Penyakit Kanser menyerang tanpa mengira usia dan bila waktunya. Meskipun telah disahkan bebas dari sel kanser, tak mustahil jika ia boleh kembali menyerang. Apa yang penting tetap terus berjuang melawan penyakit ini, berani menjalani segala prosedur atas nasihat doktor.
Ketika saat ini, sokongan moral daripada anak-anak dan suami juga sangatlah penting dalam berjuang menghadapi penyakit ini. Sesibuk mana pun bekerja dengan pelbagai tugasan, anak-anak dan suami kena luangkan masa untuk memberi sokongan dan semangat positif pada pesakit.
Semalam, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 27 yang merupakan Ahli Parlimen Muar sempat meluangkan masa bergegas menziarahi dan menemani ibunya di hospital di Johor dalam kesibukan menghadapi sidang dewan di Parlimen.
Ads
Bekas Menteri Belia dan Sukan ini ada berkongsi di laman Instagramnya menceritakan bahawa ibunya merupakan seorang pejuang Kanser Payudara sejak 2013. Selepas 7 tahun, sel kanser tersebut kembali dan dikesan 2 minggu lalu.
Beliau turut meminta orang ramai agar mendoakan kesejahteraan mamanya Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz,57 yang akan menjalani pembedahan membuang sel kanser.
“Terpaksa tinggalkan Parlimen awal untuk ke Johor, demi mama.”
Ads
“My mum is a fighter.In 2013, she won the battle against breast cancer.”
“2 weeks ago, we found out that the breast cancer is back.”
“Tomorrow mama will be going through her operation to remove the cancerous cells.”
Ads
“Saya harap rakan-rakan boleh doakan untuk kesihatan mama.”
“Stay strong ma. I will be there with you all the way.”
MW: Sokongan moral dan kata-kata positif dari anak-anak dan ahli keluarga sangrus berjuang melawan penyakit ini. Semoga ibu kepada Ahli Parlimen Muar ini, terus cekal, diberikan kesembuhan dan kesihatan kembali pulih seperti sedia kala.
Lelaki ini, Akhtar Syamir berkongsi panduan bagaimana mencipta peluang tambah simpanan emas dengan Ar Rahnu. Bahasa mudahnya, tempat untuk mak-ayah pajakkan emas secara Islam bagi mendapatkan pinjaman wang.
Macam mana melalui pajakan ini dapat menambahkan simpanan emas, lanjutkan bacaan untuk hadamkan info seterusnya.
Ar-Rahnu adalah sistem pajak gadai Islam yang menawarkan pinjaman mikro diatas gadaian barang kemas. Tetapi jangan pandang perkataan pajak itu sahaja. Kerana kita boleh gunakan Ar Rahnu untuk menambah simpanan emas sedia ada.
Sebelum saya teruskan, saya perlukan anda buang persepsi yang tidak baik terhadap pajakan atau Ar Rahnu. Tidak semua orang yang pergi Ar Rahnu ialah orang tidak mempunyai duit. Ada yang menggunakan Ar Rahnu untuk menyimpan emas dan menggandakan simpanan emas sedia ada.
Untuk simpanan emas dengan selamat, tak perlu pergi bank dan sewa peti besi, Ar Rahnu ialah tempat yang terbaik. Katakanlah anda mempunyai banyak emas atau terpaksa meninggalkan rumah dalam masa yang agak lama, simpanlah emas anda di Ar Rahnu. Sudah tentu selamat dan tidak perlu bimbang akan risiko kehilangan atau kecurian.
Ada banyak cawangan dan penyedia perkhidmatan Ar Rahnu yang menawarkan kadar yang berbeza-beza. Tetapi di dalam penulisan kali ini saya fokuskan kepada Ar Rahnu X’Change.
