‘Berapa lama dan kerap anda dan pasangan melakukan hubungan intim?’Mungkin pertanyaan ini agak sensitif bagi pasangan suami isteri. Tapi, itulah yang perlu suami isteri tahu kendalikan supaya tidak berlaku ‘kelambu dingin’. Sehingaakan boleh mencari punca pergaduhan dalam rumah tangga.
Kelambu dingin, ia boleh berlaku kepada sesetengah pasangan apabila diri rasa penat, letih, ‘mati putik’ bagi isteri dan ‘mati pucuk’ bagi suami. Keadaan inilah boleh membawa kepada hubungan intim yang tidak ‘seronok’. Kadang-kadang, bila lama berkahwin pun, hubungan intim makin kurang dan rasa dingin saja.
Dalam hal ini, hubungan intim suami isteri bukanlah diletakkan sebagai satu keutamaan tapi sebenarnya adalah kunci dalam rumah tangga. Namun, ia juga boleh menjadi salah satu masalah dan pergaduhan yang boleh sampai ke tahap perpisahan bila ada masalah ‘kelambu dingin’.
Mengupas tentang lebih lanjut ‘Kelambu Dingin ini, Ahmad Fadzli Abd Aziz, Pengasas Bijak Emosi Dan Kaunselor Keluarga telah diundang dalam rancangan ‘Borak Kelamin’ untuk menceritakan tentang permasalahan dan jalan penyelesaian untuk mengembalikan kelambu dingin menjadi lebih hangat buat pasangan suami isteri.
Kebanyakan masalah ‘kelambu dingin’ berlaku kerana sikap pasangan itu sendiri. Baik suami mahupun isteri. Boleh jadi juga, masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami itu membuatkan hormon libido rendah dan seterusnya tiada keinginan untuk ‘bersama’.
Ada beberapa tanda yang biasa dialami oleh pasangan bila berlakunya ‘tiada keinginan’ bersama, contohnya suka mengasingkan diri, mugnkin sebab depresi, pengambilana ubat atau boleh jadi masalah di tempat kerja.
“Ada sesetengah tempat kerja yang mana ketua atau orang sekeliling yang bercakap ‘sensor’. Inilah yang membuarkan pasangan mula tertekan, tiada keinginan dan menjurus kepada rendahnya libido”.
Fahami Keadaan Suami Atau Isteri
Semua ini berbalik kepada suami isteri itu sendiri. Dikatakan sudut pandangan lelaki dan perempuan berbeza terutamanya dalam hubungan intim suami isteri. Biasanya:
Perempuan – Dia kena love baru make love dalam menghangatkan hubungan intim.
IKLAN
Lelaki – Ada make love baru ada love.
Bagi suami, bila ‘tidak dapat’, mulalah berceritakan tentang tanggungjawab dan layanan. Sebab dikatakan keperluan dan keinginan hubungan intim lelaki seperti ‘makan’. Jika tidak diberi ‘makan’, emosinya tidak stabil dan mulalah rasa cepat marah. Jadi, di sinilah tugas isteri sebagai pengurus seksual suami.
Walau bagaimanapun, dalam hal ini, suami kenalah mainkan peranan untuk uruskan emosi isteri terlebih dahulu. Jangan hanya untuk kesoronokan seorang diri, kena fikir emosi isteri sendiri yang kadang-kala menolok kerana penat, letih uruskan kerja rumah dan sebagainya.
Kembalikan Kehangatan
Apa yang boleh dikatakan, dalam hubungan intim suami isteri dan mengelakkan berlakunya kelambu dingin, jangan malu untuk berbincang dari hati ke hati. Sebabnya keperluan hubungan intim suami isteri ini berbeza.
Cari penyelesaian, pendengan yang baik dan kongsi masalah. Paling penting adalah komunikasi antara suami isteri.
Dalam episod Kelambu Dingin ini juga, Ramona Zamzam turut diundang untuk berkongsi pendapat dan mungkin masalah ini juga pernah berlaku dalam rumah tangganya.
Antara perkongsian dan komen dalam Facebook Ddan Twitter Minguan Wanita.
IKLAN
IKLAN
Bagi yang ketinggalan untuk menonton sebelum ini, saksikan siaran ulangan pada setiap Jumaat jam 12.00 tengah hari di Astro Ria 104 dan Astro Ria HD 124.
Jangan lupa saksikan Borak Kelamin yang disiarkan pada setiap hari Isnin, jam 9,00 malam di Astro Ria 104 dan Ria HD 124. Episod menarik pada minggu hadapan: Janda Duda Rebutan.
Cara mandi wajib yang betul adalah sangat penting dan sama sekali tidak boleh dipandang ringan.Ini kerana jika asas mandi wajib tidak betul, maka ibadat lain yang dilakukan juga tidak sah.Antara sebab yang diwajibkan berniat mandi ini adalah keluar air mani,selepas haid atau nifas serta selepas malakukan hubungan intim antara suami isteri.
Sebenarnya,tidak kiralah mandi menggunakan apa juga cara, sama ada air paip, air kolah, air perigi mahupun air sungai yang penting air tersebut ialah air mutlak.Tidak perlu pun mandi lama-lama, asalkan mandian itu sempurna.Untuk itu, ilmu cara mandi wajib ini perlu dipelajari.
Panduan mandi wajib ini boleh digunakan untuk kedua-dua lelaki dan perempuan yang dirujuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai rujukan.
Cara-Caranya:
1. Niat ketika air sampai ke tubuh
2. Membaca “Bismillah”
3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali
4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun
6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat. Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram 3 kali dengan air.
Ini berdasarkan hadith dari ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari yang maksudnya:
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya”
Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:
“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”
Bagi wanita yang mandi untuk haid atau mandi junub, perlu melepaskan ikatan rambut tersebut. Ini pula berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata sedemikian:
“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”
8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
Dari ‘Aisyah (R.A): “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”. (Sahih Muslim)
9. Meratakan air ke seluruh tubuh badan
10. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat fardhu. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.
Video Cara Mandi Wajib Yang Ringkas,penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus;
Sumber: Majalah Cahaya, Bil 106, Tahun 24, Isu 3/2012, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ingin berkongsi kisah saya yang ingin dimadukan oleh suami dengan alasan saya kurang pandai bergaya.
Serba Sedikit Tentang Saya
Saya seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemaninya keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Perubahan
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja. Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya. Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak.
Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami, yang berterus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja!
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampu ke…?
Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua. Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lain, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih.
Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya. Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua, puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Pilihan
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami. Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka.
Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, sentiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Saja Cari Alasan
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang.
Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat. Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan.
Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Normal jika wanita akan jadi stres ketika ‘datang bulan’. Kesan paling ketara, pengaliran darah haid menyebabkan badan wanita lebih lesu pada awal peringkat. Tetapi tidak cukup dengan dugaan itu, anda mungkin melalui pengalaman darah haid ‘bocor’ hingga kesannya boleh terkena pakaian anda. Jangan panik, tip kali ini membantu anda untuk cuci dengan lebih mudah dan cepat.
1. Kesan Darah Baru
Siramkan pakaian kotor anda dengan air suam-suam kuku dan siram di bahagia kotor. Aliran air akan membuat kesan darah luntur. Tapi jangan guna air panas ya. Kemudian anda boleh menggunakan sabun untuk menghilangkan sisa-sisa kesan darah. Gosokkan sabun di bahagian terkena darah dengan menggunakan sikat atau jari. Sabun mandi biasa atau sabun cuci tangan lebih cepat hilangkan kotoran degil.
2. Kesan Darah Lama atau Kering
Celupkan kain lap dalam cecair cecair peluntur, sapu di baju yang terkena darah. Tetapi jangan tuang secara terus, nanti rosak baju anda. Kemudian siram baju dengan air sejuk dan cuci seperti biasa. Penggunaan cecair peluntur ini lebih sesuai untuk pakaian warna putih atau terang sebab cairan ini boleh membuat warna kain pudar.
Kalau anda tidak ada sabun, cecair peluntur, atau detergen, anda boleh cuba gunakan pil aspirin untuk membersihkan kesan darah. Caranya hancurkan pil aspirin, larutkan dalam air. Kemudian sapu aspirin di bahagia kotor dan cuci hingga bersih.
Cara Lain
Satu lagi cara mudah untuk menghilangkan kesan darah adalah dengan menggunakan baking soda. Caranya cukup mudah, sapu baking di bahagian darah, kemudian gosok sehingga pudar dan cuci seperti biasa.
Ingat ya, kalau darah sudah kering, lebih sukar untuk membersihkannya. Semoga info ini memudahkan kerja harian anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
"Nahas helikopter TLDM, individu komen biadap "askar lain semua mati masa perang..." Di sebalik nahas dua helikopter semasa raptai sempena hari Tentera Laut DiRaja...