Ajal, maut, rezeki dan jodoh semuanya dibawah ketentuan tuhan. Selepas 4 tahun bergelar ibu tunggal, Penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, mengesahkan telah bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli, 55, baru-baru ini.
Rakan Baik Arwah Suami
Berkongsi berita gembira menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin, namun, tidak menjelaskan secara terperinci butiran majlis perkahwinannya itu.
“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi mengasihani. Sempena malam Jumaat yang juga ‘sayyidul ayyam’, saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan bertemu jodoh dengan hamba Allah yang juga sahabat baik arwah suami, Allahyarham Johan Nawawi dari kecil lagi.
“Beliau adalah saudara Rushdi Ramli,” dedah Nora menerusi hantaran dimuat naik, beberapa jam lalu.
Melaksanakan Perkara Wajib
Melalui hantaran sama, penyanyi Di Persimpangan Dilema ini memohon maaf tidak menghebahkan awal berita gembira itu.
“Dari awal lagi saya berniat mahu tidak berkongsi berita gembira ini. Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.
“Saya berpegang kepada prinsip perkahwinan satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali mencari publisiti.
“Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang ditentukan,” luah penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Harap Doa Semua Pihak
Mengharapkan keberkatan di sebalik keputusan dibuat, Nora turut mengharapkan doa semua pihak agar mahligai dibina berkekalan hingga ke alam syurga.
“Saya mohon peminat dan insan yang mengenali saya menitipkan doa buat saya semoga mendapat keluarga sakinah, mawaddah dan warrahmah.
“Moga dipermudahkan segala urusan, diberkati, diredai Allah SWT dunia dan akhirat. Insya-Allah,” katanya.
Sifat Prihatin Suami Buka Pintu Hati
Nora mengakui, sifat prihatin suami membuatkan pintu hati terbuka menerima lamaran daripadanya.
Ads
“Beliau adalah insan pertama melamar, membantu saya dan anak-anak pada saat berdepan tekanan serta tidak punya apa-apa.
“Suami mengajar saya erti sabar, reda dan percaya pada ketentuan Tuhan,” katanya.
Nora menyifatkan perkahwinan keduanya itu juga adalah takdir sudah tertulis buat mereka.
“Saya tidak pernah mencarinya dan suami juga tidak mencari saya. Tetapi, Allah menemukan kami.
“Suami juga sayangkan arwah Johan dan Alif. Moga jodoh kami diberkati,” ujar penyanyi bersuara gemersik ini.
Sebelum ini, Nora pernah dikaitkan dengan dakwaan sudah berkahwin dengan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.Namun, ia dinafikan kedua-dua pihak walaupun dikesan tular dalam media sosial mengenai sekeping salinan sijil pernikahan didakwa milik mereka.
Nora mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. Pada 13 Disember 2019, Nora diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, tahniah dan selamat pengantin baru buat Nora. Kembali bertemu jodoh dengan rakan arwah suami. Semoga hubungan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.
Wajah seiras, nama panggilan sama dengan anak kandung, wanita teruja bertemu dengan Qisya, anak sulung mangsa Sungai Korok. Sekali pandang, ramai yang terkesima melihat wajah Nureen Keisya Adelea Mohamad Yazid yang seiras dengan arwah Puteri Qisya Nur Izzat, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam tragedi menyayat hati enam sekeluarga di Sungai Korok, Jitra.
Wajah Seiras, Nama Panggilan Sama Dengan Anak Kandung, Wanita Teruja Bertemu Dengan Qisya, Anak Sulung Mangsa Sungai Korok
Bukan hanya wajah yang hampir sama, kedua-dua kanak-kanak ini juga berkongsi nama panggilan yang serupa serta umur yang sama iaitu 12 tahun.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita bernama Nurul Hidayah Ab Basir, 38 tahun, menerusi satu hantaran yang meraih perhatian ramai di TikTok.
Menurut penjawat awam dari Alor Setar ini, perasaan sebaknya tidak dapat dibendung apabila melihat sendiri wajah Puteri Qisya Nur Izzat buat pertama kali. Pertemuan itu berlaku selepas beliau terdorong untuk menziarahi kanak-kanak tersebut sebaik mengetahui kisah tragis yang menimpa keluarganya.
“Apabila saya melihat wajah Putri Qisya, saya terkenangkan anak saya. Memang serupa dari segi paras rupa, warna kulit, ketinggian dan nama. Saya rasa macam dia anak saya.
“Selain nama panggilan mereka sama, nama saya juga sama dengan Allahyarham ibunya, Nurul Hidayah dan saya kata kepadanya, dia boleh panggil saya ‘mummy’.
“Ini percaturan ALLAH yang tidak terjangka,” katanya.
