‘Tak pernah bergaduh, menantu bukan jenis baran.’ Lelaki larikan diri selepas kelar isteri, anak yang baru saja selesai berpantang. Entah apa yang berada di fikiran lelaki ini sehingga sanggup bertindak sedemikian rupa.
Mungkin apa yang berlaku ini di luar fikiran warasnya, jika tidak mana mungkin dia sanggup bertindak sedemikian rupa. Semoga keluarga mangsa reda menerima ujian berat ini, apatah lagi kehilangan dua nyawa insan tersayang serentak.
Seorang bapa terkedu melihat anak perempuan dan cucunya berlumuran darah dan tidak bernyawa dipercayai dikelar leher oleh menantunya sendiri di Kampung Bakar Batu di sini, tengah hari tadi.
Menurut Rosman Ahmad, 58, dia menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya yang memaklumkan terdapat masalah di rumah anak ketiganya yang berusia 26 tahun sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila saya sampai, anak pertama dan kedua sudah ada di sini (rumah keluarga anak ketiga), saya lihat anak perempuan saya terbaring depan pintu rumah dengan luka di leher macam dikelar.
“Cucu lelaki saya, juga terdapat luka di leher, ketika itu ada jururawat sedang mengendongnya. Tetapi, saya difahamkan cucu saya ditemui di sisi ibunya,”katanya.
Menantu Bukan Jenis Baran
Wanita itu dan anak tunggalnya, Hans Mohd Thakif Amir berusia kira-kira dua bulan, ditemukan sudah meninggal dunia, dipercayai dikelar suaminya berumur 25 tahun.
Ads
Lelaki itu pula dilaporkan melarikan diri sejurus kejadian itu dengan menaiki motosikal dalam keadaan berbogel.
Beberapa video dan gambar memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek dalam kejadian kelar isteri dan anak itu kemudian tular di media sosial.
Lelaki Larikan Diri
Menurut Rosman, anak dan menantunya itu dijadualkan bersanding 24 Julai ini memandangkan tidak dapat berbuat demikian selepas bernikah tahun lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah, katanya, persiapan untuk majlis bersanding itu juga sudah siap dan hanya menunggu hari bahagia itu.
Ketika ditanya mengenai hubungan anak dan menantunya itu, Rosman berkata, sejak berkahwin, pasangan itu hidup bahagia.
“Anak saya dan menantu memang anak yang baik. Mereka tiada masalah. Saya tidak pernah dengar mereka bergaduh.
“Cuma akhir-akhir ini, saya tahu menantu saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu. Mungkin dia ada masalah tempat kerja.
Ads
“Dulu dia ada buat kerja pembersihan di stadium, lepas itu dia berhenti kerja. Kemudian saya dapat tahu dia hanya kerja sambilan mencuci kapal di Pasir Gudang dan bantu kerja-kerja penyediaan makanan,” katanya yang memaklumkan menantunya bukan seorang yang panas baran.
Selepas Kelar Isteri, Anak
Sementara, isteri Rosman, Norazlina Hamdan, 50, berkata, mereka sekeluarga reda dengan apa yang sudah berlaku kerana menganggap menantunya juga anak yang baik
“Anak saya kalau ada masalah banyak cerita dengan adik-beradik dia saja, tetapi tidak ada pula dia mengadu ada masalah kewangan.
“Jadi saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku kerana sudah kenal menantu lama dan mereka baik,” katanya pasrah.
Jenazah kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, esok.
Sekarang ni kalau nak potong ayam yang dah beli pun ada yang kena caj kan. Jadinya, mak-mak tak perlu bazirkan duit, walaupun berapalah sangat kan. Potong sendiri kat rumah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kuasa pelukan mempunyai ‘magisnya’ yang tersendiri. Mampu memberi kesan positif baik pada pasangan suami isteri mahupun anak-anak. Pesanan buat mak ayah biasakan memeluk anak-anak dengan pelukan kasih sayang sejak mereka kecil dan teruskan rutin tersebut sehingga mereka meningkat remaja dan dewasa. Tak kiralah baik pada anak lelaki mahupun perempuan, dan lihatlah kesannya nanti.
Jangan berhenti memeluk anak-anak baik lelaki atau perempuan.
Pelukan ayah ibu dapat meredakan ledakan emosi yang dialami anak. Apabila anak-anak mengalami ‘temper tantrum’ atau tekanan, anak menghadapi masalah dengan regulasi emosi. Pelukan mengurangkan hormon stres (cortisol) dan menaikkan hormon kasih sayang (oxytoxin) yang meredakan emosi.Bukan itu sahaja, pelukan anak-anak juga dapat meredakan tekanan yang sedang dialami ayah dan ibu.
Jika dari kecil diamalkan, tidak ada sesiapa yang akan merasa kekok. Jika baru hendak bermula, teruskanlah, tidak ada salahnya. Tidak haram bagi ibu memeluk anak lelaki dan tidak haram bagi ayah untuk memeluk anak perempuan.
Jika ada yang melarang ayah dari memeluk anak perempuan dan sebaliknya, itu bermakna orang yang melarang itu mungkin pernah mengalami pengalaman yang tidak elok dengan ayahnya atau dengan lelaki dewasa rapat dalam keluarganya. Oleh itu nasihat tersebut tidak releven untuk keluarga normal dan harmoni seperti keluarga anda.
Peluklah anak lelaki dan anak perempuan anda. Itulah cara termudah dan termurah untuk membina ‘connection’ pada zaman di mana kita sering sibuk terkejar-kejar masa.Pelukan tidak menjadikan anak lelaki lembik, sebaliknya ia memberi kekuatan dalaman kepada mereka.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Biasakanlah memeluk anak-anak kita dengan penuh kasih sayang sejak dari kecil dan penuhilah ‘tangki emosi’ mereka. Ia bukan sahaja mampu meredakan emosi, mengawal sikap anak-anak, malah menjalin hubungan erat di antara mak ayah dan anak-anak.
Hadiahkan talak pada isteri, binyi kejam kan? Aku rasa mungkin ramai wanita yan mungkin marah dan menyalahkan aku bila membaca kisahku ini. Kata aku tidak tahan dugaan. Tak kisahlah. Hakikatnya diri ini yang tanggung.
Sebagai seorang lelaki bergelar suami, tentu saja aku bertanggungjawab untuk mendidik wanita yang telah ku sunting menjadi suri hidup. Tapi andai aku tak mampu lagi memikul tanggungjawab itu, biarlah aku lepaskan dia dengan cara baik.
Aku Diperkenalkan Rakan
Aku dan bekas isteri, M, berjumpa atas saranan rakan. Kebetulan rakan baikku itu, K, mempunyai kekasih, J, yang merupakan rakan rapat M. Memandangkan aku jenis lelaki yang agak pemalu dan tak pandai ‘mengayat’ perempuan, M beria-ria tolong carikan awek untukku. Waktu itu, aku sedar sebenarnya K ada niat lain. Lagi memudahkan dia keluar dengan J kalau kami double date kerana aku berkereta sejak di universiti.
Tapi aku tak kisah kerana aku juga boleh keluar lepaskan stres belajar. Tak sangka, M menunjukkan minat kepadaku sejak pertemuan pertama. Lebih-lebih lagi dia tahu aku berkereta. Maklumlah, zaman belajar bukan ramai sangat pelajar berkereta.
Aku pula dihadiahkan kereta oleh mak dan ayah kerana memudahkan aku balik, yang hanya memakan masa lebih kurang dua jam dari kolej. Aku anak tunggal mak dan ayah yang hanya brniaga kedai runcit di kampung Tapi kehidupan kami lebih daripada mencukupi untuk hidup sederhana. Aku ada mengusahakan sebuah ladang ternakan lembu dan sebab itu aku sering kali balik. Kasihan pada ayah yang uruskan.
Tetap Hadiahkan M Duit shopping Walau Susah
M bukan wanita jahat. Dia lemah lembut dan berbudi bahasa dengan orang tua. Pandai pula memasak. Bila bawa berjumpa orang tuaku, tentu saja mereka berkenan. Akhirnya, setelah kami sama-sama tamat belajar kami disatukan.
Waktu itu aku menguruskan ladang lembu milik mak dan ayah. M pula bekerja di sebuah syarikat swasta. Sebagai suami, aku tak pernah sentuh wang gaji M. Segala belanja rumah tangga aku yang uruskan. Bahkan duit untuk dia shopping barangan mahal juga aku yang bagi, selain nafkah bulanan. Pendek kata, wang gajinya hanya disimpan. Kalau ikutkan, aku tak perlu beri duit lain untuk dia shopping memandangkan nafkah wajib dan segala keperluannya sudah kupenuhi. Tapi, aku tak kisah.
Bisnes Aku Menurun…
Bekerja sendiri ada turun naikkan. Pernah aku minta M bantu mana yang patut tapi dia buat tak tahu. M ini orangnya bercita rasa tinggi. Semua barangnya mesti berjenama. Kalau minta dia berjimat, dia akan tarik muka. Katanya malu kalau pakai barang murah ke pejabat sedangkan aku lihat kawan-kawannya biasa-biasa saja. Tidaklah semua berjenama dari kepala hingga ke kaki.
Setiap tahun perkahwinan dan hari jadinya, dia akan ajak aku ke kedai emas untuk membeli hadiah untuknya. Walau pun aku kata tak begitu ada peruntukan saat itu, tapi dia tetap berkeras. Tak nak gaduh, aku ikutkan saja walau pun terpaksa korek simpanan.
Cuba Pinjam Duit M
Sehinggalah akhirnya masuk tahun keempat kami kahwin, aku mengalami masalah kewangan berkaitan dengan ladang ternakanku itu dan meminta untuk meminjam wang daripada M kerana aku dah tiada duit tabungan. Tapi M dengan tegas tak nak bantu. Katanya baik jual saja segala lembu dan cari kerja makan gaji.
Aku pula keberatan kerana itu minatku dan tentu ayah sedih kerana dah lama diusahakan. Aku malu dengan mak dan ayah kerana M tak mahu bantu sedangkan kami tahu dia berduit. Sampaikan dia keluarkan kata-kata, dia sanggup hilang suami daripada hilang duit.
Tekad Hadiahkan Talak Untuk M
Aku sangat terpukul dengan kata-katanya itu. Ini baru sedikit minta pertolongan dia pun dia dah tak sanggup. Bagaimana kalau hidup aku benar-benar susah nanti?
Aku tekad, aku lepaskan dia dengan baik. Ya, akhirnya aku hadiahkan talak buat wanita yang pernah ku sayangi itu. Aku perlukan wanita yang sentiasa menyokong saat aku susah. Bukan hanya inginkan aku saat aku senang saja. Mungkin sebab itu juga kami belum dikurniakan cahaya mata kerana rupanya jodoh kami tak panjang.
Semoga M tidak terus bersikap begitu. Kita tak tahu nasib kita akan datang. Lagi pun, wang ringgit bukan boleh dibawa mati…
Tanyalah mana-mana wanita, mesti dia akan bagitau, suami yang diidamkan mestilah seorang yang romantik, tahu ambil hati dan sentiasa menggembirakan dirinya.
Ini jawapan yang diberikan oleh Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga, tentang apa yang dikatakan suami romantik.
Sifat romantik jika dirujuk kepada suami atau golongan lelaki bermaksud bijak menggembirakan hati isteri. Ciri-ciri suami romantik ialah pandai membelai perasaan isteri dengan puji-pujian, bijak membelai tubuh badan isteri, cekap untuk membaca hati dan kehendak isteri dan yang penting sentiasa teruja, misalnya untuk memeluk, mencium, mendukung dan mengurut tubuh badan isteri tanpa dipinta.
Ada Kelemahan
Namun, banyak golongan lelaki dilihat gagal dalam memimpin isteri dan anak-anak di rumah meskipun secara zahirnya punyai trait personaliti “romantik” seperti pernyataan di atas. Ia berpunca daripada beberapa kelemahan diri suami tersebut seperti:
1. Kewangan diri tidak mapan. Natijahnya, pihak isteri akan merasa tidak selamat sebab mereka tidak mampu memasak, mengurus kebajikan keluarga dengan lancar dan akhirnya jiwa mereka tertekan. Apabila jiwa tertekan akibat sakit poket (masalah kewangan keluarga), akan timbul krisis komunikasi. Contohnya, berleter tanpa kesudahan, marah-marah dan perasaan benci.
2. Kurang ilmu agama dan penghayatan hidup beramal mengikut syariat agama. Ia selari dengan pesanan jumhur orang alim iaitu “Hidup ini bukan hanya tentang apa yang kita hendak tetapi apa yang Allah hendak”.
Kepimpinan Keluarga
Dalam sesetengah kes yang melalui sesi kaunseling mengakui meskipun suami mereka miliki duit banyak, harta bertimbun dan berpangkat, namun kehidupan kekeluargaan mereka hambar, sering bertengkar dan ada yang sampai bercerai-berai. Di akhir rumusan sesi itu, tiada jalan lain untuk membina keluarga bahagia melainkan mengembalikan sikap kepimpinan suami romantik yang bukan sahaja bijak ‘bermesra’ dengan isteri secara fizikal di dalam rumah, malah juga bijak ‘bermesra’ dengan isteri dari aspek emosi, rohani dan spiritual dengan melakukan perkara berikut;
1. Memimpin isteri (kalau ada anak, mesti bawa anak-anak sekali) solat berjemaah.
2. Memberi tazkirah dengan membaca al-Quran dan tafsirnya atau membaca Hadis Nabi setiap hari, paling kurang sekali.
3. Sentiasa memanjakan isteri dengan ucapan doa-doa restu, pujian, harapan dan kasih penuh ihsan hingga ke syurga nanti
Banyak kalangan isteri mengakui fitrah golongan wanita ialah mendambakan sikap romantik suami yang penuh hemah, tabah dan kreatif dalam usaha membawa isteri membina suasana hidup beragama. 1001 masalah rumahtangga menjadi reda, terungkai dan selesai apabila suami romantik dalam membelai keperluan jasmani, emosi, semangat dan rohani isteri melalui;
1. Ucapan-ucapan yang menyentuh hati. Contohnya, memberi pujian tentang masakan isteri. 2. Mengusap lengan, paha, leher dan pinggang isteri sambil memuji-muji akan keluhuran dirinya 3. Apabila isteri bertanya di mana hebatnya dia? Maka suami hendaklah menjawab dengan penuh ikhlas dan tidak dalam keadaan perli.
Jadi, hargailah isteri dengan menjadikan dirimu suami romantik yang bukan sahaja pandai ‘bermesra’ dengan isteri dari segi zahir dan batin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...