Untuk makluman dan meleraikan kebimbangan, pajakan di Ar Rahnu X’Change TIDAK AKAN direkodkan dalam CCRIS. Hanya Ar Rahnu yang di BANK sahaja yang akan meninggalkan kesan di CCRIS. Ar Rahnu X’Change adalah seperti satu francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu dari Bank Rakyat tetapi bukan sebahagian dari Bank Rakyat. Ada yang kata, X’Change juga ada yang di bawah Bank Rakyat. Jadi, kenalah tanya dahulu jika tidak mahu ada rekod CCRIS.
Tetapi kepada orang yang tidak pernah mempunyai rekod pinjaman bank dan bercadang untuk memohon pinjaman di masa hadapan, gunakanlah Ar Rahnu yang di bawah Bank untuk mewujudkan rekod pinjaman di dalam CCRIS.
Berbalik kepada Ar Rahnu X’Change, kadar pinjaman adalah setinggi 80% dari nilai emas yang dipajak dan tempoh masa gadaikan maksimum ialah selama 6 bulan. Namun begitu, selepas 6 bulan, anda boleh membayar upah simpan dan menyambung tempoh pajakan selama 6 bulan lagi jika mahu.
Penyambungan ini boleh diulang sehingga 2 kali. Jadi, maksimum 18 bulan barang kemas itu boleh dipajak sehingga ianya dilelong.
Kemudian kita kena ambil tahu berapakah nilai harga emas di Ar Rahnu X’Change. Pada saat dan ketika penulisan ini dibuat, harganya ialah RM 269 untuk 1 gram.
Jom kita bermain dengan matemarik supaya boleh nampak jelas berapa boleh dapat dan berapa upah yang perlu dibayar.
Katakanlah emas yang ingin kita pajakkan seberat 10 gram. Berat Emas X Harga Emas X 80% = Amaun tunai yang kita akan dapat. 10 g X RM269 X 80% = RM2152 Kos upah simpan untuk Ar Rahnu X’change ialah 0.65% hingga 0.75% dari nilai emas yang digadaikan. RM2690 X 0.75% = RM20.17 Jika dikalikan selama 6 bulan = RM121.02 Inilah jumlah kos upah untuk menyimpan emas di Ar Rahnu X’Change. Jika ingin menebus kembali emas yang sudah dipajak, hanya perlu campur jumlah pinjaman tambah dengan jumlah kos upah. RM2152 + RM121.02 = RM2273.02.
Jika ingin menyambung lagi tempoh masa gadaian, hanya perlu sediakan RM121.02 untuk penambahan lagi 6 bulan berikutnya. Ini boleh buat 2 kali.
Dari informasi ini, banyak situasi boleh kita kaitkan.
Mana lagi bagus? Gadai atau jual di kedai?
Pada waktu dan ketika penulisan ini ditulis, Kedai Emas seperti Gull Jewellery menawarkan pembelian emas setinggi RM225 1 gram.
Jadi, jika anda nak jual emas di kedai emas, anda akan dapat RM2250 berbanding RM2152 di Ar Rahnu. Tetapi perbezaannya ialah, di Ar Rahnu, anda masih memiliki itu anda dan jika jual di kedai, emas itu bukan lagi milik anda. Satu lagi perbezaan ialah di Ar Rahnu, anda ada kos upah yang perlu dibayar nanti.
Dari RM2152, jika dibahagikan dengan RM267 1 gram di kedai emas, kita akan dapat membeli emas seberat 8.05 gram.
Cuba kita bandingkan pula dengan jika kita “trade in” (jual dan beli semula emas di kedai yang sama). Harga trade in di kedai seperti GULL Jewellery SHAH ALAM ialah setinggi RM228 1 gram.
RM228 X 10 g = RM2280. Dari ini, kita boleh dapat beli emas di kedai yang sama seberat RM8.53 gram.
Perbezaannya, di Ar Rahnu, emas masih lagi milik anda dan anda perlu bayar kos upah simpan manakala apabila “trade in”, emas sudah menjadi milik kedai tetapi anda akan dapat beli emas yang lebih berat.
Pajakkan emas seberat 10g itu di Ar Rahnu dan kemudian beli emas yang baru. Anda akan dapat beli 8.05 gram emas yang baru seperti yang kita kira di atas.
Mungkin dalam masa 6 bulan lagi duit simpanan akan mencukupi, bolehlah tebus emas di Ar Rahnu untuk menjadikan jumlah emas yang anda ada sebanyak 18.05 gram. Jika 6 bulan tidak mencukupi, sediakan sahaja RM121.02 untuk menyambung lagi 6 bulan.
Apa yang anda akan dapat dengan cara ini? Emas telah bertambah dari 10 gram ke 18.05 gram. Anda boleh membeli harga emas pada harga sekarang, yang kebarangkaliannya lebih rendah dari masa akan datang, tanpa menunggu simpanan duit yang cukup.
Konsep mudah emas ialah beli dahulu dan tunggu, bukannya tunggu dan beli.
Cara ini juga boleh dibuat jika anda mahu rekaan terbaru tetapi sayang untuk melepaskan emas sedia ada dengan cara “trade in”.
Namun, “trade in” juga ada kelebihannya iaitu anda boleh dapat beli emas yang lebih berat berbanding cara simpan di Ar Rahnu tadi.
Sama juga dengan menjual emas di kedai emas. Anda akan dapat tunai yang lebih dan tidak tertakluk kepada hari dan waktu pembukaan Ar Rahnu X’Change yang selalunya tutup pada hari Sabtu dan Ahad.
1. Jika mahu tunai tanpa simpan, jual emas di kedai emas.
2. Jika mahu tunai dengan niat mahu simpan lagi emas sedia ada, pajakkan di Ar Rahnu.
3. Jika mahu rekaan emas terkini tanpa mahu menyimpan emas yang lama, “trade in” di kedai emas.
4. Jika mahu rekaan emas terkini dan masih sayang emas yang lama, pajakkan di Ar Rahnu.
5. Jika tidak mahu beri kesan kepada rekod CCRIS, pajaklah di Ar Rahnu yang bukan di bawah Bank. (Ar Rahnu X’Change) bukan di bawah bank, mereka hanya seperti francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu Bank Rakyat.
6. Jika mahu wujudkan rekod pinjaman untuk pinjaman di masa hadapan, gadaikan emas di Ar Rahnu bank seperti di AgroBank dan lain-lain. Cuma pastikan pembayarannya juga cantik.
7. Batu permata tidak boleh dipajak. Ia akan dipisahkan dan hanya emas sahaja yang akan dinilai. Samalah juga dengan batu-batu dan warna enamel di beads atau dangle contohnya. Ia akan dipisahkan atau dibersihkan terlebih dahulu sebelum dinilai beratnya.
8. Jadikan Ar Rahnu sebagai tempat simpanan emas dan simpanan duit secara paksa. Apabila duit Ar Rahnu digunakan untuk membeli emas, secara automatiknya kita kena mula menyimpan untuk menebus kembali emas yang dipajak. Ada pilihan simpan selama 6 bulan, 12 bulan atau 18 bulan.
9. Simpanan di Ar Rahnu tidak perlu bayar bulanan, hanya perlu bayar maksimum 6 bulan atau bergantung kepada bulan dan hari yang disimpan jika kurang dari 6 bulan.
10. Bila tebus, sediakan jumlah tunai yang dapat semasa pajak tambah dengan upah simpan.
11. Kadar pinjaman, nilai emas, tempoh pajakan berbeza di antara penyedia perkhidmatan Ar Rahnu. Ada yang bagi 70%, ada yang 80%, ada yang 6 bulan, ada yang 10 bulan, ada yang kos simpan mahal, ada yang mudah dan lain-lain. Carilah yang paling sesuai dengan anda.
