Konsert Soul Sisters yang menggandingkan tiga penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar, Siti Sarah Raissuddin dan Noryn Aziz telah pun berlangsung cemerlang pada 5 dan 6 April lalu. Tiket yang dijual menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) laris sungguh jualannya.
Tribute Soul Sisters khusus buat kumpulan Feminin, menjadi segmen mengujakan sepanjang berlangsungnya konsert yang mengambil tempat di Panggung Sari Istana Budaya. Selain paduan vokal gemersik yang harmoni, ketiga-tiga mereka harus berbangga kerana meski masa beredar, dan muncul pula wajah-wajah baru menyeri industri seni suara…mereka masih kekal relevan di kelas yang tersendiri.
Ketika sesi temu bual dan fotografi ini diaturkan, ketiga-tiga mereka berkongsi debaran, persiapan dan bercerita mengenai sisi lain kehidupan mereka dari sorot lampu limpah dunia glamor. Bersama MW mereka saling berkongsi kisah perihal status sebagai ibu, karier nyanyian dan siapa Misha, Sarah & Noryn.
Naluri Sang Penyanyi Misha Omar
Bakat seninya digali oleh komposer popular Allahyarham Adnan Abu Hassan dan menjadi salah seorang finalis “Bintang RTM” 2001. Bersaing bersamanya di pentas yang sama adalah Siti Sarah Raissuddin dan Azharina. Walau tidak merangkul kemenangan membanggakan ketika itu, bakatnya telah membawanya terus cemerlang sehingga ke hari ini.
“Bekerja keras, jangan sombong dan sentiasa berusaha untuk menggali lagi ilmu baru adalah pegangan saya sejak 17 tahun lalu. Saya juga membataskan diri dari gosip dan sejujurnya saya tidak punya teman akrab ataupun BFF dalam kelompok selebriti. Komitmen saya terhadap keluarga membataskan saya untuk berlama-lama usai urusan kerja selesai.
“Berkolaborasi bersama nama-nama besar seperti yang terbaru berkongsi pentas bersama Siti Sarah Raissuddin dan Noryn Aziz baru-baru ini mencatat rekod manis buat saya secara peribadi. Mereka sendiri sudah dikenali dengan kemampuan vokal masing-masing yang memukau dan saya berharap bakal ada lagi projek seumpamanya di masa depan,” luahnya merendah diri.
Mangsa Komentar Keterlaluan Netizen
Terdahulu nama Misha terpalit dengan komentar kelaluan netizen, apabila kemenangannya dalam Anugerah Juara Lagu ke 33 (AJL 33) didakwa ada unsur penggunaan sihir. Misha kemudian membuat laporan polis dan menuntut kenyataan maaf daripada individu yang membuat tuduhan tersebut.
“Sebaran status di laman Twitter itu , mendakwa saya melakukan perbuatan khurafat dan melibatkan penggunaan sihir untuk AJL 33. Kenyataan itu mencalarkan reputasi saya yang dijaga baik selama 17 tahun dalam bidang seni suara. Sejujurnya tuduhan ini menjejaskan perasaan saya, keluarga dan memberi kesan kepada karier saya. Tindakan ini dibuat bagi memberi pengajaran kepada semua agar berhemah apabila menggunakan media sosial,” jelas Misha berkenaan tindakan tegas berkenaan isu tidak benar dikaitkan dengannya.
Ads
Noryn Pilih Sahabat Yang Jujur Dan Ikhlas
Antara tiga orang ‘soul sisters’ ini, Noryn Aziz boleh dikatakan yang paling tua. Dia menganggap Misha dan Siti Sarah sebagai adik-adiknya. Namun begitu dia ‘respect’ bakat yang dimiliki oleh mereka.
“ Melihatkan bakat mereka itu membuatkan saya perlu berlatih dengan gigih juga untuk sama tahap dengan mereka. Mereka ada kelebihan mereka yang tersendiri. Saya juga ada kelebihan sendiri. Jadi apabila kami digabungkan untuk bekerjasama dalam konsert ini, kami saling lengkap-melengkapi.
