Pada 16 April 2019 ini, genap sebelas tahun Rosnalizawati  Hamzah berkhidmat sebagai jururawat. Selama itu jugalah banyak  pengalaman pahit mahu pun manis telah dialaminya. Kerjayanya memang memerlukan komitmen yang tinggi. Namun tidak pernah terdetik sedikit pun dalam hati yang dia menyesal dengan kerjaya yang dipilih.

Bersama Mingguan Wanita, Rosnalizawati yang berusia 34 tahun ini bercerita kisah sebenar di sebalik mengapa dia memilih menjadi jururawat.

“Pada asalnya, jururawat bukanlah pekerjaan pilihan saya. Bagi saya, memilih pekerjaan yang saya tidak suka adalah ibarat dipaksa berkahwin dengan orang tua. Tetapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah, yang bersungguh-sungguh mendesak, maka saya pun mengisi borang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya mengimbau kisah sebelum ini.

Tak Lengkap

Bagaimanapun menurutnya, borang permohonannya telah ditolak kerana dia terlupa untuk mengisi jawatan yang dipohon.

“Kemudian, saya telah mengisi semula borang SPA buat kali kedua dan ketika itu saya menjadikan pekerjaan pengawal lalu lintas udara sebagai pilihan utama manakala jururawat sebagai pilihan yang terakhir.

“Tetapi, takdir telah menjodohkan saya dengan kerja jururawat. Saya  dipanggil menghadiri temu duga. Dalam masa yang sama saya merasa hairan kerana ayah sangat yakin yang saya akan lulus temu duga tersebut dan menjadi seorang jururawat dan keyakinan itu memang menjadi kenyataan,” katanya.

Bercerita lanjut, menurutnya, pada 7 April 2004, ayahnya  telah dijemput Ilahi tanpa sempat melihat dia menyarungkan uniform jururawatnya.

Rosnalizawati diterima mengikuti pengajian Diploma Kejururawatan di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Sungai Buloh, Selangor sebelum meneruskan pengajian Diploma Lanjutan Kebidanan di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta, Perak.

“Selepas tamat pengajian, saya berkhidmat di wad perubatan lelaki P2/SW26 Hospital Kuala Lumpur selama lima tahun dan kemudian saya telah berpindah ke Hospital Ampang, Selangor.

“Pekerjaan terakhir saya dengan Kementerian Kesihatan berakhir pada 11 April lalu dan bermula 15 April saya memulakan pekerjaan baru di Arab Saudi.

IKLAN

“Walaupun saya akan menamatkan perkhidmatan saya di sini, ia tidak bermakna saya akan berhenti merawat dan berhenti menjadi bidan. Saya masih seorang jururawat, seorang bidan, dan saya harap saya akan berterusan menjadi seorang perawat,” katanya penuh keikhlasan.

Penulis Sambilan

Rosnalizawati mengakui, sebelum bergelar jururawat, dia memandang pekerjaan ini sebagai suatu pekerjaan yang biasa. Tiada yang istimewa. Itulah yang sering terdetik dalam hatinya.

“Tetapi selepas kejadian ayah saya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital disebabkan oleh serangan jantung, ia telah membuka mata saya. Saya fikir, betapa perlunya kita mengetahui tentang perawatan dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.

“Saya selalu terfikir, di samping kita membantu ahli keluarga, kita juga boleh membantu orang lain. Sejak dari hari pertama saya menjadi jururawat, saya mula mengubah persepsi saya dan melihat pekerjaan saya sebagai suatu profesion yang luar biasa,” katanya.

Ujar penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) untuk tahun 2017 dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ini, selain menjadi jururawat, dia juga menjadi penulis sambilan.

“Saya menyumbang karya di dalam beberapa buku yang berkonsepkan hospital dan kesihatan seperti Buku Pink 1.0, Buku Pink 2.0, dan Gargle. Saya juga membuat ilustrasi untuk sebuah buku tentang vaksin.

IKLAN

“Selain itu, saya juga menjadi ahli persatuan Delegasi Jururawat (DON) sebuah persatuan NGO.  Di samping menyertai beberapa aktiviti sukarelawan bersama Team Kembara Kitchen termasuk aktiviti sukarelawan di Sandakan, Sabah,” katanya.

Belajar Sabar Dan Kawal Emosi

Sepanjang menjadi jururawat banyak perkara yang telah dipelajari Rosnalizawati. Namun baginya, perkara yang paling utama ialah jika mahu menjadi jururawat, seseorang itu perlu ada sikap empati dan sabar.

“Dua sikap ini perlu ada di dalam diri setiap jururawat. Saya sedar, bukan mudah untuk menjadi seorang yang penyabar. Bukan mudah untuk meletakkan diri di tempat pesakit. Saya pernah menjadi pesakit. Saya pernah merasa sakitnya pembedahan. Saya pernah merasa betapa ngilunya apabila benang pembedahan dibuka. Dan kerana pengalaman pernah menjadi pesakit itu, membuatkan saya sedar dan memahami betapa sukarnya menjadi seorang pesakit.

“Malah, saya juga pernah ditendang oleh ibu mengandung semasa saya sedang mengendalikan proses kelahiran anaknya. Boleh bayangkan bagaimana perasaan saya pada saat itu? Hanya Allah saja yang tahu. Sejak saya mula bekerja di dewan bersalin, saya mula belajar untuk bersabar dan mengawal emosi,” ujarnya menceritakan sedikit pengalaman berharganya.

Menurutnya, dia akan mengajar pesakitnya supaya mempraktikkan senaman pernafasan. Dan bagi pesakit yang beragama Islam, dia akan menggalakkan pesakit berzikir dan berdoa. Secara tidak langsung, dia juga  akan turut sama melakukannya.

Bagi Rosnalizawati, keseronokan kerjaya yang berkhidmat untuk masyarakat itu  sangat luar biasa. Kepuasan yang dirasakan memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

IKLAN

“Antara kepuasan yang saya dapat rasakan adalah ketika menjahit dan menyambut kelahiran bayi. Walaupun agak aneh bunyinya, tetapi menjadi bidan di hospital kerajaan telah memberikan saya peluang untuk menyambut kelahiran dan menjahit luka bersalin. Apabila satu hari saya tidak menyambut bayi atau menjahit luka, saya akan merasa rindu dan seperti ‘gatal tangan’.

“Pada saya, melihat kelahiran baru setiap hari, seolah-olah memberi kepuasan kepada saya. Apabila si ibu berjaya bersalin tanpa komplikasi, dan mereka mengucapkan terima kasih kepada kita, itu pun sudah mampu membuatkan saya rasa bahagia dan ia membuatkan hari saya menjadi lebih bermakna,” jelasnya.

Kisah Sambut Bayi Kali Pertama

Bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, jururawat yang juga bidan ini tidak pernah dapat melupakan pengalaman menyambut bayi pertamanya.

“Pada hari kejadian, merupakan hari pertama saya bertugas di dewan bersalin. Tanpa pengawasan senior mahupun sister, saya telah diberikan tugasan untuk menjaga seorang pesakit Myanmar yang mengandung tidak cukup bulan.  Saya telah diberitahu yang bukaan pintu rahimnya baru empat sentimeter. Di dalam hati saya, saya berdoa supaya dia tidak bersalin sepanjang saya menjaganya.

“Malangnya, doa saya tidak dimakbulkan. Pesakit saya yang dari tadi hanya mendiamkan diri, tiba-tiba menjerit. Saya menjadi panik dan saya tanya dia kenapa. Dia tidak menjawab tetapi hanya menjerit. Saya terus menyelak kain sarungnya. Saya sangat terkejut apabila terlihat kepala bayi sudah terjulur keluar. Kini giliran saya pula menjerit meminta tolong.

Sister dan staf lain bergegas datang ke bilik yang saya jaga. Tanpa membuang masa, berlapikkan kain sarung berwarna merah hati, saya terus menyambut bayi tersebut yang beratnya hanya anggaran 500-600 gram. Saya sangat panik. Terasa seperti hendak menangis. Tangan saya menggeletar. Dalam bilik penghawa dingin yang sejuk itu, saya berpeluh.

“Masa hendak sain surat beranak, sister saya bertanya. “Haaa..macam mana? Seronok tak sambut bayi?” ceritanya sambil ketawa kecil.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI