
Isi Kandungan
ToggleSiapa sangka panggilan telefon datuk disambut pegawai polis pada petang semalam. Rupa-rupanya anak dan tiga cucu terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas bercuti.
Menurut datuknya, sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang, mereka ceria selepas bercuti di kampung. Dan pertemuan itu menjadi pertemuan terakhir seorang datuk dengan tiga cucunya.
Perjalanan Pulang Ke Pulau Pinang
“Saya hubungi Aimi jam 5.10 petang namun panggilan disambut pegawai polis yang memaklumkan mereka kemalangan,” kata Abdul Rahim Sidek, 58, bapa kepada Nur Aimi Nadiah yang terbabit kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah, 27, cedera parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi kejadian selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.

Baca Juga Di sini:
Kereta Terbabas Sendiri, Ibu Hilang Tiga Anak Serentak
Tinggal Sekejap Dalam Kereta, Tengok-tengok Anak Ada Dalam Longkang
Pemain JDT Kemalangan, Anak Baru Berusia 22 Hari & Ibu Mentua Meninggal
Abdul Rahim berkata, Nur Aimi Nadiah bersama tiga cucunya baru pulang ke kampung di Kampung Bukit Nibong, Melaka.
Katanya, empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang kerana Nur Aimi bekerja di negeri itu.

Mereka Ceria Selepas Bercuti Di Kampung
“Sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang, mereka ceria selepas bercuti di kampung,” katanya kepada Harian Metro.
Mereka sekeluarga tinggal di Taman Seri Gombak sebelum berpindah ke Melaka lebih 15 tahun lalu.
Sementara itu, jiran mangsa, Fauziah Mohd Sabri, 50, terkejut selepas mengetahui kejadian yang menimpa bekas jirannya itu.
“Saya menjaga Aimi ketika masih kecil sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Melaka.
“Sejak itu kami jarang bertemu dan perkhabaran ini memang mengejutkan,” katanya.
Kereta Hilang Kawalan, Ibu Hilang Tiga Anak
Portal MyMetro hari ini melaporkan kemalangan membabitkan kereta dan dua lori di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.
Kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.
Bedah siasat akan dijalankan jam kira-kira 3 petang esok manakala Aimi masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
MW: Tentu sahaja berita sedih ini memberi tamparan hebat buat keluarga ini, apatah lagi melibatkan cucu-cucu yang masih kecil. Semoga keluarga ini tabah berdepan dengan ujian besar ini.
Sumber/ Foto: myMetro
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Bapak Sibuk Cari Duit, Anak Terpaksa Tagih Perhatian Orang Ketiga

Isi Kandungan
ToggleZaman berubah, begitu juga dengan cara ibu bapa mendidik anak. Sebagaimana kata- kata yang terkenal “Didiklah anakmu sesuai mengikut zamannya’. Dalam kehidupan yang semakin moden ini, semakin banyak impian dan keinginan yang ingin dicapai.
Secara tidak langsung, ia memerlukan ibu bapa memiliki kerjaya masing-masing. Di tambah pula dengan kewujudan gajet dan sosial media, tumpuan dalam kehidupan telah di alihkan kepada banyak perkara.
Dengan kata lain, perkataan ‘multitasking’ menjadi popular. Ibu bapa sekarang berkeupayaan untuk membuat pelbagai perkara dalam satu masa. Contohnya seorang wanita mempunyai kerjaya, mempunyai bisnes online sambilan, menjadi seorang isteri yang taat, ibu kepada anak- anak, membuat kerja rumah dan sebagainya.
Menurut, Pakar Analisa Tulisan Tangan & Pembangunan Karektor, Dr Azura Hashim, tanpa masyarakat sedar, melakukan pelbagai tugas secara serentak mencerminkan tumpuan yang semakin berkurangan. Ianya biasanya menghasilkan output yang kurang kualiti berbanding seseorang yang fokus melakukan satu perkara sahaja.
“Secara tidak langsung, ini berkait rapat dengan tanggung jawab ke atas anak-anak. Berkemungkinan, ibu bapa yang sibuk akan mengambil jalan mudah dengan menyuap si kecil dengan gajet.
“Lalu di sini anak mudah mendapat jalan untuk akses ke dunia luar tanpa sempadan. Mudah membina teman lain melalui media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan banyak lagi aplikasi yang menarik perhatian mereka.
“Situasi ini perlu dijaga, kerana anasir- anasir luar tanpa sempadan kawalan yang membimbangkan. Input apa yang masuk ke dalam minda anak- anak? Adakah di pantau oleh ibu- bapa?” katanya memulakan perbualan.
