Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ingin berkongsi kisah saya yang ingin dimadukan oleh suami dengan alasan saya kurang pandai bergaya.
Serba Sedikit Tentang Saya
Saya seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemaninya keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Perubahan
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja. Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya. Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak.
Ads
Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami, yang berterus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja!
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Ads
Namun, Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampu ke…?
Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua. Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lain, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih.
Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya. Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua, puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Pilihan
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami. Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka.
Ads
Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, sentiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Saja Cari Alasan
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang.
Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat. Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan.
Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hati-hati ya suami, sebelum tuding jari kata isteri nusyuz, perati dulu diri sendiri. Bila suami abaikan perkara-perkara ini, salah satunya sering cakap ‘kasar’ dengan isteri pun boleh dah dianggap nusyuz kepada isterinya.
Cakap ‘kasar’ yang bagaimana? Peguam Syarie, Fahmi Ramlidari Khairul Fahmi Associates jelaskan selebihnya tanda-tanda suami nusyuz atau kata lainnya, ingkar dengan perintah Allah.
Jangan Ingat Isteri Jer, Suami Pun Boleh Nusyuz
Ramai yang tau, apabila isteri enggan taat pada perintah suami, disisi syarak ia disebut sebagai nusyuz. Jika seorang isteri disabitkan nusyuz oleh Mahkamah, maka, dia dah tak berhak untuk terima nafkah dari seorang suami.
Tapi, ramai yang tak tahu, selain isteri, suami juga boleh dikira sebagai nusyuz. Cuma perkara ini jarang kedengaran sebab isteri jarang nak mohon suami disabitkan nusyuz sebabnya, suami yang beri nafkah khasnya. Tapi, sama ke nusyuz isteri dan suami? Mari saya kongsikan.
Bila Yang Dikatakan Suami Nusyuz?
Kalau isteri isteri itu dianggap nusyuz bila dia tidak mentaati perintah suaminya, maka suami pula dikira nusyuz bila dia mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya sebagai suami.
Apa Tanda-tanda Suami Nusyuz?
Nusyuz suami melalui percakapan;
– Suami boleh dikira nusyuz disisi syarak jika dia seringkali tidak mahu bercakap dengan isterinya dan bercakap kasar. Kasar disini bermaksud sering memanggil isteri dengan perkataan yang keji dan tidak sepatutnya. Dan ada ketika memberi gelaran yang jijik pada isteri dan mencarut dalam perbualan.
– Suami juga boleh dikira nusyuz jika dia mengarahkan isterinya untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya, menyuruh isteri melacur untuk cari pendapatan. Nauzubillah.
Nusyuz suami melalui perbuatan;
– Suami dikira nusyuz bila dia langsung tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan lebih teruk bila dia berzina dengan wanita lain selain dari isterinya untuk puaskan nafsu.
– Paling dikira nusyuz bila suami bertindak kejam dan keras terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, menggigit dan lain-lain yang boleb datangkan kecederaan pada tubuh badan isteri. Kasihankanlah isterimu itu wahai lelaki.
– Nusyuz juga bagi suami yang tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya dari segi makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri tetapi menghabiskan duitnya kepada benda yang tidak berfaedah seperti membeli rokok. Mintak maaf, ini hakikat.
– Tidak memelihara kehormatan isteri juga boleh dikira sebagai nusyuz dimana sering membuka aib isteri tambah-tambah hal dalam kain. Dan nusyuz juga bagi suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Nusyuz Suami Tidak Dituntut Di Sisi Undang-undang
Walaupun nusyuz suami ini tidak dituntut disisi undang-undang, tetapi dosanya amatlah besar disisi Allah kerana isteri itu adalah amanahnya yang paling besar. Saya sangat tidak bersetuju bila kaum suami asyik salahkan isterinya nusyuz sedangkan dia tidak semak kenusyuzan dia terlebih dahulu sebelum nak nusyuzkan isteri.
MW : Bolehkah sabitkan suami nusyuz di mahkamah
Fahmi : Sebenarnya tak ada peruntukan undang-undang khas yang bercerita tentang nusyuz suami. Kalau nusyuz isteri pun hanya ada pada seksyen cerita tentang nafkah sahaja jika isteri nusyuz.
Sebabnya, nusyuz ini kesannya tak boleh terima nafkah. Jadi, kalau mahkamah buat juga sabitan nusyuz pada suami. Tak ada apa-apa kesan di sisi undang-undang sebab suami yang bagi nafkah. Cuma kesan di sisi Allah sahaja kalau suami ini nusyuz iaitu langgar amanah Allah.
Jadi, tak boleh heret ke mahkamah untuk nusyuz. Lagipun, isteri takkan buat sabitan nusyuz dah pada suami, baik terus fail fasakh sahaja.
Sumber/Foto : Fahmi Ramli yang banyak berkongsi info isu syariah di fanpagenya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pernahkah suami menyatakan betapa dia amat mencintai anda? Apakah suami malu mengakui kegilaannya kepada anda di hadapan kawan-kawannya? Sesungguhnya agama kita menyuruh untuk membesarkan dan mengagungkan cinta kepada isteri.
Sehinggakan Rasulullah s.a.w tidak malu menyatakan betapa baginda mencintai Aisyah RA dengan pengakuan yang membanggakan. Rasulullah s.a.w ditanya oleh seorang sahabat: “Siapakah orang yang paling engkau cintai? Baginda bersabda: Aisyah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Cinta terunggul akan wujud apabila bersatu rasa kagum, hormat, setia, tergila-gila, taat, ikhlas yang diadun dalam rasa kasihan belas dan cinta berahi yang gelora. Sebagai isteri jangan hanya menunggu untuk dicintai tanpa berusaha menambat hati suami. Bagaimana cara agar anda dan pasangan saling mengilai satu sama lain?
1. Suburkan Cinta Dengan Ibadah
Mencintai pasangan adalah ibadah yang paling panjang, tiada ibadah lain selama dan sepanjang sebuah perkahwinan. Semua perbuatan kita dikira sebagai pahala dari yang amat ringan semanis senyuman hingga yang amat berat saat menjaga hati pasangan.
Segala ibadah itu berkumpul daripada sekecil-kecil perkataan yang baik, memuji dan memuliakan pasangan, menasihati dengan kasih sayang, sehinggalah sebesar-besar perjuangan memberi makan dan pakaian, mengurus rumah tangga, mendidik akhlak dan menanam roh agama.
Segalanya dikira ibadah walau mengelap debu-debu dalam rumah sehinggalah menahan sabar ketika dilayan dengan kebencian. Semua itu jika dilakukan secara ikhlas akan melahirkan rasa belas kasihan yang berpanjangan, jauh lebih bermakna dari berahinya cinta semusim.
Ikhtiar untuk mengekalkan cinta kepada suami merupakan ibadah, mengkaji dan menuntut ilmu tentangnya juga ibadah. Cinta yang tumbuh dalam rumah kita bergantung dengan seberapa besar cinta kita kepada Allah dan benci yang merebak dalam rumah tangga juga berkait rapat dengan dosa dan maksiat yang dilakukan.
Oleh itu perjuangan mencintai suami anggaplah jihad yang paling berat timbangan pahalanya di akhirat, supaya jika isteri letih dengan kerja seharian masih sudi bangun bila suami bangunkan untuk meminta khidmatnya.
Betapa berat melayan suami dalam keadaan emosi yang tidak stabil, jika isteri niatkannya untuk mendapat pahala sabar maka Allah limpahkan kepadanya pahala itu.
Suami pula terpaksa akur dengan kerenah isteri demi menjaga komunikasi sentiasa harmoni, begitu mudah pahala didapati dengan hanya diam bila isteri cuba buat provokasi. Hubungan sebegini terus dijalinkan bertahun lamanya demi mendapat pahala ibadah berumah tangga.
Sehinggalah mereka terbiasa dengan ujian cinta dan meyakini bahawa pasangan mereka itu adalah ladang pahala, ia akan kemarau jika rasa cinta keduanya kekeringan.
2. Semai Rasa Kagum, Hormat Dan Bertuah
Dengarkanlah suara-suara mereka yang mengagumi suami anda, menghormatinya di tempat kerja dan memujinya sebagai insan mulia dengan sederet jasa-jasa dalam keluarga dan masyarakat.
Jangan tumpukan perhatian anda pada aibnya, kelemahannya dan dosa-dosa yang anda lihat di dalam rumah. Tiada siapa yang sempurna, dia bukan malaikat dan apalah bezanya dengan diri anda yang juga kekurangan? Raikanlah rasa bertuah mendapat pasangan yang Allah pilihkan.
Bukankah suami adalah ‘tanda kebesaran Allah’ kepada diri anda yang lemah? Sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Rum ayat 31: “Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Jika timbul rasa marah cuba sejukkan dengan melihat wajah suami yang merupakan tanda kebesaran Allah yang mesti anda syukuri. Suami pula jangan kasari isteri jika dia tidak taat tapi hadirkan rasa bertuah kerana wajah isteri itu merupakan tanda kebesaran Allah agar suami mendapat pahala sabar dalam pergaulan rumah tangga.
3. Berkorban Demi Cinta
Mengapa Rasulullah s.a.w masih mengingati ummul mukminin Khadijah sebagai cinta pertamanya ketika berada dalam bilik Aisyah RA? Rasulullah s.a.w bersabda: “Dialah wanita yang pertama beriman kepadaku pada saat orang-orang di sekelilingku kafir. Dialah wanita pertama yang membenarkanku pada saat manusia ramai mendustaiku. Dialah satu-satunya wanita yang mengorbankan harta bendanya untukku pada saat manusia enggan menolongku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Cinta pertama yang tak mungkin dilupakan, membekas hingga ke lubuk hati yang paling dalam. Mungkinkah anda mampu menambat hati suami sebagaimana Ummul mukminin Khadijah merantai hati
Rasulullah s.a.w? Pengorbanan apa yang sudah kita lakukan untuk pasangan padahal mulut kita asyik mengaibkannya dan mengeluhkan kekurangannya?
Cinta hendaklah dikawal dengan keikhlasan, jika isteri mencinta suaminya kerana Allah dan membenci kerana Allah maka inilah segila-gila cinta yang diredai-Nya. Bermohonlah agar anda dan suami sentiasa dihidupkan dengan mata air cinta yang diceduk daripada kisah para hamba pencinta Allah SWT.
Penulis : Dato’ Dr Haji Juanda Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam
Kredit foto : Budiey.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramai ibu lepas bersalin yang fikir nak kurus cepat sebab tak suka tengok body sendiri depan cermin yang berubah dek kerana mengandung.
Ya, wanita hamil kebiasaannya akan meningkat berat badan secara semulajadi disebabkan perubahan hormon dalam badan. Dan semestinya menjadi gemuk selepas bersalin bagaikan mimpi ngeri kepada semua wanita di luar sana.
Namun, ada juga ibu-ibu yang maintain badan slim melim walaupun anak dah berderet. Haih jeles dibuatnya! Baca perkongsian Siti Aishah tentang bagaimana nak kekal kurus dan sihat selepas bersalin…
Makan macam biasa tapi ikut sunnah, start dengan buah baru makanan ruji
Camna nak stay kurus lepas dh bersalin? Ini jawapan saya…
1. 6 bulan tempoh fully bf
Saya tak fikir sangat pasal nak kurus. Saya fikir nak maintain berat yang berjaya dikuruskan lepas 44 hari. Nak kurus memang senang. Lepas keluar budak ja dah start dah berat kita turun kan. Lepas tu bagi yang pantang elok-elok, makan herba sungguh-sungguh, lagilah berat senang nak turun. Akan tetapi, nak maintain berat badan yang berjaya diturunkan itulah memang susah. So bagi saya, as long jarum timbang tak naik dah cukup baik. Fokuskan sahaja makan makanan berkhasiat dan seimbang sepanjang proses fully bf.
2. Saya makan macam biasa
Tapi ikut cara sunnah. Start with buah baru wallop makanan ruji. Jenis buah dalam tempoh 100 hari biarlah buat import. Epal orange berries. Lepas 100 hari baru boleh makan buah tempatan. Apa lagi sunnah rasulullah tentang adab makan? Dari jenis makanan sehingga cara makan Rasulullah dah ajar kan. Awat tak ikut? Semua tu ada kebaikan untuk diri kita juga.
3. Ramai dah tahu
Jenis makanan yang boleh dan tak boleh diamalkan ketika berdiet. Atau ketika nak jadi sihat. Elakkan makanan manis dan bergoreng. Tetapi kebanyakkan kita habis je 44 hari dok tala Goreng Pisang Cheese. Tak pun roti canai sampai 4 keping. Ayam hormon goreng 3 ekor sekali makan. Balas dendam katanya. Badan yang dijaga rapi selama 44 hari ditenatkan lagi dengan makanan-makanan yang merapurapu zaman kini. Kita lak makan jenis tak reti nak rasa-rasa. Kalau nak rasa kena 5 pinggan baru puas. Merasa tu hujung sudu. Melahap tu bersudu-sudu. Banyak bezanya tu ya.
