, keresahan mahupun kekecewaan.
“Namun, itu bukanlah bermaksud seseorang hanya perlu membacanya apabila dia dilanda keresahan sahaja, tetapi ia perlu dibaca sepanjang masa. Malah, bacaan itu juga hendaklah difahami.
“Disebabkan itu, ulama sering menyebut bahawa satu cara untuk memahami al-Quran adalah dengan membaca beserta maksudnya agar dapat memahami makna yang disampaikan.
“Ada juga bertanya, bagaimana kalau hanya membaca tanpa memahami maknanya? Adakah tetap diberi ganjaran pahala?
Video bacaan ayat al-Quran PU Riz Tular
Dalam perkara ini, kita perlu faham bahawa ganjaran pahala diberikan ke atas bacaan dan huruf yang kita baca,” katanya.
Mengenai komen yang memuji kelunakan suaranya, PU Riz yang juga suami kepada selebriti terkenal Neelofa berkata, itu adalah anugerah Allah selain turut belajar dari segi alunan bacaan al-Quran.
Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Tidak Kekok Bergelar Mualaf
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Menangis Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Kini berasa lebih tenang selepas memeluk Islam.
Di Sebalik Nama
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Aktif belajar Iqra.
Aktif Belajar Agama
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Baiki Diri
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Segala puji bagi allah atas anugerah ini. Doakan saya & baby sihat selalu” kongsi Neera Azizi. Tahniah diucapkan buat pelakon dan penyampai radio, Neera...