“ Saya tahu Misha dan Siti Sarah nama besar dalam ‘mass market’ jika dibandingkan dengan saya. Saya lebih kepada persembahan korporat dan ada peminat saya tersendiri. Jadi benda itu tidak boleh dijadikan alasan untuk saya berada di belakang kerana orang tidak mengenali saya. Saya perlu sebaris dengan mereka dan jadi yang terbaik.
“ Banyak yang saya belajar dari mereka jika mahu masuk ‘mass market’. Sebelum ini saya seorang yang pemalu dan kurang bercakap. Mereka ajar saya jadi lebih berani.”
“ Setiap insan mempunyai sahabat yang boleh dijadikan tempat untuk berkongsi cerita sedih dan gembira. Walaupun bergelar selebriti yang mengenali ramai rakan artis, namun bagi Noryn sendiri, mereka yang bergelar sahabat dalam dirinya adalah orang biasa dan tidak terlibat dalam bidang seni.
“ Mereka selalu menghormati apa yang saya buat. Bagi saya dalam memilih sahabat, paling penting adalah ikhlas dan jujur. Kita tidak ada niat yang pelik di sebaliknya. Kita perlu saling menghormati. Sukar untuk mencari sahabat apabila usia sudah mencecah 40-an. Percayalah adik-adik yang berumur 20-an dan 30-an, apabila berumur 40-an, sukar mencari sahabat. Biar kita tidak ada kuantiti tetapi yang penting kita ada kualiti,” ujar penyanyi cantik ini.
Ads
Siti Sarah Pernah Kehilangan Suara
Dalam kesibukannya menguruskan karier nyanyian dan keluarga, Sarah tidak lokek bercerita tentang pengalaman yang pernah kehilangan suara. Perkara ini yang menjadi punca dirinya menyepi sebelum ini. Oleh itu secara peribadi dia sangat bersyukur dengan apa yang dilaluinya kini.
Mungkin orang di luar sana beranggapan Sarah hilang minat untuk menyanyi lagi, namun sebenarnya wanita ini diuji dengan kehilangan suara selema beberapa tahun selepas melahirkan anak. Malahan ini bukan perkara ini berlaku, tetapi sudah dua kali.
“Sudah tentu saya terfikir yang karier nyanyian saya akan berakhir apabila suara saya mula hilang ketika melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni. Selepas melahirkan anak kedua iaitu, Dzahira Talita Zahra, suara saya saya makin teruk.
“Hilang suara ini buatkan saya hanya sekadar boleh menyanyi. Tatkala menyanyi saya tidak mampu mencapai nota tinggi dan rendah. Kesannya saya memang rasa rendah diri dan tertekan. Maklumlah selama ini saya bergantung kepada kelebihan suara bukanlah paras rupa dalam bidang nyanyian.
“Tetapi saya tetap berusaha untuk mendapatkan kembali suara saya selepas melahirkan anak ketiga, Ariq Matin. Untuk pengetahuan semua, ketika menyertai GV3, suara saya masih belum pulih sepenuhnya.
Ads
“Oleh itu, untuk kembalikan semula vocal saya, saya mempelajari Teknik vocal yang betul dengan guru vocal iaitu Ernie Zakri. Alhamdulillah hampir setahun, suara saya kembali semula,” ceritanya terharu.
*******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh tiga diva bersuara emas ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi April, Volume 2 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Penyelaras & Teks : Mastura Burhanuddin, Nur Syazwani Mehat & Julie Roshana Akma Shafee Foto: Ahmad Shahir Osman Video: Shahrinizam Othman Tajaan Pakaian: Anuar Faizal (Instagram: Anuar Faizal Of Adesignhouse)
Tidak dinafikan, ramai yang mempercayai bahawa dugaan bertunang adalah satu fasa yang cukup getir dalam sesebuah perhubungan. Manakala bagi Elfira Loy dirinya menganggap ia sebagai salah satu ujian.
Dia percaya apabila ramai di luar sana mengatakan tempoh pertunangan akan terselit dengan dugaan bertunang tetapi segalanya berbalik kepada soal jangkaan.
Kunci Dalam Hubungan
Hakikatnya paling asas dalam sesebuah hubungan, kunci asasnya adalah berbalik kepada kepercayaan terhadap pasangan. Sebagai tunang, Elfira meletakkan dirinya dalam keadaan bersedia.
Dirinya dan Sufian sedari awal telah mempersiapkan diri sebelum menghadapi dugaan yang mendatang. Setiap ujian yang mendatang juga menjadi kayu pengukur bagi kesabaran mereka berdua. Sejak tempoh mereka rapat lagi pasangan ini diuji dengan pelbagai perkara, namun sikap matang pasangan ini membuat mereka bijak mengawal emosi.
“Walaupun pendek jangka masa kami berkenalan, tetapi kami tetap diuji. Ada dugaan yang datang, malah saya pernah dilabel menjadi perampas. Hakikatnya bukan begitu. Begitu juga dengan kontroversi Sufian dituduh kononnya mengganggu isteri orang melalui aplikasi Bigo pada Jun lalu.
“Namun setiap apa yang berlaku kami hadapi dengan tenang, paling penting kami cuba berkomunikasi dengan baik. Komunikasi memang penting dan kita perlu jujur. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena, kita cuba jelaskan secara berdepan.
“Sebenarnya dalam hubungan ini, kita juga tidak boleh terburu-buru membuat andaian dan mungkin ujian yang datang itu adalah tanda Tuhan ingin menguji sejauh mana kesabaran kita. Malah dalam hubungan juga, jika kita boleh menerima seseorang itu dalam keadaan baik dan buruk, maka insya-Allah ikatan yang terjalin akan terus ke tahap yang lebih baik,” katanya lagi.
Tidak Mahu Terlalu Lama Bercinta
Lamaran Sufian dengan membawa jambangan 23 kuntum bunga ros pada 8 Mac lalu ketika Elfira genap usia 23 tahun tepat jam 12 tengah malam sesungguhnya membuktikan Sufian benar-benar serius dalam hubungan yang terjalin. Tarikh keramat tersebut juga menjadi titik tolak untuk kami serius menjalinkan hubungan yang lebih rapat.
Setelah beberapa bulan menyulam cinta dengan restu insan terdekat, Syawal lalu membuktikan Sufian mengambil langkah berani dengan menghantar rombongan merisik dan akhirnya Oktober lalu menjadi detik indah iaitu hari pertunangan Elfira dan Sufian. Kurang enam bulan dari sekarang, pasangan ini merencanakan untuk tamatkan zaman bujang di bulan kelahiran Elfira.
“Kami merancang untuk berkahwin pada Mac 2018, namun tarikhnya masih belum pasti memandangkan kami tidak rancang apa-apa lagi termasuklah mencari dewan atau konsep perkahwinan. Tetapi jika diikutkan memang saya tidak mahu terlalu lama bercinta dan kalau boleh dalam masa kurang setahun kami bersatu.
“Nampaknya Allah makbulkan apa yang saya mahukan. Malahan itulah juga tempoh yang ibu saya berikan untuk seseorang lelaki mengenali saya. Jadi saya harap semua orang doakan yang baik-baik untuk saya dan Sufian. Semoga apa yang kami rancang berjalan lancar,” ungkap Elfira lagi.
Patutlah Elfira Terpikat…
Menurut Elfira, sejak kali pertama dirinya didekati Sufian lagi, dirinya dapat merasakan Sufian sangat ikhlas untuk mengenalinya. Hubungan mereka dimulakan dengan cara baik. Segalanya dipermudahkan Allah apatah setelah hubungan mereka berdua mendapat restu ibu bapa sejak di awal perkenalan lagi.
Malah perkara pertama yang dapat Elfira dapat katakan sesuatu yang membuatkan hatinya terpikat dengan Sufian adalah kesabaran yang ada pada dirinya. Kesabaran adalah aset termahal sekali, malah jika setiap dugaan yang mendatang jika dihadapi dengan sikap sabar maka segalanya akan berjalan dengan lancar dan ditempuhi dengan mudah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selebriti wanita yang berwajah Pan Asian, Yasmin Hani Richardson, 39 atau lebih selesa dengan panggilan mesra Hani bersama suami, Sha’arin Mohammed Razali, 53 serta dua puteranya Noah Ismail Wong, 4 dan Eissa Elzander Wong, 1 tahun 2 bulan, terpilih menjadi penghias sampul Majalah Mingguan Wanita, isu April Volume 1 baru-baru ini. Banyak perkara yang dikongsikan bersama baik urusan rumahtangga, anak-anak, kerjaya,rahsia kekal sihat & langsing dan sebagainya.
“Alhamdulillah apabila di rumah, kerja saya ringan apabila dibantu oleh pembantu rumah yang cekap bekerja. Malah, pembantu saya juga sangat bagus dan setia. Sejak Noah kecil hinggalah saya melahirkan Eissa dan kini usia anak kedua saya itu sudah mencecah 1 tahun dua bulan, dia menjaga anak saya bagaikan menyayangi anaknya sendiri. Pembantu saya juga pandai memasak, jadi sekali sekala saja saya akan turun ke dapur apabila punya masa luang.
“Sejak anak sulung Noah lahir lagi saya sudah ada pengasuh, jadi tiada masalah sekiranya saya keluar bekerja kerana akan ada orang untuk menjaga mereka. Lagipun, bergelar ibu pada zaman moden sangat menyenangkan kerana kita sudah boleh menyimpan stok susu badan untuk beberapa hari.
“Memandangkan karier saya berbeza dengan wanita di luar sana kerana kerjaya saya perlukan komitmen yang tinggi dan masa yang tidak menentu. Jadi saya kena tenang dan kalau tak mampu melaksanakan tugas, saya akan meminta bantuan sama ada suami, ibu mertua atau kakak untuk menjaga putera-putera kesayangan saya. Malah, keluarga saya juga tiada masalah untuk menjaga Eissa kerana mereka memang sukakan budak-budak,” jelas Hani.
Tip Kekalkan Kebahagiaan Rumahtangga
Setiap pasangan pastinya memiliki tip tersendiri dalam mengekalkan kebahagiaan rumahtangga yang dibina.Hani akui sebagai seorang isteri apatah lagi bergelar artis banyak yang perlu diharungi. Keserasian, kerjasama, bantu-membantu antara suami isteri adalah tonggak kebahagiaan rumah tangga.Bagi Hani sendiri pesanan oleh ibunya yang paling diingati, kunci kebahagiaan perlu banyak bersabar.
“Ibu sering memberikan saya kata kunci kebahagiaan iaitu perlu banyak bersabar. Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Nak kena letak limitasi pada diri, berjuang dan tak nak toleransi dalam perhubungan itu semuanya terpulang pada diri kita yang memilih jalan terbaik bagi mencorak kehidupan keluarga sendiri,” kata Hani yang cukup rapat dengan ibunya.
Hujung Minggu Hari Keluarga
Hani juga sangat beruntung kerana suami banyak membantu dan sering bergandingan bahu bagi membesarkan anak-anak mereka. Malah, meskipun Hani dan suami selalu sibuk dengan kerjaya masing-masing namun Hani menerangkan setiap hujung minggu merupakan hari keluarga buat mereka.
“Memandangkan Noah sudah semakin membesar, suami sentiasa mengambil tahu hal-hal pemakanan anak sulung kami. Malah bila di hujung minggu apabila saya masak Sha’arin yang akan suapkan makanan kepada Noah. Sekarang ini kami bergilir-gilir ambil anak dari sekolah, bila suami ada masa, dia akan ambil anak. Memandangkan Sha’arin pun punya jadual kerja yang cukup ketat, jadi kami ambil keputusan untuk melapangkan masa pada hari Ahad sebagai family day.
“Pada hari biasa, saya dan suami sangat sibuk dengan kerjaya masing-masing. Memang kami akan ambil masa sehari dalam seminggu sebagai family day untuk bawa kedua-dua anak bersiar-siar. Pada kebiasaannya kami akan bawa Noah dan Eissa berenang di kolam renang di kediaman kami,”terang Hani yang pernah mengendalikan program Muzik@Ria dan terkenal dengan tagline Watchaaa.