12. Selalunya untuk kali pertama pajakan, anda akan dapat sebanyak RM65% dari nilai emas yang disimpan. Ia akan meningkat menjadi 70% atau 80% bergantung kepada penyedia perkhidmatan Ar Rahnu itu.
13. JANGAN PAJAK EMAS DI KEDAI BUKAN MUSLIM.
14. Di Ar Rahnu, hampir semua jenis emas 750 hingga ke 999 boleh dipajak.
15. Ada Ar Rahnu boleh terima kalau kita nak jual emas kita tu untuk ambil tunai. Kadarnya kurang sedikit dari harga pajak. Boleh tanya dan bandingkan dengan harga kedai.
16. Apabila emas tidak ditebus, ia akan dilelong mengikut harga emas semasa. Contohnya apabila anda gadai, pada waktu itu emas pada harga RM190 untuk 1 gram. 10 gram X RM190 X 80% = RM1520 Upah simpan selama 6 bulan : 10 gram X RM190 X 0.75% = RM14.25 sebulan atau RM85.50 selama 6 bulan.
Untuk tebus, anda perlu ada RM1520 + RM85.50 = RM1605.50
Selepas 6 bulan, katakanlah harga emas sudah naik ke RM267 dan anda tidak mampu untuk tebus. Ar Rahnu akan lelong dan katakanlah dapat dijual juga pada harga RM267.
10 gram X RM267 = RM2670. Setelah tolak apa yang sepatutnya Ar Rahnu dapat dari anda, bakinya anda akan dapat iaitu RM2670 – RM1605.50 = RM1064.50.
Hasilnya, yang tak mampu tebus pun akan dapat RM1064.50.
Nampak macam hebat kan? Ini sebenarnya hanya akan terjadi apabila harga emas naik mendadak di dalam masa 6 bulan. Suatu perkara yang tiada siapa mampu pastikan.
Itulah serba “sedikit” mengenai Ar Rahnu dan simpanan emas.
Jadi, bagaimana sekarang? Harga emas naik mendadak. Beli sekarang atau tunggu? Pada pendapat saya secara peribadi, belilah emas sekarang. Kita tidak akan tahu masa hadapan. Emas ialah emas, tidak kira berapa lama anda simpan. Jika 916, 916 lah ia walaupun anda simpan 20 tahun sekalipun.
1. Simpan di Ar Rahnu dan beli emas yang baru. 2. Trade in emas lama dan beli emas yang baru.
Buat antara dua benda ini, anda takkan silap. Kerana kedua-duanya melibatkan pembelian emas yang baru.
Ingat, emas bukan sekadar hiasan semata-mata, tetapi ianya adalah pelaburan hidup yang anda boleh lihat, belek, tidur dan bawa ke mana-mana juga yang anda mahukan. Ia juga bukti kepada kecekalan anda menyimpan serta menabung.
Jadilah orang yang membeli emas pada harga RM267 pada tahun ini. Jangan jadi orang yang membeli emas pada harga lebih dari RM300 pada tahun hadapan.
Kongsikan jika anda rasa penulisan ini bermanfaat. Jika ada apa-apa pembetulan atau penambahan, sila maklumkan di komen.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa. Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana anda boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi. http://t.me/broohsemfansBroOhsem
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu mentua boleh dianggap seperti ibu sendiri. Namun sayang macam mana pun pada menantu seharusnya hanya sebagai anak. Perlu ada batasnya dan tidaklah sehingga mencintai dan seterusnya ke peringkat berkahwin.Dalam mana-mana kepercayaan dan agama pun melarang status perkahwinan sebegini.
Tanpa berfikir panjang, mahupun mengambil kisah cemuhan orang ramai, seorang wanita berusia 75 tahun mencetuskan kontroversi tersendiri di Rusia selepas berkahwin dengan bekas menantunya sendiri.