Tambah beliau lagi, pertemuan itu telah membuka pintu hatinya untuk terus menjalin hubungan dengan Puteri Qisya, malah beliau berharap agar anak itu dapat bersekolah di tempat yang sama dengan anaknya pada tahun hadapan.
Secara tidak langsung, Nurul Hidayah dapat memantau perkembangan Puteri Qisya dengan lebih dekat.
“Seorang wanita tidak lari dengan sifat keibuan, apatah lagi melihat seorang anak kehilangan tempat berpaut.
“Saya tumpang bersedih dengan kejadian yang berlaku kepada dia dan mendoakan anak ini sentiasa berada dalam lindungan dan jagaan orang baik,” katanya lagi.
Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan insiden tragis membabitkan enam sekeluarga yang hilang selepas menginap di rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman pada 5 Julai lalu. Kesemua mereka ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok.
Mangsa tragedi tersebut ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat orang anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar. Kesemua jenazah telah disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang, Jerlun sekitar jam 11.50 malam pada hari Isnin.
Anak ketiga baru dilahirkan, belum sempat rasa kasih sayang seorang ayah, tapi wanita ini telah diceraikan suaminya ketika dalam pantang.
Soal jodoh ini ketentuan Tuhan, namun tidakkah ada sekelumit rasa sedih di hati suami menceraikan isteri yang baru saja melahirkan anak. Yang baru saja menyabung nyawa lahirkan zuriat untuknya.
Wanita Ini Diceraikan Dalam Pantang
Berat sungguh ujian buatnya. Dugaan buat seorang ibu beranak tiga di Flat Taman Semarak di Nilai, Negeri Sembilan, apabila dia diceraikan suami ketika masih dalam pantang.
Keadaan itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun tersebut berdepan tekanan, malah buntu memikirkan bagaimana mahu membesarkan tiga anaknya berumur empat dan dua tahun serta bayi berusia 17 hari.
Wanita kelahiran Sabah itu telah diceraikan suaminya pada Khamis lalu selepas 13 hari melahirkan anak lelakinya.
Menurutnya, dia tidak menyangka diceraikan hanya kerana menegur suaminya yang membiarkan buku temu janji klinik anaknya koyak.
Anak Baru Dilahirkan, Belum Sempat Rasa Kasih Sayang
“Saya tak tahu kenapa hanya disebabkan masalah kecil itu dia terus menceraikan saya dengan talak satu.
“Yang saya paling sedih kerana anak kami baru saja dilahirkan dan belum sempat merasa kasih sayang seorang bapa,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya.
Mengulas lanjut katanya, penceraian berkenaan merupakan kali kedua selepas kali pertama pada 2018, bagaimanapun dirujuk semula ketika masih dalam tempoh edah.
Jelasnya, sepanjang empat tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya itu, mereka tidak mempunyai banyak masalah.
“Saya rasa mungkin dia tertekan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana tak dapat bekerja seperti biasa dan kemuncaknya bila dia terpaksa menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari kerana positif Covid-19,” katanya.
Wanita tabah itu berkata, dia tidak lagi mahu mengenangkan apa yang berlaku dan mahu membuka buku baharu demi anak-anaknya.
Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi masalah kepadanya ketika ini adalah untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti kerana selama ini bergantung sepenuhnya kepada suami.
Kesusahan Wanita Ini Mendapat Perhatian
Keperitan hidup ini mendapat perhatian beberapa pihak, antaranya menerima kunjungan Pengurus Semarak Resource Centre, Muzaliza Musa. Semarak Resource Centre merupakan pusat komuniti flat berkenaan.
Sementara itu, menurut Muzaliza, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang untuk melihat keadaan keluarga itu dengan lebih dekat, dalam masa sama beliau turut mengalu-alukan bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk meringankan beban keluarga tersebut.
“Dari segi barangan makanan dan keperluan, ia mencukupi buat masa ini tetapi apa yang jadi kebimbangannya ialah bayaran bulanan sewa rumah dan bil utiliti yang perlu ditanggung selepas ini,” katanya.
Mingguan Wanita : Bagi mereka yang mahu membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 1562-2636-2529 atas nama Nurmila. Semoga sedikit sebanyak bantuan daripada mak, ayah dapat mengurangkan beban keluarga ini.
Nur Qasehku Hilang Dua Bulan Ditemui Selamat, Doa Ibu Termakbul
Kisah kehilangan yang mencemaskan akhirnya bertukar menjadi berita yang melegakan apabila Nur Qasehku, remaja yang dilaporkan hilang dua bulan lalu, ditemui selamat di Cheras. Perjalanan panjang pencarian ini bukan sahaja menguji ketabahan seorang ibu, tetapi juga membuktikan bahawa harapan tidak pernah putus selagi doa terus dipanjatkan.
Doa dan kesabaran seorang ibu akhirnya dimakbulkan apabila anak angkat perempuannya ditemukan dalam keadaan selamat di Cheras, Kuala Lumpur, petang semalam. Berita mengenai Nur Qasehku yang hilang selama lebih dua bulan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga, kenalan dan masyarakat sekitar. Penemuan ini disambut penuh kesyukuran selepas tempoh yang begitu panjang tanpa sebarang perkembangan.
Nurhazlin Mohd Nor, 44, berkata momen menerima panggilan daripada sepasang suami isteri yang menemui anaknya, Nur Qasehku Suhaimi Abdul Rahman, 15, benar-benar meruntun hati. Sebelum panggilan itu diterima, beliau mengaku hampir hilang harapan kerana terlalu lama menunggu tanpa berita. Kes kehilangan ini menjadi tular kerana keadaan remaja tersebut yang masih tidak ditemui walaupun usaha mencari dilakukan secara meluas.
Detik Penemuan Yang Mengubah Segalanya
Menurut pasangan yang menemui remaja berkenaan, mereka terserempak dengan Qaseh atau lebih mesra dipanggil Qaseh yang ketika itu berkeliaran sendirian sambil meminta makanan di kawasan Batu 9 Cheras. Keadaan fizikalnya kelihatan susut dan kusut masai, menandakan dia kemungkinan besar mengalami keadaan sukar sepanjang tempoh kehilangan.
“Syukur sangat mereka nampak anak saya berjalan seorang diri dalam keadaan kusut masai dan si suami cam Qaseh yang dilaporkan hilang.
“Mereka kemudian telefon saya jam 3 petang dan turut memberi anak makan sementara menunggu kami sampai.
“Saya diberitahu Qaseh cakap namanya ‘Nana’ bila orang tanya dan keadaan tubuhnya susut berbanding sebelum,” katanya ketika dihubungi.
Perjalanan Panjang Menjemput Anak Pulang
Sejurus menerima panggilan itu, Nurhazlin dan suami bergegas ke Cheras pada jam 6.30 petang. Mereka tiba sekitar 12.30 tengah malam sebelum membawa Qaseh pulang ke Melaka. Pemeriksaan kesihatan kemudian dijalankan di Hospital Melaka seperti yang diminta oleh pegawai penyiasat, bagi memastikan keadaan fizikal remaja itu stabil selepas melalui tempoh kehilangan yang panjang.
Sebelum bergerak ke lokasi, Nurhazlin turut meminta pasangan terbabit melakukan panggilan video untuk pengesahan identiti.
“Bila panggilan video dibuat, memang betul Qaseh, dan ketika itu hanya Allah yang tahu betapa bersyukur saya.
“Cuma dia tak menyahut bila dipanggil namanya, tapi bila panggil ‘adik’, baru dia respon,” katanya.
Momen itu menjadi saat paling bermakna buat keluarga tersebut yang selama ini hanya mampu berdoa dan berharap agar Qaseh ditemukan dengan selamat.
Doa Yang Tidak Putus Dan Keajaiban Penemuan
Menurut Nurhazlin, dia hairan bagaimana tiada siapa menyedari keberadaan anaknya di kawasan itu selama ini. Namun beliau percaya penemuan ini adalah hasil doa ramai pihak, termasuk pelajar madrasah dan kariah Masjid Tengkera yang turut mengadakan solat hajat.
“Memang hairan macam mana orang tak perasan dia selama ini berada di kawasan itu. Mungkin berkat doa pelajar madrasah dan kariah Masjid Tengkera yang turut buat solat hajat, akhir Qaseh ditemui,” tambahnya.
Kisah ini memberi pengajaran besar kepada masyarakat tentang pentingnya keprihatinan. Ia juga menjadi peringatan bahawa doa seorang ibu sememangnya luar biasa, mampu membuka jalan di saat tiada lagi jawapan di depan mata. Perjalanan panjang kehilangan ini bukan sahaja membawa kesedaran baharu kepada keluarga, tetapi juga membuktikan bahawa keajaiban boleh berlaku apabila harapan terus dijaga.
Penemuan Qaseh dalam keadaan selamat akhirnya menutup episod yang penuh debaran ini. Kini, tumpuan utama keluarga adalah memastikan kesihatan mental dan fizikal remaja itu kembali pulih sepenuhnya setelah melalui fasa yang begitu mencabar dalam hidupnya.
Kisah menyentuh hati tentang Nur Qasehku hilang selama dua bulan akhirnya berakhir dengan berita gembira apabila remaja itu ditemui selamat di Cheras. Doa seorang ibu akhirnya dimakbulkan.