Rahsia Kekal Langsing
Ditanya tentang rahsia dirinya yang kelihatan langsing selepas memiliki dua orang anak, Hani menerangkan dia bukanlah seorang yang mengamalkan berpantang secara tradisional.
“Saya bukannya jenis yang suka berpantang. Adakala saya bertekak juga dengan mak bila menyentuh bab-bab penjagaan pantang. Ada sahaja yang disuruh tapi saya tolak. Penjagaan berpantang saya lebih kepada penjagaan makanan. Paling penting, jaga ketika masih mengandung lagi. Saya lebih suka amalkan makanan yang berkhasiat ketika berpantang. Biasanya saya ambil nasi dengan ayam panggang atau ikan stim bersama sayur. Badan kita perlukan lebih zat selepas bersalin,” kata Hani yang menasihati agar wanita perlu yakin dengan apa jua bentuk fizikal yang dimiliki.
Hani merupakan seorang yang gemar bersenam dan dek kerana itulah dia berjaya mengekalkan berat badan idealnya, walaupun sudah melalui proses kelahiran sebanyak dua kali.
”Pada saya sebagai seorang wanita, kita sememangnya perlu bersenam. Hilangkanlah masalah malas. Kalau malas pun belilah alatan senaman yang ringkas agar mudah untuk anda bersenam terutamanya golongan wanita. Ataupun jika malu berseorang ajaklah rakan-rakan anda berjoging bersama-sama dan luangkan masa untuk keluarkan peluh. Jangan berlengah untuk mula bersenam.
Jaga Kesihatan Diri Dahulu
“Sebagai seorang wanita, kita perlu menjaga kesihatan kita dan kedua barulah menjaga anak-anak. Jika kita tidak terurus bagaimana kita nak uruskan orang lain. Usia saya tahun ini genap 39 tahun dan alhamdulillah hasil dari penjagaan makanan saya berasa cukup sihat.
“Sekarang ini saya amalkan pengambilan makanan sihat dan seimbang. Saya tak makan ayam dan daging. Saya amalkan mengambil banyak protein dan beras perang. Sebenarnya protein sangat penting dan jika badan kita kurang protein akan menyebabkan banyak kemudaratan.
“Sebab itu suplemen protein sangat penting dan saya keluarkan produk berkaitan dengan makanan tambahan ini bersama suami. Produk yang diberi nama sweetcuts.asia ini merupakan produk saya sendiri iaitu protein untuk perempuan di mana mampu membantu untuk membakar kalori dalam badan. Saya gemar bersukan kerana bersenam merupakan anti penuaan. Apabila otot tak kuat kita akan cepat sakit.
“Saya amalkan juga pengambilan air kosong yang banyak, makan vitamin dan suplemen. Insy-Allah jika kesihatan kita tidak terganggu sudah pasti kita boleh menjaga ahli keluarga kita dengan baik,” ungkap Hani.
Mengenai perkembangan terbaru dalam bidang seni, Hani menjelaskan kini dia mengendalikan sebuah program yang berjudul, ‘Hello Doktor’ di TV3 setiap jumaat. Program tersebut merupakan program tentang keibubapaan dan keluarga, bersiaran selama 30 minit. Hani juga menerangkan dia kini mengendalikan Online Show yang berjudul ‘Oh Hani’ di akaun Instagram dan online miliknya.
Teks: Norhayati Suboh
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 38 tetap cantik dan manis seperti dahulu walau pun sudah beranak tiga, Farhana, 9, Fazneesya,8, dan Fyrdaus, 2 ½ tahun. Turut sama, salah seorang anak tirinya, Farisha, 18.
Memerhatikan hubungan di antara ibu dan anak tiri ini, memang terbukti apa diperkatakan orang selama ini bahawa Lis memang rapat dengan anak-anak tirinya adalah benar.
“Saya bersyukur kerana anak-anak hasil perkahwinan terdahulu suami, Fauzi Nawawi dapat menerima kehadiran saya. Ketika mula-mula berkahwin dahulu, mereka masih kecil. Saya banyak mendekati mereka menggunakan pendekatan kasih sayang dan sikap prihatin. Saya akan menasihati mereka jika mereka membuat kesilapan. Alhamdulillah, semakin lama hubungan kami semakin baik.
“SAYA MARAH TAPI NIAT NAK MENDIDIK…”
“Keempat-empat anak tiri saya iaitu Fatihah, 21, Faris, 20, Farisha, 18 dan Fikri, 15 akan tinggal dengan saya setiap kali musim cuti sekolah atau setiap kali mereka berada di Kuala Lumpur. Dalam mendidik anak-anak, saya tetap tegas sama ada dengan anak kandung mahu pun anak tiri. Saya selalu memberitahu mereka, saya marah atau tegur kerana sayang. Bukan kerana benci. Saya lakukan semua itu dengan tujuan nak didik mereka. Saya juga mama mereka, selain ibu kandung mereka. Saya dah anggap seperti anak. Jadi, takkan saya tak boleh tegur atau marah anak sendiri? Biasanya saya akan terangkan apa sebabnya saya marah. Saya takkan marah tanpa sebab.
“Kalau di rumah, saya akan ajar anak-anak untuk buat kerja-kerja rumah sama-sama terutama anak-anak perempuan. Bagi saya anak perempuan kena tahu dan rajin buat kerja rumah. Saya perhatikan anak remaja sekarang terlalu asyik dengan telefon bimbit hingga jadi malas. Bila disuruh buat kerja rumah pun tak diendahkan. Saya tak nak anak-anak saya macam itu.” Luah Lis yang memberitahu semua anak memanggilnya mama.
BUAT ANAK MACAM KAWAN
“Ada juga yang tak percaya saya boleh baik dengan anak-anak tiri. Tapi saya tak kisah apa orang nak cakap. Saya juga akan layan anak-anak tiri macam kawan-kawan. Ada masa kami bersembang dan keluar bersama seperti menonton wayang. Saya nak mereka rasa mereka boleh berkongsi apa saja dengan kami, berbanding rakan-rakan. Saya juga selalu tekankan pada mereka, hubungan kekeluargaan dan sesama adik-beradik kena sentiasa dijaga.
“Dan si ayah pun kena faham jika kita marah anak-anak dia. Jangan pula sokong mereka jika mereka buat salah. Itu pun penting juga agar tidak timbul konflik. Selebihnya, kena banyak berdoa agar hubungan itu kekal harmoni,” Tambah Lis lagi.
BAWA ANAK KALAU PERGI BERCUTI
Lis juga dikatakan tidak pernah meminggirkan anak-anak tirinya jika hendak pergi bercuti. Lis dan Fauzi akan membawa semua anak bersama-sama. “Jika tidak sibuk, saya akan aturkan percutian untuk keluarga besar kami. Saya bahagikan kepada dua jenis percutian. Ada percutian yang melibatkan saya, suami dan semua anak termasuk anak-anak tiri. Sebaliknya jika suami sibuk, saya akan pergi bercuti bersama emak dan adik-beradik sebelah saya sahaja. Saya seorang yang sangat menjaga hubungan kekeluargaan. Hubungan saya dengan adik-beradik saya rapat.”
PATUTLAH ANAK TIRINYA SAYANG, DAN HASILNYA…
Gadis manis ini lebih banyak tersenyum. Nampak pemalu namun bila berbual, dia peramah orangnya. Bila diminta bercerita tentang Lisda, kata Farisha atau lebih mesra dipanggil Nana memberitahu memang mereka rapat. “Ketika baba kahwin dengan mama dulu, saya berumur enam tahun. Mama pandai ambil hati kami. Tapi sebelum itu baba dah kenalkan mama kepada saya empat beradik. Bila mereka kahwin, tak ada masalah kerana kami dah rapat dengan mama.”
Terbaru anaknya mendapat keputusan 10A dalam SPM di Sekolah Menengah Sik, tahniah kepada Fauzi, Lisdawati dan ibunya yang berada di Kedah. Satu anugerah yang terindah dari Pencipta bila anak-anak sudah berjaya dalam pelajaran, moga perjalanan hidup adik Farisha dipermudahkan pada masa hadapan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!