Di samping itu, jelas Dr Azura perlu di tekankan bahawa rumah adalah madrasah pertama membina khalifah di masa hadapan. Peranan kita sebagai ibu bapa adalah untuk melengkapkan madrasah tersebut dengan aqidah Islam, akhlak, adab terutamanya tauhid dan dicurahi dengan kasih sayang dalam berkeluarga.
Siapakah Pihak Ketiga
Dr Azura mengaitkan bahawa pihak ketiga adalah individu yang mendapat kepercayaan oleh anak-anak. Sudah tentu pihak ketiga juga boleh terdiri daripada bapa atau ibu saudara, guru, pembantu rumah, rakan sebaya atau teman berlainan jantina.
Sebenarnya, anak mahukan perhatian, mahukan ibu bapa mendengar cerita dan luahan anak. Di saat mereka memerlukan tempat mengadu, ibu bapa tiada ataupun masih sibuk dengan telefon. Lalu mulalah mereka menagih kasih pihak ketiga.
“Kalau di luar, anak berkawan dengan rakan sebaya, mereka bebas untuk bergaul. Cuma kadang ada yang tersilap langkah, batas pergaulan terlalu bebas. Ya betul, guru mendidik anak-anak di sekolah, namun harus di ingat pendidikan pertama adalah dari rumah.
“Ibubapa sendiri perlu tahu menunjukkan contoh yang terbaik di hadapan anak-anak. Didikan yang tepat dapat melindungi anak-anak dari termakan dengan sikap diri sendiri.
“Di sinilah perlunya koreksi diri, apa yang sudah berlaku dan bagaimana kita mahu memperbaikinya,” jelas Dr Azura satu-persatu.
Punca Anak Managih Kasih Pihak Ketiga
Terdapat pelbagai punca yang menyumbang kepada permasalahan ini mengikut pandangan Dr Azura antaranya:
- Sifir mudah mengenai punca mengapa anak menagih kasih orang luar adalah kerana kurangnya kasih sayang dan perhatian.
- Komunikasi dengan ibu bapa agak terbatas dan lebih kepada komunikasi satu hala.
- Mereka sebenarnya tercari- cari sokongan untuk memenuhi ruangan kosong di jiwa mereka yang menyebabkan mudah terjerumus dalam trend rakan sebaya dan mencuba perkara baru.
Kesan Kepada Institusi Kekeluargaan
Apalah ertinya keluarga tanpa kebahagiaan. Apabila anak-anak lebih memilih orang luar berbanding ahli keluarga sendiri. Hilanglah rasa kasih sayang dan nilai penyayang dalam diri anak-anak. Nilai kekeluargaan itu pergi seiring dengan masa.
“Ibu bapa hanya dijadikan tempat meminta duit dan bercakap apabila perlu. Jangan jadikan harta sebagai ukuran kebahagiaan dalam keluarga. Anak-anak tidak lagi menghormati dan menghargai ibubapa.
“Lalu adakah mereka sudah menderhakai kita ataupun sebenarnya kita adalah ibubapa derhaka? Sesuatu yang perlu direnung secara mendalam.
“Apabila anak-anak selesa memilih orang ketiga, mulalah hendak mencari salah siapa. Namun apabila difikirkan semula, semua orang memiliki kekhilafan masing-masing. Yang sepatutnya bertindak dahulu adalah ayah sebagai ketua keluarga,” ujarnya lagi.
Tambah Dr Azura, sesungguhnya seorang ayah yang perlu berusaha untuk mewujudkan suasana “bersama” sekurang-kurangnya sekali seminggu ataupun setiap dua minggu. Ketika itu ajarkan didikan agama, mengaji dan solat.
Selain itu, didik anak-anak, termasuk anak lelaki membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, menyapu, membuang sampah dan sebagainya.
Manakala ibu, sediakan dan didik anak-anak dengan ilmu masakan, penjagaan rumah dan diri, ajari anak-anak tentang pergaulan, tambah-tambah anak perempuan. Perlu dingat, menegur anak juga biarlah kena dengan caranya. Ada yang perlu ditegur secara terbuka, ada yang perlu ditegur secara sentuhan personal.
Nasihat Kepada Ibu bapa
Akhir sekali Dr Azura menyeru ibu bapa untuk memulihkan situasi ini, sebagai ibu bapa muhasabah semula apa yang telah berlaku.
- Dekatkan diri pada Allah Yang Maha Esa. Selain itu, jangan malu untuk rujuk pada yang lebih berpengalaman dari kita.