Portal Life melaporkan wanita bernama Galina Zhukovskaya nekad berumah tangga dengan Vyacheslav Zhukovsk, 52, selepas lelaki itu berpisah dengan anak perempuannya, Elena yang berusia 56 tahun.
Perbezaan usia bukan persoalannya, tetapi yang mengejutkan ramai pihak apabila Vyacheslav pernah menjadi menantu kepada Galina selama tiga
tahun.
Difahamkan, Vyacheslav berkenalan dengan Elena selepas wanita itu memberi maklum balas terhadap iklan mencari pasangan di akhbar.Ketika itu, lelaki terbabit menjalani hukuman di penjara Murmansk atas kesalahan membunuh bekas majikannya.
Pasangan itu berkahwin pada 2007 ketika lelaki itu masih menjalani hukuman penjara.Namun, mereka berpisah tidak lama selepas Vyacheslav dibebaskan daripada hukuman berkenaan.
Tanpa tempat dituju, lelaki itu menjadi gelandangan sebelum mendapatkan perlindungan daripada ibu mentuanya itu.Menurut Galina, pada mulanya, dia membantu lelaki berkenaan atas dasar simpati.Namun lama-kelamaan, timbul rasa cinta antara mereka sehingga pasanganitu berkahwin pada 2010.
Konflik tercetus apabila Galina mendakwa Elena cemburu dengan perkahwinannya.
“Anak saya mungkin cemburu kerana saya tidak lagi hidup bersendirian, Dia mahu memisahkan kami” katanya.
Galina telah menerima cemuhan dan kritikan daripada saudara mara atas perkahwinan dengan bekas menantunya, namun wanita ini tetap mempertahankan perkahwinan dan cintanya.
MW: Macam-macam hal. Nekad sungguh demi cinta berkahwin dengan bekas menantu sendiri.
Akui anak ini, Pe Chey suatu ketika dulu ibunya pernah alami sakit meroyan. Sampai ibunya hilang diri sendiri. Bila mak tak macam mak yang mereka kenal, maka bukanlah sesuatu yang mudah untuknya uruskan mak sakit yang ketika itu dia sendiri sedang hadapi peperiksaan besar SPM.
Apa pun, itulah pengalaman hidupnya yang paling mahal. Dan itulah juga yang mematangkan dirinya menjadi anak malah suami yang bertanggungjawab pada keluarganya.
Mak sakit. Sakit meroyan.
Sakit yang buatkan mak bukan macam mak.
Mak lupa siapa dia, mak meracau-racau
Tahun 1991, mak lahirkan adik aku yang bongsu setahun sebelumnya. Adik Ani. Aku masa tu di tingkatan 5. Along ( abang ) dengan akak-akak dah tak ada kat rumah.
Diaorang semua ada yang dah kahwin, yang dah kerja kat Kuala Lumpur. Diaorang dah tak duduk kat rumah dah. Sedih aku.
Akulah anak paling tua masa tu. Akulah abang, akulah kakak. Adik bawah aku, Aja sekolah pondok kat Baling.
Tingallah Apit, Kila, Yati, Aya , Amin dan Ani, si kecik sekali. Kamilah yang kena kemas rumah. Aku yang kena arahkan.
Bukan senang aku nak menggalas tanggungjawab tu. Selama ni, ada akak. Pada kakaklah aku dan adik lain bergantung harap. Pada kakaklah kami semua bermanja.
Akak Chom dan akak Wani.
Diaorang berdualah yang banyak berkorban untuk aku dan adik yang lain. Baik bab buat susu, nak.makan, mandi, basuh berak segala.
Sebenarnya masa mak beranakkan Amin, tahun 1986 dulu, mak dah pernah kena meroyan ni. Kau yang baca ni, kalau tak faham apa tu meroyan boleh google bagi faham.
Jadi kali ini mak kena balik. Kali ini pulaklah paling teruk. Mak dah tak rupa mak yang selama ni kami kenal. Dia berubah terus.
Bayangkanlah lepas pantang, mak dah tak terurus. Bab masak, nasib baik ada aku dengan Apit. Kami berdua masak ikut apa yang kami reti. Telur goreng tu standard.
Pernah satu hari tu, Apit yang masa tu baru darjah 6, masak kari ikan. Aku terkejut. Aku tanya dia,
” Mana kau reti masak kari ikan ni Pit? Gilalah. Sedap pulak tu kau masak ni.”
” Aku tengok mak masak. Aku tiru jelah.”
Aku ketawa, Apit gelak. Kami sama-sama menyudu kuah. Kami hidang. Ajak adik lain makan. Ada yang aku kena suapkan.
Mak perlu dimandikan. Berak kencingnya juga kena dibasuh. Aku dengan Apit kena sama-sama bawa mak ke bilik air, bersihkan mak. Mak dah hilang ingatan. Datang murungnya, dia menjerit. Datang amuk, dia mengamuk.
Bukan senang nak jaga mak. Mak kena dijaga sepenuhnya. Kalau tak, dia lari dari rumah. Banyak kali dia ugut dia nak lari. Abahkan polis. Kerja polis faham-faham jelah. Tak tentu masa.
Akulah kena tunggu mak. Itu pun aku curi-curi keluar pergi sekolah waktu petang untuk berlatih hoki. Aku pesan Apit untuk jaga mak.
Pagi, waktu aku pergi sekolah. Aku pesan kat Acu ( Maksu, adik mak ) yang duduk depan rumah tengokkan mak. Banyak benda aku kena pikul waktu tu. SPM adalah puncak apa yang aku perlu kecapi.
Kau ingat aku senang nak belajar masa tu?
Tuhan je tahu siksanya aku nak ambil SPM.
Aku, masa tu rasa nak menangis, nak menjerit, nak lari, nak apa tah aku pun dah lupa. Mana taknya, tengah-tengah malam mak mengamuk. Dia punya mengamuk, memang aku terbang.
Pernah satu malam tu, abah kerja malam. Mak mengamuk. Dia nak abah balik. Entah apalah dia fikir masa tu. Aku pegang mak. Peluk. Mak tolak pakai siku, aku terpelanting ke dinding.
Sepanjang malam tu aku tidur duduk depan pintu rumah. Mak banyak kali tolak aku. Aku tolak mak balik. Aku pujuk mak suruh pergi tidur. Aku dah penat masa tu, letih ya amat.
Dia tengok je aku. Muka garang macam harimau. Aku tunjuk tempat tidur dia. Dicarutnya aku macam-macam. Aku sabar. Mak tengah sakit. Mak meroyan.
Aku tertidur kat pintu rumah sampi ke Subuh. Bila abah balik kerja, abah tanya aku, kau tidur tak. Aku jawab, tidur bah. Tidur-tidur ayam. Ayam apa, aku tak pasti.
Jenuh juga bawa mak berubat. Kadang-kadang nampak dah sembuh, lepas tu datang balik. Begitulah mak masa sakit dulu. Betapa aku dapat pengalaman yang tak terperi menjaga mak sakit masa tu.
Air mata aku kering masa tu hinggakan seolah terlupa untuk menangisi nasib aku yang diuji oleh tuhan dengan sedemikian rupa.
Mak sakit meroyan, aku ikut sakit juga. Sakit jiwa raga nak SPM masa tu. #NfI #ceritamak
Kenangan- kenangan ini aku simpan kemas dalam sanubari. Tak pernah aku lupa akan setiap apa yang pernah aku lalui dulu. Perit dan deritanya mematangkan aku. Aku anak, aku abang dan kakak pada adik-adik aku dulu.
Sharekan kalau kisah ni best.
MW : Hebatnya pengorbanan anak ini. Syukur, sisi positif yang anak ini kutip dan akhirnya, anak membesar menjadi ayah yang hebat di mata anak-anaknya pula.