Makan dengan kerap (small portion) & pakai girdle untuk mengawal nafsu makan.
4. Saya makan nasi 6 kali sehari
Small portion. Cara makan? Makan sebelum lapar. Berhenti sebelum kenyang. Bagi saya baguslah kita ni ada rasa lapar. Maksudnya kita ni normal dan sihat. Tetapi saya agak terkesima ada trend makan ubat tak kasi rasa lapar sebab ubat-ubat yg mcm ni lambat laun akan beri kesan buruk pada usus dan buah pinggang. Rasa lapar tu tak salah yang dok melahap tak reti besederhana tu yang patut dipersalahkan.
5. Abaikan nombor di mesin penimbang
Tengok pada nombor di tali tape. Yang penting adalah ukur lilit. Atau jeans lama/kebaya lama dah boleh sarung. Sebab kadang-kadang nombor di penimbang tu dah masuk berat lebihan “bonjolan” seperti boobs and bumps kita. Kantung dah penuh susu of course tambah 2 kg. Punggung lebar sebab dok tadah anak 10 hari 9 bulan tambah lagi 2 kilo. So aci dop berat badan tak macam dulu? Tak pun, lebihan air yang memang setiap wanita lepas bersalin akan hadapi. So sila kapak mesin penimbang anda dan pantau ukur lilit anda.
6. Girdle
Sebelum ngandung pakai. Lepas bersalin sidai buat bendera dalam bilik. Alasannya. Tak selesa masa nak makan. So, sebab tu makan tak ingat perut. Wanita zaman dahulu berbengkung pinggang 24 jam untuk pastikan mereka makan sikit tetapi kerap. Dan selain membantu mengawal nafsu makan, pemakaian girdle yang konsisten membantu memgempiskan perut kita juga. So tak de lah habis 100 hari pantang, perut masih nampak memboyot lagi. Itu belum lagi saya nk suruh berbengkung setiap malam sampai kempis perut. Bengkung malam 44 hari pun ada je aci tak buat kan..kan…kan…
Jangan stress, make sure maintainkan berat badan dulu baru diet untuk kurus
7.Fully bf memang boleh buat orang kurus tapi…
Itu zaman dulu-dulu, zaman makanan tak de GMO, zaman air boleh cedok kat perigi, zaman sayur berbaja taik ayam lagi. Zaman sekarang semua tu dah mustahil. Semua berhormon. So memang akan ganggu hormon ibu yang fully bf ni. Sebab tu jangan pelik yang fully bf pun boleh mengandung. Sebab hormon ibu ni dah bercampur dengan 1001 hormon tiruan dari sumber makanan dan minuman. Kesiankan kita di zaman sekarang.
So bagi saya, jangan dok fikir nak kurus cepat-cepat. Tapi make sure maintain dulu berat badan sehingga tamat tempoh fully bf sampai 6 bulan. Lepas anak dah start dengan solid food, dietlah puas-puas. Tetapi kena ingat ya. Berdiet bukan elak makan. Tetapi kawal makan. Atau dengan lebih tepat, elak makan yg tak elok, lebihkan makanan berkhasiat. Healthy diet atau pemakanan sihat. Itu lagi afdhal.
Bagi ibu-ibu yang masih struggle nak turun berat badan. Jangan stress. Stress juga penyumbang kegemukan.
Enjoy life. Eat healthily. Consume our Malay Traditional herbs especially NR yg membantu kurangkan berat badan tanpa effect pada buah pinggang dan sistem dalaman badan anda. Yang penting selamat. Sebab yang berkesan tak semuanya selamat.
And please berat badan yang ideal ialah mengikut BMI masing-masing. Bukan ikut ukur cekak pinggang Che Ta atau size baju Erra Fazira. Common sense.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Gadis 15 tahun hilang sejak Oktober 2025 dan keluarganya merayu bantuan orang ramai. Baca laporan penuh dan ketahui ciri-ciri Qaseh untuk membantu pencarian.