- Sejujurnya apabila kita ingin berubah, mulakan dengan diri sendiri, dan selepas itu perlahan-lahan bimbing ahli keluarga ke arah yang lebih baik. Contoh mudah, kurangkan penggunaan gajet di rumah, lebihkan masa bersama tidak kiralah berbincang ‘one to one’ dengan anak, termasuk banyakkan lakukan aktiviti bersama seperti solat berjemaah.
- Ambil peduli siapa sahabat anak- anak. Sentiasa mengingatkan dengan pesanan- pesanan yang baik seperti jaga tingkah laku, kehormatan dan keselamatan. Biarlah anak-anak merasakan ibu bapa sedikit mengongkong, ia sebenarnya bukti bahawa ibu bapanya ambil berat mengenai diri mereka. Anak yang soleh menjadi saham akhirat kepada ibubapa.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Daddy’ Pemalu, Vicha Tunaikan Permintaan Peminat “Ada Yang Mesej (DM) Nak Tengok Suami”

Isi Kandungan
Toggle‘Daddy’ pemalu Vicha tunaikan permintaan peminat. Sebelum ini pelakon dan pelawak, Vicha mengejutkan peminat apabila membuat pengakuan dirinya sudah bernikah buat kali kedua dengan seorang lelaki yang difahamkan seorang warga Nigeria sejak tiga tahun lalu.
Malah Vicha juga turut mengakui sedang hamil ketika bergelar juara Muzikal Lawak Superstar bersama kumpulan J-Born pada 2019. Ibu ini juga hingga kini tidak pernah putus asa membawa dua anaknya daripada perkahwinan terdahulu ke Malaysia dan membina kehidupan baharu mereka di sini.
‘Daddy’ Pemalu Vicha Tunaikan Permintaan Peminat
Terbaru menerusi akaun rasmi Instagramnya Vicha mendedahkan wajah suami yang dikenali sebagai Johnson selepas lebih dua tahun berumah tangga.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan anak lelaki, Michael Trevo Ayomide yang kini berusia dua tahun.
Pemilik nama sebenar Refika Novianti Faturohman ini juga menerangkan suaminya yang disapa ‘Daddy’ oleh rakan-rakan Vicha adalah seorang yang pemalu untuk bergambar di hadapan kamera dan mereka jarang sekali bergambar bersama.
“Sepanjang tujuh tahun kami berkenalan sehinggalah sudah berumah tangga, boleh dikira dengan jari sahaja berapa keping gambar yang diambil.
“Dia memang jenis pemalu untuk bergambar.
“Tapi, disebabkan saya bekerja di dalam industri hiburan, mahu atau tidak, dia perlu membiasakan dirinya.
“Gambar yang saya muat naik ke Instagram itu pun, dia yang pilih,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Menarik Di Sini : Vicha Mohon Doa “Tiada Kata Terlambat Hambanya Yang Ingin Belajar dan Memperbaiki Diri”
Kiriman Mesej Dari Peminat Instagram Minta Lihat Wajah Suami
Vicha juga mendedahkan sejak tular dirinya sudah berkahwin, ramai peminat yang menghantar mesej di Instagram untuk melihat wajah suaminya.
“Hari-hari ada yang DM (mesej) dan beritahu, nak tengok suami saya.
“Saya beritahu mereka, Insya-Allah, nanti saya akan kongsikan.
“Jadi, saya dah tunaikan permintaan mereka,” sambungnya.
Berjanji Dengan Syura
Vicha yang mendedahkan wajah suami ketika bergambar bersama pasangan pengantin yang juga rakan selebritinya Syura Badron akui ada membuat perjanjian dengan Syura.
“Saya dan Syura memang rapat dan kami pernah berjanji, kalau suatu hari nanti, Syura dah dedahkan wajah Farizat kepada umum, saya akan dedahkan wajah suami saya.
“Jadi, ketika bergambar bersama pasangan pengantin baru itu, suami saya pun bersetuju untuk saya muat naik gambarnya ke Instagram,” luahnya.
Mingguan Wanita : Seronok tengok kebahagiaan yang dikecapi oleh Vicha.
Sumber Foto : Instagram Instagram Vicha
Sumber : Harian Metro
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Bersyukur, Ibu Sempat Ucap Kalimah Syahadah Sebelum Pergi Mengadap Ilahi

Minatnya untuk mengenali agama Islam sudah terbit sejak daripada kecil lagi. meskipun usia baru sahaja 10 tahun, Ang Kwai Leng, tercari-cari erti sebenar dalam kehidupan. Hidup bermasyarakat yang kebanyakannya dikelilingi orang Melayu sedikit sebanyak membuatkan wanita yang lebih dikenali dengan nama Jennifer ini meneruskan pencarian untuk mencari agama yang sebenar untuk dianutinya.
