Pesan Ustazah, Hati-hati Baca Tulisan Yang Membuka Aib Manusia

Ini pesan pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun agar kita lebih berhati-hati ketika membaca tulisan yang membuka aib manusia.

Biar pun ketika hati dalam keadaan beremosi, sebolehnya bataskan diri dari menghina, mengeji mahupun memaki hamun. Sebaliknya, ambil lah pengajaran dengan doa perlindungan diri.

Kongsi ustazah,

Umpatan atau pembukaan aib paling berat adalah terhadap ahli keluarga atau bekas ahli keluarga. Suami/ isteri, ibu bapa kandung atau mertua, anak-anak, dan saudara kandung atau ipar.

Kadang-kadang atas alasan meluahkan rasa kecewa, tekanan, sedih, kecil hati dan lain-lain, umpatan menjadi halal dan diwajarkan.

Bahkan dirasakan diri lebih mulia kerana ketabahan hati, juga sebagai alasan kewajaran tindakan yang dibuat, ia benar-benar satu tipudaya.

Umpatan dan pembukaan aib ini sangat bahaya kerana boleh memutuskan silaturrahim, melupakan segala kebaikan, menanam rasa dendam dan menyakiti hati dengan lebih dalam. نعوذ بالله من ذالك

Membuka Aib Diri Atau Orang Lain Secara Besar-besaran

Umpatan dan pembukaan aib diri dan orang lain kini secara besar-besaran dan dilihat terhormat pula, iaitu melalui FB, INSTA, WHATSAPP dan lain-lain.

Berhati-hati membaca tulisan yang membuka aib manusia yang tak perlu dipanjangkan, walaupun perihal artis, public figure atau ahli politik dan lain-lain. Bimbang kita hanya mengumpul mudharat tanpa manfaat.

IKLAN

Pengumpat dan pendengar umpatan kedudukannya hampir sama sahaja. Kerana tanpa pendengar tiada pengumpat.

Kecuali kita mendengar dalam keadaan terpaksa dan tidak redha. Berhati-hatilah semua, Ia tersebar dengan begitu laju.

Memang kita sangat beremosi dengan kes tertentu, namun dalam masa yang sama tetap bataskan diri daripada mengeji menghina atau memaki hamun, ambil pengajaran kemudian berdoa supaya kita selamat daripada ujian seumpama ini. Sedih memang sedih.

Amalkan doa daripada Rasulullah SAW:
اللهم اهدِني لأحسنِ الأخلاقِ . لا يهدي لأحسنِها إلا أنت . واصرِفْ عني سيِّئَها . لا يصرفُ عني سيِّئَها إلا أنت
Ya Allah, tunjukilah aku kepada akhlak yang baik, tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepada yang lebih baik kecuali Engkau. Jauhkanlah aku dari akhlak yang buruk, kerana tidak ada yang dapat menghindarkan aku dari akhlak yang buruk kecuali Engkau.
(Riwayat Muslim)

PERHATIAN JUA :

Kepada para penyebab umpatan atau kemarahan berlaku ke atas anda kerana tindakan dan sikap sendiri. Anda telah melakukan dosa di awal lagi kerana mendedahkan diri menjadi sebab orang mengumpat dan mengeji, apatah lagi usahlah memberi amaran supaya para pengumpat merangkak-rangkak di padang mahsyar.

Kita sendiri tak tahu siapa yang akan merangkak esok, nauzubillahi min zalik. Jadi jika dalam situasi yang panas, diam adalah satu kebijaksanaan, elakkan buat sementara membuat apa kenyataan atau berkongsi cerita bahagia atas derita orang lain, kerana ia sangatlah sensitif.

Diamlah walaupun dilihat lemah atau melarikan diri, ia umpama tunggu ombak reda barulah berenang semula. Kalau tidak mungkin akan lemas atau karam.

IKLAN

Nabi SAW bersabda :
ليس المؤمنُ بالطَّعانِ ولا اللَّعانِ ولا البذيءِ ولا الفاحشِ
Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang suka menyalahkan (orang lain), melaknat, mencela dan mencaci.”

Teguran Itu Dari Siapa..

Hari ni ramai yang berbangga menayangkan maksiat, kemewahan, akhlak yang buruk dan lain-lain. Bila ditegur dia menempelak dengan pelbagai jawapan. Dia lupa Allah sedang menegurnya.

Allah ya Haadi ya Quddus ya Jalil.
Berilah kami hidayahMu, sucikan dan jernihkan hati kami daripada karat dosa, penyakit hati, dorongan nafsu dan syaitan yang mengalir dalam darah.

Daripada Abu Darda’ r.a, Rasulullah SAW bersabda :
Tidaklah seorang Muslim menolak/menahan ghibah (mengumpat/mengata) terhadap saudaranya kecuali ALLAH menahan dirinya daripada Api Neraka Jahannam pada Hari Qiamat“.
(Hadis Riwayat al-Bagawi, Syarhus Sunah)

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا ٥٣
Dan katakanlah kepada hamha-hamba-Ku: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
(Surah Al-Isra’: 53)

IKLAN

Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا ٣٦
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan (diperiksa).
(Surah Al-Isra’ : 36)

 

Pesan Ustazah, Hati-hati Baca Tulisan Yang Membuka Aib Manusia
Kredit : Muslim Volunteer Malaysia

 

Lari Sejauhnya Dari Panggilan ‘Mengumpat’

Mengumpat itu baunya busuk dan wajahnya keruh resah gelisah, apatah lagi hatinya. Jika ada yang menguis tangan memanggilmu untuk menyertai, larilah sejauhnya dengan pelbagai helah, iya bukan satu penipuan.

*Jika ke balai polis untuk aduan, pejabat agama atau merujuk pihak tertentu bagi mendapatkan khidmat nasihat ia adalah dibenarkan. Namun masih menjaga jika ada aib yang tak perlu dibuka. Itu tidak dikira mengumpat, memang perlu dan pada tempatnya.

Muhasabah bersama. Peringatan ini lebih untuk diri sendiri. Silakan share dan moga bermanfaat.

MW : Muhasabah diri untuk jadi lebih baik di sisi tuhan.

Kredit/Foto : Asma’ binti Harun

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI