Sanggup menjual rumah, mendermakan sebelah buah pinggang dan berkahwin semula dengan bekas isteri. Pengorbanan lelaki ini mungkin hanya satu dalam berjuta kisah manis selepas episod perceraian berlaku. Kebiasaannya, apabila berlakunya perceraian, jarang pasangan yang sanggup berbaik-baik, masih mengambil berat diantara satu sama lain.
Kahwin Semula Bekas Isteri
Seorang lelaki dari wilayah Henan, China sanggup berkahwin semula dengan bekas isterinya walaupun mengetahui wanita itu kini sakit tenat.Lapor World of Buzz, Chen Zhenfeng, 39, juga sanggup menjual rumahnya bagi membiayai kos perubatan untuk merawat Xie Hongxia yang menghidap uremia.
Uremia merupakan salah satu tanda tahap akhir penyakit buah pinggang apabila organ itu sudah berhenti berfungsi.
Menurut 8world, Zhenfeng dan Hongxia bertemu sembilan tahun lalu dan berkahwin beberapa bulan selepas berkenalan. Namun, pasangan itu bercerai 2019 disebabkan masalah rumah tangga.
Isteri Sakit Tenat
Selepas dua tahun perceraian, Zhenfeng menghubungi bekas isterinya untuk bertanya khabar dan mendapat tahu Hongxia menderita uremia. Zhenfeng kemudian melawat Hongxia di hospital dan melamar bekas isterinya untuk berkahwin semula setelah tidak tahan melihat keadaan wanita itu yang terlalu sakit.
Hongxia pada mulanya menolak lamaran Zhenfeng kerana tidak mahu membebankan bekas suaminya dengan perbelanjaan perubatannya.Namun, Zhenfeng bertegas mahu menjaga dan menemani Hongxia sepanjang hayatnya.
Malah, Zhenfeng juga memberitahu sanggup menderma buah pinggangnya untuk bekas isterinya. Hongxia tidak sanggup menolak niat baik Zhenfeng dan akhirnya menerima lamaran perkahwinannya.
Mingguan Wanita: Terharu kisah percintaan seperti ini. Terbaiknya bekas suami begini. Masih menjaga hubungan baik, mengambil berat dan sanggup menjaga bekas isteri yang sakit tenat.
“Ayah dah nak sampai”, anak kongsi tragedi bapa meninggal dihempap pokok hujan lebat di ibu kota. Innalilahiwainailahirojiun. Kepada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali.
Hujan lebat yang melanda ibu kota diiringi ribut petir semalam berakhir dengan tragedi apabila seorang bapa dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal dinaiki bersama anak perempuannya berusia 12 tahun dihempap pokok tumbang.
Dalam kejadian menyayat hati ini, Hairul Nizam Nawi, 52 sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu sebelum sebatang pokok besar tumbang tepat di atas motosikalnya dalam kejadian di Taman Maluri, Cheras.
“Ayah Dah Nak Sampai”
Pokok besar di Taman Maluri ini tumbang semalam dalam hujan lebat dan mengorbankan arwah. Nasib anak kecilnya berusia 12 tahun selamat
Menurut anaknya, ketika kejadian, ayah dalam perjalanan pulang ke rumah bersama adik sebelum tiba-tiba pokok tumbang dan menghempap pahanya, sementara adik terselamat,” kata Amirul Asyraf Hairul Nizam, 26 tahun yang juga anak kepada mangsa.
Memetik Harian Metro, dalam kejadian 4 petang semalam, bapanya, Hairul Nizam Nawi, 52, menunggang motosikal dan membawa bersama anak perempuannya, Amira Zulaika, 12, selepas anaknya itu habis belajar di pusat tuisyen di Baitulmal di Jalan Perkasa.
Amirul berkata, bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, adiknya terlihat pokok hendak tumbang dan terus memberitahu bapanya dan mereka cuba mengelak, namun batang pokok itu menghempap di bahagian hadapan motosikal.
“Ketika itu, keadaan hujan sangat lebat dan ayah sudah hampir dengan rumah kami di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu. Saya dan emak hanya mengetahui kejadian itu jam 4.30 petang selepas ada seseorang menghubungi kami memaklumkan kejadian, menyebabkan emak hampir pengsan,” katanya.
Kenangan arwah bersama anak-anak (gambar dari fb keluarga)Kerja-kerja pembersihan dijalankan selepas tragedi ini berlaku. Banyak kenderaan rosak bila pokok besar ini tumbang dalam hujan lebat semalam
Menurutnya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, bapanya sudah dihantar ke Hospital Ampang dan motosikal miliknya itu yang digunakan arwah didapati rosak teruk.
“Ayah memang ada masalah jantung dan selepas dihempap pokok dia sukar bernafas, malah ketika berada di hospital, ayah seperti meracau apabila dia masih ingat kakinya dihempap pokok dan meminta doktor mengalihkannya kerana dia memberitahu kakinya tidak dapat digerakkan. Bagaimanapun, ketika menerima rawatan, ayah gagal diselamatkan dan meninggal dunia kira-kira 7.30 malam tadi,” katanya.
Menurut Amirul, motosikal itu satu-satunya kenderaan yang mereka miliki dan hutang pinjaman tinggal lagi dua bulan untuk dijelaskan. “Selepas ini, sayalah yang akan mengambil alih tanggungjawab menjaga keluarga selepas ketiadaan ayah.
“Selepas urusan di Hospital Ampang selesai ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai,” katanya.
Dia turut menyifatkan arwah bapanya seorang yang baik dan peramah walaupun tegas dengan anak-anak.
Harian Metro semalam melaporkan enam individu cedera selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah bank di Jalan Mahkota, Taman Maluri, di sini.
KOTA TINGGI 16 Dis. – Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar di sini petang tadi.
Pelumba berasal dari Perak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir kejuaran, kira-kira pukul 4 petang.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan memasuki pusingan terakhir daripada keseluruhan 15 pusingan perlumbaan itu.
Laporan berita seperti di atas yang terpampang di dada akhbar dan di laman web serta media sosial telah mengejutkan peminat sukan lumba motor dan rakyat Malaysia. Pemergian Mohd Hafiz memang tidak di sangka dan sehingga kini ahli keluarganya masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku.
Ibu dan Bapa pelumba ini, Rohana binti Hamzah, 52, dan Nor Azman bin Mad Darus, 55, tidak mampu bercerita setiap kali ada yang bertanya mengenai kejadian yang berlaku. Keluarga pelumba motor ini menetap di Simpang Pulai, Ipoh.
Namun MW rasa berterima kasih kepada Nor Shaziela Binti Nor Azman, kakak sulung Allahyarham Mohd Hafiz yang sudi berkongsi cerita mengimbas kembali kenangan bersama adik tersayang. Berkali-kali wanita berusia 31 tahun ini memohon maaf kerana tidak dapat melayan permintaan penulis untuk ditemuramah sebelum ini.
Dua Kali Sehari Pergi Kubur Adik
Cerita Nor Shaziela tidak lama selepas adiknya meninggal dunia, dia dan ibu bapanya telah menunaikan umrah.
“ Sebenarnya setiap kali jika adik menang dan dapat berdiri di podium, dia akan belanja keluarga makan. Pada pertengahan tahun 2018, dia memang nekad setiap kali dia menang perlumbaan dia akan menyimpan duit untuk membawa ibu, ayah dan saya untuk menunaikan umrah.
” Segalanya sudah cukup. Malah sebelum dia pergi last race hari itu, memang dia ada beritahu saya yang dia akan buat bayaran ke umrah dan pergi menunaikan umrah selepas tamat perlumbaan. Tetapi impiannya itu tidak kesampaian.”
Dia dan keluarga masih bersedih dengan pemergian Mohd Hafiz, namun demi mahu menunaikan hasrat Allahyarham jugalah menyebabkan mereka meneruskan ziarah umrah tersebut.
“ Alhamdulillah, selepas kami menunaikan umrah, kami kuat sikit. Cuma kadang-kadang ini apabila teringat arwah adik, mesti kami akan sedih. Emak terutamanya, memang sedih. Sekarang ini dalam sehari dua kali kami pergi menziarah kubur adik.
” Emak sentiasa rindukan adik. Sebab itu dia masih menyimpan barang-barang lumba adik. Dia tidak bagi kami ubah sudut tempat meletak barang adik itu. Setiap kali dia rindu dia akan pergi ke sudut itu dan melihat dan memegang barang-barang lumba adik itu,” cerita Nor Shaziela dengan sayunya.
Mahu Ibu bapa Teman Ketika Berlumba
Mengimbas semula kejadian pada hari tersebut, Nor Shaziela dan adik-beradiknya yang lain menonton siaran langsung perlumbaan tersebut di rumah. Seperti biasa , ibu bapanya yang menemani Mohd Hafiz. Namun ketika kejadian, ibu bapanya duduk di lokasi lain dalam trek perlumbaan tersebut.
“ Setiap kali perlumbaan di dalam negara, adik memang mahukan ibu dan ayah pergi melihatnya berlumba. Sebab itu ibu dan ayah pergi. Kami adik-beradik melihat sahaja perlumbaan itu di televisyen.
” Pada hari Sabtu sehari sebelum kejadiaan, adik memang mencatat masa terpantas. Pada hari Ahad itu dia bermula di petak hadapan. Pada 2nd lap terakhir perlumbaan, ahli pasukannya terbabas dan melanggar papan tanda penaja.
” Adik tidak dapat mengelak dan melanggar kayu papan tanda yang telah dilanggar oleh ahli pasukannya itu.
” Setelah kemalangan adik dihantar terus ke hospital Kota Tinggi. Perjalanan dari trek ke hospital mengambil masa 1 jam. Saya dapat tahu semasa kejadian dia bernafas lagi. Tetapi tidak ada alat perubatan yang boleh diberi kepada dia.
” Jururawat yang Bersama dengan adik di dalam ambulan ada beritahu lebih kurang 20 minit lagi hendak sampai ke hospital barulah dia menghembuskan nafas terakhir.”
Nor Shaziela juga berkata ibu bapanya telah dibawa oleh pasukan adiknya menaiki kenderaan lain mengejar ambulan itu sehinggalah sampai di hospital. Namun sebaik sahaja adik sampai ke hospital doktor telah mengesahkan yang adiknya itu telah meninggal dunia.
“ Mak telah menelefon saya dalam pukul 6 petang beritahu adik sudah tidak ada. Ketika itu berada di rumah segera memberitahu saudara mara. Kami telah menguruskan apa yang perlu di rumah. Adik telah dikebumikan di tanah perkuburan Saidina Umar Al-Khatab, Simpang Pulai yang terletak berhampiran dengan rumah kami,” ujarnya sayu.
Ikut Minat Ayah Jadi Pelumba Motor
Mohd Hafiz anak ketiga dari 4 beradik. Cerita Nor Shaziela, adiknya memang minat bidang lumba motor kerana sebelum ini ayah mereka adalah pelumba cub prix era 90-an.
“ Adik bermula dengan pocket bike semasa umur 7 tahun. Selepas itu dia aktif dalam perlumbaan motocross dan seterusnya masuk dalam bidang cub prix pada tahun 2010. Kami sekeluarga memang menyokong minat dia itu. Kami juga sokong segala bidang yang dia ceburi.
” Hubungan kami memang rapat. Dia seorang adik yang baik, adik yang mengambil berat hal keluarga, dan sentiasa mahukan keluarga yang terbaik dalam apa pun.
” Kami tahu perlumbaaan motosikal ini memang berisiko tinggi. Sejak berkecimpung dalam bidang ini juga adik memang sudah banyak kali mengalami kecederaan akibat kemalangan tetapi kecederaan itu tidak teruk.
” Saya rasa walaupun dia sudah tidak ada, apa yang dibuatnya itu amat bermakna. Dia minat bidang ini. Kami sekeluarga sokong minat dia. Selain berlumba dia masih juga belajar di Politeknik Ungku Omar. Dia mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
” Kami juga rasa kalau dia tidak minat lagi dalam bidang ini, mungkin dia akan berjaya satu hari nanti sebab pelajaran dia juga akan bagus,” ujarnya lagi.
Tiada Lagi Baju Raya Sedondon
Pada tahun sebelum keluarga ini menyambut Ramadan dan syawal dalam suasana yang meriah. Namun pada tahun ini suasara suram menyelubungi. Ini diakui sendiri oleh Nor Syaziela.
“ Sedih memang sedih pada tahun ini. Selalunya kami berenam. Pada tahun ini kami berlima. Baju raya sudah tidak sedondon lagi pada tahun ini. Tidak lengkap rasanya raya pada tahun ini.
” Bulan puasa ini, saya akan ingat saat kami bersahur. Adik suka sangat lauk ayam masak merah. Kalau ada lauk itu sudah pasti dia akan menambah nasi. Kami pasti akan gelak tengok dia berselera makan ketika bersahur.Tahun ini tidak ada lagi saat-saat begitu.”
Apa yang pasti Nor Shaziela pasti akan sentiasa merindui adiknya itu.
“ Adik seorang yang baik. Dia hormat ibu bapa dan orang tua. Dia tidak pernah tinggi suara. Dia juga suka menolong orang. Hafiz suka tengok orang lain gembira. Sibuk macam mana pun dia tidak akan tinggal solat. Itu sebab apabila dia sudah tidak ada sekarang ini kami rasa kehilangan yang amat sangat..
Saya pasti akan teringat gelak tawa dia. Ketika makan Bersama keluarga, kadan-kadang dia suka buat lawak. Saya juga rindu hendak tengok dia race,” luah Nor Shaziela mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nurfarahimi luah teringin naik helikopter sebelum pencen, bakal tamatkan perkhidmatan beberapa bulan lagi. Menurut ibu saudara Allahyarhamah Nurfarahimi, Laila Fairus Ismail, 58, arwah beri tahu sebelum pencen, dia teringin nak naik helikopter.
Nurfarahimi Luah Teringin Naik Helikopter Sebelum Pencen
Memetik laporan Buletin TV3, difahamkan Allahyarhamah Noorfarahimi Mohd Saedy,41, yang merupakan Pegawai Waran II TNL sudah lama menyimpan impian untuk menaiki helikopter sebelum menamatkan perkhidmatan yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi.
Sepanjang kerjaya, ini kali ketiga Nurfarahimi, 41, menaiki helikopter. Itu pun selama tiga hari disebabkan terbabit dalam latihan raptai, jelas Laila lagi.
Menurut Laila pada hari raya Aidilfitri yang lalu arwah antara orang yang paling ceria dan memaklumkan kepada saudara mara yang dia akan pencen tidak lama lagi dan akan menetap dengan suaminya di Kuantan dan tidak akan tinggal lagi di Lumut.
Bakal Tamatkan Perkhidmatan Beberapa Bulan Lagi
”Arwah seorang yang mudah ‘happy’ dan pada hari raya dia memaklumkan akan berpencen kalau tak salah pada Jun ini.
”Dia juga ada memaklumkan sebelum ini yang dia tak pernah naik helikopter dan teringin nak merasainya sebelum berpencen nanti.
”Namun tak disangka kejadian seumpama itu berlaku,” katanya ditemui media di Banggol Jas, Sungai Bayor, Selama.
Menurutnya arwah sudah bersuami dan juga seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kuantan, Pahang serta mempunyai tiga orang anak berusia 16,12 dan lapan tahun.
Tambahnya, dia dimaklumkan ahli keluarga arwah, jenazahnya dalam keadaan sempurna dan hanya terdapat kecederaan pada bahagian kepala sahaja.
Sementara itu kakak sulung mangsa, Nurlaida Mohd Saedy,55, berkata arwah adiknya juga sempat membuat rakaman video permandangan dari atas helikopter ketika berlepas dan menghantarnya ke applikasi whatapps keluarga.
Tangkap layar WhatsApp anak saudara Noorfahimi, Fatin Atiqah Rosli.
”Dia anak keempat dari lima beradik. Sepanjang kariernya, arwah sering menghantar gambar dan video-videonya terus kepada saya dan jarang berahsia.
”Malah pagi hari kejadian, dia sempat menghantar permandangan dari udara sebelum tragedi itu berlaku,” katanya.
Tambahnya, jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Damak, Sungai Bayor selepas selesai urusan bedah siasat, esok atas permintaan suaminya.
Dalam pada itu dua anak mangsa Nur Alwani Fatihah Muhd Faizul,12 dan abangnya Muhd Alif Farhan, sememangnya bercita-cita mahu menjadi seperti ibu dan ayah mereka.
Malah kejadian yang mengorbankan ibu mereka bersama sembilan lagi anggota TLDM, tidak mematahkan semangat mereka malah akan menjadi motivasi untuk mereka mengejar impian.
Terdahulu media melaporkan dua buah helikopter milik TLDM bertembung diudara ketika menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.