Persoalan
Banyak persoalan yang bermain di benak fikirannya ketika itu, penyelidikan yang dibuat tentang agama Allah membuatkan dia sedar bahawa patung-patung berhala yang selama ini menjadi kiblat ketuhanan agama yang dianuti oleh dirinya itu bukanlah Tuhan yang sebenar.
Lantas sedikit demi sedikit, wanita yang kini sudah berusia 45 belajar tentang Islam. Dicarinya ustazah dan ustaz untuk belajar solat, bertanya pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya yang ketika itu masih lagi muda. Tapi ternyata hidayah Allah masih belum menjadi miliknya, mungkin sahaja faktor umur yang masih setahun jagung membuatkan Jennifer masih lagi tercari-cari erti kehidupan yang sebenar menerusi agama yang boleh dipercayainya.
“Sejak kecil saya ada banyak persoalan tentang Islam. Saya banyak bertanya kepada ustazah dan juga ustaz di sekolah. Saya belajar solat, saya belajar banyak benda tentang Islam dan dari situlah saya mula sedar bahawa patung-patung berhala yang disembah itu semua bukanlah tuhan.
“Namun pencarian saya tidak terhenti di situ sahaja. Saya mula membuat penyelidikan tentang agama Kristian pula. Saya banyak pergi ke gereja-gereja untuk kenal sendiri agama tersebut. Tapi ternyata pencarian saya masih belum sampai ke penghujungnya. Walaupun begitu, dari pemerhatian dan penilaian saya, apa yang boleh saya katakan Islam adalah agama terbaik yang tersemat di hati saya.
Turut mempunyai seorang abang yang juga merupakan seorang Mualaf yang telah terdahulu mengenali Islam sebelum dirinya. Dari situlah Jennifer banyak belajar dan mendengar tentang agama Allah sekali gus menguatkan lagi minatnya untuk terus mendalami Islam.
“Pencarian saya tentang agama seakan tiada jawapan. Tapi hidayah Allah belum betul-betul datang kepada saya. Namun saya bersyukur kerana mempunyai seorang abang yang telah lama memeluk Islam sebelum saya. Dalam tempoh saya mencari agama sebenar untuk saya jadikan pedoman hidup, saya belajar banyak benda tentang Islam menerusi abang kandung saya.
“Dialah yang banyak mengajar tentang indahnya Islam, tentang kisah-kisah Nabi dan Rasul, tentang Umrah dan Haji serta banyak lagi. sedikit sebanyak membuatkan hati saya bertambah teruja untuk terus mengenali Islam,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.
Banyak Dugaan Yang Perlu Ditempuh
Sebelum memeluk Islam, Jennifer sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup, pasangannya dahulu tidak pernah membantah dan tidak pernah mendorong untuk dia belajar tentang Islam, tapi kerana hatinya yang bagaikan sudah terpikat dengan agama suci ini, Jennifer teruskan jua.
Keterujaan Jennifer kali ini tidak seperti dahulu, terasa lebih dekat dan ingin terus mendalami Islam. Dia mula mencari maklumat dalam internet, di media sosial dan juga medium-medium lain tentang kelas-kelas agama, persidangan tentang Islam dan banyak lagi. Dia juga banyak meminta tunjuk ajar dari sahabat-sahabat berbangsa Melayu yang tidak lokek berkongsi ilmu yang ada selain meminta tunjuk ajar dari abangnya itu.

Namun pencariannya itu bukanlah jalan mudah yang perlu Jennifer lalui, ditambah pula dengan pasangannya yang ketika itu tidak sedikit pun menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan dirinya berhijrah ke agama Allah. Keadaan sekeliling dan juga di tempat dia bekerja nampaknya tidak memberikan respons yang positif untuk Jennifer memeluk agama fitrah ini memandangkan rata-rata rakan sekerjanya tidak beragama Islam.
“Dalam usaha untuk saya belajar tentang Islam, memang banyak dugaan yang perlu saya tempuhi terutama dengan bekas suami dan juga rakan sekerja. Bekas suami tahu saya belajar tentang Islam tapi dia pernah minta saya berjanji supaya tidak bertukar agama barulah dia izinkan. Sebelum masuk Islam lagi saya sudah mula belajar Al-Quran, saya ke masjid selepas Isyak untuk hadiri kelas-kelas agama dan banyak lagi.
“Tempat kerja saya tak ramai muslim dan lebih mengeruhkan keadaan adalah majikan saya yang seakan anti dengan Islam. Jadi apa yang saya buat saya perlu sembunyi-sembunyi dan tidak terlalu mendedahkan bahawa saya minat dengan Islam.
“Alhamdulillah niat saya untuk belajar tentang Islam dan seterusnya menjadi seorang muslim akhirnya menjadi kenyataan. Walau banyak dugaan dan cabaran yang perlu saya tempuhi, tapi semua itu bagaikan dipermudahkan. Pada 5 Mei 2017 saya secara rasminya menjadi seorang muslimah setelah mengucapkan Kalimah Syahadah pada 1 Mei tahun lalu dengan menukar nama kepada Nur Hidayah Ang dan masih mengekalkan nama sebenar dalam kad pengenalan,” jelasnya penuh kesyukuran.
Ibu turut memeluk Islam
Pada hari yang sama Jennifer mengucapkan syahadah, dia berpindah dari rumahnya ke rumah jiran sebelah yang kebetulan tinggal sendirian. Dia terpaksa membawa ibunya yang sudah uzur bersama-sama demi menjaga ibunya itu. Meskipun tidak seagama, tanggungjawab terhadap ibu tercinta tidak dilupakan begitu sahaja.
Tiga bulan setelah bergelar seorang muslimah, tiada tanda-tanda bahawa bekas suaminya bakal mengikut jejak langkah Jennifer untuk memeluk Islam. Mengikut undang-undang syariah, setelah tempoh tersebut Jennifer dan pasangan perlu berpisah. Kedua anaknya yang kecil dibawa bersama tinggal di bilik yang disewanya bersama ibu. Manakala anak sulungnya kekal bersama ayahnya. Namun semua itu ada hikmahnya, ibunya juga akhirnya memeluk Islam setelah melihat banyak perubahan positif terhadap anaknya itu.
“Pada hari saya memeluk Islam saya pindah ke rumah jiran yang kebetulan tinggal seorang. Saya bawa ibu saya bersama kerana dia sudah uzur dan berusia. Dua anak yang kecil juga saya bawa bersama manakala yang sulung masih lagi tinggal bersama ayahnya. Pada mulanya ibu saya agak marah dengan saya, namun melihatkan perubahan pada diri saya setelah belajar mengenali Islam, dia reda.

“Lebih menggembirakan hati saya juga apabila ibu saya juga akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam seminggu selepas pengislaman saya. Ramadan dan Syawal tahun lalu memang satu kenangan indah buat saya dan ibu kerana kami dapat bersama-sama menyambutnya. Walau tidak sesempurna orang Islam yang lain, tapi kami cuba untuk buat yang terbaik. Tapi hayat ibu saya tidak panjang, pada Oktober tahun lalu dia telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Sedih memang sedih kerana ibulah sumber kekuatan dan semangat saya, namun dalam masa yang sama saya bersyukur kepada Allah kerana ibu juga mendapat hidayah di penghujung hayatnya dan meninggal sebagai seorang muslim,” kongsi wanita cekal ini lagi.
Jodoh baru
Dalam usaha untuk menjadi seorang muslim yang sempurna, Jennifer terus mengikuti kelas-kelas agama, kelas pengajian al-Quran, kelas fardu ain dan banyak lagi. Dalam penghijrahannya itulah dia bertemu seorang jejaka yang kini menjadi imamnya yang sah. Hanan Mok Abdullah, 56, jodoh baru yang dititipkan Allah buat Jennifer juga seorang mualaf yang telah lapan tahun bergelar seorang muslim. Menurut Jennifer, suaminya itulah yang banyak membimbing dan mengajar tentang Islam kepada dirinya yang masih lagi bertatih.

“Setelah memeluk Islam, saya memang mencari seseorang yang dapat membimbing saya untuk menjadi muslim yang baik. Syukur Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya dan dipertemukan dengan suami saya kini. Dia banyak membantu dan membimbing saya mengenali lebih dekat tentang Islam. Dari dia juga saya belajar untuk menutup aurat dengan betul, makan makanan yang suci dan halal dan banyak lagi. Kalau ada perkara yang kami berdua tidak tahu, kami sama-sama belajar. Saya berharap dengan bimbingan dan tunjuk ajar suami, Insya-Allah kami berdua dapat jadi muslim yang lebih baik,” ulasnya lagi.
Seorang ibu pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya, kini dua orang anaknya yang kecil tinggal bersama Jennifer, harapannya dengan ajaran yang diterapkan semoga suatu hari nanti anak-anaknya juga mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk Islam dan menjadi seorang muslim sepertinya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI